Tuesday, June 29, 2010

SUARA KEADILAN DIBERI SURAT TUNJUK SEBAB

PUTRAJAYA 28 JUN 2010:

Suara Keadilan hari ini menerima satu surat tunjuk sebab berhubung artikel 'Felda Bankrap' dalam isu 237 yang didakwa memfitnah agensi milik kerajaan itu.

"Manakala tiga surat tunjuk sebab lagi memerlukan pihak Suara Keadilan menjawab sebelum jam 5.30 petang esok," ujar Pengarang Suara Keadilan Dzulkarnain Taib

Sebelum itu, Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Ahmad Maslan dalam satu sidang media melabelkan 4 artikel yang berkaitan Felda sebagai fitnah dan akan menggunakan tindakan undang-undang terhadap lidah rasmi parti KEADILAN itu.

Surat tersebut ditandatangani oleh Timbalan Ketua Setiausaha KDN, Ahmad Fuad Abdul Aziz

Perjumpaan tersebut diadakan di Bilik Mesyuarat Perkasa, Kompleks D, Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Putrajaya.

Mesyuarat pukul 5.30 petang tadi dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha. KDN, Datuk Seri Mahmood Adam manakala Suara Keadilan pula diwakili oleh peguam, Shamsul Iskandar Mohd Akin yang juga merupakan Ketua Angkatan Muda KEADILAN dan Dr Samrudin Rejab.

Menurut Dzulkarnain, beliau telah memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak KDN.

"Surat tunjuk sebab ini keras memandangkan kita tidak dapat hadir pada sesi minum petang seperti yang diminta KSU Jumaat lepas.

"Kami berharap KDN dapat mempertimbangkan sebab pihak kami tidak dapat hadir pada waktu seperti yang diminta beliau," ujarnya

Dalam pada itu, beliau berkata walau pun diberi tempoh 7 hari, Mahmood meminta Suara Keadilan menjawab surat tunjuk sebab itu sebelum 30 Jun ini.

Sementara itu Shamsul berkata pihaknya akan menyediakan laporan lengkap untuk diserahkan kepada Ketua Umum KEADILAN Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk dibahaskan di Parlimen.

Katanya lagi, Mahmood memintanya berbuat demikian atas alasan mesyuarat untuk memperbaharui permit penerbitan akan diadakan pada hari tersebut.



* Sumber http://Suara-Keadilan.com

Monday, June 28, 2010

AZMIN GANTI KHALID SEBAGAI PENGERUSI MPN SELANGOR, ZAID TERAJUI WILAYAH PERSEKUTUAN

SHAH ALAM 27 JUN 2010:

Mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN yang berakhir petang tadi mengumumkan rombakan barisan pimpinan parti yang membabit beberapa pimpinan di peringkat negeri termasuk Naib Presiden, Azmin Ali yang kini dilantik sebagai Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri Selangor menggantikan Tan Sri Khalid Ibrahim.

Tempat Azmin di ganti oleh Ahli Majlis Pimpinan Pusat, Datuk Zaid Ibrahim yang dilantik sebagai Pengerusi Majlis Pimpinan Wilayah Persekutuan yang baru.

Seorang lagi Ahli Majlis Pimpinan Pusat, Dr Badrulamin Bahron dilantik menjadi Pengarah Penerangan di Pejabat Menteri Besar Selangor.

Semasa mengumumkan perubahan pada barisan pimpinan Selangor dan Wiyajah Persekutuan, Presiden, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata rombakan ini dibuat bagi memberi ruang kepada Abdul Khalid menumpukan perhatiannya kepada pembangunan Selangor

"Tan Sri Khalid sendiri memohon perubahan ini dibuat suoaya beliau boleh menumpukan perhatian dan tenaganya untuk disalurkan dalam pentadbiran Selangor," kata Dr Wan Azizah.

Sementara itu Ketua Umum, Datuk Seri Anwar Ibrahim pula berkata perubahan yang dibuat adalah bagi mengukuh serta memantapkan struktur organisasi dan pentadbiran parti menjelang PRU-13.

"Rombakan terbaru ini adalah bagi melicinkan pentadbiran kerajaan negeri Selangor dan memantapkan persediaan parti bagi menghadapi pilihan raya umum ke-13 kelak," kata Anwar yang mempengerusikan mesyuarat MPP setelah berakhirnya program pemukiman KEADILAN petang tadi.

Program Temu Rapat dan Bengkel Jawatankuasa Pilihan Raya Pusat sepanjang dua hari yang berakhir dengan Mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN dipengerusikan oleh Anwar.

Dalam sidang media, Anwar berkata perubahan seperti ini akan berlaku dari semasa ke semasa, secara berperingkat dan akan melibatkan keseluruhan kepimpinan di peringkat negeri dan cabang.

Sehubungan itu Abdul Khalid berkata Setiausaha Politik Menteri Besar yang baru, Faekah Husin akan mengangkat sumpah pada hari Selasa depan manakala dua pegawai khas akan dilantik bagi membantu Dr Badrulamin.


*Sumber http://Suara-Keadilan.com

Wednesday, June 23, 2010

PILIHANRAYA UMUM AWAL: JADIKANNYA KEWAJIPAN & BUKANNYA 'PESTA'

Masing-masing sudah mula bercerita tentang pilihanraya umum (PRU) yang ke 13. Samada daripada pihak parti Barisan Nasional (BN) atau pun juga daripada Pakatan Rakyat(PR) sendiri.

Semenjak daripada PRU 12 pada tahun 2008 dahulu, berbagai spekulasi kemungkinan PRU 13 telah pun kedengaran terutamanya apabila memasuki era selepas dua setengah tahun daripada PRU 12 tersebut.

Faktor apa yang diperkatakan sebagai kestabilan ekonomi Malaysia kini adalah merupakan faktor yang paling sesuai untuk disegerakan pilihanraya umum yang ke 13 juga telah dijadikan asaanya. Apakan kesan ekonomi yang begitu memberangsangkan sekarang adalah peluang terbaik untuk diadalan PRU 13 ini?

Pandangan Dato Seri Najib Tun Razak selaku Perdana Menteri seharusnya di rungkai secara mendalam. Pada pandangan beliau untuk apa disegerakan pilihanraya sekiranya tempoh 5 tahun mandat untuk memimpin negara masih lagi panjang dan dibenarkan sebagaimana yang diperuntukkan didalam perlembagaan.

Semua parti samada BN ataupun juga PR masing-masing boleh mendakwa bahawa mereka sudah cukup kuat dan sudah bersedia untuk bertarung didalam pilihanraya umum akan datang, tetapi apakah benar itu hakikatnya?

Perkembangan yang mutakhir ini lebih menjuruskan kepada ‘penghijrahan’ beberapa orang wakil-wakil rakyat daripada Pakatan Rakyat ke ‘sebelah sana’ (Barisan Nasional) samada sebagai wakil bebas yang mesra BN atau bertindak menyertai mana-mana parti komponen BN yang sedia ada menguatkan lagi kemungkinan PRU 13 di segerakan.

Senario didalam Pakatan Rakyat ini dilihatkan sebagai satu konflik dalaman parti yang ‘serius’ dan sudah pasti ini adalah isu yang seharusnya digunakan oleh pihak Barisan Nasional semaksimum mungkin didalam mencari sokongan untuk PRU ke 13 nanti.
Bagi kita apakah asas ini juga boleh dijadikan penyebab utama kepada Perdana Menteri khususnya parti pemerintah Barisan Nasional untuk mengadakan pilihanraya umum ke 13 secara mengejut?

Mungkin pada sebelah pihak akan mengatakan inilah masa terbaik untuk Perdana Menteri mendapatkan mandat terbaru pimpinannya disamping memilih wakil rakyat terbaik untuk bekerja bersamanya.

Tetapi didalam masa yang sama juga, mempercepatkan pilihanraya umum juga adalah ada salah satu cara terbaru untuk menjimatkan kos bagi mengadakan pilihanraya umum negeri Sarawak secara serentak dengan peringkat Pusat, justeru itu peluang ini perlu di adakan bersama.

Pada satu sudut yang lain, sekiranya benar kerajaan berhasrat untuk mengadakan PRU 13 didalam tempoh terdekat ini sewajarnya ia di pertimbangkan kembali. Ini kerana dengan tempoh mandat 5 tahun yang diperuntukkan untuk memerintah masih lagi jauh untuk berakhir, kenapa kerajaan begitu ‘gelojoh’ untuk mengadakannya secara tergesa-gesa?

Walau apa pun, segalanya terletak ditangan PM selaku orang yang berhak untuk menentukan bila kewajarannya untuk mengadakan pilihanraya umum perlu diadakan.


* Sumber http://Suara-Keadilan.com

FAEKAH GANTI NIK NAZMI SEBAGAI SETPOL BARU MB SELANGOR

SHAH ALAM, 22 Jun 2010:

Setiausaha Politik (Setpol) kepada Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Faekah Husin dilantik sebagai Setpol kepada Menteri Besar Selangor bagi menggantikan Nik Nazmi Nik Ahmad.

Tan Sri Khalid Ibrahim mengumumkan perkara itu pada Majlis Makan Malam Menteri Besar Selangor Bersama Media di sebuah hotel di sini, malam ini.

Nik Nazmi bakal menjalankan tugas baru sebagai Pegawai Penerangan dan Komunikasi di Ibu pejabat PKR mulai 1 Julai ini.

Ketika berucap pada majlis itu, Khalid berharap perlantikan Nazmi akan memberi perubahan baru kepada parti itu yang bercita-cita untuk membawa reformasi di dalam negara ini.

Nazmi yang juga Adun Seri Setia mengucapkan terima kasih kepada Khalid dan semua pihak yang telah memberikan kerjasama yang baik sepanjang menjalankan tugas sebagai Setpol kepada Menteri Besar Selangor.

Sementara itu, Faekah, 45, yang masih menyandang Setpol kepada Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail pernah memegang beberapa jawatan utama dalam PKR Selangor.

Beliau yang memulakan karier sebagai peguam sejak April 1991 menjadi ahli Parti Keadilan Nasional sejak mula ditubuhkan pada 1999 yang sekaligus mengetuai wanita parti itu di Kuala Langat sehingga kini.

Pada 2000, beliau dilantik sebagai Ketua Penerangan Wanita PKR negeri dan Bendahari Wanita negeri selepas itu.

Faekah yang membuka firma sendiri bersama seorang rakan kongsi dengan nama Faekah & Choung pada 2 Mei 1994 pernah dipilih menduduki Majlis Pimpinan Wanita Keadilan Pusat pada 2001 hingga 2004.



* Sumber http://harakahdaily.net

Monday, June 21, 2010

TIMBALAN EXCO NEGERI: PAHANG PATUT IKUT KELANTAN & TERENGGANU

Tindakan Kerajaan Negeri Kelantan pimpinan PAS-Pakatan Rakyat semalam 20 Jun 2010 mengumumkan perlantikan 13 jawatan Timbalan Pengerusi Ahli Majlis Mesyuarat Kelantan (Timbalan EXCO Kelantan) bertujuan untuk membantu serta memperhalusi system pentadbiran di negeri tersebut adalah merupakan suatu langkah yang harus di puji dan diikuti di kebanyakan negeri termasuk di negeri-negeri Pakatan Rakyat yang lain.

Didalam hal ini, Negeri Kelantan adalah negeri kedua di Pantai Timur selepas Terengganu yang telah melaksanakan sistem mempunyai Timbalan EXCO negeri. Kerajaan Terengganu sudah melaksanakan perlantikan jawatan Timbalan EXCO sejak dua penggal lalu dan terus diamalkan sehingga kini.

Jawatan Timbalan EXCO ini bukan hanya sekadar berjawatan untuk membantu tugas-tugas EXCO yang semakin terbeban dengan kerja malahan ianya juga dapat mendekatkan lagi pimpinan utama negeri dengan rakyat di negeri tersebut.

Sebagaimana menurut Menteri Besar TG Dato Nik Aziz Nik Mat , tindakan ini juga akan melancarkan dan memudahkan lagi perkara yang bersangkut paut dengan kebajikan rakyat nanti.

Untuk makluman juga, kesemua jawatan Timbalan EXCO ini akan dibayar gaji dan mengangkat sumpah dihadapan Menteri Besar Kelantan serta perlu menandatangani surat lantikan ke jawatan tersebut sebagaimana amalan biasa sesuatu lantikan.

Justeru itu juga, Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Cabang Bera menggesa agar Kerajaan Negeri Pahang dibawah pimpinan UMNO-Barisan Nasional akan mengambil langkah yang sama untuk meringankan tugas-tugas EXCO yang sedia ada dengan mewujudkan jawatan Timbalan EXCO sebagaimana yang telah dilakukan oleh Negeri Terengganu dan yang terbaru oleh Negeri Kelantan.

KEADILAN Cabang Bera melihat sekiranya faktor kekangan kewangan yang hendak di jadikan asas oleh kerajaan Pahang untuk mengelak di adakan jawatan Timbalan EXCO tersebut sebagai penyebab utamanya, bagaimana pula dengan kemampuan Kelantan untuk mewujudkan jawatan ini walhal selama ini kerajaan BN selalu merendah-rendahkan kemampuan Kelantan yang dikatakan gagal untuk memacu ekonomi dan mencari sumber kewangan yang banyak?

Sudah tiba masanya Kerajaan Pahang pimpinan UMNO-BN mengikuti jejak langkah yang dibuat oleh dua negeri jiran Pantai Timurnya (Kelantan dan Terengganu) agar mewujudkan segera jawatan Timbalan EXCO apatah lagi Pahang adalah merupakan negeri yang terbesar di Semenanjung Malaysia sudah tentu amat memerlukannya bagi melicinkan perjalanan kerja EXCO-EXCO terbabit demi kepentingan pentadbiran kerajaan negeri serta kebajikan rakyat di negeri Pahang ini juga.



* Oleh: RIZAN HJ ALI
(Setiausaha KEADILAN Cabang Bera)

TIAN CHUA: SAYA TETAP KE DEWAN RAKYAT SEBAGAI AHLI PARLIMEN BATU

KUALA LUMPUR 21 JUN 2010:

Pengarah Strategi dan Politik KEADILAN, Tian Chua menyatakan bahawa beliau akan hadir ke Dewan Rakyat hari ini sebagai Ahli Parlimen yang sah bagi mewakili pengundi kawasan Batu selepas teka-teki mengenai spekulasi kedudukannya hangat diperkatakan oleh media dan pemerhati politik.

"Tidak ada kekeliruan, tidak ada masalah dan ini adalah pentas di mana saya berdiri untuk mengesahkan bahawa esok (hari ini), saya akan tetap hadir ke Dewan Rakyat sebagai Ahli Parlimen yang sah," kata Tian Chua.

Beliau menyatakan demikian kepada kira-kira seribu orang hadirin dalam sebuah majlis makan malam bagi mengumpul dana gerak kerja parti anjuran KEADILAN Selangor dan Wilayah Persekutuan dengan tema "Pertahankan Parlimen Batu, Selamatkan Malaysia" di Pusat Konvensyen HGH di Sentul, malam tadi.

Tian menjelaskan keputusan Mahkamah Tinggi hari Khamis lalu, secara jelas mengisytiharkan bahawa kerusi Parlimen Batu tidak akan dikosongkan.

Keputusan hakim Datuk Ghazali Cha menyatakan sebarang keputusan tidak harus membebankan rakyat sehingga perlu diadakan semula pilihan raya kecil yang akan mengakibatkan pembaziran wang negara.

Hukuman asal dijatuhkan ke atas Tian Chua adalah enam bulan penjara dan denda RM3,000, namun hakim mengetepikan keputusan tersebut dengan menurunkan hukuman kepada denda sebanyak RM2,000.

Tafsiran hakim terhadap denda RM2,000 tersebut tidak akan menyebabkan beliau hilang kelayakan sebagai Ahli Parlimen.

Dalam pada itu, Tian Chua sempat mengulas rentetan dan pengalaman kerjanya yang pertama kali menjadi Ahli Parlimen bagi kawasan tersebut.

Beliau menyatakan kawasan Parlimen Batu sebagai istimewa kerana mempunyai banyak tempat bersejarah terutamanya kawasan-kawasan perumahan dan petempatan awal semenjak pembukaan Kuala Lumpur.

"Antaranya Sentul, yang merupakan kampung keretapi yang signifikan dengan masyarakat India, Jinjang yang merupakan petempatan yang paling awal bagi kampung baru Cina di Kuala Lumpur, Kampung Padang Balang yang sinonim bagi masyarakat Melayu bahkan Ibu Pejabat PAS sendiri di Taman Melewar turut termasuk di dalam Parlimen Batu," katanya.



* Sumber http://Suara-Keadilan.com

MB PAHANG DIDAKWA DALANG PROJEK PERUMAHAN TERGENDALA

KUALA LUMPUR 21 JUN 2010:

Kerajaan Umno-Barisan Nasional sekali lagi mengabaikan kepentingan rakyat dengan tidak mempedulikan masalah yang dihadapi 150 pembeli rumah pangsa di Karak, Pahang yang sehingga kini tidak dapat menduduki kediaman impian mereka meskipun rumah tersebut siap dibina pada 2006.

Permasalahan yang dihadapi pembeli Pangsapuri Anggerik itu telahpun dibawa ke peringkat kerajaan negeri dan pelbagai agensi kerajaan serta pihak berwajib tetapi malangnya rintihan mereka tidak pernah dipedulikan dan mendapat perhatian daripada mana-mana pihak.

Perkara ini didedahkan Ahli Parlimen Indera Mahkota, Azan Ismail pada sidang media di lobi Parlimen tengahari tadi bersama Timbalan Pengerusi Perhubungan KEADILAN Pahang, Ram Ponusamy bersama beberapa wakil pembeli rumah tersebut.

Azan berkata, masalah berkenaan bercanggah dengan pengumuman yang dibuat Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan pada penggal Parlimen lalu.

"Mereka menjadi mangsa penganiayaan sehingga habis ikhtiar dan usaha dilakukan bagi mencari penyelesaian atas isu pembelian rumah yang satu masa dahulu telah diumumkan oleh Timbalan Menteri Perumahan Kerajaan Tempatan bahawa satu-satunya negeri yang mempunyai dasar mengenai pemilikan rumah adalah negeri Pahang sebagaimana yang dinyatakan kepada saya pada sesi Parlimen yang lepas.

"Seperti mana aduan penduduk, mereka telah membayar sejumlah wang selama tiga tahun dan telah dipaksa membuat pembayaran untuk pemilikan rumah masing-masing tetapi apa yang mereka dapat sekarang, rumah yang telah dibayar itu tidak dapat diduduki malah menjadi mimpi buruk kepada mereka kerana justifikasi rumah tersebut yang tidak selamat.

"Sehubungan itu, mereka juga telah cuba menghubungi aduan rakyat dan sebagainya serta beberapa laporan polis telah dibuat, juga beberapa siri perjumpaan dengan pihak berkuasa sama ada kerajaan negeri, pihak kementerian malah surat aduan telah disampaikan kepada kementerian kewangan dan sebagainya sehingga mereka hilang ikhtiar dan bertindak datang ke Parlimen untuk mengadu berkenaan perkara ini," katanya.

Sehubungan itu, Azan menggesa kerajaan untuk mengambil serius permasalahan ini dengan tindakan sewajarnya.

Tambah, beliau isu berkenaan turut akan dibangkitkan dalam Dewan Rakyat.

"Ini merupakan insiden pertama yang dibawa ke Dewan Rakyat dan ini bukan satu perkara yang baik malah mungkin banyak lagi perkara seumpama ini berlaku. Saya harap secara baik kita (Pakatan Rakyat) akan berjaya menyelesaikan masalah ini," ujar beliau lagi.

Sementara itu, Ram menegaskan KEADILAN Pahang sedang membantu dan berusaha untuk menyelesaikan masalah penduduk terbabit.

"Kita akan buat satu tindakan tegas untuk membawa isu ini ke Parlimen kerana sampai sekarang tiada satu tindakan pun yang dibuat dan lebih teruk lagi, rumah tersebut memang tak boleh diduduki.

"Saya juga tahu Menteri Besar Pahang ada terlibat dengan projek ini sebab bangunan ini didirikan atas tanah kerajaan sebab itulah tidak ada apa-apa tindakan dibuat walaupun aduan telah diajukan kepada Barisan Nasional.

"Dan setakat ini tak ada jawapan dan tidak balas daripada Adnan," katanya.

Dalam pada itu, wakil penduduk terbabit yang hadir dalam sidang media itu, Krishnan Maruthaya menyuarakan rintihannya berkenaan apa yang telah dialami beliau bersama lain-lain pembeli.

"Projek ini dimulakan pada 2002 di mana pembayaran deposit telah dibuat dan pada 2003 selepas selesai buat perjanjian, pihak berkaitan tunjuk pelan perumahan, kemudian pada 2006, kita tengok rumah yang dibina menyerupai sekolah dan hanya tiga tingkat sahaja sedangkan dalam perjanjian bangunan tersebut dinyatakan adalah bangunan empat tingkat.

"Kita telah buat aduan kepada Ahli Parlimen BN, ADUN malah aduan telah sampai ke pejabat Perdana Menteri namun tidak ada tindakan sampai kita jumpa Perdana Menteri di Pekan namun masih sama.

"Rumah tersebut juga tidak dapat CF (sijil layak memduduki) tetapi rumah itu juga tidak selamat untuk kita duduki dan sekarang rumah tersebut telahpun retak.

"Kita pun hairan ada pihak mana yang menjadi dalang di sebalik isu ini. Sampai sekarang masalah ini tak selesai. Sebab itu kita datang sini," jelas beliau lagi.



* Sumber http://Suara-Keadilan.com

Sunday, June 20, 2010

KENAPA PERLU BANGUNAN PARLIMEN BARU?

Bangunan Parlimen Malaysia adalah tempat untuk ahli-ahli Dewan Rakyat bersidang, berbahas di samping menggubalkan undang-undang negara kita.

Saya tidak faham kenapa isu dan cadangan untuk memindahkan serta membina Bangunan Parlimen baru berterusan diberi perhatian?

Bermula dengan cadangan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato Seri Nazri Aziz agar bangunan baru untuk Parlimen dibina di Putrajaya dan didalam masa yang sama pula dibaik pulih untuk dijadikan sebagai galeri sejarah.

Isu ini terus diberi perhatian serius apabila Kementerian Kerjaraya melalui Menterinya Dato Shaziman Mansor turut mengulas akan cadangan pembinaan Bangunan Parlimen yang baru dan berhasrat untuk di kemukakan kepada Kabinet dalam tempoh dua bulan daripada sekarang tentang beberapa cadangan yang difikirkan sesuai.

Kita tidak faham, kenapa negara kita tidak boleh meniru langkah sebagaimana Negara lain yang begitu menyanjung tinggi Bangunan Parlimennya walaupun telah berusia melebih beratus tahun sebagaimana di United Kingdom, Amerika Syarikat, India, Jepun dan sebagainya.

Dinegara lain, bangunan Parlimen adalah tempat yang mulia untuk dipertahankan sesuai dengan nilai sejarah dan nostalgianya. Lihatlah di UK atau AS sebagai contohnya, bangunan Parlimen mereka sudah berusia begitu lama dan sentiasa di baik pulih serta di jaga dengan rapi.

Bagi kerajaan negara mereka, tiada yang lebih membanggakan selain daripada terus mengekalkan nilai sejarah ini. Menjadi ahli Dewan di kedua negara tersebut sudah pasti membanggakan mereka yang dipilih. Ini kerana nama mereka turut terpahat sama dikalangan mereka yang pernah suatu ketika dahulu yang turut berada di situ walaupun berlainan zaman tetapi tempatnya adalah sama!

Tetapi tidak di Malaysia kerana lebih mementingkan keselesaan kononnya. Hakikatnya untuk apa bangunan baru Parlimen perlu dibina? Sebagaimana menurut Shaziman lagi kos untuk membaik pulih hanyalah sekitar RM 150 Juta, manakala kos untuk membina yang baru mungkin mencecah melebihi RM 600 Juta?

Ada dua persoalan disini, pertamanya kenapa kos membaik pulih memerlukan RM 150 Juta? Bukankah 10 tahun dahulu, bangunan ini sudah di baik pulih serta di ubah suai? Dimana tanggung jawab pihak yang berwajib untuk menyelenggara bangunan ini secara berterusan pada setiap bulan?

Saya yakin sekiranya penyelenggaraan secara sistematik dan konsisten sebagaimana yang diamalkan kepada mana-mana bangunan, kos untuk membaik pulih keseluruhan bangunan ini pasti tidak akan mencecah sehingga RM 150 Juta!

Keduanya, kos pembinaan baru melebihi RM 600 Juta? Kalau kita sudah mengetahui kos pembinaan barunya sebegitu rupa tinggi, kenapa tidak didiamkan sahaja hasrat ini? Atau pun masih berkeras untuk membina bangunan baru demi kepentingan pihak-pihak tertentu didalam mendapatkan kontrak ini?

Justeru itu, bagi saya elok dibatalkan saja niat tersebut samada untuk memindahkan atau pun membina bangunan Parlimen yang baru di Putrajaya. Kita seharusnya mempertahankan bangunan yang sedia ada demi warisan dan nilai sejarah yang penuh dengan nostalgia didalam pembentukan awal negara kita yang merdeka ini dahulu.


* Sumber http://ingeniur.blogspot.com

Friday, June 18, 2010

ANWAR CABAR RTM APA TINDAKAN TERHADAP VIDEO VK LINGAM SEBELUM DEDAH VIDEO LOMPAT PARTI

KUALA LUMPUR 17 jun 2010:

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menempelak seorang wartawan radio daripada RTM supaya tutup mulut dan bersikap profesional apabila petugas stesen televisyen kerajaan Umno-BN itu menekan Anwar mengenai video skandal lompat parti yang didedahkan beberapa minggu lalu.

Wartawan yang hanya dikenali dengan Tukimin itu mendesak Anwar memberi tarikh yang tepat bila beliau membuat pendedahan berkaitan video skandal lompat parti yang melibatkan ahli parlimen Bebas yang membabitkan sogokan RM2 juta serta imbuhan kontrak.

Anwar dengan nada yang tegas mengarahkan Tukimin diam serta bersikap profesional selain bertanya apa akan dilakukan bila video itu didedahkan dan apa yang telah berlaku kepada video konspirasi melantik hakim yang melibatkan peguam VK Lingam sebelum ini.

"Kamu dari media mana (RTM), jelas sikap Umno itu belum jadi menteri kamu sudah bersikap sedemikian. Sudah habiskah soalan kamu nak tanya. Ok kamu boleh diam dan jawab apa yang saya ingin katakan ini.

"Kamu balik tanya kepada menteri kamu apa yang sudah terjadi dengan pendedahan yang saya lakukan dulu berkenaan kes VK Lingam, selepas itu beritahu saya. Saya akan dedahkan video skandal sogokan RM2 juta, kemudian tanya apa tindakan yang menteri kamu akan ambil.

"Saya berkomunikasi dengan Menteri Penerangan, Kebudayaan dan Warisan, Datuk Seri Utama Dr Rais Yatim lebih beretika dan jauh lebih beradab daripada kamu. Apa yang saya katakan tunggu masa yang sesuai untuk saya dedahkan dan tak perlu saya nyata bila, kamu tidak perlu mendesak saya kerana itu hak saya untuk menyatakan bila saya dedahkan. Saya nasihatkan kamu supaya lebih beretika dan profesional," tegas Anwar pada sidang media di lobi parlimen tengahri tadi.

Disebabkan tidak puashati dengan nasihat dan sanggahan Anwar, wartawan terbabit meninggalkan sidang media tersebut selain memperkecilkan nasihat Anwar.

Menurut beberapa petugas media yang mmebuat liputan sidang parlimen, sikap Tukimin yang dipercayai berasal dari Sabah amat cenderung kepada Umno-Barisan Nasional sekali gus merosakkan kredibiliti beliau sebagai seorang wartawan.

"Elok kalau beliau masuk Umno sahaja dan tidak bekerja sebagai wartawan upahan Umno. Sikap ini menjijikan kami golongan media yang mahu bersikap profesional sebaik mungkin," kata seorang pengarang media cetak.

Sementara itu Anwar berkata beliau akan membuat pendedahan itu pada masa yang sesuai.

"Saya menyahut cabaran Zahrain tetapi tunggu masa yang sesuai untuk saya dedahkan, apa yang saya mahu tahu apa tindakan yang kerajaan akan ambil bila pendedahan itu dilakukan.

"Saya yang akan menentukan bila video RM2 juta itu akan didedakan bukannya media pro-Umno, RTM tidak pernah profesional dalam memdedahkan kepincangan para pemimpin Umno-Barisan Nasional dalam mentadbir negara. Tindakan yang dilakukan oleh wartawan RTM itu bersifat provokasi dan tidak harus dilayan," katanya lagi.



* Sumber http://Suara-Keadilan.com

TIAN CHUA KEKAL AHLI PARLIMEN BATU

KUALA LUMPUR 17 JUN 2010:

Ahli Parlimen Batu, Tian Chua hari ini mengekalkan kerusinya selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengurangkan hukuman enam bulan penjara kepada denda RM2,000 atau dua bulan penjara berhubung tuduhan menganggu tugas polis dengan menggigit seorang anggotanya di luar bangunan parlimen tiga tahun lalu.

Berikut keputusan itu, Tian kekal sebagai Ahli Parlimen Batu kerana hukuman yang dijatuhkan itu tidak mempengaruhi kedudukannya sebagai anggoita Dewan Rakyat.

Pada 22 Oktober lalu, Mahkamah Majistret Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman enam bulan penjara dan denda RM3,000 ke atas Tian Chua, selepas mendapatinya bersalah.

Mahkamah bagaimanapun membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman tersebut untuk membolehkan Tian Chua membuat rayuan.

Tian Chua, 46, yang juga Pengarah Strategik KEADILAN didakwa mencederakan konstabel Rosyaidi Anuar, 21, di depan bangunan Parlimen pada jam 10.45 pagi 11 Disember 2007.

Ketika kejadian Rosyaidi bertugas dengan Bahagian Narkotik Ibu Pejabat Kontijen Polis Kuala Lumpur.


* Sumber http://Suara-Keadilan.com

ZAHRAIN PUNYA NILAI MORAL RENDAH SEBAGAI PEMIMPIN

KUALA LUMPUR 17 JUN 2010:

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mencabar Ahli Parlimen Bayan Baru supaya mengemukakan bukti sekiranya dakwaan beliau mengenai kewujudan video lucah yang kononnya dikaitkan dengan Exco Selangor, Elizabeth Wong.

Anwar membuat gesaan itu ketika ditanya media mengenai kenyataan Datuk Zahrain Mohd Hashim semalam tentang video lucah yang didakwa melibatkan Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Lanjan, Elizabeth Wong.

Anwar memberitahu perkara tersebut adalah soal peribadi seseorang dan tidak perlu mengaibkan Exco tersebut.

"Tentang soal Elizabeth itu tidak perlu kita ungkitkan, kalau ada bukti dedahkan kepada kita untuk diambil tindakan. Kes tersebut telah lama berlaku dan selama itu kita menunggu bukti tetapi sehingga sekarang tiada siapa yang dapat memberi bukti tersebut terutamanya video tersebut.

"Saya melihat tindakan Zahrain ini hanya bersifat peribadi, beliau bertanya kepada saya tentang video tersebut, saya tidak pernah lihat apa yang diperkatakannya. Zahrain ini bila masuk Umno baru melihat video luncah sepatutnya beliau yang perlu keluarkan video tersebut, apa bukti kemukakan untuk kita ambil tindakan.

"Menyerang seseorang pemimpin tanpa ada pembelaan adalah satu sikap yang tidak adil, jika kenyataan itu dikeluarkan oleh pemimpin juga ia menggambarkan nilai moral yang rendah kepada seorang pemimpin yang dipilih oleh rakyat. Saya sendiri pun tidak mahu layan dengan kenyataan yang bersifat tidak bertamadun itu dan itulah sikap seseorang bila berada di dalam kumpulan Umno," kata Anwar lagi.


* Sumber http://Suara-Keadilan.com

Wednesday, June 16, 2010

GELOMBANG KEDUA PENSWASTAAN DALAM RMK 10 ROMPAK HARTA RAKYAT

KUALA LUMPUR 15 JUN 2010:

Mantan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan Umno-Barisan Nasional akan meneruskan amalan gelombang kegilaan penswastaan pada skala lebih besar di bawah Rancangan Malaysia Ke-10 bagi memenuhi kepentingan peribadi pemimpin, kaum kerabat dan kroni mereka.

Anwar berkata alasan yang diberi adalah bagi melonjakkan pelaburan swasta namun hakikatnya penswastaan hanyalah kuda tunggangan Umno-BN untuk memperkayakan beberapa kerat pemimpin dan kaum keluarga mereka.

"Pakatan tidak menolak penswastaan kerana saya berpegang kepada teori Ibn Khaldun bahawa “businesses owned by responsible and organized merchants shall eventually surpass those owned by wealthy rulers” iaitu perniagaan yang dimiliki oleh peniaga yang tersusun pentadbirannya dan amanah akan mengatasi perniagaan yang dimiliki pemerintah yang kaya.

"Tetapi penswastaan perlulah memenuhi syarat-syarat khusus agar menguntungkan rakyat dan swasta secara adil dan saksama. Ini termasuklah pihak swasta mempunyai kelayakan dan kemampuan, ada peningkatan mendadak dari segi kecekapan dan pulangan kepada rakyat dan jaminan mutu perkhidmatan yang lebih baik.

"Penswastaan juga perlu berlandaskan kepada matlamat untuk membina keberdaya saingan dan keupayaan sektor-sektor yang sudah mampu bersaing. Keutamaan sepatutnya diberikan kepada syarikat-syarikat tempatan di dalam industri yang sudah berkembang pesat di Malaysia, contohnya perkhidmatan sokongan. Berkali-kali kita mempersoalkan tindak-tanduk kerajaan apabila berlakon berjuang untuk rakyat di kaca televisyen, tetapi di bilik-bilik mesyuarat meluluskan kontrak perhubungan awam kepada syarikat asing sehingga mencecah RM77 juta," katanya semasa sesi perbahasan RMK-10 di Dewan Rakyat semalam.

Beliau memberitahu kebelakangan ini rakyat bimbang dengan tindakan kerajaan menjual semua harta rakyat dalam tempoh paling singkat.

Sebelum ini pun memang ada projek penswastaan tetapi tidaklah pada kadar sehingga semua harta berharga rakyat dilelong dalam sekelip mata.

"Dalam masa setahun, rakyat Malaysia telah kehilangan tanah-tanah paling berharga di Singapura apabila kerajaan bersetuju mengalihkan stesen keretapi dari Tanjong Pagar ke Woodlands, sedangkan perkara ini dipertahankan sekian lama demi menjamin kepentingan rakyat. Pada 23 April 2010, negara dikejutkan apabila dua blok minyak L dan M milik Malaysia telah diserahkan kepada Brunei tanpa dibawa ke Dewan Rakyat terlebih dahulu.

"Dari segi hartanah, kerajaan mengumumkan skim pembangunan secara usahasama dengan swasta tanah-tanah bernilai negara termasuklah Kem Tentera Udara Sungai Besi yang dianggap plot hartanah paling berharga di Kuala Lumpur yang belum dikomersilkan.

"Kerajaan juga akan membangunkan tanah-tanah milik kerajaan seluas 3,000 ekar di Sungai Buloh dan plot hartanah milik kerajaan di tengah-tengah Segitiga Emas iaitu di Jalan Ampang, Jalan Stonor dan Jalan Lidcol.

"Siapa yang akan mendapat durian runtuh kali ini? Sebelum ini, langkah penswastaan hartanah sebegini menyaksikan YTL diberikan hak untuk mengambil alih dan membangunkan tanah kerajaan di Sentul tanpa melalui proses tender terbuka. Apa tidak boleh kalau kerajaan melibatkan komuniti tempatan dalam skim pembangunan semula agar rakyat berpendapatan rendah di Sentul turut mendapat manfaat, bukan sahaja YTL dan Tan Sri Francis Yeoh?

"Bagi pembangunan di Sentul, YTL mengumumkan nilai pembangunan kasar (GDV) mencecah RM7 billion yang melibatkan 7,000 unit perumahan dan komersil. Daripada jumlah 7,000 unit itu, hanya 800 unit diperuntukkan bagi perumahan mampu milik, itu pun bukan perumahan rakyat termiskin sedangkan kawasan Sentul mempunyai golongan pendapatan rendah yang besar.

"Sebab itu kita mempersoalkan tabiat bersekongkol dengan kroni ini, kerana rekod mereka dalam membela rakyat sangatlah buruk sedang mereka bersenang lenang dengan harta rakyat," tegas Ketua Pembangkang itu.

Anwar turut menyelar Model Ekonomi Baru (MEB) yang menwar-warkan membudayakan amalan tender terbuka, tetapi secara dasarnya amalan tersebut hanya menjadi percakapan sahaja.

"Walaupun Model Ekonomi baru menwar-warkan tumpuan untuk membudayakan amalan tender terbuka, dalam diam-diam YAB Perdana Menteri menganugerahkan projek pembangunan semula kem tentera udara Sungai Besi kepada konsortium yang melibatkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan Malton Berhad.

"1MDB ini terpalit dengan seorang yang bernama Jho Low yang dianggap sebagai “lelaki misteri yang membelanjakan wang besar di kelab-kelab malam di New York” seperti laporan New York Post . Malton Berhad adalah syarikat yang berkait dengan Datuk Desmond Lim.

"Adalah amat memalukan apabila Perdana Menteri menggunakan Lembaga Tabung Amanah Tentera (LTAT) untuk dijadikan sandaran di dalam konsortium itu, sedangkan jelas ia adalah perancangan melelong harta rakyat kepada kroni pada harga yang tidak berpatutan.

"Selain itu, plot hartanah di tapak Penjara Pudu, yang asalnya dimiliki oleh UDA kini telah diserahkan kepada syarikat yang berkait dengan Tan Sri Vincent Tan.

"Saya pasti senarai harta kerajaan yang akan diserahkan kepada pihak tertentu atas nama penswastaan dan menggalakkan pelaburan swasta akan menjadi lebih panjang setiap bulan. Kalau benar pun penswastaan gelombang kedua ini perlu dilaksanakan, kenapa projek-projek ini berpusing di kalangan pihak yang sama?

Anwar juga mempersoalkan komitmen kerajaan untuk melaksanakan gelombang penswastaan ini secara telus dan melalui tender terbuka seperti yang diumumkan melalui MEB.

"RMK-10 telah menyenaraikan 52 projek berimpak tinggi berharga RM62.7 billion iaitu lima kali ganda lebih mahal daripada projek yang disenaraikan di dalam RMK-9.

"Sebahagian besar dari projek ini adalah projek penswastaan termasuk konsesi pengendalian sampah baru yang akan mengambilalih pengurusan dari kerajaan tempatan, tujuh konsesi tol baru, dua loji penjana elektrik baru dan projek hartanah yang diselubungi misteri yang telah saya huraikan tadi.

"Sebelum ini pun, saya telah menyuarakan kebimbangan dan mempersoalkan kewajaran beberapa projek penswastaan yang sedang diteliti kerajaan. Salah satunya adalah projek penswastaan kepada sebuah syarikat yang bernama Web Power Sdn Bhd yang telah mendapat kontrak menyediakan sebanyak 31 buah helikopter untuk disewakan selama 30 tahun kepada Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dengan kos sewaan RM400 juta setahun. Bagi tempoh 30 tahun kos ini akan mencecah RM12 billion.

"Sebelum itu, Ketua Polis Negara sendiri pernah menulis surat bertarikh 3 November 2006 kepada mantan Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi supaya satu 'Letter of Intent' dikeluarkan kepada syarikat yang sama. Apa keistimewaannya sebuah syarikat bernama Web Power ini sehingga projek-projek besar PDRM harus dianugerahkan secara terus kepadanya?

"Sebab itu, amaran yang tegas perlu diberikan kepada kerajaan supaya semua amalan ini dihentikan secepat mungkin kerana amalan buruk sebegini di kala kerajaan melancarkan gelombang penswastaan kali kedua sudah tentu meningkatkan risiko penyelewengan yang merugikan rakyat. Kita tidak wajar lupa bahawa anggaran kerugian yang ditanggung oleh negara berpunca dari kegagalan siri penswastaan di bawah mantan Perdana Menteri ke-4 dilaporkan mencecah RM100 bilion .

"Walau bagaimana pun, kita bersyukur kerana masih ada pimpinan rakyat yang kukuh pendiriannya untuk mempertahankan hak rakyat. Saya ingin menasihatkan kroni-kroni yang ingin berbelanja besar menantikan projek hartanah di negeri-negeri Pakatan Rakyat, kerana jika ada sedikit pun proses kelulusan yang bersabit dengan kerajaan negeri, saya jamin kerajaan Pakatan Rakyat akan mempastikan kroni-kroni ini tidak akan terlepas dengan rencana mereka merompak harta rakyat," tegas Anwar.

Ketua Pembangkang menegas kerajaan negeri di bawah Pakatan Rakyat akan menggunakan sepenuhnya kuasa yang ada untuk menjaga dan mempertahankan harta rakyat.



* Sumber http://Suara-Keadilan.com

Monday, June 14, 2010

USTAZ HASSAN SHUKRI MENINGGAL DUNIA

KUALA LUMPUR 14 JUN 2010:

Bekas Timbalan Presiden PAS, Ustaz Hassan Shukri (kanan) meninggal dunia di Hospital Selayang kira-kira jam 2 petang tadi.

Beliau yang dimasukkan ke hospital Selayang pagi ini, baru sahaja pulang dari Kota Bharu jam 10.30 malam tadi selepas menyertai Muktamar PAS ke-56 di sana, lapor Harakahdaily.

Media online PAS itu memetik Puan Naznah Taha, isteri Subky Latiff, sebagai berkata Hassan telah membawa kereta yang dinaiki mereka bertiga dari Kuala Krai namun berhenti di Kuala Lipis kerana mengadu sakit dada.

Sesampai mereka di rumah jam 10.30 malam tadi, Hassan terus mengadu sakit dada tetapi hanya mengesyaki akibat dari pajeri nenas yang beliau makan malam tadi.

Selepas tidak berhenti sakit, kira-kira jam 9.00 pagi tadi, Ustaz Hassan dihantar anak beliau ke Hospital Selayang.

Selepas itu dibawa ke Unit Rawatan Jantung (CCU) dan meninggal dunia kira-kira jam 2 petang.


* Sumber http://harakahdaily.net

PAS AKAN BERBINCANG DENGAN KEADILAN & DAP ISU KERUSI PRU 13

PENGKALAN CHEPA 14 JUN 2010:

PAS mahu berbincang dengan rakan kongsi dalam Pakatan Rakyat dan setakat ini masih belum mencapai keputusan muktamad berhubung pembahagian kerusi untuk menghadapi pilihn raya umum ke-13.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata parti itu akan mengadakan perbincangan secara mendalam dan teliti dengan KEADILAN dan DAP mengenai isu pengagihan kerusi di antara parti dan juga pemilihan calon bukan Islam yang akan menggunakan logo parti.

Menjawab soalan pada sidang media selepas majlis penutup Muktamar ke-56 semalam mengenai hak mengundi ahli Dewan Himpunan Penyokong PAS pada pemilihan parti, Abdul Hadi berkata setakat ini mereka belum lagi dibenarkan untuk mengundi dan berharap pendirian ini difahami dengan baik oleh ahli DHPP.

"Ahli DHPP perlu faham kerana kita beri ruang kepada mereka peringkat demi peringkat, kerana untuk terus mencebur mestilah menerima dasar parti secara menyeluruh dan bagi bukan Islam tidaklah dipaksa melakukan amalan-amalan Islam kerana kita lebih menekan aspek politik. PAS bukan sahaja melibatkan dalam aspek politik tetapi terlibat juga dalam aspek dakwah dan pendidikan dan sudah tentu kita tidak dapat melibatkan mereka," kata beliau.

Menyentuh tentang perbezaan amalam Islam dalam PAS berbanding Umno, beliau menjelaskan amalan Islam yang di amalkan PAS jauh lebih konsisten berbanding dengan apa yang di amalkan oleh Umno.

"Contohnya dalam masalah judi dan arak, ianya tetap haram pada PAS tetapi bagi Umno yang ada lesen halal dan yang tak ada lesen haram.

"Satu lagi contoh ialah di Kelantan di mana kita bagi lesen kepada orang bukan Islam tetapi mereka tidak boleh jual kepada orang Islam, Umno tak ada peraturan tidak boleh jual kepada orang bukan Islam.

"Mengikut ajaran Islam kita tidak boleh mengganggu makan minum serta adat orang bukan Islam sejak Nabi Muhamad SAW lagi," terang Abdul Hadi.

Menurut beliau Umno merupakan sebuah parti sekular yang tidak menjadikan politik Islam sebagai agendanya tetapi menganggap Islam itu berasingan.

"Di dalam PAS sesuatu keputusan mesti mendapat kelulusan majlis syura ulamak dan kalau ia bercanggah dengan hukum Islam kita tidak akan meluluskannya," katanya.

Menurut beliau lagi muktamar kali ini telah berlangsung dengan cara yang baik dan dalam semangat persaudaraan dan seluruh kawasan telah menghantar wakil termasuk Sabah dan Sarawak.

"Mereka melibatkan diri dalam perbahasan dasar semalam dan hari ini. Syukurlah kita mendapat respons yang baik daripada perwakilan dan mereka menerima penjelasan yang dikemukakan khususnya dalam isu yang dibangkitkan. Mereka sudah matang dan ahli juga sudah faham cuma mereka perlu melaksanakannya di tempat masing-masing," kata Abdul Hadi.


* Sumber http://Suara-Keadilan.com

DS ANWAR PALING LAYAK PEMIMPIN UTAMA PAKATAN RAKYAT - TG NIK AZIZ

KOTA BHARU 14 JUN 2010:

Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata beliau menyokong penuh Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai pemimpin nombor satu Pakatan Rakyat kerana beliaulah paling layak dan sudah teruji.

“Saya tak mahu jadi orang nombor satu, walaupun ada orang yang mencadangkan saya begitu. Dari dulu lagi saya sentiasa menyebut orang paling layak ialah Anwar sebab dialah orang yang telah lalui tahap peperiksaan (ujian) fizikal dan mental.

“Kalau orang lantik saya, saya akan beri pada dia," kata Nik Aziz kepada media selepas merasmikan Simposium Persatuan Biologi Gunaan Malaysia Ke-11, di sini hari ini.

Nik Aziz juga berkata, Anwar juga telah lulus ujian dari segi moralnya apabila menghadapi segala cabaran dengan tabah dan penuh dedikasi.

Beliau ditanya apa komen beliau terhadap cadangan seorang perwakilan dalam muktamar PAS selepas kejayaan beliau memimpin PAS dan kerajaan negeri Kelantan selama 20 tahun.

Dalam saranannya, perwakilan dari Perlis Wan Khairizal Wan Hazim berkata gaya kepimpinan Nik Abdul Aziz juga diterima semua pihak dalam komponen pakatan pembangkang itu.

Sebelum ini, Datuk Zaid Ibrahim yang kini menyertai PKR mencadangkan agar Nik Aziz dilantik sebagai Pemimpin Spiritual (Spiritual Leader) Pakatan Rakyat.

Mengulas mengenai pandangan wakil Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) yang menyamakan beliau dengan pemimpin ulung India Mahatma Gandhi, Nik Abdul Aziz berkata: “Tidak mengapa, saya terima daripada segi sifat orang melihat saya.”


* Sumber http://harakahdaily.net

Saturday, June 12, 2010

TG NIK AZIZ DICADANGKAN MENJADI MURSYIDUL AM PAKATAN RAKYAT

KOTA BHARU:

Muktamar PAS kali ke-56 pagi ini hari mencadang diangkatkan kedudukan Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagai Mursyidul Am Pakatan Rakyat memandangkan kewibawaan yang ada pada dirinya.

Perwakilan Perlis berkata, Menteri Besar Kelantan itu wajar diberi kedudukan lebih tinggi bukan lagi sekadar Mursyidul Am PAS sahaja memandangkan penerimaan pelbagai parti terhadap kepemimpinannya.

Sebelum ini Tuan Guru Nik Abdul Aziz disenaraikan dalam kumpulan 500 pemimpin dunia Islam oleh sebuah majalah antarabangsa.

Perwakilan itu juga berkata, pemimpin-pemimpin PAS usah berkokok berderai derai tetapi ekor berlumuran tahi, dengan hanya menyalahkan orang lain semata-mata secara terbuka.

Sedangkan kata beliau orang PAS sudah alami pelbagai proses tarbiah dan tidak perlu dilabelkan mereka dengan macam-macam tomohan.

"Saya juga kecewa kerana pemimpin kita lambat mengeluarkan kenyataan bagi menyatakan pendirian PAS terhadap isu semasa yang berlaku, lebih malang lagi ada pula percanggahan kenyataan di kalangan pimpinan.

"Oleh itu saya cadangkan ketangkasan ini perlu ada bagi menangani isu semasa yang berlaku. "Pemimpin perlu cepat menjawab isu, jangan biarkan ahli menjadi keliru," katanya.

Perwakilan Sabah, Muhd Nasir berharap ada seorang anggota parlimen PAS bertugas secara khusus untuk membongkar isu yang berlaku di Sabah terutamanya membabitkan permasalahan pengambilan tanah-tanah rakyat dan gejala sosial.

Kata beliau hampir 30 kawasan tanah di Sabah dirampas kerajaan negeri, sedangkan tanah itu diusahakan lebih 30 tahun dan membuahkan hasilnya.

"Tetapi malangnya tiba-tiba hak rakyat itu telah dinafikan begitu sahaja oleh kerajaan negeri. Contohnya di Landau peserta yang memohon 370 peserta tetapi telah dinafikan hak mereka mengusahakan tanah sekian lama.

"Peserta berkenaan datang ke Kuala Lumpur menghantar memorandum bantahan kepada kerajaan. Kita mahu anggota-anggota parlimen PAS membela masalah itu dan dibawa ke parlimen untuk diketengahkan sebagai isu rakyat," katanya.

Beliau juga melahirkan rasa syukur kerana Ahmad Dollah dilantik sebagai wakil Sabah dalam jawatankuasa PAS Pusat.

Katanya diharap Ahmad dapat memainkan peranan dengan lebih berkesan dalam jawatankuasa berkenaan dengan membawa suara-suara daripada Sabah.


* Sumber http://harakahdaily.com

Thursday, June 10, 2010

ISU LULUS LESEN JUDI: RAKYAT MAKIN KELIRU

Terkejut pun ada apabila mendengar kenyataan PM Dato Seri Najib Tun Razak yang mengatakan lesen perjudian bolasepak sebenarnya masih tidak diluluskan oleh Kementerian Kewangan.

Bukan untuk mempertikaikan kenyataan tersebut apatah lagi kenyataan itu keluar daripada mulut seorang Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan Malaysia selaku orang yang berkuasa didalam pemberian kelulusan lesen perjudian itu.

Cuma memikirkan kekeliruan yang timbul. Rakyat Malaysia sudah pasti keliru kerana baru sahaja tiga minggu lepas di maklumkan Kementerian Kewangan telah meluluskan lesen perjudian bolasepak sempena ketibaan Piala Dunia 2010 ini.

Perkara ini disahkan sendiri oleh Timbalan Menteri Kewangan Dato Chor Chee Heung pada 12 Mei 2010 lalu apabila menyatakan kelulusan tersebut telah diberikan kepada syarikat pengendali judi bolasepak tersebut iaitu Berjaya Group menerusi syarikat Ascot Sports Sdn Bhd.

Sebab itu kenyataan DS Najib ini amat mengejutkan kita semua. Kita juga menjadi semakin keliru apabila Pengerusi Kumpulan Berjaya Tan Sri Vincent Tan sendiri mengesahkan bahawa lesen perjudian bolasepak terbaru telah diluluskan oleh pihak Kementerian Kewangan.

Kita kini keliru. Siapa yang betul siapa yang bohong? Ini bukan perkara main-main. Adakah Vincent Tan yang berbohong? Atau pun Chor Chee Heung yang berbohong? Atau Najib yang berbohong? Kita tidak tahu kini kenyataan siapa yang harus di pakai?

Adakah kenyataan terbaru DS Najib tersebut hanyalah bersifat ingin menutup kemarahan rakyat terutamanya orang Melayu Islam akibat tindakan membenarkan perjudian bolasepak beroperasi sempena Piala Dunia 2010 ini?

Kita tidak mahu kenyataan ini bersifat retorik dan sementara semata-mata dek kerana kecaman serta kemarahan rakyat. Kita mahu kerajaan lebih bertanggungjawab untuk tidak membenarkan sebarang lesen perjudian daripada beroperasi.

Sebagai sebuah negara Islam, eloklah kita mencari sumber pendapatan negara dengan cara yang betul dan di benarkan oleh syarak. Bukannya menjuruskan kepada sumber yang tidak halal menurut Islam. Di manakah keberkatan yang negara mahukan seandainya gejala ‘gila berjudi’ dijadikan sebagai tonggak ekonomi negara kita?

Adalah menjadi harapan kita agar pimpinan kerajaan negara kita terutamanya daripada pemimpin UMNO lebih bersikap bertanggungjawab terhadap agama Islam didalam membuat sesuatu perkara atau dasar.

Akhir kata, Isu lesen judi ini benar-benar merentapkan lagi keyakinan, kepercayaan dan harapan rakyat terutamanya orang Melayu Islam kepada kerajaan dibawah pimpinan UMNO / BN ini.


* Sumber http://ingeniur.blogspot.com

UMNO-BN DALANGI TARIK GELARAN

Mantan Menteri Kesihatan, Datuk Chua Jui Meng berkata keputusan pihak Istana Johor menarik balik dua anugerah yang membawa gelaran 'Datuk Seri' dan 'Datuk' didalangi oleh Umno-Barisan Nasional Johor yang gentar kepada peranannya sebagai Pengerusi 'Gerakan KEADILAN-Pakatan Rakyat Menawan Johor' pada pilihan raya umum akan datang.

Bercakap kepada Suara Keadilan, Jui Meng berkata beliau sudah mengetahui daripada sumbernya bahawa Umno berhasrat untuk berbuat demikian

"Saya yakin ini bukannya tindakan Sultan Johor. Ini adalah tindakan keji Umno-BN yang takutkan peranan saya mengetui 'taskforce' Pakatan Rakyat untuk mengambil alih kerajaan negeri Johor pada pilihan raya akan datang.

"Saya diberitahu bahawa Menteri Besar (Tan Sri Abdul Ghani Othman) memberitahu kepada beberapa rakan saya dalam Umno beliau mengertak mahu menarik balik anugerah dua 'Datuk' daripada saya. Saya percaya ini satu bentuk tekanan ke atas saya sejak saya menyertai KEADILAN dan hakikat ini tidak boleh diterima oleh Umno dan BN.

"Secara peribadi saya rasa tindakan ini agak menyedihkan saya kerana saya memang rapat dengan Almarhum Sultan Iskandar yang sentiasa mengiktiraf sumbangan saya bukan sahaja kepada negeri Johor tetapi juga negara tetapi kurang daripada setahun kemangkatan baginda perkara ini berlaku," kata Jui Meng ketika dihubungi.

Beliau yang juga Ahli Majlis Pimpinan KEADILAN Pusat berkata setakat ini beliau belum lagi menerima surat rasmi dari pihak istana.

"Saya tetap menghormati dan menerima keputusan itu dengan baik tetapi saya diberitahu bukan sahaja masyarakat Cina di Johor dan seluruh Malaysia amat marah dengan tindakan Umno-BN ini tetapi juga orang Melayu dan India. Mereka berpendapat pemimpin masyarakat Cina seperti saya dianiaya dan dipinggirkan hanya kerana berlainan fahaman politik bukannya kerana saya tidak setia kepada Sultan atau negeri Johor.

"Jika saya diberi peluang saya ingin mengadap Sultan dan meminta penjelasan dan alasan mengapa anugerah kepada saya ditarik balik.

"Walau bagaimanapun ramai orang memberitahu saya,' tidak apa Datuk, ini adalah satu cabaran yang perlu dihadapi, yang penting anda sentiasa adalah Datuk Seri dalam hati dan sanubari rakyat'," kata beliau.

Jui Meng di anugerahkan Darjah Paduka Mahkota Johor yang membawa gelaran Datuk dan kemudiannya Darjah Seri Paduka Mahkota Johor yang membawa gelaran Datuk Seri.

Bagaimana pun beliau tetap mengekalkan gelaran 'Datuk' yang diperolehi dari Pahang dan Selangor, masing-masing pada tahun 2002 dan 2003.


* Sumber http://Suara-Keadilan.com

Wednesday, June 9, 2010

KEADILAN NAFI LAPORAN MEDIA MILIK UMNO MENGENAI ROMBAKAN

KEADILAN menafikan berita yang disiarkan dalam sebuah akhbar tabloid yang dikaitkan dengan Umno bahawa parti akan membuat rombakan jawatan yang melibatkan beberapa pemimpin kanan.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Ketua Penerangan, Latheefa Koya, KEADILAN menolak laporan media yang disiarkan dalam Malay Mail bertarikh 7 Jun 2010 yang mengatakan akan berlaku rombakan besar dalam parti termasuk membabitkan jawatan Setiausaha Agung.

"KEADILAN ingin menyatakan dengan jelas tidak ada sebarang rombakan jawatan kanan dan Saifuddin Nasution Ismail tetap kekal sebagai Setiausaha Agung parti.

"Parti juga ingin menekankan bahawa ia sedang dalam proses penyediaan menghadapi pemilihan parti di mana ahli parti akan mengundi secara terus bagi memilih majlis pimpinan pusat termasuk jawatan Presiden, Timbalan Presiden dan Naib Presiden," kata Latheefa.

Latheefa juga berkata pemimpin parti sentiasa boleh dihubungi untuk mendapatkan sebarang komen atau penjelasan mengenai apa-apa perubahan di dalam parti tanpa terpaksa menggunakan sumber ketiga atau sumber yang tidak disahkan.



* Sumber http://Suara-Keadilan.com

CERAMAH PAKATAN RAKYAT DI PINDAHKAN KE STADIUM SELAYANG

GOMBAK, 8 JUN 2010:

Ceramah ‘Yahudi dan Judi’ yang melibatkan pemimpin utama Pakatan Rakyat di Kompleks Muhibah Taman Bolton, di sini, malam ini dihalang pihak keselamatan dengan alasan dibuat di tempat terbuka.

Majlis yang sepatutnya dibuat di sebuah dewan tidak dapat diadakan kerana pihak penganjur tidak mendapat kuncinya.

Ekoran itu, beberapa orang ditahan iaitu dua anggota Unit Amal, Alfian dan Damanhuri, Ketua Pemuda Selangor, Ustaz Hasbullah dan Ketua Pemuda Gombak, Ustaz Sharhan.

Mereka dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak di Selayang.

Majlis ceramah yang melibatkan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Timbalan Pengerusi DAP, Dr Tan Seng Giaw dan Datuk Mahfuz Omar dipindahkan ke Stadium Selayang.

Turut menyampaikan ceramah ialah sukarelawan misi bantuan kemanusiaan Gaza yang ditahan tentera rejim Israel iaitu Mustafa Mansor (Mapim) dan Jamuliddin Elias (Yayasan Amal) pada majlis yang dipengerusikan oleh Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad itu.

Walaupun tempat ceramah terpaksa dipindahkan pada malam ini juga dalam jarak lebih kurang 15 kilometer, namun sekitar 5,000 orang sudah berada di dalam stadium pada kira-kira jam 10.30 malam ini.



* Sumber http://harakahdaily.net

RUJUK NAJIB KEPADA JAWATANKUASA PARLIMEN KERANA BERBOHONG BERHUBUNG LESEN JUDI SUKAN

KUALA LUMPUR 8 JUN 2010:

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak harus dihadapkan ke Jawatankuasa Hak Dan Keistimewaan kerana mengelirukan Dewan Rakyat berhubung kelulusan lesen judi bola sepak yang diberikan kepada Ascot Sports Sdn Bhd.

Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua berkata kenyataan Najib yang juga Menteri Kewangan I semalam telah menyelewengkan Dewan Rakyat apabila menyatakan kerajaan masih mengkaji permintaan Berjaya Corporation Bhd berhubung lesen judi tersebut.

"Semalam, dalam jawapan berhubung lesen judi sukan, Najib menafikan telah meluluskan tetapi pada masa yang sama di dalam laman sesawang Kumpulan Berjaya telah mengumumkan bahawa kelulusan itu telah diberikan.

"Hari ini bila kita periksa pengumuman berhubung lesen judi tersebut, nampaknya rekod itu telah dipadamkan.

"Kenyataan ini mengarut kerana kerana Kementerian Kewangan sebenarnya sudah pun meluluskan lesen tersebut kerana kalau tidak kenapa Berjaya Corporation membuat pinjaman RM614 juta untuk mengendalikan operasi judi sukan ini.

"Najib sepatutnya dihadapkan ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan kerana memberikan kenyataan mengelirukan," kata beliau.

Menurutnya, Berjaya Corporation membuat pengumuman pada 12 Mei berhubung kelulusan lesen judi sukan yang menyebabkan saham syarikat tersebut melonjak naik pada hari tersebut.

Pengumuman itu menyatakan Menteri Kewangan telah memberikan kelulusan kepada Ascot Sports lesen untuk mengendalikan operasi judi sukan mengikut terma dan syarat yang telah ditetapkan.

Sementara itu Timbalan Menteri Kewangan yang baru dilantik, Senator Datuk Donald Lim ketika ditemui media di lobi parlimen berkata keputusan kerajaan tidak muktamad dan masih menunggu maklumbalas semua pihak.

Ketika diminta mengulas itu, beliau enggan menjawab kerana menurut beliau keputusan itu bukan di tangannya dan mengatakan Kementerian Kewangan akan mengadakan perbincangan lanjut isu tersebut.


* Sumber http://Suara-Keadilan.com

UMNO-BN GUNA APCO LANCAR KEMPEN ANTARABANGSA SERANG ANWAR

KUALA LUMPUR 8 JUN 2010:

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata firma komunikasi pro-Zionis, Apco Worldwide kini sedang menjalankan kempen peringkat antarabangsa secara besar-besaran untuk memburukkan imej dan peribadi beliau berikutan pendedahan mengenai hubungkait rapat syarikat tersebut dengan rejim Israel.

Anwar berkata Apco menjalankan rancangan rapi dikalangan pertubuhan Yahudi seluruh dunia dengan melabelkan beliau sebagai 'tokoh utama anti-Yahudi'.Khamis lalu pertubuhan pro-Israel tertua di dunia B'nai B'rith mengeluarkan kenyataan dengan melahirkan kebimbangan di atas kenyataan-kenyataan Anwar yang didakwa anti-Yahudi dan ancaman kepada kaum Yahudi.

Justeru itu badan tersebut menggesa kepada Pengerusi Jawatankuasa Hubungan Luar Senat Amerika Syarikat, John F Kerry, supaya mendesak Washington memutuskan semua hubungan dengan Anwar.

Sementara itu Jawatankuasa Hak dan Keistimewaan yang dipengerusikan oleh Speaker Tan Sri Pandikar Amin Mulia membuat keputusan menangguh sesi pendengaran berkaitan pendedahan Anwar mengenai kaitan konsep 1 Malaysia dengan One Israel, kedua-duanya diilhamkan oleh Apco.

"Saya telah kemukakan notis semalam supaya peguam pilihan saya ikut serta dalam prosiding jawatankuasa dan ini dibolehkan oleh peraturan mesyuarat.

"Pendengaran ditangguh untuk menetapkan samada peguam saya boleh datang duduk berbisik dan beri saya nasihat atau peguam boleh berbicara. Mengikut tafsiran saya dan peguam kami sebaik peraturan mengatakan peguam dapat bersama ini maknanya peguam boleh buat 'submission' mengatakan pandangan atau soalan. Speaker akan pertimbangkan dan akan maklumkan keputusan kemudian dan akan beri notis tapi saya belum pasti bila saya patut hadir semula," kata beliau.

Ditanya mengenai tindakan parlimen menghadap beliau ke jawatankuasa parlimen itu, Anwar berkata ia bermotifkan politik.

"Tindakan mereka (Umno-barisan Nasional) menghadapkan saya kepada jawatankuasa ini adalah bermotifkan politik semata-mata dan menunjukkan niat mereka yang jahat untuk menghalang saya bergerak dan berbicara dalam parlimen. Mereka memilih untuk menyokong Apco yang nyata tercemar imej dan pendirian mereka termasuk dalam isu penglibatan bekas perisik tentera Israel (dalam projek IT Polis DiRaja Malaysia).

"Kempen agresif yang dijalankan Apco adalah dengan tujuan saya dihalang berbicara dengan mana-mana rakan di Eropah dan Amerika Syarikat," kata Anwar pada sidang media di lobi parlimen selepas menghadiri pendengaran Jawatankuasa Hak dan Keistimewaan tengahari tadi.

Sehubungan itu Ahli Parlimen Pakatan Rakyat membantah sekeras-sekerasnya keputusan Pandikar Amin yang tidak membenarkan mereka mengikuti prosiding Jawatankuasa Hak dan Keistimewaan.

Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo berkata keputusan speaker bertentangan dengan amalan parlimen yang dinyatakan di dalam Erskine May yang digunapakai oleh negara Komanwel.

"Kami bukan hendak mengambil bahagian di dalam pendengaran itu tetapi hanya ingin menjadi pemerhati. Ini memang sudah menjadi amalan biasa di mana ahli parlimen mempunyai hak untuk menghadiri mana-mana pendengaran jawatankuasa parlimen.

"Apa yang hendak dirahsiakan, ini adalah parlimen di mana diamalkan demokrasi. Kita perlu mendengar apa yang berlaku di dalam pendengaran suoaya kita boleh terangkan kepada rakyat apa yang sebenarnya berlaku, dan perkara yang dibincangakan adalah isu yang mempunyai bukan sahaja kepentingan awam dan negara malah signifikan di peringkat antarbangsa," kata Gobind yang mewakili rakan Pakatan Rakyat pada sidang media itu

Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar berkata tindakan speaker memberi persepsi kepada rakyat bahawa beliau bersikap partisan dalam mengambil keputusan.

"Impian negara mengamalkan demokrasi berparlimen dihancurkan oleh Umn-BN dan hanya sesuatu yang kosong kerana amalan parlimen tidak diendahkan langsung," kata beliau dalam nada kesal.


* Sumber http://Suara-Keadilan.com

Tuesday, June 8, 2010

NEGARA ISLAM HARUS BERSATU HADAPI ISRAEL DAN SEKUTUNYA

Kekejaman Israel terhadap bangsa bukan Yahudi bukanlah cerita baru kerana ianya telah bermula sejak sekian lamanya. Bagi mereka bangsa Yahudi adalah bangsa yang terpilih disisi tuhan oleh itu bangsa selain daripada Yahudi adalah tidak layak untuk bersama mereka.

Serangan tentera Israel yang diketuai oleh pasukan komandonya terhadap kapal misi bantaun kemanusian ke Gaza – Mavi Marmara pada subuh 31 Mei lalu sehingga mengorbankan 9 sukarelawan dari Turki benar-benar menyerlahkan lagi sifat sombong dan angkuhnya yahudi terhadap mereka walaupun tidak bersenjata.

Didalam serangan tersebut, komando Israel telah menawan kapal ini bersama sukarelawan yang lain termasuklah 12 orang rakyat Malaysia yang menyertai misi tersebut.

Walaupun misi ini dianggap gagal dari satu aspek kerana tidak dapat mencapai objektif untuk menghantar bekalan kepada penduduk Gaza, namun begitu terdapat kejayaan lain disebaliknya.

Kejadian ini menjadikan pencetus gelombang baru kearah mengenepikan atau memulaukan terus Israel dalam lanskap dunia apabila dasar anti Islam mereka terhadap bumi Palestin sepanjang enam dekad nyata memberi kesan yang besar.

Kita juga hairan dengan sikap Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang langsung tidak berani untuk mengambil tindakan terhadap tindakan ganas Israel tersebut walaupun untuk mengeluarkan satu kenyataan kecaman rasmi daripada pertubuhan tersebut.

Walaupun jelas insiden tersebut berlaku di perairan antarabangsa, sikap membisu beberapa negara kuasa besar amatlah kita kesali. Didalam masa yang sama juga dilihat beberapa negara Islam (terutamanya negara Arab) memberi reaksi berbelah bagi untuk mengeluarkan kecaman mereka terhadap beberapa negara kuasa besar ini demi menjaga hubungan ‘baik’ kononnya seperti dengan negara Amerika Syarikat yang terang-terangan hanya mengikut sahaja telunjuk Israel didalam hal ini.

Keberanian Turki didalam memenangi insiden keganasan amatlah disanjungi. Kita mahu agar lebih banyak lagi negara-negara Islam bersikap tegas dan tidak takut untuk bangun menentang kejahatan yahudi dan Israel itu. Kita mahu kegemilangan Turki suatu ketika dahulu di era Khalifah Uthmaniyyah berulang lagi di abad ini.

Akhirnya, kita menyeru kepada negara-negara Islam (OIC) agar bersatu didalam memenangi isu keganasan yahudi ini. Sesungguhnya dengan bersatu sahajalah nyawa ummat Islam dijamin selamat dibawah naungan panji-panji Islam sebagaimana suatu ketika dahulu di era kegemilangan pemerintahan Islam.



* Sumber http://ingeniur.blogspot.com

ANWAR GESA NAJIB JANGAN TUNDUK KEPADA TEKANAN AS, ISRAEL

KUALA LUMPUR 7 JUN 2010:

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menganggap usul 15 perkara yang dibentangkan Perdana Menteri hari ini bagi mengutuk serangan kejam tentera Rejim Zionis Israel ke atas konvoi kapal 'Freedom Flotilla' yang membawa bantuan kemanusiaan ke Semenanjung Gaza tidak mempunyai kesungguhan dan tekad menunjukkan Malaysia serius dalam isu antarabangsa tersebut.

Usul khas itu kata Anwar menunjukkan sikap sebenar kerajaan terhadap dalam kejadian yang meragut 9 nyawa aktivis dan lebih 30 mangsa yang cedera.

Anwar Ibrahim berkata usul itu perlu ditambah bagi menunjukkan Malaysia benar-benar prihatin kepada apa yang berlaku.

"Usul yang dikatakan oleh Najib nampak kesungguhannya tetapi ia perlu ditambah agar menampakkan lagi ketegasan kita dalam hal sedemikian. Apa yang ingin saya katakan Najib mengusul agar Israel dirujuk kepada Mahkamah Jenayah Antarabangsa disebabkan sebelum ini belum ada negara yang mengusulkannya, maka Najib mengarah Turki mengemukakan usul tersebut agar Israel diadili.

"Saya ingin membuat penambahan agar Najib dan kerajaan Malaysia bekerjasama dengan Kerajaan Turki dalam mengemukan usul membawa Israel kemuka keadilan, dengan sikap ini dapat menunjukkan kita bertegas dan tidak boleh berkompromi dengan kezaliman Israel.

"Keengganan masyarakat antarabangsa menerima keputusan rakyat Palestin yang membuat pilihan secara demokrasi yang memilih Hamas sebagai kerajaan mereka menyebabkan kesempatan ini digunakan oleh Israel untuk turut tidak mengiktiran Hamas. Amerika Syarikat juga mengambil tindakan membatalkan kemenangan Hamas itu kerana sikap mereka yang bersekutu dengan peperintahan Israel.

"Saya menyeru agar Perdana Menteri mengkaji semula agar Malaysia tidak tunduk kepada kuasa Amerika dan Israel dan mengiktiraf apa yang dilakukan oleh rakyat Palestin adalah pilihan mereka melalui proses demokrasi. Usaha menafikan suara Hamas dan mengikut suara Amerika akan meletakkan Malaysia sebagai sebuah negara yang bacul, penakut dan bukan negara yang merdeka.

"Tekanan terhadap Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dalam mengeluarkan ketetapan dilihat sangat lemah, Malaysia perlu tahu kenapa PBB gagal mengeluarkan ketetapan tersebut, ini disebabkan oleh tekanan yang diberikan oleh Amerika.

"Sebab apa kita mahu Malaysia tegas dalam hal tersebut dan jangan tunduk kepada kuasa Amerika kerana Israel menjadi kuat dan angkuh disebabkan oleh kuasa Amerika dibelakang mereka," bahasnya.

Anwar memberitahu jika usul yang tegas dilakukan oleh Perdana Menteri akan menunjukkan Malaysia sebagai sebuah negara yang merdeka tidak akan berdiam diri dalam soal keganasaan terhadap serangan kapal bantuan kemanusiaan dan juga penduduk Palestin mahupun Gaza, selain tidak akan tunduk dengan suara kuasa besar dunia seperti Amerika.

Sebelum itu Najib telah mengemukakan Usul Khas terhadap kekejaman Israel dengan mengambil beberapa ketetapan :

1. Mengutuk sekeras-kerasnya serangan tentera rejim Zionis di bawah kerajaan pimpinan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu ke atas kapal misi bantuan kemanusiaan ke Gaza yang telah mengakibatkan kehilangan banyak nyawa dan kecederaan kepada orang awam.

2. Merakamkan rasa kecewa tidak terhingga tindakan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di atas kenyataan yang begitu lemah terhadap serangan ganas Rejim Zionis ke atas kapal misi bantuan tersebut.

3. Memutuskan untuk mendesak Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu supaya mencela Israel dan bukannya semata-mata membuat kenyataan yang lemah.

4. Memutuskan bagi Malaysia untuk bekerjasama dengan negara-negara Anggota Pertubuhan Persidangan Islam (OIC), Pergerakkan Negara-negara Berkecuali (NAM), Liga Arab dan negara-negara sependapat untuk mendukung prinsip undang-undang antarabangsa termasuk undang-undang hak asasi manusia, undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dalam menangani krisis kemanusiaan di Gaza.

5. Mengesa negara-negara sependapat untuk mengemukakan usul kepada Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi merujuk situasi akibat serangan tentera rejim Zionis Israel ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).

6. Mengesa negara-negara sependapat untuk mengemukakan usul kepada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi mendapatkan Advisory Opinion Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).

7. Memohon supaya negara Turki mempertimbangkan untuk mengambil tindakan di bawah peruntukan Statut Rome, Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).

8. Menyeru supaya satu siasatan bebas yang penuh dibuat terhadap serangan Tentera rejim Zionis dan bukannya setakat siasatan yang tidak berpihak.

9. Menyokong sepenuhnya desakan masyarakat antarabangsa terutamanya Majlis Hak Asasi Manusia melalui Resolusi yang telah diterima pada 2 Jun 2010, supaya siasatan yang berakauntabiliti dan bebas sepenuhnya dibuat mengenai serangan ini.

10.Menuntut Israel supaya tidak menghalang sebarang konvoi bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin, khususnya di Gaza, selaras dengan Resolusi 1860 Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

11.Mengalu-alukan tindakan negara Mesir membuka sempadan Rafah tanpa syarat bagi memastikan bantuan kemanusiaan dapat disalurkan tanpa sebarang halangan.

12.Merayu kepada masyarakat antarabangsa supaya terus menghulurkan bantuan kemanusiaan kepada penduduk Wilayah Palestin di Gaza tanpa menghiraukan dan gentar kepada ancaman rejim Zionis.

13.Merakamkan penghargaan kepada negara-negara Jordan, Turki, Ireland, filipina dan juga negara-negara lain yang terlibat dalam usaha-usaha membebaskan rakyat malaysia yang ditahan oleh rejim Zionis.

14.Menyeru rakyat Palestin supaya bersatu dengan tujuan mempertahankan hak mutlak mereka bagi menubuhkan negara Palestin yang bebas, merdeka dan berdaulat.

15.Menzahirkan sokongan padu rakyat Malaysia kepada perjuangan rakyat Palestin ke arah pembentukan negara yang bebas, merdeka dan berdaulat.


* Sumber http://Suara-Keadilan.com

PEMUDA UMNO MAHU KUMPUL PENYOKONG BERDEMONSTRASI DI BUKIT JALIL

SHAH ALAM 7 JUN 2010:

Pemuda Umno mahu mengupah lebih 15,000 penyokong Barisan Nasional untuk menunjukkan kemarahan mereka terhadap keganasan rejim Zionis Israel yang menyerang dan menawan kapal misi kemanusiaan MV Marmara ke Semenanjung Gaza minggu lalu.

Ini berikutan insiden yang memalukan apabila rakyat Malaysia memulau demonstrasi anti-Zionis Israel anjuran Pemuda Umno dengan hanya kehadiran kira-kira 200 penyokong di Masjid Negara Jumaat lalu.

Lantas Pemuda Umno dikatakan bercadang mengadakan demonstasi secara tertutup di Stadium Bukit Jalil pada 12 Jun depan untuk menunjukkan kepada rakyat mereka juga mampu menandingi sokongan padu rakyat yang diberikan kepada demonstrasi Pakatan Rakyat bersama badan bukan rakyat dari Masjid Jamek Kampung Baru ke Kedutaan Amerika Syarikat Jumaat lalu.

Lebih 20,000 penyokong Pakatan Rakyat berarak ke Kedutaan Amerika Syarikat selepas solat Jumaat dengan penyerahan memorandum kepada Presiden Barack Obama oleh Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim

Kerajaan Umno-BN dikritik hebat kerana lembab menyatakan bantahan terhadap kekejaman rejim Zionis Israel ke atas aktivis kempen kemanusiaan 'Lifeline For Gaza' yang membawa bantuan kepada penduduk Semenanjung Gaza.

Hanya setelah 48 jam berlalu barulah kenyataan rasmi pertama kerajaan dikeluarkan berhubung insiden serangan tersebut yang lantas mengaitkan kegagalan tersebut kepada unsur pengaruh firma komunikasi pro Zionis, Apco Worldwide yang diupah oleh Umno-BN.


* Sumber http://Suara-Keadilan.com

PSM MAHU KERJASAMA ERAT DENGAN PAKATAN RAKYAT

KUALA LUMPUR 7 JUN 2010:

Parti Sosialis Malaysia (PSM) bersetuju untuk mengeratkan kerjasama dengan Pakatan Rakyat untuk merealisasikan impian menawan Putrajaya pada pilihan raya umum ke-13 nanti.

Pendirian ini merupapak antara 18 resolusi yang telah diluluskan dan disokong sebulat suara oleh 250 perwakilan dan pemerhati dalam Kongres ke-12 yang diadakan pada 4 hingga 6 Jun lalu di Dewan Perhimpunan Cina Selangor (KLSCAH).

Antara usul penting dan disokong dengan majoriti besar perwakilan adalah, PSM menegaskan bahawa Barisan Nasional adalah musuh utama yang telah mencabul hak, demokrasi dan kesejahteraan rakyat Malaysia untuk 53 tahun.

Kongres turut membentang tiga kertas kerja mengenai konsep 1Malaysia dan Model Ekonomi Baru, isu transisi kepimpinan dalam PSM dan isu krisis cuaca dunia dan usaha untuk menyelamatkan alam sekitar.

"PSM tidak menolak kerjasama dengan Pakatan Rakyat dan kumpulan-kumpulan progresif lain untuk menamatkan pemerintahan BN. PSM juga terbuka untuk penggunaan logo bersama dan manifesto bersama untuk pilihan raya akan datang," kata Setiausaha Agungnya, S Arutchelvam.

Arutchlevam dalam kenyataan medianya memaklumkan antara usul penting yang dibahaskan adalah mengenai penggubalan Akta Gaji Minima dan peranan Bank Negara lebih agar aktif dalam menyelesaikan masalah rakyat dalam krisis ekonomi.

PSM menuntut pemansuhkan akta-akta zalim ataupun menyekat kebebasan rakyat seperti ISA, AUKU, OSA, PPPA dan sebagainya. PSM menuntut supaya kerajaan menggubal Akta Kebebasan Maklumat dan Akta Kebebasan Media.

Selain itu, PSM menentang segala cubaan serangan neo-liberal daripada pihak pemerintah yang mengurangkan perbelanjaan sosial dan memindahkan beban kewangan kepada rakyat miskin. PSM mencadangkan penghentian subsidi ke atas keperluan asas dikekalkan dan membatalkan rancangan untuk kenaikan harga minyak, manakala sumber minyak dan gas di Malaysia dimiliknegarakan.

"Kerajaan juga didesak untuk menghapuskan tol dan kami bantah sekeras-kerasnya penswastaan perkhidmatan awam seperti air , kesihatan dan sebagainya. PSM juga menuntut pendidikan percuma untuk semua sehingga ke peringkat universiti dan perumahan selesa untuk rakyat," kata Arulselvam dalam kenyataan tersebut.

Kerajaan diminta mengambil tindakan konkrit untuk melindungi alam sekitar termasuk menghentikan semua projek yang membinasakan alam sekitar dan menghentikan rancangan pembinaan reaktor nuklear.

Selain itu kerajaan dituntut untuk mengalihkan bahan buangan radioaktif dari negeri Perak yang mengancam alam sekitar dan kesihatan rakyat dan menyokong perjuangan penduduk Bukit Koman dalam menghentikan keracunan cyanide oleh lombong emas

PSM membantah pemberian lesen judi bola yang memberi kesempatan kepada kapitalis dan kroni untuk menipu wang rakyat.

Kerajaan dituntut untuk bersih, telus dan demokratik dalam pentadbiran dan PSM membantah sekeras-kerasnya kuasa polis yang menembak mati rakyat biasa.

PSM mengutuk pihak yang menghalang perhimpunan aman rakyat. Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) dan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) dijadikan badan yang bebas daripada campurtangan politik.

Kerajaan dituntut untuk menghapuskan amalan rasuah, kronisme dan nepotisme di semua peringkat, sama ada Persekutuan, Negeri, dan kerajaan tempatan dan menuntut kerajaan negeri termasuk kerajaan Pakatan Rakyat dan mengadakan Pilihanraya Kerajaan Tempatan dan menuntut undang-undang yang menghalang wakil rakyat daripada melompat parti sesuka hati.

PSM mempunyai satu kerusi parlimen dan satu kerusi dewan undangan negeri yang dimenangi atas tiket KEADILAN pada PRU 2008.


* Sumber http://Suara-Keadilan.com

Monday, June 7, 2010

KUMPULAN BERJAYA DIDAKWA BAYAR RM250 JUTA SETAHUN UNTUK LESEN JUDI

KUALA LUMPUR 6 JUN 2010:

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad mendedahkan bahawa Kumpulan Berjaya membayar sebanyak RM250 juta setahun bagi mendapatkan lesen judi.

Beliau berkata demikian di pelancaran Program Kempen Membantah Judi Sukan di hadapan pusat membeli-belah Sogo, Jalan Tuanku Abdul Rahman yang dilancarkan oleh Gerakan Rakyat Membantah Judi (GMJ) semalam.

"Barisan Nasional kini dalam keadaan terdesak dan kewangan negara tidak seperti mana yang digambarkan.

Oleh kerana mereka ini hendakkan duit, jadi terpaksalah memberi lesen judi, kerana wang akan diperolehi dari lesen tersebut," kata Khalid.

Beliau kecewa dengan keputusan mendadak dan mengejut kerajaan kerana tidak pernah membahaskan perkara tersebut di parlimen.

Tindakan tersebut katanya seolah-olah menggadaikan kepentingan rakyat yang kini menghadapi masalah ekonomi yang serius.

"Najib berasa terhutang budi dengan Berjaya kerana mereka memberikan sokongan kepada BN semenjak sebelas pilihan raya kecil yang lepas. Jadi sebagai ganjaran dan 'membalas jasa' Berjaya, kerajaan BN meluluskan permohonan lesen judi kepada mereka," kata Khalid lagi.

Beliau mendedahkan bahawa bukan Pakatan Rakyat sahaja yang menentang kelulusan lesen tersebut, malah parti komponen BN seperti MCA dan Gerakan turut menentang kelulusan lesen judi tersebut.

Beliau menyelar pemimpin Umno yang menyokong kelulusan lesen judi tersebut dan menganggap ia sebagai menegakkan benang yang basah.

Tindakan tersebut amat memalukan masyarakat Melayu dan orang Islam.

"Ramai orang menganggap bahawa judi adalah budaya masyarakat Cina, tetapi parti DAP turut menentang.

Yang mahu ia diluluskan hanyalah Umno-BN. Masyarakat yang telah terjebak dengan hutang, janganlah kita cari penyakit," katanya.

Beliau memjelaskan bahawa masalah hutang kepada Along adalah disebabkan kesempitan wang yang turut berpunca sikap dan amalan berjudi.

"Kita akan terus menyokong pihak-pihak yang berusaha untuk menghalang kelulusan lesen judi ini. Kita akan terus berkempen supaya orang ramai sedar bahawa amalan berjudi ini tidak mendatangkan manfaat," jelas beliau.



*Sumber http://Suara-Keadilan.com

PRK SIBU SUNTIK SEMANGAT RAKYAT SABAH BUAH PERUBAHAN

KOTA KINABALU 6 JUN 2010:

Pengerusi Majlis Pimpinan KEADILAN Negeri Sabah, Ahmad Thamrin Jaini menganggap kejayaan tidak diduga Pakatan Rakyat dalam pilihan raya kecil Sibu 16 Mei lalu harus di jadikan satu anjakan semangat kepada rakyat Sabah untuk melakukan perubahan pentadbiran kerajaan negeri pada pilihan raya umum nanti.

"Sabah sejak dari dahulu berani melakukan perubahan dengan menukar kerajaan beberapa kali dan kita berharap pada PRU-13 nanti, rakyat Sabah juga tidak lagi teragak-agak untuk melakarkan kembali sejarah penukaran kerajaan.

"Anda jangan dengar suara daripada parti-parti serpihan yang ada dinegeri Sabah ini yang selalu mengatakan mereka adalah parti tempatan, jika parti serpihan itu menang pun satu dua kerusi mereka tidak boleh merubah apa-apa walau pun mereka menang di Sabah ini.

"Mereka juga tidak dapat berbuat apa-apa selain ikut langkah PBS menyertai Barisan Nasional dan rakyat seperti lagu 'tipah tertipu lagi'," gurau Ahmad Thamrin pada majlis makan malam anjuran KEADILAN Cabang Putatan Jumaat lalu.

Majlis itu turut dihadiri Ahli Parlimen Pantai Dalam, Nurul Izzah Anwar, Ahli Dewan Undangan Seri Setia, Nik Nazmi Nik Ahmad serta Naib Presiden KEADILAN Datuk Dr Jeffrey Kitingan.

"Rakyat Sabah sudah puas di peralatkan dan mahukan suatu perubahan di mana kebajikan rakyat diberikan keutamaan dan bukannya kepentingan dan kepuasan diri pemimpin itu sendiri seperti yang berlaku kepada pemimpin Umno-BN.

"Kita tolak kerajaan Umno-BN dalam PRU-13 nanti dan kita bersatu memberikan mandat kepada Pakatan Rakyat. Kalau rakyat mahu berubah, kita ubah dari bawah sampai kepuncaknya. Rakyat Sabah tidak mahu merubah alang-alang, rakyat Sabah mahu merubah hingga ke Putrajaya," tegas Ahmad Thamrin penuh semangat.

Sementara itu Dr Jeffrey menyatakan lawatan dua pemimpin KEADILAN muda dari Semenanjung itu mampu merapatkan tali persaudaraan antara KEADILAN Sabah dan Pusat.

Dr Jeffrey menyatakan hanya KEADILAN dan Pakatan Rakyat sahaja yang mampu menyelesaikan tuntutan 20 perkara yang selama ini menjadi impian rakyat Sabah.

Beliau juga menyatakan bahawa selama ini Umno-BN sering memperalatkan rakyat Sabah kerana bagi mereka rakyat Sabah senang ‘di beli’.

"Rakyat Sabah tidak cerewet, hanya dengan huluran RM100, RM200 di akhir musim kempen pilihan raya maka sudah pasti undi rakyat Sabah akan terarah kepada Barisan Nasional.

"Begitu murahnya harga undi rakyat Sabah di mata pandangan Umno-BN dan kerana itulah mereka menggelarkan rakyat Sabah dan Sarawak sebagai 'fixed deposit' bagai kerajaan Umno-BN. Maka kerana itulah rakyat Sabah harus bangkit dan sedar bahawa janganlah selamanya mahu diri di peralatkan oleh Umno-BN.

"Rakyat mesti belajar daripada kesilapan yang sudah dan jangan ulangi kesilapan itu lagi. Marilah kita bersatu dalam Pakatan Rakyat, setiap rakyat jika tidak mahu fikiran mereka dijajah oleh Umno-BN kita bersatu menolaknya.

"Rakyat harus sedar Umno-BN gunakan taktik British "divide and rule", jika rakyat berpecah belah maka senanglah Umno-BN menjajah fikiran rakyat dengan mengikut fahaman mereka dan Sabah dan Sarawak tentunya benar menjadi 'fixed deposit' mereka," tegas Dr Jeffrey.



*Sumber http://Suara-Keadilan.com

Friday, June 4, 2010

SOLAT HAJAT PERDANA DAN PIDATO KHAS GAZA

SHAH ALAM 4 JUN 2010:

Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Selangor bersama Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) malam tadi menganjurkan Solat Hajat Perdana dan Pidato Khas Gaza bagi menyatakan pendirian tegas terhadap tindakan kejam Zionis Israel yang menyerang kapal MV Marmara yang membawa bantuan kemanusiaan ke Semenanjung Gaza Isnin lalu.

Program yang diadakan di Stadium Malawati, Shah Alam dihadiri lebih 5,000 orang yang hadir memberi sokongan terhadap bantahan ke atas sikap Zionis Israel.

Sebelum Solat Hajat yang diimamkan oleh Mohd Shukri Ali, tazkirah dan zikir tentang keganasan Israel telah disempurnakan oleh Guru Agama Sekolah Pondok dari Sungai Petani, Osman Ibrahim yang memberi kesedaran mengenai kekejaman Israel.

Program khas ini juga turut di sertai Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim dan juga exco kerajaan negeri bersama pemimpin Pakatan daripada KEADILAN, PAS dan DAP serta badan bukan kerajaan (NGO).

Program yang diadakan ini bertujuan menyuntik semangat jihad dalam jiwa seluruh rakyat Malaysia, khususnya di Selangor dalam usaha menentang kezaliman Israel dan juga sikap yang tidak berperikemanusiaan rejim Zionis itu terhadap rakyat Palestin.


* Sumber http://Suara-Keadilan.com