Friday, August 13, 2010

JATUH KE 'STANDARD' KITA TANPA BUFFET RAMADHAN DI HOTEL?

Tahniah JAKIM! Itulah yang boleh diperkatakan kepada JAKIM (singkatan nama daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia) apabila dengan beraninya mengeluarkan senarai 22 hotel sahaja yang memiliki sijil Halal di Wilayah Persekutuan yang mana telah disiarkan di muka hadapan akhbar Utusan Malaysia hari ini, 11 Ogos 2010.

Langkah ini juga amat bertepatan sempena ketibaan bulan Ramadhan 1431H yang bermula hari ini yang mana kebiasaannya para pengusaha hotel terutamanya di Lembah Kelang ini akan berlumba-lumba untuk menawarkan berbagai bentuk ‘Buffet Ramadhan’ untuk menarik terutamanya pengunjung yang beragama Islam untuk berbuka puasa di hotel masing-masing.

Sebagaimana yang disahkan sendiri oleh pihak JAKIM sehingga 09 Ogos 2010 ini, hanya 22 hotel dan 51 buah dapur sahaja yang memiliki persijilan halal yang sah!

Cuba kita bayang dan fikirkan bersama bagaimana daripada beratus dan mungkin juga beribu hotel yang ada di Wilayah Persekutuan dan Lembah Kelang khususnya hanya 22 buah hotel sahaja yang sebenar-benarnya memiliki sijil halal yang sah?

Buat ummat Islam di negara kita, senario yang dihadapi ini memperlihatkan seolah-olah pihak hotel hanya memikirkan keuntungan mereka samata-mata untuk merebut pelanggan beragama Islam datang ke tempat mereka tanpa langsung memikirkan soal halal haram yang amat dititik beratkan oleh ummat Islam?

Soal halal haram adalah perkara yang paling penting untuk ummat Islam kerana memakan sesuatu yang jelas tidak mengikut syarak adalah haram kepada kita sebagai orang Islam.

Kekeliruan pada bukan Islam akan pengertian halal itu jelas kelihatan sehingga kini. Umumnya pada mereka istilah halal itu hanyalah kepada masakan atau makanan yang tidak mengandungi daging babi semata-mata!

Sebab itu kalau kita perasan, ada di sesetengah premis makanan itu terdapat papan tanda yang bertulis ‘pork free’ (tiada babi).

Ini bermakna istilah halal kepada mereka bukan Islam hanyalah berlegar pada ‘tiadanya daging babi’ di premis makanan mereka tanpa mengetahui perkara yang lain yang menurut syarak seperti siapa yang menyembelih ayam, bagaimana ayam disembelih, macamana pula bahan masakan seperti minyak masak yang digunakan, pewarna, rencah kari dan sebagainya lagi.

Justeru itu, pendedahan senarai hotel-hotel yang memiliki sijil halal rasmi daripada JAKIM sempena menyambut kedatangan bulan Ramadhan yang mulia ini sedikit sebanyak mampu mencegah pelanggan yang beragama Islam khususnya daripada tertipu dengan berbagai tawaran Buffet Ramadhan yang terus menjadi daya tarikan utama setiap hotel sejak 15 tahun kebelakangan ini.



* Sumber http://ingeniur.blogspot.com

No comments: