Monday, November 17, 2008

JANGAN JADI 2 X 5

Sejak akhir-akhir ini banyak pandangan-pandangan serta komen-komen yang kekadang cukup 'merisaukan' kita terhadap pimpinan Pakatan Rakyat terutamanya dari PKR itu sendiri. Komen-komen yang bersertakan 'bukti' samada benar atau tidak benar sedikit sebanyak telah menyebabkan ramai pembaca terutamanya pengunjung internet itu sendiri boleh mempercayainya.

Terbaru lagi komen terhadap kepimpinan YB Fairus, Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang tentang segala tindak tanduk beliau selaku orang no 2 yang berada didalam pimpinan Kerajaan Pulau Pinang cukup merisaukan kita selaku pendokong Pakatan Rakyat.

Edisi terkini didalam pelbagai blog telah menceritakan bagaimana beliau gagal menjalankan tugas sebagai YB yang dipilih oleh YAB Ketua Menteri Pulau Pinang ketika berhadapan dengan pembangkang yang di ketuai oleh UMNO di DUN Pulau Pinang secara langsung telah mencalarkan imej beliau sebagai YB yang dihormati serta secara tidak langsung terhadap PKR serta kepimpinan Pakatan Rakyat itu sendiri.

Didalam hal ini, samada benar atau pun tidak kegagalan beliau yang cuba melarikan diri daripada tugas sebagai YB terhadap kerajaan Pulau Pinang atau rakyat di Dun beliau itu perlulah di ambil serius oleh kita semua sebagai pendokong kerajaan kini.

Episod terhadap YB Fairus ini bermula apabila 'komen' yang dibuat oleg YB Dato Seri Anwar Ibrahim suatu ketika dahulu terhadap beliau secara tidak langsung menyebabkan ramai yang mempercayai terhadap komen-komen terbaru terhadapnya. Samada bukti itu jelas ada ataupun tidak bukanlah persoalan sekiranya hal ini telah di tangani sejak awal.Dalam isu terbaru yang ditonjolkan samada oleh musuh politik beliau atau pun tidak, cukup merimaskan kita sekiranya benar. Isu yang dimainkan ini sedikit sebanyak boleh mengugat kepercayaan rakyat terhadap beliau terutamanya di Pulau Pinang. Komen-komen ini walaupun nampak nakal, boleh di lihat di blog http://alahaifairustkmpenang.blogspot Antara komen-komen yang telah dibuat terhadapnya adalah seperti berikut;

"Budak Fairus Ghaib; Setelah menyedari gilirannya yang akan tiba, budak Fairus yang duduk di antara Ketua Menteri Lim Guan Eng dan TKM 2 Prof Ramasamy, mula cari helah angkat kaki keluar dewan.Guan Eng yang sedar Timbalannya ghaib, mula mengarahkan staf dewan mencari budak Fairus di luar dewan dan menjemputnya masuk.

Tapi apa yang berlaku, beberapa minit kemudian staf tersebut memaklumkan budak Fairus memberitahunya, dia ‘sakit perut’ dan meminta Exco lain tolong jawab bagi pihaknya.Jadi, bagi nak menjaga air muka kerajaan negeri, Guan Eng meminta salah seorang Exco Abdul Malik Kassim menjawab soalan tersebut.

Ini bukannya kali pertama budak Fairus itu bertindak demikian. Pada sidang Dun kali pertama dulu selepas PR memerintah, si budak Fairus membuat tindakan yang sama. Ghaib tidak menjawab soalan nombor 1.Yang menjadi mangsa-Ketua Menteri Lim Guan Eng sendiri kena jawab demi menjaga air muka kerajaan negeri PR.Dia bukan sahaja membisu seribu bahasa sepanjang perbahasan dewan lalu, malah kerap kali masuk lewat dalam dewan. Budak Fairus ni hanya membaca teks pada sesi pengulungannya di akhir persidangan dewan. Waktu-waktu lain mulutnya terkunci rapat ! "

Bukan 1 atau 2 komen-komen terhadapnya dibuat tetapi cukup banyak. Adalah menjadi harapan kita semua semua agar semua komen-komen yang berbentuk negatif ini tidak lah benar. Dan sekiranya benar-benar berlaku berdasarkan teguran yang telah dibuat oleh DSAI suatu ketika dahulu terhadap beliau. adalah amat malang kerana kita masih mempunyai sifat dan tingkah laku yang hampir atau sama dengan YB-YB dari kalangan BN....Jangan kita jadi tidak ubah seperti mereka juga...jangan jadi 2 x 5....sama saja dengan mereka...

Kita tidak mahu mempunyai pemimpin yang bersikap tidak bertanggung jawab serta lari daripada tugas yang telah diamanahkan oleh parti dn rakyat. Kita mahu pemimpin kita rajin serta bertanggungjawab didalam menjalankan tugas. Kita mahu pemimpin kita di pandang serta dihormati oleh semua rakan-rakan didalam Pakatan Rakyat itu sendiri.


Dipetik dari http://ingeniur.blogspot.com

Wednesday, November 12, 2008

PEMIMPIN - OLEH RAKYAT, UNTUK RAKYAT

Sesudah subuh tadi, aku menatap kembali akhbar-akhbar perdana negara yang banyak bercerita serta di kuasai oleh cerita-cerita tentang hasrat calon ini bakal bertanding, calon ini tak layak bertanding, pelan peralihan wanita Umno, harapan calon-calon yang bakal bertanding...semuanya berkisar pemilihan parti keramat 'Melayu' (kata-kata pendukung Umno lah) yang bakal berlangsung bulan Mac 2008 nanti.

Satu episod sejarah yang amat penting dalam persejarahan Malaysia sebelum melangkah lebih jauh. Detik sejarah yang penting itu ialah saat-saat Dato' Onn Jaafar hendak meletakkan jawatan sebagai Presiden UMNO.

"Sebelum Dato' Onn meninggalkan UMNO satu perhimpunan Agung Khas telah diadakan di Hotel Majestic pada 23 dan 26 Ogos 1951. Dalam perhimpunan itu Tunku Abdul Rahman Putra telah dipilih menjadi Yang Dipertua Agung baru setelah mengalahkan lawan-lawannya dalam pertandingan 3 penjuru. Nama Tunku Abdul Rahman Putra telah dicalonkan oleh Encin Bahaman Shamsuddin. Beliau ditentang oleh Tuan Hj Ahmad Fuad, calon yang dikemukakan oleh Dato' Onn, Encik C.M.Yusuf dicalonkan oleh Raja Ayub bin Raja Bot dan Encik Tajuddin Bin Uda Isa"

* Catatan Tan Sri Dato' Abdul Samad Idris dalam bukunya 25 Tahun Merdeka

Banyak pengajaran dan kesimpulan yang boleh kita perolehi berdasarkan episod diatas. Salah satunya adalah tentang adanya pertandingan 3 penjuru merebut jawatan Yang Dipertua Agung (kini di panggil Presiden) dan telah ada kempen-kempen yang dijalankan bertujuan menaikkan calon masing-masing.

Misalnya Dato' Onn dalam ucapannya telah menyokong Haji Ahmad Fuad Hassan sebagai YDP Agung UMNO dengan alasan bahawa beliau seorang haji dan ulamak yang berkemampuan untuk memimpin. Tunku pula kerana pada pendapat ramai dicalonkan kerana pendidikan tingginya serta kewibawaannya memimpin kesatuan Melayu United Kingdom ketika menuntut dahulu serta status berdarah raja.

Persoalannya disini yang ingin diketengahkan ialah adakah calon-calon ini sendiri yang mendabik dada mengatakan dia seorang yang layak dan berkebolehan untuk memimpin? Jawapannya tidak kerana ini atas keyakinan orang ramai terhadap calon-calon tersebut.

Akhirnya Tunku dipilih sebagai YDP Agung UMNO berdasarkan status berdarah raja yang mana pada ketika itu orang melayu umumnya amat menyanjungi pada istana. Tetapi satu hal yang unik ialah sikap calon-calon yang lain yang kalah dalam pertandingan ini. Mereka tidak terus menarik diri tetapi sebaliknya terus patuh kepada keputusan mesyuarat yang berkehendakkan mereka menjadi Ahli Majlis Tertinggi UMNO.

Secara peribadi saya sengaja mengambil peristiwa ini kerana untuk membandingkan keadaan zaman sekarang dengan segala keadaan yang berlaku pada hari ini terutamanya dalam saat-saat perebutan jawatan pucuk pimpinan UMNO samada di peringkat cawangan, Bahagian dan seterusnya Majlis Tertinggi parti.

Berbagai isu sudah timbul sekarang, bermula dengan isu kuota dan kelayakan seseorang calon, lepas itu timbul isu politik wang yang telah hampir 2 dekad masih tidak padam-padam malahan semakin membara kehangatan isu rasuah wang didalam politik UMNO kini, wujudnya pula isu memilih pemimpin bukan berdasarkan keupayaan tetapi kerana faktor siapa yang lebih tinggi menawarkan imbuhan agar seseorang calon itu dipilih, sehinggalah kini isu terbaru dan cukup memalukan didalam parti yang dianggap keramat oleh pendokong parti cap keris ini ialah adegan tumbuk menumbuk serta baling membaling kerusi ketika mesyuarat agung UMNO diadakan telah mula 'dirasai' kehebatannya....

Keadaan yang sedemikian rupa tidak pernah berlaku kepada ahli UMNO pada zaman sebelum dan awal kemerdekaan negara. Jika pun ada hanya seorang dua sahaja. Sejarah Melayu juga tidak pernah mencatatkan tentang trend dan keadaan sedemikian berlaku didalam sistem politik orang melayu. Kenapa perkara ini harus berlaku kini?

Kemungkinan-kemungkinan yang ada antara lainnya ialah kerana telah terbukti kini bahawa tangga pertama untuk mencapai kejayaan dalam politik atau dalam perniagaan ialah dengan memenangi satu-satu jawatan didalam parti. Ekoran daripada inilah kalau kita melihat kini, kebanyakan yang menang adalah ahli perniagaan atau kontraktor yang semata-mata mengharapkan dengan kemenangan mereka ini menjaminkan segala macam jenis projek yang menghasilkan wang akan diperolehinya.

Kalau dahulu, UMNO kebanyakannya di pimpin oleh penghulu-penghulu, guru-guru atau kerani-kerani dan ahli-ahli agama yang mana mereka ini lebih dekat kepada rakyat dan tahu tentang permasalahan orang ramai. Berbanding kini semua itu telah menjadi sejarah. Bagi mereka kini, faktor tentang kebolehan, kelulusan, kejujuran, bertanggungjawab serta rapat dengan orang ramai tidak lagi berguna. Faktor wang yang banyak serta menjanjikan habuan yang lumayan sekiranya menang pada satu-satu jawatan itu lah kriteria yang paling diutamakan oleh perwakilan untuk memilih mereka.

Secara dasarnya, hal yang demikian telah cukup jauh menyimpang daripada amalan budaya Melayu. Hang Tuah dilantik menjadi Laksamana Melaka kerana kegagahan serta sifat kepahlawanannya, Datuk Bahamana bergelar Orang Kaya Semantan adalah disebabkan kegagahannya, Dato' Onn pula berdasarkan kepada kepandaian dan kebolehannya menyatukan orang Melayu dan begitu jugalah yang lain-lain didalam konteks keperibadian dan kehidupan orang Melayu. Kesemuanya dipilih berdasarkan kualiti, kebolehan dan daya kepimpinannya.

Sebagai akhirnya, apakah mungkin akan muncul pada masa akan datang seorang Perdana Menteri Malaysia yang menggunakan wang untuk mempengaruhi pemilihannya?


dipetik dari http://ingeniur.blogspot.com

Saturday, November 8, 2008

UMNO DAN RASUAH IBARAT LAGU DAN IRAMA

Ibarat Lagu dan Irama, begitulah juga Rasuah dan UMNO. Mesyuarat agung bahagian-bahagian parti UMNO diseluruh negara sejak 9 Oktober sehingga 9 November 2008 nanti turut tidak terkecuali dengan pelbagai isu yang diperkatakan orang daripada peringkat rakyat biasa sehingga lah ke peringkat pemimpin-pemimpin negara kita.

Hakikat ini telah diakui sejak awal lagi dan ianya mula serius sebagai satu barah dalaman kepada Umno itu sendiri sejak 2 dekad kebelakangan ini. Rasuah wang dan pelbagai lagi yang dijanjikan ketika pemilihan terutamanya lebih dikenali sebagai Politik Wang didalam parti yang dianggap 'keramat' oleh segolongan orang-orang melayu di Malaysia ini.

Kesan daripada politik atau pun dengan lebih mudah lagi bahasanya sebagai RASUAH ini juga sudah sampai ke peringkat kemuncaknya tahun ini apabila semua jawatan utama didalam Umno di peringkat tertinggi MT ini akan di pertandingkan pada perhimpunan agung UMNO Mac 2009 nanti.Berbagai pihak terutamanya didalam Umno sendiri telah ramai menimbulkan perkara tentang gejala politik wang ini.

Secara asasnya politik wang atau Rasuah ini telah mula berakar umbi apabila MT Umno memperkenalkan sistem kuota untuk setiap jawatan yang bakal di pertandingkan. Sistem ini secara tidak langsung telah menghalang daripada ahli-ahlinya secara bebas untuk bertanding walaupun secara jelas dan nyata didalam perlembagaan parti iaitu dengan setiap 2 percalonan sahaja, seseorang ahli di mana-mana peringkat pun boleh bertanding sebagai calon untuk jawatan-jawatan tertentu walaupun di peringkat jawatan Presiden parti!

Meninjau kembali sejarah sistem kuota ini diperkenalkan ialah bagi mengelak para ahli berebut-rebut untuk menjadi calon apabila berlakunya pertandingan didalam Umno yang cukup dahsyat pada tahun 1987 tatkala Tun Dr Mahathir Mohamad ketika itu sebagai Presiden parti telah ditentang serta diberi saingan yang sengit oleh Tengku Razaleigh Hamzah untuk jawatan Presiden parti. Akibat perpecahan sehingga pengharaman Umno itu sendiri pada tahun 1988 inilah maka pihak MT memutuskan agar sistem kuota perlu diperkenalkan untuk semua calon yang berhasrat untuk bertanding didalam Umno.

Namun begitu, akibat daripada syarat dan sistem kuota ini jugalah telah menyebabkan gejala rasuah didalam Umno membiak begitu cepat dan berkembang serta bercambah umpama 'cendawan tumbuh selepas hujan'. Tanpa mengambil kira pandangan serta nasihat ahli-ahli parti agar sistem kuota ini tidak perlu diadakan maka inilah akibatnya apa yang telah berlaku didalam parti melayu yang dianggap keramat ini.

Cuba bayangkan apabila di peringkat bawahan pun sistem kuota ini telah dilaksanakan telah pun dikaitkan dengan isu politik atau rasuah wang, apatah lagi sehingga di peringkat tertinggi parti? Apakah jaminan perkara seperti ini tidak akan berlaku? Keputusan pembatalan kemenangan serta hukuman pergantungan ahli terhadap bekas Naib Presiden UMNO Tan Sri Isa Samad oleh Jawatankuasa Disiplin Umno apabila beliau didapati bersalah terlibat dengan gejala politik wang atau dengan bahasa yang cukup mudah dan di fahami melakukan rasuah ketika pemilihan tahun 2004 ini telah membuktikan betapa pemimpin-pemimpin diperingkat parti lagi besar 'langkahnya' didalam polik wang ini.

Didalam Umno, apabila ahli-ahli dikaitkan dengan penglibatan mereka dengan politik wang, ianya tidak dianggap sebagai rasuah! Ini kerana didalam parti ini politik wang itu berbeza dengan rasuah wang walaupun ia turut melibatkan wang suapan!

Adalah suatu yang teramat pelik didalam keadaan Pak Lah sebagai Perdana Menteri berkata kita sebagai kerajaan yang bertanggungjawab akan membasmikan segala kegiatan rasuah dan selalu melaung-laungkan bencikan rasuah serta kita perlu bersama-sama membenteraskan rasuah secara besar-besaran di seluruh negara TETAPI pembenterasan gejala ini gagal untuk dilaksanakan didalam Umno agar ahli-ahli perlu bersama-sama membenci rasuah ini. Hakikatnya, perkara ini tidak berlaku didalam parti Umno pimpinannya sendiri!

Ibarat "Ketam mengajar anaknya berjalan lurus, tetapi ibunya sendiri pun berjalan tidak betul" itulah perumpamaan yang sesuai apabila Pak Lah bersungguh-sungguh agar kakitangan kerajaan serta rakyat jelata jangan mengamalkan budaya rasuah tetapi ahli-ahli Umno tetap mengamalkan rasuah tanpa boleh dikawal lagi.

ITULAH UMNO....IBARAT LAGU DAN IRAMA TIDAK BOLEH DIPISAHKAN, BEGITU JUGALAH RASUAH DAN UMNO BERPISAH TIADA....

Wednesday, November 5, 2008

"BERA WATER FRONT"

GAMBAR 1) Kelihatan 'Water front' di tepi laluan utama antara Bera-Temerloh yang begitu hampir dengan selekoh di Kampung Mengkarak, Bera.


GAMBAR 2) 'Water Front' yang telah siap mengadap Sungai Pahang tanpa di uruskan dengan baik.


Bera: Projek 'Bera Water Front' di Mengkarak yang pembinaannya telah dimulakan sejak akhir 2003 lalu kini telah didapati 'siap' pembinaan semenjak 5 bulan lalu. Menurut sumber, projek tersebut yang bernilai kira-kira RM 2 juta itu telah mengalami 'pasang surut' pembinaan sebanyak 2 kali dengan turut melibatkan masalah pada kontraktor yang terlibat.

Projek 'Bera Water Front' ini merupakan satu projek dibawah seliaan Majlis Daerah Bera (MDB) ini merupakan projek yang dilaksanakan untuk tujuan pengindahan di tepi sungai Pahang. Projek yang kelihatan sakit ini terpaksa mengambil masa hampir kira-kira 5 tahun untuk disiapkan sepenuhnya tetapi apa yang dikesali ialah, proses untuk menyiapkan projek ini amat menyedihkan dengan kerja-kerja yang tidak kemas, keadaan yang gelap pada waktu malam di kawasan tersebut serta juga didapati terdapat kesan rekahan pada lantai.

Disamping itu sebatang 'Bore Pile' (telah ditanam didalam sungai) yang terdapat di depan pondok jeti di Water Front ini juga menunjukkan betapa kerja-kerja penyiapan ini dilakukan secara tergesa-gesa.

Menurut penduduk berdekatan yang ditemui melahirkan rasa yang cukup kecewa dengan sikap pihak-pihak yang terlibat kerana tidak memantau projek ini secara dekat dan melahirkan kehairanan kenapa tapak disini yang dipilih untuk dijadikan Water Front di daerah Bera ini. Ini kerana menurutnya lagi, tapak yang disediakan ini tidak sesuai kerana terlalu hampir dengan jalan utama Bera-Temerloh dan berdekatan dengan selekoh yang sudah tentu membahayakan pengguna jalanraya sekiranya banyak kenderaan yang berhenti di tepi Water Front ini.

Seorang penduduk lagi berpendapat, sepatutnya projek ini boleh di buat di tepi sungai Triang yang berdekatan dengan pusat Bandar Bera serta sudah pasti amat sesuai dengan mercu tanda baru daerah Bera.

Tuesday, November 4, 2008

SEMINAR HARAPAN BARU UNTUK MALAYSIA (SEHARUM)

Gambar 1) Sdr Jefri (Ketua PKR Pekan), Sdr Hassim (S/usaha PKR Temerloh), Sdr Rizan (Bera), Tn Syed Talib (Naib Ketua I PKR Indera Mahkota) dan Sdr Zainal Afandi (Timbalan Ketua PKR Bentong)

Gambar 2) Ahli Panel YB Pn Hjh Fuziah Salleh (Ahli Parlimen Kuantan merangkap Ketua PKR Kuantan), Sdr Mustaffa Kamil Ayub (Pengarah SEHARUM/Naib Presiden PKR), Sdr Shamsul Iskandar Akin (Ketua AMK Malaysia) dan Sdr Pengerusi Majlis Tn Hj Suhaimi Said (Ketua PKR Kuala Krau).


Gambar 3) Para peserta yang hadir terdiri dari ahli PKR pelbagai kaum dari seluruh negeri Pahang.

Gambar 4) Barisan hadapan pimpinan, dari kanan Sdr Ram Ponusamy (Timbalan Pengerusi PKR Pahang merangkap Ketua PKR Bentong), Sdr Mustaffa Kamil Ayub (Naib Presiden PKR) dan Sdr Zakaria Abd Hamid (Pengerusi PKR Pahang merangkap Ketua PKR Lipis)


Gambar 5) Kelihatan Sdr Rabidin, Ketua PKR Rompin (Berkopiah putih) bersama dengan pimpinan Bahagian Rompin yang turut hadir.



Gambar 6) Kelihatan dari pandangan belakang dewan yang penuh sesak dengan kehadiran ahli-ahli yang turut serta mengikuti seminar ini.


BERA: Parti Keadilan Rakyat (PKR) Bahagian Bera telah menghantar seramai 5 orang pimpinan utama bahagian serta 2 orang pemimpin AMK ke Seminar Harapan Baru Untuk Malaysia (SEHARUM) yang telah berlangsung di Hotel Seri Malaysia, Temerloh pada 02/11/2008 lalu. Seminar tersebut yang berlangsung selama sehari turut di hadiri oleh semua pemimpin-pemimpin Bahagian dari seluruh negeri Pahang.

Perwakilan PKR Bera telah diketuai oleh Tn Hj Abas Awang selaku Ketua Bahagian, Sdr Hamzah Bawa (Timbalan Ketua), Sdr Muthusamy (Naib Ketua II), Sdr Abd Malik Salleh (Naib Ketua III), Sdr Riza Ali (Setiausaha Bahagian), Sdr Sarawanan (Naib Ketua AMK Bahagian) dan Sdr Norizam (Setiausaha AMK).

Seminar tersebut telah membentangkan beberapa kertas kerja yang terdiri daripada beberapa ahli panel yang ternama seperti YB Pn Hjh Fuziah Salleh (Ahli Parlimen Kuantan merangkap Timbalan Pengarah Pilihanraya PKR), Sdr Mustafa Kamil Ayub (Pengarah SEHARUM merangkap Naib Presiden PKR), Sdr Shamsul Iskandar Akin (Ketua AMK Malaysia), YBhg Dato' Fauzi Abd Rahman (Bekas Timbalan Menteri Penerangan) dan Tn Hj Abas Awang (Bekas Pengarah Pelajaran WP merangkap Ketua PKR Bahagian Bera).

Program yang telah dilaksanakan ini semenjak 4 bulan lalu diseluruh negara mendapat sambutan yang begitu hangat daripada semua pendokong PKR diseluruh negeri Pahang apabila dihadiri kira-kira 200 orang ahli.

PETIKAN "DAMAI ABADI" DATO' FAUZI ABD RAHMAN

Petikan sajak yang dibaca oleh YBhg Dato' Fauzi Abd Rahman yang juga Bekas Menteri Penerangan ketika membentangkan kertas kerja selaku Ahli Panel yang ke 3 di Seminar Harapan Baru Untuk Malaysia (SEHARUM) Peringkat Negeri Pahang di Dewan Jelawat, Hotel Seri Malaysia, Temerloh, Pahang pada 2 November 2008 yang lalu.

SAJAK "DAMAI ABADI' VERSI PAK LAH

Aku cari bukan harta bertimbun-timbun
Untuk hidup kaya raya

Aku cari bukan wang berjuta-juta
Untuk hidup bergaya

Aku cari bukan kawan-kawan
Untuk hidup sekadar berfoya-foya

Aku cari mana dia Al-Ghazali
Aku cari mana dia Al-Shafie

Aku hidup kerana Dia Rabbi
Dia lah Teman, Dia lah Wali
Kita bongkar rahsia sunnah nabi
Cari panduan

Dia mencukupi, aku hidup bererti
Menikmati damai abadi


SAJAK "DAMAI ABADI" VERSI DATO' FAUZI

Anak dan menantu ku telah cukup menghimpun
Aku kaya tidak terhingga

Dengan jawatan dan teman ku yang muda
Hidup ku di puja-puja

Selagi aku miliki kedudukan
Sentiasa didampingi pelawak berjenaka

Aku jumpa Ghazali Shafie
Terlantar di hospital, tanpa siapa peduli

Hanya lisan ku berteka teki
Agar korang tetap mempercayai
Satu lakonan ku yang bestari
Cari makan

Sekarang mencukupi, aku nak berhenti
Akan ku lihat pengganti ku mati

Sunday, November 2, 2008

SEHARUM: Seminar Harapan Baru Untuk Malaysia Peringkat Negeri Pahang

Salam pada semua pendokong Pakatan Rakyat,

Hari ini 02 November 2008, bertempat di Dewan Jelawat, Hotel Sri Malaysia Temerloh, telah diadakan Seminar Harapan Baru Untuk Malaysia (SEHARUM) yang dihadiri oleh kira-kira 250 orang para pendokong parti dari seluruh negeri Pahang.

Bahagian Bera yang di ketuai oleh Tn Hj Abas Awang yang juga merupakan pembentang kertas kerja pertama di seminar yang bermula jam 8.30 pagi tadi. Bahagian Bera juga turut diwakili oleh Sdr Hamzah Bawa (Timbalan Ketua Bahagian), Sdr Muthusamy (Naib Ketua II Bahagian), Sdr Abd Malek Salleh (Naib Ketua III Bahagian), Sdr Rizan Hj Ali (Setiausaha Bahagian), Sdr Sarawanan (Naib Ketua II AMK Bera) dan Norazmi (Setiausaha AMK Bera).

Program ini yang dihadiri oleh semua pimpinan utama PKR Pahang yang diketuai oleh Sdr Zakaria Abd Hamid (Ketua Bahagian Lipis) merangkap Pengerusi PKR Negeri dan juga turut dimeriahkan dengan kehadiran Sdr Mustaffa Kamil Ayub selaku Pengarah Program SEHARUM Pusat yang juga Naib Presiden III PKR Malaysia serta Ketua AMK Malaysia Sdr Shamsul Iskandar Mohd Akin yang juga salah seorang panel di seminar ini.

Hampir kesemua Ketua-ketua bahagian PKR di negeri Pahang turut hadir antaranya ialah Tn Hj Mohd Nor (Jerantut), Tn Hj Adnan (Cameron Highland), Sdr Jefri (Pekan), Sdr Rabidin (Rompin), Tn Hj Suhaimi (Kuala Krau), Sdr Bostamin (Maran), YB Fuziah Salleh (Kuantan), Sdr Zainal Afandi (Bentong ), Sdr Mohd Ali (Raub), Sdr Abd Rani (Pemangku Ketua Paya Besar)manakala Bahagian Temerloh di ketuai oleh Sdr Hassim Mubin (Setiausaha Bahagian), Tn Syed Talib (Naib Ketua I Bahagian Indera Mahkota).

Program ini yang mengambil masa selama sehari adalah program yang dirangka untuk memberi penerangan serta maklumat tentang peranan yang perlu kita mainkan sebagai ahli parti. Sehingga ke saat ini, Tn Hj Abas dan YB Fuziah Salleh telah selesai membentangkan kertas-kertas kerja seminar yang begitu menarik sekali dan kertas kerja ke 3 sekarang sedang dibentangkan oleh Dato Fauzi Abd Rahman (Bekas Timb Menteri Penerangan) yang banyak menerangkan tentang "Good Governance" kepada semua yang hadir.

Sekian, Laporan terkini dari Hotel Sri Malaysia

Saturday, November 1, 2008

HARGA MINYAK TURUN, HARGA BARANGAN LAIN?

Salam pada semua,

Hari ini tepat jam 12.01 pagi tadi ;01 November 2008, Kerajaan Malaysia pimpinan BN sekali lagi menurunkan harga minyak untuk pasaran negara ini untuk kali ke 4 semenjak harga minyak dinaikkan secara 'melampau' daripada RM 1.92 kepada harga RM 2.70. Kenaikan harga minyak ini yang dibuat 4 bulan lalu benar-benar telah membuatkan rakyat di negara ini sengsara dengan kos kenaikan barang pengguna dan pengangkutan yang lain turut dinaikkan sama.

Semalam ketika mesyuarat mingguan Kabinet Malaysia telah membuat keputusan agar harga minyak sekali lagi diturunkan sebanyak 15 sen. Menurut kenyataan media yang dikeluarkan, penurunan harga minyak ini adalah selaras dengan penurunan harga di peringkat dunia.Penurunan harga minyak secara berperingkat-peringkat sebenarnya tidak begitu efektif kepada rakyat.

Penurunan harga yang sedikit tetap akan membebankan pengguna kerana didalam masa yang sama harga barangan lain tetap berada ditahap ketika harga mula-mula dinaikkan. Kalau kita melihat trend pelarasan harga yang dibuat sejak diturunkan kali pertama pada Ogos lalu tidak menggambarkan kepekaan kerajaan kepada rakyat. Berikut adalah pelarasan-pelarasan harga minyak yang telah dibuat oleh kerajaan:

PELARASAN HARGA KALI PERTAMA PADA 23 OGOS 2008:
Harga yang diturunkan ini untuk 'persiapan' rakyat menghadapi bulan Ramadhan pada 01/09/2008 yang mana harga runcit petrol RON97 diturunkan 15 sen seliter daripada RM2.70 kepada RM2.55, RON92 dikurangkan 22 sen seliter daripada RM2.62 kepada RM2.40, manakala diesel lapan sen seliter daripada RM2.58 kepada RM2.50.

PELARASAN HARGA KALI KEDUA PADA 25 SEPTEMBER 2008:
Harga ini diturunkan untuk menghadapi Hari Raya pada 01/10/2008 dimana ianya hanya membabitkan penurunan harga runcit petrol dan diesel 10 sen seliter menjadikan petrol RON97 RM2.45 seliter, RON92 (RM2.30) dan diesel (RM2.40).

PELARASAN KE TIGA PADA 14 OKTOBER 2008:
Selepas raya & juga untuk menghadapi Deepavali, kerajaan sekali lagi bertindak menurunkan harga pada kadar harga petrol RON97 dikurangkan 15 sen seliter daripada RM2.45 kepada RM2.30, petrol RON92 turun 10 sen seliter daripada RM2.30 kepada RM2.20, manakala diesel sebanyak 20 sen seliter daripada RM2.40 kepada RM2.20.

PELARASAN TERKINI PADA 01 NOVEMBER 2008:
Harga petrol RON97 dikurangkan daripada 2.30 seliter kepada 2.15 seliter, RON92 dikurangkan RM2.20 kepada RM2.05 seliter. Manakala diesel pula daripada RM2.20 seliter kepada RM2.05 seliter.

Sebagaimana yang selalu dikatakan oleh Menteri yang bertanggungjawab pada pengguna ini, kerajaan perlu berbincang dan mengkaji terlebih dahulu sebelum usaha-usaha penurunan harga itu boleh dilakukan. Ini kerana faktor penurunan harga minyak perlu di ambil kira pada semua aspek.Adalah amat menghairankan apabila kenyataan yang sebegini dijadikan sebagai satu alasan utama ketika ditanya tentang penurunan harga minyak tetapi kenapa ketika mahu menaikkan harga minyak, segala aspek terutamanya kesusahan dan penderitaan rakyat sedikit pun tidak dijadikan asas perkiraan?

Hakikat yang sebenarnya kerajaan BN ini teramat panik dan takut apabila harga minyak dipasaran dunia naik suatu ketika dulu, sedangkan laporan dunia ada menyatakan yang kenaikan harga minyak dipasaran dunia itu dulu hanyalah bersifat sementara dan sebagai kerajan yang selalu mengakui amat cekap memerintah negara sepatutnya kerajaan mengambil langkah 'bertahan' terlebih dahulu dengan harga lama (RM 1.92) dan saya amat yakin kerajaan boleh menurunkan lagi harga minyak sehingga ke paras harga RM 1.70.

Berdasarkan laporan APEC dan mengambil kira faktor simpanan semasa minyak dunia dan mengambil kira juga faktor antarabangsa di negara-negara Teluk, di Amerika Syarikat dan sebagainya, Harga minyak dinegara kita pada ketika itu ialah RM1.92 bersamaan pasaran harga minyak dunia sekitar 70-80 dolar setong, cuba tengok pula sekarang ini pasaran harga minyak dunia ialah sekitar 60-70 dolar sahaja setong, Tetapi sekarang kerajaan BN boleh menunjuk kepada semua sekarang yang harga minyak yang dinaikkan 'gila segila gilanya' dulu RM2.70 sudah boleh diturunkan balik sekarang!Tetapi kerajaan lupa untuk melihat kesan kenaikan harga barangan yang lain turut melambung kenaikan harganya!

Kini, walaupun harga minyak sudah masuk kali ke empat diturunkan namun adakah harga barangan lain turut turun? Jawapannya TIDAK malahan ada sesetengah harga barangan makin naik di luar pengetahuan kita sebagai pengguna! Walaupun merayu atau diadakan kempen penurunan harga barangan lain oleh Menteri itu sendiri, namun harganya tetap sama...tetap tidak turun lagi....