Thursday, November 5, 2009

AKTA KEMAJUAN PETROLEUM 1974 : ROYALTI BUKAN WANG EHSAN!

Akhbar nasional hari ini menyiarkan berita negeri Kelantan akhirnya akan diberi wang ehsan Petroleum sebagaimana yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Dato Seri Najib Tun Razak di parlimen semalam. Menurut Najib lagi, pemberian itu adalah berasaskan pertimbangan sama yang diberikan kepada Terengganu iaitu mengambil kira pengeluaran petroleum di luar perairan negeri berkenaan.

Sebenarnya tidak timbul soal akhirnya negeri Kelantan akan diberi wang ehsan sebagaimana menuruti jejak langkah tiga negeri (Terengganu, Sabah dan Sarawak) yang turut memperolehi bayaran tersebut daripada Petronas kerana ini merupakan hasil yang sepatutnya dibayar kepada Kelantan kerana industri minyak dan gas telah pun memasuki dan berada di perairan negeri tersebut sejak awal lagi.

Cuma yang menjadi persolan sekarang ialah kenapa dibayar atas nama wang ehsan dan bukannya diatas nama wang royalti sebagaimana yang terkandung didalam perjanjian antara kerajaan negeri Kelantan dn pihak Petronas itu sendiri? Perlu diingat antara Ehsan dan Royalti itu cukup besar signifikannya terhadap pengertian serta makna itu sendiri kepada umum.

Umumnya semua mengetahui secara asasnya pembayaran yang dilakukan sebagai wang ehsan itu lebih menampakkan seolah-olah kita semacam pengemis yang meminta-minta' berbanding istilah royalti itu sememangnya mesti dan perlu dibayar kerana ianya telah tersurat di perjanjian yang telah ditandatangani antara dua pihak.

Bagi saya usaha kerajaan pusat untuk menukarkan 'bentuk pembayaran' atau 'method of payment' ini lebih untuk melindungi yang hak daripada memperolehi sewajarnya. Oleh itu kerajaan negeri Kelantan berhak untuk memikirkan kembali apa jua pun segala bentuk yang sewajarnya bagi memperolehi hak negeri tersebut samada mengkaji atau membatal semual hak carigali kepada Petronas yang ditandatangani pada 1975 sekiranya tuntutan royalti minyak ini tidak dipatuhi oleh kerajaan pusat.

YBM Tengku Razaleigh Hamzah sendiri mengakui perjanjian ini kerana ketika itu YBM Tengku mewakili Petronas sebagaimana kenyataan dan jawapan balas didalam surat peribadinya bertarikh 30 Julai 2009 kepada YAB MB Kelantan TG Nik Aziz Nik Mat, antara kandungannya ialah;

Apabila Malaysia ditubuhkan dalam tahun 1963, bidang kuasa (jurisdiction) ke atas luar pantai Malaysia di antara Negeri dan Persekutuan tidak ditentukan untuk negeri-negeri Sabah, Sarawak dan Singapura oleh kerana Malaysia ditubuhkan dalam suasana di mana kita telah diancam oleh negara tetangga. Ini menyebabkan Kerajaan Negeri Sarawak telah mempertikaikan hak bidang kuasa Kerajaan Persekutuan ke atas luar pantai Malaysia di perairan Sarawak.

Nasib baik dengan adanya Akta Kemajuan Petroliam 1974 pertikaian ini telah dapat diselesaikan dalam suatu perundingan yang diadakan dengan Kerajaan Sarawak. Saya telah mewakili Kerajaan Persekutuan untuk merundingkan masalah ini dan tanpa memilih jalan yang sukar, iaitu untuk meminda Perlembagaan Negara bagi menentukan bidang kuasa untuk Negeri dan Persekutuan yang tidak sempat dibuat sebelum ini mengenai kawasan luar pantai Malaysia , maka Seksyen 4 Akta Kemajuan Petroliam telah diguna bukan sahaja untuk menyelesaikan masalah ini tetapi telah dapat juga mengatasi kemungkinan ianya ditimbulkan oleh negeri-negeri seperti Sabah selain daripada Sarawak.

Akta Kemajuan Petroliam mempunyai keistimewaannya tersendiri. Ia telah menyebabkan ujudnya satu perjanjian dalam mana Kerajaan-kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan telah sanggup meletak hak selama-lamanya kepada PETRONAS mengenai petroliam yang ditemui sama ada di dalam atau di luar pantai Malaysia. Sebaliknya PETRONAS sanggup membuat bayaran tunai kepada Kerajaan Persekutuan dan juga Kerajaan-kerajaan Negeri sebanyak 5% daripada nilai petroliam yang ditemui dan dijual tiap-tiap tahun menurut Perjanjian itu. Bagi Negeri Kelantan, Allahyarham Dato’ Hj. Mohamed bin Nasir, selaku Menteri Besar, telah menandatangani perjanjian ini dan saya bagi pihak PETRONAS telah menandatangani perjanjian yang sama dalam tahun 1975.

Jelas sekali, dengan tafsiran yang dibuat dalam kedua-dua perjanjian ini nampaknya tidak ada keraguan lagi mengenai bidang kuasa dalam dan luar pantai Malaysia mengenai petroliam. Jelas sekali PETRONAS terikat dengan perjanjian-perjanjian ini begitu juga Kerajaan Negeri Kelantan dan oleh itu PETRONAS wajib membuat bayaran tunai sebanyak 5% daripada petroliam yang diperolehi daripada luar pantai Malaysia yang bersetentangan dengan Kelantan kepada Kerajaan Negeri Kelantan.

Kalau tidak silap saya, sebahagian daripada kawasan luar pantai Malaysia yang diusahakan oleh JDA (Joint Development Authority) sekarang ini pernah diberi kepada syarikat asing untuk mencari gali minyak dalam tahun enam-puluhan dahulu tetapi diserahkan balik kepada Kerajaan Persekutuan apabila didapati ianya tidak ekonomik oleh kerana kos mencari gali minyak di ketika itu melebehi harga pasaran minyak dunia.

Untuk makluman Y.A.B. Dato’, saya telah meminta Perdana Menteri, Allahyarham Tun Abdul Razak, untuk mengguna pakai Seksyen 4 Perjanjian di bawah Akta Kemajuan Petroliam ini supaya PETRONAS menandatangani dengan setiap negeri di Semenanjung Tanah Melayu untuk menseragamkan perjanjian-perjanjian yang dibuat oleh PETRONAS di bawah Akta tersebut. Apatah lagi disedari bahawa negeri-negeri di Pantai Timur masih kurang maju yang memerlukan bantuan untuk pembangunan dan sudah tentu akan mendapat manfaat daripada bayaran tunai daripada PETRONAS.

Pada masa itu difikirkan ada kemungkinan kawasan luar pantai Malaysia berhampiran atau bersetentangan dengan Kelantan, Terengganu dan Pahang mempunyai petroliam dan/atau gas asli mungkin memberi harapan yang baik kepada rakyat dan negeri-negeri tersebut sekiranya petroliam ditemui di luar pantai Malaysia berhampiran negeri-negeri itu.


Disamping itu juga pembayaran royalti kepada Terengganu, Sabah dan Sarawak tetap dibuat walaupun pelantar cari gali berada di luar dari tiga batu nautika, jadi kenapa pembayaran royalti tetap dibayar kepada ketiga -tiga negeri tersebut sedangkan dari segi kedudukan geografinya melebihi tiga batu nautika berbanding negeri Kelantan hanya berada didalam tiga batu nautika sahaja?

Ya benar, sememangnya kita sepatut bersyukur kerana menerima pemberian wang ini walaupun sekadar bernama wang ehsan namun begitu 'hak negeri tetap hak negeri' dan adalah tidak adil sekiranya ia diputar belitkan oleh mereka yang benar-benar berkepentingan politik semata-mata dan amat berlawanan dengan apa yang telah termaktub didalam perjanjian 1975 itu.

Cuma amatlah pelik lagi 'jelik' kerana tidak munasabah sekarang ialah kenapa negeri Sabah, Sarawak dan Terengganu (Dulu Terengganu: 2000-2008 dinamakan wang ehsan) dibayar atas nama royalti tetapi tidak kepada Kelantan yang sepatutnya turut dibayar sebagai royalti sebagaimana yang termaktub dalam Akta 144 Petronas?

Untuk pemimpin-pemimpin Umno terutamanya usahlah berkokok bagai nak rak didalam parlimen semata-mata untuk menunjukkan kejaguhan didepan 'bos' kerana hendak mempertahankan 'kebenaran yang tidak pasti' yang akhirnya jelas dan nyata menampakkan kebodohan YB-YB pengampu ini akan kejahilan didalam hal seperti ini. Eloklah rajin-rajin membaca dan selak kembali sejarah perjanjian syarikat Petroleum Nasional dengan setiap negeri di Semenanjung Tanah Melayu sekitar tahun 1974 / 1975 dahulu.




* Artikel ini dipetik dari blog 'Raikan Hasrat Anda' di http://ingeniur.blogspot.com

No comments: