Tuesday, April 27, 2010

BN MENANG DALAM DUKA, KEADILAN KALAH DALAM TENANG

PKR TUMBANG! Itulah tajuk utama Utusan Malaysia hari ini yang menunjukkan seolah-olah Parti Keadilan Rakyat @ KEADILAN ini seolah-olah telah kalah dan tumbang diseluruh negara!

Kekalahan yang dialami oleh KEADILAN merupakan proses biasa didalam sesebuah pilihanraya apatah lagi didalam pilihanraya kecil (PRK) seperti di P094 Hulu Selangor semalam. Kita menerima setiap kekalahan itu dengan rasa tawadduk dan terbuka kerana semua orang sedia maklum bahawa pilihanraya kecil adalah pilihanraya yang akan menjadi tumpuan diseluruh negara. Justeru itu, kekalahan seumpama ini bukanlah sesuatu yang perlu kita ratapi segala-galanya.

Bertanding di atas tiket pembangkang adalah seumpama mengambil risiko ‘bermain bola diatas padang yang tidak rata’. Ibarat kata orang ‘kekalahan kepada Barisan Nasional (BN) itu sudah pasti tetapi sekiranya kita menang terhadap mereka Barisan Nasional lebih-lebih lagi didalam PRK itu adalah bonus’.

Kenapa saya berkata sedemikian? PRK adalah medan untuk BN memunggah segala jenteranya ke sesuatu pilihanraya kecil diatas nama kempen pilihanraya. Tanpa mengambil kira kadang kala perbuatan mereka yang secara terang-terangan menyalahgunakan jentera dan pelbagai agensi kerajaan maka sudah pastilah perlawanan ini diibaratkan kita bermain bola di atas padang yang tidak rata.

Itu tidak mengambil kira lagi kesangsian kita terhadap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang timbul akibat senarai daftar nama pengundi yang sentiasa berubah tanpa memaklumkan kepada pengundi walaupun itu hak mutlak SPR untuk berbuat demikian.

Dengan undi yang diperolehi oleh calon BN sebanyak 24,997 berbanding calon KEADILAN 23,272, majoriti yang diperolehi oleh P.Kamalanathan ini sebanyak 1,725 sebenarnya tidaklah menunjukkan bahawa itu sebagai satu kemenangan yang cukup besar berbanding dengan apa ‘yang ditaburkan’ oleh BN di sepanjang 8 hari berkempen!

Apa lagi yang tidak di berikan dan di janjikan oleh pemimpin-pemimpin BN khususnya terhadap pengundi di Hulu Selangor tempohari? Dengan berbagai ‘tawaran menarik’ oleh pelbagai agensi dan jabatan apakah dengan undi majoriti sebanyak 1,725 itu sudah cukup besar dan setimpal untuk BN perolehi?

Sepatutnya BN mendapat majoriti yang lebih besar lagi iaitu sebagai contoh 10,000 undi keatas dan barulah ianya benar-benar dikatakan BN itu telah di mula di terima kembali oleh rakyat. Setakat majoriti 1,725 ini apakah benar menunjukkan slogan ‘1MALAYSIA’ serta kepimpinan Najib sebagai PM telah benar-benar di terima oleh rakyat negara ini?

Kemampuan KEADILAN memperolehi undi yang besar dengan pelbagai isu, tohmahan dan fitnah yang dilemparkan terhadap calon KEADILAN Dato Zaid Ibrahim seperti isu ‘arak’, ‘judi’, ‘calon orang luar Hulu Selangor’ dan sebagainya, undi yang diperolehi sebanyak 23,272 oleh Zaid didalam pilihanraya kecil ini adalah merupakan kemenangan moral yang pasti memberi impak yang maksima buat Zaid untuk menang dipilihanraya umum yang ke 13 nanti di Hulu Selangor.

Percayalah, kekalahan Zaid di pilihanraya kecil Hulu Selangor ini adalah hampir sama dan mirip kepada kekalahan Tan Sri Khalid Ibrahim ketika di pilihanraya kecil Ijok pada tahun 2007. Kalau kita ingat kembali bagaimana Khalid yang kalah di sekitar undi 1000 lebih ketika itu tetapi akhirnya menang semula dengan majoriti yang cukup besar di pilihanraya umum ke 12 2008 lalu.



* Artikel ini dipetik dari blog http://ingeniur.blogspot.com

No comments: