Tuesday, November 24, 2009

KENAPA PERLU SISTEM DUA PARTI?

Perbincangan mengenai sistem dua parti dibincangkan dengan penuh minat oleh sejumlah pemimpin parti-parti pembangkang kebelakangan ini, dengan perbincangan terarah kepada sikap menyokong gagasan ini.

Sistem dua parti dilihat sebagai keperluan kepada pakatan pembangkang untuk menewaskan Barisan Nasional dalam pilihan raya, membolehkan kerajaan baharu di peringkat pusat dibentuk oleh Pakatan Rakyat.

Pada tahap tertentu, perbincangan juga kelihatan seperti mengemukakan satu pilihan yang mudah, dan kelihatan seperti gagasan itu sebagai satu keperluan semasa yang perlu diterima.

Sistem dua parti bukanlah sesuatu yang boleh dipilih untuk dilaksanakan, tetapi sesuatu yang berlaku hasil proses politik melibatkan partisipasi ramai untuk satu tempoh yang panjang.

Apa yang dilihat menjadi hasrat pihak yang membawa gagasan ini ialah mewujudkan satu pakatan selain BN yang bersatu lebih daripada sekadar percaturan pilihan raya. Dilihat pada permukaannya, ini memang satu pilihan yang wajar untuk berdepan BN dalam pilihan raya.

Parti yang dimaksudkan dalam sistem dua parti ialah parti politik, seperti Parti Republikan dan Demokratik di Amerika Syarikat dan Konservatif dan Buruh di Inggeris. Di Malaysia, tidak ada dua parti mendapat undi yang cukup untuk menubuhkan kerajaan melainkan perlu bergabung dalam koalisi seperti BN dan PR.

Di Malaysia, sistem dua pakatan parti-parti politik boleh berlaku sekiranya PR menjadi sebuah parti atau gabungan yang lebih kohesif, bermakna ideologi semua parti dalam PR sehaluan.

Hasilnya, rakyat akan hanya mempunyai dua pilihan iaitu BN dan PR untuk dipilih dalam pilihan raya.

Dalam sebuah demokrasi, rakyat perlu diberi lebih pilihan daripada sekadar dua gabungan parti, yang biasanya dalam spektrum ideologi kedua-duanya berada di kedudukan hampir kepada titik tengah sebagai keperluan untuk mendapat sokongan yang paling banyak.

Malaysia menyaksikan satu kes yang unik apabila parti liberal dan parti berasaskan agama berada dalam satu gabungan, dan disertai juga oleh tokoh-tokoh berhaluan kiri, walaupun dasar-dasar semua pihak dalam pakatan ini jauh berbeza.

PR boleh bergerak sebagai satu dengan berkesan dalam pembahagian kawasan pilihan raya, dengan setiap pihak bertanding di konstituensi yang mempunyai sokongan kuat dan paling boleh diwakili dengan berkesan.

Walau bagaimanapun, penghasilan dasar-dasar tidak dapat dielakkan daripada perbezaan yang besar, kerana ideologi berbeza parti-parti terbabit. Ini ialah realiti politik, dan ideologilah yang menjadi asas kepada penghasilan dasar oleh sesebuah parti, walaupun boleh dikompromi pada tahap tertentu untuk tujuan tertentu.

PR yang bergerak sebagai satu akan menyaksikan salah sebuah - atau lebih - parti mengkompromikan dasar-dasar parti tersebut, sesuatu yang hampir mustahil untuk berlaku dan akan mengakibatkan kehilangan penyokong-penyokong tradisional yang menjadi kekuatan utama parti.

Di banyak negara di dunia, gabungan parti-parti dilakukan berdasarkan haluan parti terbabit, seperti disaksikan di Jerman dan Israel sebagai contoh. Persoalan yang ditumbulkan ialah berkaitan ideologi parti terbabit, seperti sejauh mana gabungan dikuasai parti konservatif Kristian akan bergerak ke kanan, dan sama ada parti berhaluan kiri akan menyertai gabungan dikuasai parti berhaluan kanan.

Walaupun sukar dan menyaksikan permainan politik yang panjang, pakatan berdasarkan ideologi lebih mudah untuk berlaku kerana ideologi akan menjadi dasar penghasilan dasar-dasar pentadbiran.

Rakyat juga mendapat lebih pilihan daripada sekadar dua parti atau gabungan yang biasanya tidak menunjukkan beza yang besar. Semak dan imbang juga lebih sukar untuk berlaku dalam kalangan parti pakatan-pakatan terbabit seperti mematuhi garis-garis parti atau gabungan.

Sebahagian besar pengundi akan mengundi berdasarkan gabungan yang mereka sokong walaupun tidak bersetuju sepenuhnya dengan semua ideologi parti-parti dalam gabungan itu.

Ahli-ahli parti pula terpaksa sentiasa menunjukkan kesatuan untuk mengelakkan daripada dilihat tidak bersatu dan mendedahkan kepada serangan parti lawan. Ini hanya meneruskan budaya patuh tidak bertempat dan tidak menggalakkan sikap kritikal yang perlu dalam politik yang dikuasai sentimen.

Sistem dua gabungan parti tidak semestinya pilihan yang paling baik untuk rakyat dan parti-parti politik negara ini. Lebih baik proses mewujudkan pakatan ini tidak dilakukan menurut penilaian jangka pendek yang mungkin dipengaruhi usaha mendapatkan kuasa dengan segera.

Biarlah proses ini berlangsung dengan sendiri dalam medan politik negara ini, selepas melalui jalan yang sepatutnya dan tidak dipaksakan atau dikemukakan sebagai keperluan mendesak untuk menjatuhkan BN.


* Artikel asal ini dipetik dari blog harakahdaily di http://harakahdaily.net

No comments: