Monday, June 7, 2010

PRK SIBU SUNTIK SEMANGAT RAKYAT SABAH BUAH PERUBAHAN

KOTA KINABALU 6 JUN 2010:

Pengerusi Majlis Pimpinan KEADILAN Negeri Sabah, Ahmad Thamrin Jaini menganggap kejayaan tidak diduga Pakatan Rakyat dalam pilihan raya kecil Sibu 16 Mei lalu harus di jadikan satu anjakan semangat kepada rakyat Sabah untuk melakukan perubahan pentadbiran kerajaan negeri pada pilihan raya umum nanti.

"Sabah sejak dari dahulu berani melakukan perubahan dengan menukar kerajaan beberapa kali dan kita berharap pada PRU-13 nanti, rakyat Sabah juga tidak lagi teragak-agak untuk melakarkan kembali sejarah penukaran kerajaan.

"Anda jangan dengar suara daripada parti-parti serpihan yang ada dinegeri Sabah ini yang selalu mengatakan mereka adalah parti tempatan, jika parti serpihan itu menang pun satu dua kerusi mereka tidak boleh merubah apa-apa walau pun mereka menang di Sabah ini.

"Mereka juga tidak dapat berbuat apa-apa selain ikut langkah PBS menyertai Barisan Nasional dan rakyat seperti lagu 'tipah tertipu lagi'," gurau Ahmad Thamrin pada majlis makan malam anjuran KEADILAN Cabang Putatan Jumaat lalu.

Majlis itu turut dihadiri Ahli Parlimen Pantai Dalam, Nurul Izzah Anwar, Ahli Dewan Undangan Seri Setia, Nik Nazmi Nik Ahmad serta Naib Presiden KEADILAN Datuk Dr Jeffrey Kitingan.

"Rakyat Sabah sudah puas di peralatkan dan mahukan suatu perubahan di mana kebajikan rakyat diberikan keutamaan dan bukannya kepentingan dan kepuasan diri pemimpin itu sendiri seperti yang berlaku kepada pemimpin Umno-BN.

"Kita tolak kerajaan Umno-BN dalam PRU-13 nanti dan kita bersatu memberikan mandat kepada Pakatan Rakyat. Kalau rakyat mahu berubah, kita ubah dari bawah sampai kepuncaknya. Rakyat Sabah tidak mahu merubah alang-alang, rakyat Sabah mahu merubah hingga ke Putrajaya," tegas Ahmad Thamrin penuh semangat.

Sementara itu Dr Jeffrey menyatakan lawatan dua pemimpin KEADILAN muda dari Semenanjung itu mampu merapatkan tali persaudaraan antara KEADILAN Sabah dan Pusat.

Dr Jeffrey menyatakan hanya KEADILAN dan Pakatan Rakyat sahaja yang mampu menyelesaikan tuntutan 20 perkara yang selama ini menjadi impian rakyat Sabah.

Beliau juga menyatakan bahawa selama ini Umno-BN sering memperalatkan rakyat Sabah kerana bagi mereka rakyat Sabah senang ‘di beli’.

"Rakyat Sabah tidak cerewet, hanya dengan huluran RM100, RM200 di akhir musim kempen pilihan raya maka sudah pasti undi rakyat Sabah akan terarah kepada Barisan Nasional.

"Begitu murahnya harga undi rakyat Sabah di mata pandangan Umno-BN dan kerana itulah mereka menggelarkan rakyat Sabah dan Sarawak sebagai 'fixed deposit' bagai kerajaan Umno-BN. Maka kerana itulah rakyat Sabah harus bangkit dan sedar bahawa janganlah selamanya mahu diri di peralatkan oleh Umno-BN.

"Rakyat mesti belajar daripada kesilapan yang sudah dan jangan ulangi kesilapan itu lagi. Marilah kita bersatu dalam Pakatan Rakyat, setiap rakyat jika tidak mahu fikiran mereka dijajah oleh Umno-BN kita bersatu menolaknya.

"Rakyat harus sedar Umno-BN gunakan taktik British "divide and rule", jika rakyat berpecah belah maka senanglah Umno-BN menjajah fikiran rakyat dengan mengikut fahaman mereka dan Sabah dan Sarawak tentunya benar menjadi 'fixed deposit' mereka," tegas Dr Jeffrey.



*Sumber http://Suara-Keadilan.com

No comments: