Thursday, August 26, 2010

UNDI TERUS BUKTIKAN KEADILAN UTAMAKAN KETELUSAN DALAM PEMILIHAN PARTI

PETALING JAYA 26 OGOS 2010:

Pendekatan undi terus hampir 500,000 ahli yang diambil oleh Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) dalam pemilihan parti yang bakal diadakan lewat tahun mencerminkan ketelusan pucuk pimpinan tertinggi.

Pengerusi Biro Antarabangsa KEADILAN, Mustaffa Kamil Ayub berkata pendekatan baru ini membuka peluang kepada semua ahli untuk memilih pemimpin pilihan mereka berbeza dengan praktis biasa di mana hanya beberapa wakil sahaja daripada setiap cabang akan hadir untuk pemilihan dan hanya mereka yang hadir boleh mengundi.

"Sistem undi terus akan membuka pelbagai ruang baru kerana dapat mengelakkan banyak permasalahan yang biasa berlaku dalam pemilihan mana-mana parti seperti politik wang, pemilihan 'favouritism' dan sebagainya,' jelas Mustaffa kepada Suara Keadilan ketika ditemui pada majlis berbuka puasa anjuran Akademi KEADILAN di Taman Paramount Selasa lalu.

Beliau menegaskan bagi memastikan sistem ini berjalan lancar semua pihak yang terlibat perlulah bekerjasama daripada pucuk pimpinan parti hinggalah ke ahli diperingkat akar umbi yang layak mengundi.

"Semua ahli yang berdaftar dengan KEADILAN berhak mengundi untuk memilih pucuk pimpinan dan ini termasuk pemilihan Presiden, Timbalan Presiden dan kesemua ahli majlis pimpinan pusat.

"Ini merupakan satu langkah yang amat berani daripada pucuk pimpinan parti kerana dengan cara ini tiada lagi pemilihan dalaman atau pemilihan untuk mengisi jawatan tetapi undi akan diberikan kepada calon yang dilihat layak untuk sesuatu jawatan oleh ahli," jelas beliau lagi.

Mustaffa yang juga Pengarah Biro Latihan & Gerakkerja Jentera Parti menerangkan bagi memastikan sistem baru ini berjalan lancar, parti telah mengeluarkan Kod Etika untuk calon yang menjelaskan dengan terperinci skop kempen yang boleh dibuat oleh calon dan apa yang ditegah.

"Antara perkara yang tidak boleh digunakan oleh calon ialah dengan menyatakan calon mendapat sokongan daripada mana-mana tokoh politik dalam parti, secara langsung mahupun tidak langsung," kata beliau.

Tambahnya, Kod Etika akan memastikan kesemua calon akan bertanding menggunakan kelebihan yang ada pada diri sendiri dan sumbangan kepada parti dan cara ini memberikan satu platform pertandingan yang adil kepada semua calon.

Mustaffa juga berkata pemilihan berdasarkan sistem undi terus hanya akan berjaya jika semua ahli yang layak mengundi keluar melaksanakan tanggungjawab mereka mengundi calon pilihan masing-masing.

Jelas beliau, dalam Mesyuarat Agung Tahunan Cabang tahun lalu hanya kira-kira 10 peratus sahaja ahli yang keluar mengundi di cabang masing-masing dan jumlah ini jauh daripada mencukupi bagi memastikan pemilihan yang adil.

"Cabaran terbesar ialah memastikan semua ahli keluar mengundi dan untuk itu, kesemua jentera cabang dan ranting perlulah bekerjasama menyebarkan maklumat dan mendidik ahli berkenaan kepentingan pemilihan kali ini dan memastikan ahli sedar bahawa setiap undi mereka amat penting.

"Jika KEADILAN dapat membuktikan kepada rakyat Malaysia bahawa sistem undi terus boleh dilaksanakan dengan adil dan telus saya percaya rakan dalam Pakatan Rakyat - PAS dan DAP - pasti dapat menerima dan menggunakan sistem ini," ujar beliau.


* Sumber http://Suara-Keadilan.com

No comments: