Monday, June 28, 2010

AZMIN GANTI KHALID SEBAGAI PENGERUSI MPN SELANGOR, ZAID TERAJUI WILAYAH PERSEKUTUAN

SHAH ALAM 27 JUN 2010:

Mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN yang berakhir petang tadi mengumumkan rombakan barisan pimpinan parti yang membabit beberapa pimpinan di peringkat negeri termasuk Naib Presiden, Azmin Ali yang kini dilantik sebagai Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri Selangor menggantikan Tan Sri Khalid Ibrahim.

Tempat Azmin di ganti oleh Ahli Majlis Pimpinan Pusat, Datuk Zaid Ibrahim yang dilantik sebagai Pengerusi Majlis Pimpinan Wilayah Persekutuan yang baru.

Seorang lagi Ahli Majlis Pimpinan Pusat, Dr Badrulamin Bahron dilantik menjadi Pengarah Penerangan di Pejabat Menteri Besar Selangor.

Semasa mengumumkan perubahan pada barisan pimpinan Selangor dan Wiyajah Persekutuan, Presiden, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata rombakan ini dibuat bagi memberi ruang kepada Abdul Khalid menumpukan perhatiannya kepada pembangunan Selangor

"Tan Sri Khalid sendiri memohon perubahan ini dibuat suoaya beliau boleh menumpukan perhatian dan tenaganya untuk disalurkan dalam pentadbiran Selangor," kata Dr Wan Azizah.

Sementara itu Ketua Umum, Datuk Seri Anwar Ibrahim pula berkata perubahan yang dibuat adalah bagi mengukuh serta memantapkan struktur organisasi dan pentadbiran parti menjelang PRU-13.

"Rombakan terbaru ini adalah bagi melicinkan pentadbiran kerajaan negeri Selangor dan memantapkan persediaan parti bagi menghadapi pilihan raya umum ke-13 kelak," kata Anwar yang mempengerusikan mesyuarat MPP setelah berakhirnya program pemukiman KEADILAN petang tadi.

Program Temu Rapat dan Bengkel Jawatankuasa Pilihan Raya Pusat sepanjang dua hari yang berakhir dengan Mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN dipengerusikan oleh Anwar.

Dalam sidang media, Anwar berkata perubahan seperti ini akan berlaku dari semasa ke semasa, secara berperingkat dan akan melibatkan keseluruhan kepimpinan di peringkat negeri dan cabang.

Sehubungan itu Abdul Khalid berkata Setiausaha Politik Menteri Besar yang baru, Faekah Husin akan mengangkat sumpah pada hari Selasa depan manakala dua pegawai khas akan dilantik bagi membantu Dr Badrulamin.


*Sumber http://Suara-Keadilan.com

No comments: