KUALA LUMPUR 7 JUN 2010:
Parti Sosialis Malaysia (PSM) bersetuju untuk mengeratkan kerjasama dengan Pakatan Rakyat untuk merealisasikan impian menawan Putrajaya pada pilihan raya umum ke-13 nanti.
Pendirian ini merupapak antara 18 resolusi yang telah diluluskan dan disokong sebulat suara oleh 250 perwakilan dan pemerhati dalam Kongres ke-12 yang diadakan pada 4 hingga 6 Jun lalu di Dewan Perhimpunan Cina Selangor (KLSCAH).
Antara usul penting dan disokong dengan majoriti besar perwakilan adalah, PSM menegaskan bahawa Barisan Nasional adalah musuh utama yang telah mencabul hak, demokrasi dan kesejahteraan rakyat Malaysia untuk 53 tahun.
Kongres turut membentang tiga kertas kerja mengenai konsep 1Malaysia dan Model Ekonomi Baru, isu transisi kepimpinan dalam PSM dan isu krisis cuaca dunia dan usaha untuk menyelamatkan alam sekitar.
"PSM tidak menolak kerjasama dengan Pakatan Rakyat dan kumpulan-kumpulan progresif lain untuk menamatkan pemerintahan BN. PSM juga terbuka untuk penggunaan logo bersama dan manifesto bersama untuk pilihan raya akan datang," kata Setiausaha Agungnya, S Arutchelvam.
Arutchlevam dalam kenyataan medianya memaklumkan antara usul penting yang dibahaskan adalah mengenai penggubalan Akta Gaji Minima dan peranan Bank Negara lebih agar aktif dalam menyelesaikan masalah rakyat dalam krisis ekonomi.
PSM menuntut pemansuhkan akta-akta zalim ataupun menyekat kebebasan rakyat seperti ISA, AUKU, OSA, PPPA dan sebagainya. PSM menuntut supaya kerajaan menggubal Akta Kebebasan Maklumat dan Akta Kebebasan Media.
Selain itu, PSM menentang segala cubaan serangan neo-liberal daripada pihak pemerintah yang mengurangkan perbelanjaan sosial dan memindahkan beban kewangan kepada rakyat miskin. PSM mencadangkan penghentian subsidi ke atas keperluan asas dikekalkan dan membatalkan rancangan untuk kenaikan harga minyak, manakala sumber minyak dan gas di Malaysia dimiliknegarakan.
"Kerajaan juga didesak untuk menghapuskan tol dan kami bantah sekeras-kerasnya penswastaan perkhidmatan awam seperti air , kesihatan dan sebagainya. PSM juga menuntut pendidikan percuma untuk semua sehingga ke peringkat universiti dan perumahan selesa untuk rakyat," kata Arulselvam dalam kenyataan tersebut.
Kerajaan diminta mengambil tindakan konkrit untuk melindungi alam sekitar termasuk menghentikan semua projek yang membinasakan alam sekitar dan menghentikan rancangan pembinaan reaktor nuklear.
Selain itu kerajaan dituntut untuk mengalihkan bahan buangan radioaktif dari negeri Perak yang mengancam alam sekitar dan kesihatan rakyat dan menyokong perjuangan penduduk Bukit Koman dalam menghentikan keracunan cyanide oleh lombong emas
PSM membantah pemberian lesen judi bola yang memberi kesempatan kepada kapitalis dan kroni untuk menipu wang rakyat.
Kerajaan dituntut untuk bersih, telus dan demokratik dalam pentadbiran dan PSM membantah sekeras-kerasnya kuasa polis yang menembak mati rakyat biasa.
PSM mengutuk pihak yang menghalang perhimpunan aman rakyat. Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) dan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) dijadikan badan yang bebas daripada campurtangan politik.
Kerajaan dituntut untuk menghapuskan amalan rasuah, kronisme dan nepotisme di semua peringkat, sama ada Persekutuan, Negeri, dan kerajaan tempatan dan menuntut kerajaan negeri termasuk kerajaan Pakatan Rakyat dan mengadakan Pilihanraya Kerajaan Tempatan dan menuntut undang-undang yang menghalang wakil rakyat daripada melompat parti sesuka hati.
PSM mempunyai satu kerusi parlimen dan satu kerusi dewan undangan negeri yang dimenangi atas tiket KEADILAN pada PRU 2008.
* Sumber http://Suara-Keadilan.com
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment