Friday, April 9, 2010

BANTUAN ATAU SOGOKAN PENGUNDI?

Mengikuti kenyataan yang dibuat oleh Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Dato Seri Noh Omar yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani hari ini di Utusan Malaysia hari ini (06 April 2010) yang meminta agar Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dapat mengkaji semula peranan Badan Pemantau Pilihan Raya Adil dan Bebas (Mafrel) yang mendakwa Barisan Nasional (BN) telah melakukan kesalahan kerana menyalurkan bantuan kepada penduduk di kawasan Parlimen Hulu Selangor memperlihatkan seolah-olah Noh Omar ini tidak memahami peranan yang dimainkan oleh Mafrel selama ini.

Sebenarnya apa yang didakwa oleh Mafrel itu sememang benar belaka kerana sekiranya kita melihat kepada ‘perangai’ UMNO dan BN setiap kali sahaja ada pilihanraya kecil dimana-mana sahaja, maka secara berbondong-bondonglah mereka semua ini datang untuk menyalurkan bantuan secara tiba-tiba walhal sebelum itu jangan diharaplah untuk dibantu atau memberi bantuan pun walaupun teruk macamana sekali pun keadaan penduduk dikawasan tersebut.

Mafrel selaku badan yang memantau setiap kali pilihanraya diadakan sudah pasti akan melihat semua ini daripada semua segi dan bukannya hanya menuduh secara membabi buta sahaja tanpa mengambil kira fakta yang tepat sebagaimana dakwaan kenyataan Noh Omar tersebut.

Apakah itu tidak dapat ditarifkan sebagai ‘ kaedah menyogok ‘ pengundi sekiranya secara tiba-tiba sahaja bantuan yang diturunkan kepada pengundi melebihi daripada biasa? Bukannya tidak boleh membantu tetapi haruslah diambil kira akan keperluan yang sepatutnya dan bukan melebihi daripada sepatutnya apatah lagi ketika kempen pilihanraya kecil baru hendak bermula di Hulu Selangor ini.

Apakah yang dikatakan sebagai menyogok? Tidak dikatakan menyogok ke sekiranya tiba-tiba sahaja jalan diturap siang dan malam disepanjang kempen pilihanraya dan kadang kala juga sehingga ke belakang ceruk dapur rumah kita di kampung-kampung pun tiba-tiba di buat lorong atau jalan kampung yang baru siap berturapkan tar?

Apakah tindakan seperti memberi bantuan percuma secara tiba-tiba di musim pilihanraya kecil secara mengejut seperti gantian atap rumah, papan dinding rumah, gula, beras, minyak masak, bantuan biasiswa kanak-kanak sekolah, meluluskan bantuan baik pulih balai raya, dewan masyarakat, masjid, surau tidak boleh ditakrifkan sebagai sogokan atau cubaan merasuahkan pengundi?

Kalau jujur dan ikhlas ingin membantu, kenapa tidak dilakukan semua ini diluar musim pilihanraya? Kenapa tidak dibuatnya mengikut jadual yang ditetapkan dan bukannya menukar jadual secara tiba-tiba semata-mata hendak dibawa ke tempat pilihanraya kecil yang bakal diadakan?

Sebenarnya, Mafrel bukanlah sebuah kuda tunggangan pembangkang sebagaimana yang didakwakan oleh Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Syed Ali AlHabshee apatah lagi untuk didakwakan sebagai ‘penyibuk bermusim’ semata-mata.

Sebagai pemantau yang diiktiraf oleh SPR, seharusnya semua pihak termasuk samada pihak kerajaan atau pembangkang sekali pun haruslah menghormati setiap teguran yang dibuat oleh Mafrel.

Untuk rekod, Mafrel tidak pernah membezakan antara Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat. Pengalaman pilihanraya kecil di DUN Manek Urai, Kelantan pada tahun lepas telah menyaksikan Mafrel turut menyenaraikan beberapa perkara yang ditakrifkan sebagai ‘kesalahan kecil’ yang tidak sepatutnya dilakukan olkeh kerajaan negeri ketika tempoh kempen pilihnaraya kecil disana.

Kita sebenarnya tidak pernah sama sekali pun menentang sebarang bantuan yang diberikan kepada mereka yang susah dan memerlukan cuma kita merasakan sesuatu yang tidak kena apabila bantuan itu hanya tiba ketika sesuatu pilihanraya kecil. Sebagai orang yang matang sudah pasti dapat mengagak bahawa bantuan ini adalah bantuan yang berupa pancing untuk pengundi agar memilih UMNO dan Barisan Nasional semata-mata!

Kepada mereka yang ‘terasa pedas’ dengan kritikan yang dibuat oleh Mafrel ini, seharusnya perlu menilai diri kita terlebih dahulu apakah perbuatan yang dilakukan ini salah atau pun tidak.

Ingat!, memberi bantuan kepada yang memerlukan sebenarnya tidak salah tetapi yang salahnya adalah memberi bantuan secara ‘melampau’ sebagai salah satu agenda kempen mereka ketika dimusim pilihanraya seperti di pilihanraya kecil Parlimen Hulu Selangor ini!



* Artikel ini dipetik dari blog http://www.ingeniur.blogspot.com

No comments: