* PETIKAN ARTIKEL KELUARAN SINAR HARIAN EDISI PAHANG (BERA) HARI INI 05 APRIL 2010. PKR CABANG BERA PERNAH MENGULAS ISU PROJEK IPD BERA INI TERBENGKALAI PADA 03 FEBRUARI 2010 LALU DI BAWAH TAJUK "KENAPA PROJEK IPD BERA BOLEH TERBENGKALAI" ? SILA RUJUK http://pkrbera.blogspot.com/2010/02/kenapa-projek-ipd-bera-boleh.html
BERA : Kesemua 15 subkontraktor bagi projek pembinaan Ibu Pejabat Polis (IPD) Bera bernilai RM60 juta membuat laporan polis berikutan kegagalan kontraktor utama membuat pembayaran bermula Mac tahun lalu.
Jurucakap Sub-Kontraktor, Ahmad Nizam Ibrahim berkata, dalam laporan itu turut meminta polis melakukan siasatan kepada pihak berkenaan apabila telah melantik subkontraktor yang baru untuk meneruskan kerja-kerja pembinaan.
Menurutnya, pihak mereka tidak menerima sebarang surat atau notis yang menyatakan kontrak mereka diberhentikan daripada meneruskan pembinaan di tapak projek tetapi keliru ada pula pihak lain dibenarkan meneruskan projek berkenaan.
“Melalui laporan polis itu, kami mahu pihak berkenaan memberi penjelasan kepada kami mengenai keadaan yang berlaku di tapak projek.
“Kami tidak pasti sama ada kami telah ditamatkan kontrak atau tidak, kerana kami langsung tidak menerima sebarang surat atau notis mengenainya,’ katanya.
Beliau berkata demikian selepas membuat laporan polis yang turut dihadiri oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Triang, Leong Ngah Ngah.
Sebelum itu, mereka mengadakan perjumpaan di tapak pembinaan selain meninjau tapak projek.
Bayaran tertunggak RM10juta
Ahmad Nizam berkata, bayaran tertunggak yang masih belum diterima 15 subkontraktor adalah kira-kira RM10 juta dan terdapat lima peratus kerja-kerja pembinaan yang masih belum diselesaikan.
Sinar Harian difahamkan, sejak kesemua 15 subkontraktor ini tidak menerima pembayaran sewajarnya, mereka sebulat suara memberhentikan kerja-kerja pembinaan buat sementara waktu supaya kontraktor utama boleh membuat pembayaran kepada mereka.
Projek berkenaan sepatutnya siap pada Julai 2009, sehingga kerja-kerja pembinaan itu diteruskan semula Mac lalu oleh subkontraktor lain yang dilantik pihak berkaitan.
Menurutnya, mereka memberhentikan sementara kerja-kerja pembinaan itu adalah untuk menuntut hak mereka yang dijanjikan sebelum ini.
“Kami buat semua kerja kami. Tidak sepatutnya mereka menolak untuk membayar kepada kerja-kerja yang kami lakukan.
“Sekiranya mereka membuat pembayaran mengikut masa yang ditetapkan, saya yakin perkara ini tidak mungkin akan berlaku,” katanya.
Beliau berkata, kini apabila telah ada pihak ketiga meneruskan kerja-kerja pembinaan itu, mereka tidak pasti sama ada kedudukan mereka sekarang ini, adakah masih di bawah kontrak projek dan yang paling penting, adakah mereka akan dibayar sepenuhnya.
KDN perlu masuk campur
Sementara itu, Ngah Ngah berkata, keadaan seumpama ini tidak seharusnya wujud lebih-lebih ia melibatkan projek pembinaan kerajaan Barisan Nasional iaitu di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN).
Menurutnya, masalah dalaman ini wajar diambil kira oleh pihak yang lebih berkuasa supaya tidak menjadi lebih besar dan melibatkan orang luar.
“Kerajaan menyediakan perbelanjaan yang besar untuk projek ini. Sudah tentu rakyat mahukan yang terbaik apabila projek ini siap kelak.
“Namun, apabila masalah dalaman ini tidak mampu diselesaikan ia sudah tentu memberikan rekod yang tidak baik bukan sahaja kepada pihak kontraktor terlibat tetapi juga kerajaan,” katanya.
Ngah Ngah berkata, kegagalan kontraktor utama yang dilantik KDN untuk membuat pembayaran menyebabkan subkontraktor kecewa apabila tidak menerima bayaran pada waktu yang dijanjikan.
Katanya, subkontraktor juga merupakan ahli perniagaan yang memerlukan pembayaran pada setiap kerja-kerja yang mereka lakukan dan sememangnya mereka wajar melenting jika langsung tidak menerima pembayaran.
Menurutnya, melalui laporan polis itu, diharap perkara berkenaan dapat diselesaikan dengan cara yang baik lebih-lebih lagi penduduk daerah ini masih menanti-nanti projek itu siap.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment