Saturday, July 31, 2010

BONGGOL JALAN DIPERLUKAN DI HADAPAN SK KERAYONG



Gambar jalan utama Bera-Temerloh yang diambil di hadapan SK Kerayong (sebelah kanan) & SMK Sri Bera (sebelah kiri).

BANDAR BERA, 31 JULAI 2010:

Pihak berwajib seperti Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Majlis Daerah Bera (MDB) disarankan agar dapat membina segera beberapa buah bonggol di laluan utama Temerloh-Bera di hadapan Sekolah Kebangsaan Kerayong dan juga Sekolah Menengah Sri Bera.

Langkah ini adalah bertujuan untuk menghalang daripada pemandu kenderaan secara melulu dan laju ketika melalui jalan tersebut. Kejadian beberapa kemalangan yang berlaku sebelum ini disepanjang hadapan kedua sekolah tersebut haruslah dipandang serius.

Pihak berwajib seharusnya memikirkan langkah ini secara positif bagi mencegah kemungkinan yang lebih teruk lagi daripada berlaku apatah lagi kawasan tersebut agak sibuk dengan pelajar-pelajar sekolah terutamanya ketika diwaktu pagi dan tengahari persekolahan.

Pada pandangan Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Cabang Bera, pembinaan bonggol di sesebuah laluan utama ini bukanlah sesuatu yang luar biasa atau pun pelik kerana keadaan ini telah lama dipraktikkan di Selayang, Rawang, Kajang, Kuala Langat serta di hadapan sekitar Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di tengah bandaraya Kuala Lumpur juga telah lama di pasand bonggol-bonggol tersebut bagi mengelak daripada pemandu memecut kenderaan tanpa kawalan serta membahayakan orang ramai.

KOMPLEKS IPD BERA SUDAH HAMPIR SIAP





Antara gambar-gambar terkini Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bera & Kuarters yang sudah hampir disiapkan.

BANDAR BERA, 31 JULAI 2010:

Walaupun telah mengalami kelewatan yang amat ketara untuk menyiapkan bangunan Kompleks Ibu Pejabat Daerah Polis Bera (sepatutnya disiapkan sejak tahun lepas lagi), ianya tidak menghalang pihak kontraktor yang bersungguh-sungguh untuk menyelesaikan kerja-kerja pembinaan IPD Bera tersebut.

Dalam tinjauan yang dilakukan oleh Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Cabang Bera semalam, hampir 85% kerja-kerja pembinaan telah pun siap manakala kerja-kerja pengujian dan penerimaan mekanikal dan elektrik terhadap bangunan utama telah pun berlangsung sehingga kini.

Di percayai bangunan IPD serta kuarters kakitangan polis ini akan diserah untuk diduduki menjelang akhir tahun ini.

Pembinaan IPD Bera yang baru ini yang menelan perbelanjaan sehingga RM 60 Juta telah pun bermula semenjak awal tahun 2007 lagi adalah merupakan antara mercu tanda Bera yang terkini didaerah termuda didalam negeri Pahang ini.

Wednesday, July 28, 2010

STESEN-STESEN BAS DI BERA HEBAT TETAPI BAS TIADA!


Stesen Bas Utama Bandar Bera, Kerayong kelihatan lengang kerana ketiadaan bas.
Stesen Bas Triang yang begitu selesa dan moden kelihatan lengang kerana ketiadaan bas.

BANDAR BERA, 28 JULAI 2010:

Hampir kebanyakan penduduk di daerah Bera mengetahui bahawa daerah ini mempunyai dua buah Stesen bas yang dikira agak baru dan selesa iaitu terletak di Bandar Bera dan juga di Triang.

Tetapi yang menjadi persoalannya ialah sungguh pun stesen-stesen bas tersebut begitu moden dan baru, kekurangan dan ketiadaan bas untuk ke beberapa destinasi didalam daerah dan luar daerah ini terus menjadi persoalan orang ramai.

Sehingga kini hanya terdapat bas yang beroperasi dari Bandar Temerloh yang menghubungkan secara terus ke Bandar Bera, Triang dan beberapa perkampungan felda seperti Mayam, Purun serta Sebertak.

Manakala bas daripada pekan Bahau Jempol turut menjalankan perkhidmatannya yang menghubungkan Bahau dengan Bandar Bera, Triang serta Kemayan, felda Bukit Mendi dan Tembangau.

Dengan hanya mengharapkan perkhidmatan bas dari kedua-dua daerah tersebut sudah pasti akan merugikan masa pengguna untuk ke destinasi yang lain kerana jarak kedua-dua daerah tersebut yang jauh pasti akan mengambil masa yang lama untuk sesebuah bas tersebut tiba di daerah Bera ini.

Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Cabang Bera melahirkan rasa kesal dan hairan kenapa tiadanya syarikat bas yang beroperasi secara terus dari daerah Bera ini juga adalah antara punca utama kenapa perkhidmatan awam didaerah ini sangat lemah dan ini juga antara punca yang tidak membantu untuk menjadikan Bera sebagai daerah yang mempunyai destinasi pelancongan yang hebat walaupun daerah ini memiliki Tasik Bera yang cukup dikenali ramai.

Sepatutnya sudah tiba masanya daerah Bera ini mempunyai satu rangkaian perkhidmatan basnya sendiri untuk kemudahan pengguna terutamanya para pelancong.

Dengan status YB Ahli Parlimen Bera sebagai salah seorang daripada Menteri Kabinet Persekutuan, sudah pasti campur tangan beliau untuk mengadakan satu perkhidmatan bas sendiri didaerah Bera ini amatlah diperlukan sekarang.

Gambar-gambar yang disertakan disini adalah antara bukti bahawa perkhidmatan awam seperti bas disini amatlah diperlukan dan usahlah dibiarkan selamanya kedua-dua stesen bas ini dipenuhi oleh kenderaan yang lain selain daripada bas!

PERSIMPANGAN LAMPU ISYARAT BANDAR BERA KOTOR




BANDAR BERA, 28 JULAI 2010:

Kita tidak tahu dimana silapnya apabila didapati persimpangan utama di lampu isyarat Bandar Bera kelihatan begitu kotor dengan segala tumpahan simen, batu bata dan sampah yang jelas kelihatan diatas jalan. Beberapa keping gambar diatas jelas menunjukkan keadaan tersebut.

Limpahan batu bata dan tumpahan simen tersebut dipercayai akibat daripada lori-lori yang menghantar bekalan bahan tersebut sebelum ini ke tapak-tapak projek yang berhampiran.

Seharusnya pihak yang berwajib seperti pihak Roadcare selaku pengendali untuk kerja-kerja penyelenggaraan jalan di daerah ini mengambil langkah cepat untuk membuang serta membersih kotoran sebagaimana yang ditunjukkan didalam gambar diatas.

Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Cabang Bera menggesa agar Jabatan Kerja Raya (JKR) selaku pihak berkuasa kerajaan turut memantau perkembangan ini disamping memberi peringatan kepada lori-lori yang terbabit agar lebih berhati-hati di masa akan datang.

Kekotoran serta limpahan batu bata dan simen juga boleh mengakibatkan kemalangan kepada pengguna-pengguna jalanraya yang kecil seperti penunggang motorsikal dan juga basikal.

'SELAMATKAN MALAYSIA' ANJURAN UMNO BAKAL TONJOLKAN RAMAI BADUT

PORT DICKSON 28 Julai 2010:

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata beliau menyokong program 'Selamatkan Selangor' kerana ia adalah peluang terbaik mendedahkan badut serta pelawak daripada Umno-Barisan Nasional dan membuktikan bahawa pembaharuan yang di bawa kerajaan negeri Pakatan Rakyat sememangnya memberi faedah kepada rakyat.

Kata beliau program anjuran Umno-BN Selangor itu hanya satu gimik kerana sebenarnya yang ingin diselamatkan ialah Umno atas kegagalan parti itu mentadbir negeri itu secara telus dan adil sejak 50 tahun lalu.

"Kita gembira untuk Umno-BN kerana menganjurkan program jelajah ini kerana program ini akan menonjolkan lebih banyak lagi badut-badut politik dan kita akan seronok dan berpeluang menonton badut-badu' ini beraksi.

"Rakyat kini sedar dan dapat membandingkan kerajaan dahulu dan sekarang, mereka tahu siapa yang benar berkhidmat untuk rakyat dan sebaliknya," komen beliau kepada Suara Keadilan ktika ditemui di program Pemukiman KEADILAN di Port Dickson Ahad lalu.

Abdul Khalid turut berkata pertarungan antara pemimpin Umno-BN di Selangor jelas menunjukkan perpecahan di kalangan mereka.

"Senario ini menunjukkan satu bentuk perlumbaan untuk mengisi pucuk kepimpinan Umno-BN Selangor kerana kini parti itu dikemudi Perdana Menteri dan Timbalannya.

"Ada pecahan di dalam Umno-BN Selangor, ada kumpulan yang merasakan Datuk Seri Dr Khir Toyo patut menjadi juru kemudinya, ada yang mengatakan Datuk Seri Nor Omar patut mengemudinya. Kini, Ezam Mohd Nor pula tampil mengatakan dia juga patut diberi peluang yang sama mengemudi Selangor.

"Tujuan mereka ini amat jelas, bukannya 'Selamatkan Selangor' tapi sebenarnya 'Selamatkan Umno'," kata beliau lagi.

Tambah Menteri Besar lagi, tindakan Umno-BN Selangor mengadakan program tersebut membuktikan ia terdesak dan terpaksa memperakui usaha kerajaan negeri Pakatan Rakyat Selangor sehingga kini telah membuahkan hasil seperti yang dirancang.

"Ini kerana kalau kita tidak berjaya berkhidmat kepada rakyat dengan baik sudah tentunya Umno-BN Selangor akan berdiam diri sahaja. Tetapi kita berjaya dan kejayaan ini telah membuatkan mereka marah dan tidak senang duduk," kata Abdul Khalid.

Berkenaan isu pasir, beliau menjelaskan satu ketika dahulu hampir kesemua lombong pasir, samada berpermit mahupun haram dipunyai oleh kroni Umno-BN.

Setelah kerajaan negeri Pakatan Rakyat mengambil-alih Selangor sejak 2008, hanya kroni Umno-BN yang mampu mengelakkan daripada ditangkap meneruskan operasi lombong haram.

"Dulu semasa kerajaan negeri Umno-BN, mereka tidak berbuat apapun membangunkan sektor perlombongan pasir, tida ada apa-apa diskusi mengenainya.

"Sekarang, mereka tak habis-habis mengkritik kita, tindakan mereka itu bukannya membuat kita hentikan usaha malah kita akan tingkatkan lagi usaha untuk berkhidmat dengan lebih efektif.

"Sekarang dia marahkan kita kerana wang saku kroni sudah berkurangan kerana tak dapat meneruskan perlombongan haram. Adakah patut kita membiarkan begitu sahaja tanpa berbuat apa-apa?" tegas beliau lagi.


* Sumber http://Suara-Keadilan.com

Friday, July 16, 2010

KENAPA TIDAK DIBAHAS DI PARLIMEN? - KEADILAN BERA

BANDAR BERA / 16 JULAI 2010:

Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Cabang Bera melahirkan rasa kesal kerana pengumuman kenaikan harga minyak, gula dan gas cecair (LPG) dibuat selepas sahaja persidangan Parlimen berakhir semalam.

Seharusnya pihak kerajaan lebih 'bijaksana' memikirkan cara didalam usaha untuk menaikkan harga barangan ini dengan membahaskan dulu kewajarannya di Dewan Rakyat dengan memberi peluang kepada semua ahli-ahli dewan berbahas dan tidak melakukannya secara tergesa-gesa seperti semalam.

Walaupun harga yang dinaikkan itu tidaklah kelihatan seperti ‘membebankan’ rakyat tetapi kesan kepada semua sektor perkhidmatan selepas ini pasti akan turut terlibat sama dan sudah pasti yang menjadi mangsa akhirnya adalah rakyat bawahan juga.

ANWAR ARAH JENTERA PILIHANRAYA SIAP SIAGA HADAPI P/RAYA SARAWAK

KUALA LUMPUR 16 Julai 2010:

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta pengarah pilihan raya bagi parti dalam Pakatan Rakyat pada setiap peringkat untuk membuat persiapan bagi menghadapi pilihan raya negeri Sarawak yang dijangkakan dalam masa yang terdekat.

"Walaupun Majlis Pakatan Rakyat Sarawak telah dilancarkan sebelum ini, namun secara rasmi, pembentukannya akan dilancarkannya pada 18 Julai depan," kata Anwar dalam sidang media di pejabat Ketua Pembangkang di Parlimen, Rabu lalu.

Beliau sebelum itu mempengerusikan mesyuarat pimpinan Pakatan Rakyat yang dihadiri TimbalanPresiden KEADILAN, Senator Dr Syed Husin Ali, Setiausaha Agung KEADILAN, Saifuddin Nasution Ismail, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Timbalan Presiden PAS, Nasharudin Mat Isa, Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang serta pimpanan kanan Pakatan Rakyat.

Anwar juga memaklumkan Konvensyen Pakatan Rakyat Kedua akan diadakan pada hujung tahun ini. Konvensyen Pakatan Rakyat julung kali diadakan pada 19 Disember 2009 di Shah Alam.

Pada konvensyen tersebut Pakatan Rakyat mencapai persetujuan bersama dalam perkara asas perjuangan menuntut keadilan, ketelusan dan kesaksamaan di samping melakar strategi menawan Putrajaya pada pilihan raya umum ke-13 kelak.


* Sumber http://Suara-Keadilan.com

UMNO-BN KABURI KENAIKAN HARGA PETROL & BARANGAN DENGAN ISU CURI PASIR

SHAH ALAM:

Rakyat hari ini dikejutkan dengan kenaikkan harga petrol sebanyak 5 sen bagi petrol dan diesel yang akan berkuatkuasa tengah malam ini.

Keputusan yang dibuat secara drastik ini menunjukkan kerajaan Umno-Barisan Nasional seolah-olah cuba menutup isu kenaikkan bahan bakar itu dengan memperbesar-besarkan isu penyelewengan pasir di Selangor.

Timbalan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri, Syed Shahir Syed Mohamud yang dihubungi Suara Keadilan berkata tindakan Umno-BN yang memperbesarkan isu curi pasir dengan cara yang cukup licik untuk menutup kelemahan dalam isu berkaitan kepentingan rakyat.

"Tindakan menaikkan harga petrol ini sebenarnya akan menyebabkan kesan dan impak negatif kepada rakyat bawahan.

"Pakatan Rakyat memandang serius perkara ini memandangkan rakyat di bawah semakin tidak selesa dengan tindakan itu yang akan menyebabkan kos barangan lain meningkat," ujar beliau.

Kenaikan itu katanya akan menimbulkan kemarahan rakyat bawahan terhadap kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang sebelum ini mewar-warkan gagasan 1Malaysia yang kononnya mendahulukan rakyat.

Mengenai isu penyelewengan pasir di Selangor, Syed Shahir berkata prinsip Pakatan Rakyat sememangnya menentang segala bentuk penyelewengan.

"Isu penyelewengan pasir ini bukan isu semalam tetapi telah berlaku hampir 30 hingga 40 tahun lepas semasa zaman Umno-BN menjadi kerajaan di Selangor

"Bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr Khir Toyo nampaknya ingin menjadi juara dalam hal ini sedangkan semasa beliau menjadi Menteri Besar tidak ada sebarang usaha yang dibuat dalam memerangi isu penyelewengan dan kecurian pasir di negeri ini.

"Kita tidak mahu menutup isu ini bahkan kita menentang kerana ia bukan sahaja memberi kesan kepada orang ramai tetapi juga kepada alam semulajadi," tegas beliau.

Beliau juga mneyeru pihak berkuasa seperti polis, Jabatan Alam Sekitar dan kerajaan negeri khususnya agar mengambil tindakan yang tegas terhadap pihak yang terbabit dalam kegiatan mencuri pasir.


* Sumber http://Suara-Keadilan.com

Thursday, July 15, 2010

UMNO JANGAN MENGIKUT EMOSI! - KATA KEADILAN BERA

Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Cabang Bera memandang serius dengan cabaran yang dibuat oleh Exco Hal Ehwal Pertanian, Industri Asas Tani dan Hal Ehwal Felda Pahang, Dato’ Tan Aminuddin Ishak di Perhimpunan Membantah Provokasi Suara Keadilan yang di adakan di Jengka 23 kelmarin sebagaimana yang tersiar di akhbar Sinar Harian – Zon Maran, 15 Julai 2010.

Didalam program tersebut mencabar agar penyokong pembangkang di kalangan peneroka yang cuba untuk memecah belahkan keharmonian masyarakat Felda dengan kewujudan isu ‘Felda Bankrap’ ini agar menyerahkan semula geran milik mereka kepada Felda.

Cabaran tersebut memperlihatkan seolah-olah UMNO di negeri ini sudah tidak senang duduk dengan setiap pendedahan yang disiarkan itu. Didalam masa yang sama juga seolah-olah UMNO cuba menyekat hak kebebasan masyarakat felda untuk menyokong parti selain daripada UMNO ini.

KEADILAN Cabang Bera tidak melihat setiap tindakan yang berlawanan dengan UMNO itu sebagai penentangan secara membabi buta tetapi ianya lebih kepada membetulkan keadaan sebagaimana yang didakwa tersebut.

Seharusnya UMNO cuba mencari apa yang tidak betul didalam Felda itu sebagaimana yang didakwa dan berusaha untuk memperbaikinya dan bukannya bertindak serta bercakap mengikut emosi seperti yang berlaku kelmarin.


PETIKAN AKHBAR SINAR HARIAN – ZON MARAN
15 JULAI 2010 / KHAMIS


JENGKA 23 – Penyokong parti pembangkang dalam kalangan peneroka yang menjadi pencetus kepada perpecahan keharmonian warga Felda dengan kewujudan isu ‘Felda Bankrap’ dicabar untuk menyerahkan semula geran milik mereka kepada Felda.

Ini dinyatakan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Hal Ehwal Felda Pahang, Datuk Tan Mohd Aminuddin Ishak dalam ucapannya di Perhimpunan Membantah Provokasi Suara Keadilan di Jengka 23, kelmarin.

Lebih 600 peneroka di seluruh Felda Wilayah Jengka berhimpun secara aman untuk membantah tuduhan pembangkang melalui akhbar Suara Keadilan mengatakan ‘Felda bankrap’.

Perhimpunan itu turut menyatakan sokongan mereka kepada tindakan kerajaan menyaman parti pembangkang dan akhbar itu berhubung artikel yang menjejaskan keharmonian yang dikecap warga Felda.

Turut hadir, Ahli Lembaga Koperasi Permodalan Felda Berhad, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jengka, Wan Salman Wan Ismail, ADUN Kuala Sentul, Datuk Shahaniza Shamsuddin dan Pengurus Besar Felda Wilayah Jengka, Saari Din.

TEKANAN TIGA SERANGKAI KDN BABITKAN SUARA KEADILAN, HARAKAH, THE ROCKET

SHAH ALAM:

Selepas menggunakan pelbagai ruang untuk menyekat penebitan akhbar rasmi KEADILAN, Suara Keadilan dan akhbar rasmi PAS, Harakah dengan pelbagai ugutan dan tekanan, Kementerian Dalam Negeri (KDN) sekali lagi meneruskan sikap bacul mereka dengan menekan akhbar suara rasmi DAP, The Rocket pula.

The Rocket menerima dua surat tunjuk sebab dari pihak KDN atas alasan parti itu telah melanggar syarat permit penerbitan di bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 yang telah tamat tempoh sah laku pada 30 Jun lepas.

Permit akhbar DAP edisi versi Melayu berakhir pada September depan manakala versi Cina telah luput pada November tahun lalu.

Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP, Tony Pua berkata DAP telah menghantar permohonan untuk memperbaharui permit setahun yang lalu iaitu pada 10 Julai 2009.

"Selepas kita menghantar kelulusan tersebut, kita hanya menerima kelulusan untuk akhbar edisi bahasa Malaysia pada 10 Jun 2010 yang mana selepas hampir setahun baru kami diberitahu permit itu diluluskan tetapi malangnya pada September tahun ini akan tamat.

"Manakala untuk edisi bahasa Cina dan bahasa Inggeris masih tidak lagi diluluskan sehingga sekarang," kata Tony pada sidsang media di parlimen hari ini.

Menurutnya, awal minggu depan Jawatankuasa Pusat DAP akan bermesyuarat berhubung tindakan seterusnya dan akan cuba membuat perjumpaan dengan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein untuk berbincang apakah cara terbaik untuk menyelesaikan isu permit dan penerbitan akhbar rasmi parti itu.

Dalam sidang media yang sama, Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh berkata DAP mengambil serius berhubung surat yang diterima daripada KDN kerana permohonan telah dibuat untuk memperbaharui permit dan parti tidak menerima sebarang respon dari pihak KDN sehinggalah DAP membuat permohonan itu.

Petang Isnin, dua pegawai KDN melawat ibupejabat DAP di Petaling Jaya dan menyerahkan surat tunjuk sebab kepada editor Rocket - versi bahasa Cina.

Surat itu menuntut penjelasan mengapa parti itu meneruskan penerbitannya meskipun tempoh permitnya telah berakhir.

Sekiranya penjelasan yang diberikan tidak memuaskan, Rocket besar kemungkinan juga menghadapi tindakan digantung.

Sebelum ini, dua lagi organ Pakatan Rakyat, Suara Keadilan yang dimiliki KEADILAN digantung manakala Harakah yang dimiliki oleh PAS diberi dua surat tunjuk sebab.

Dalam hal yang sama, Harakah semala menjawab surat tunjuk sebab kedua daripada KDN berhubung penerbitan dan pengedaran akhbar itu yang telah tamat tempoh permit.

Pengerusi Jemaah Pengarah Harakah, Datuk Mustafa Ali dan Pengarah Urusan, Datuk Kamaruddin Jaffar dipanggil KDN kerana tetap meneruskan penerbitan akhbar itu meskipun permitnya tidak diperbaharui.


* Sumber http://Suara-Keadilan.com

PAKATAN RAKYAT PUTUSKAN HENTI SEMUA TERBITAN AKHBAR RASMI PARTI SEMENTARA WAKTU

KUALA LUMPUR:

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini memutuskan ketiga-tiga akhbar rasmi parti - Suara Keadilan, Harakah dan The Roket dihentikan terbitannya mulai minggu ini sehingga mendapat keputusan rasmi daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Keputusan bersama itu dicapai pada Mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat yang diadakah di parlimen petang tadi.

"Kita putuskan untuk hentikan penerbitan ketiga-tiga akhbar rasmi dari parti Pakatan Rakyat iaitu Suara Keadilan, Harakah dan Roket.

"Penangguhan ini di ambil sehingga kita mendapat keputusan rasmi dari KDN, Kita akan membuat satu pertemuan dengan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein bagi membincangkan masalah permit terhadap ketiga-tiga akhbar tersebut.

"Wakil dari ketiga-tiga parti di dalam Pakatan akan bertemu dan berbincang dengan Hishammuddin bagi mencari penyelesaian yang terbaik.

"Pada perjumpaan tersebut kita akan menjawab setiap persoalan yang ditimbulkan oleh KDN dan berharap tindakan segera ini boleh memyelesaikan kekusutan yang berlaku. Kita akan mengikut kesemua peruntukan yang ditetapkan, kita berharap pertemuan ini dapat disegerakan.

"Kita mahu penyelesaian yang sewajarnya diberikan oleh Menteri terbabit agar menunjukkan negara ini mengamalkan sistem demokrasi serta tidak menekan kebebasan media," jelasnya.

Tambah Anwar lagi pihak parti akan mengkaji semula tindakan yang bakal diambil minggu hadapan setelah penanggguhan penerbitan akhbar tersebut.

Ketika ditanya berkenaan dengan tindakan pihak polis ingin bertemu dengan Pengarang Suara Keadilan, Dzulkarnain Taib, Anwar menjelaskan pihaknya tidak mempunyai masalah dan memberi kerjasama yang sepenuhnya.

"Kalau polis nak siasat itu hak dia dan kita akan bagi kerjasama, bagi saya banyak lagi kes jenayah yang belum selesai tetapi polis masih lagi menumpukan kerja mereka menekan Pakatan Rakyat," sambungnya.


* Sumber http://Suara-Keadilan.com

Wednesday, July 14, 2010

PEMILIHAN PIMPINAN PARTI 2010

PEMILIHAN PIMPINAN PARTI 2010:

Parti akan mengadakan pemilihan pimpinan di peringkat Cabang dan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) pada tahun 2010 ini (Pemilihan 2010).

Proses pemilihan kali ini akan berdasarkan perlembagaan KEADILAN yang telah dipinda dan diluluskan di dalam Kongres Nasional Khas 2009 serta oleh pihak Pendaftar Pertubuhan pada 28 April 2010.

Pindaan perlembagaan KEADILAN ini menterjemahkan hasrat Parti untuk menjadi sebuah badan parti politik yang lebih demokratik dan diwakili oleh suara ramai anggota-anggota Parti dalam proses pemilihan pimpinannya.

Seperti mana lazimnya dan menurut kehendak perlembagaan Parti, pemilihan pimpinan Cabang akan diadakan dalam Mesyuarat Agung Tahunan Cabang (MATC) tahun 2010. Pemilihan pimpinan MPP pula adalah menerusi suatu sesi undian khas yang akan melibatkan keanggotaan Parti secara langsung.

Tarikh Pemilihan Cabang

Tarikh/ Perkara

7 Julai 2010: Tarikh akhir pengeluaran notis mengadakan MATC dan Pemilihan Oleh Ibu Pejabat kepada Cabang

6 Ogos 2010: Tarikh akhir pengeluaran notis MATC dan Pemilihan oleh Cabang

13 Ogos 2010: Tarikh mula pengeluaran Borang Pencalonan oleh Cabang

27 Ogos 2010: Tarikh akhir bagi pengemukaan Borang Pencalonan Pemilihan Cabang

3 Sep 2010: Tarikh akhir bagi Calon Sementara dipamer di pejabat Cabang

10 Sep 2010: Tarikh akhir bagi Senarai Calon dipamer di pejabat Cabang

17 Sep 2010: Tarikh mula MATC dan Pemilihan Cabang

--------------------------------------------------------------------------------

Tarikh Pemilihan Majlis Pimpinan Pusat (MPP)

Tarikh/ Perkara

9 Oktober 2010: Tarikh akhir penerimaan pencalonan MPP dari Cabang

16 Oktober 2010: Tarikh akhir bagi Senarai Calon Sementara dikeluarkan

23 Oktober 2010: Tarikh akhir Senarai Calon Muktamad dikeluarkan

30 Oktober 2010: Tarikh mula Pemilihan MPP 2010

20 November 2010: Tarikh akhir Pemilihan MPP 2010

27 November 2010: Tarikh Kongres Nasional Tahunan 2010


* Sumber http://www.keadilanrakyat.org

ANWAR: FITNAH TERBARU UTUSAN BONGKAR RASA DENDAM, BENCI MENDALAM

SHAH ALAM:

Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan fitnah terbaru Umno-Barisan terhadap dirinya melalui apparatus propaganda mereka, Utusan Malaysia yang dipintal daripada sebuah blog menunjukkan ketandusan idea dan hilang integriti sebagai sebuah organisasi media yang bebas.

Ketika menghantar komen beliau semasa mengerjakan ibadah umrah di Mekah bersama Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail, Anwar berkata kempen fitnah yang dilancarkan Utusan Malaysia sekian lama terhadapnya hanya semata-mata berasaskan dendam dan kebencian.

"Alhamdulillah saya dan Azizah dapat menunaikan ibadat umrah dengan tenang. Doa kami moga umrah mabrur, sa'i mashkur dan amalan solehah.

"Rupa-rupanya tatkala di Makkah al Mukarramah, serangan fitnah bertali arus ditujukan kepada peribadi saya. Namun apa yang baru? Pencak mereka hanyalah fitnah, jika tidak agen Cina, India pastinya tali barut CIA. Khabar ini langsung tidak mengejutkan. Apatah lagi walau Umno-BN punyai dana puluhan juta, kemiskinan idea begitu terserlah apabila mahu memintal fitnah.

"Hanya dengan mengutip tulisan blog Elaine Supkis (kononnya blog terkenal) dan kenyataan seseorang yang bernama Joshua Trevino, Utusan Malaysia milik Umno, tanpa berpandukan etika kewartawanan mulai satu kempen dangkal dan berakarkan kebencian.

"Terpampang di muka hadapan fitnah 'Anwar Agen CIA'. Pimpinan Umno pula bersahuti-sahutan menyokong. Tidakkah mereka sedar rakyat Malaysia mual untuk disogok dengan berita sedemikian. Hari ini terungkailah segala pembohongan yang dipintal serta dianyam pimpinan Umno yang diketuai Dato' Sri Najib Razak. CNN telahpun mengeluarkan satu kenyataan bahawa organisasi media tersebut tidak menerima sebarang bentuk bayaran dari saya. Kemunculan saya untuk ruang 'Connect The World' merupakan keputusan penerbit program tersebut," jelas Anwar.

Anwar menegaskan penafian keras yang dibuat CNN mendedahkan perancangan Utusan Malaysia untuk terus merencana fitnah ke atas beliau.

"Penafian CNN bukan sahaja meruntuhkan bongkah penipuan media berhaluan kanan ekstrem seperti New Ledger, namun mendedahkan makar Utusan selaku lidah rasmi Umno yang berusaha memfitnah saya. Malahan organisasi CNN yang berpengkalan di Hong Kong berpandangan adalah janggal mengapa tiada usaha dari pihak Utusan untuk mendapatkan kepastian dari pihak mereka. Namun bagi kita tidaklah mengejutkan kerana mengetahui peranan Utusan yang selama ini sudahpun luluh integritinya sebagai sebuah organisasi yang bebas," kata Ketua Pembangkang lagi.



* Sumber http://Suara-Keadilan.com

JAWATANKUASA KHAS RASUAH SERAH LAPORAN

KUALA LUMPUR:

Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah mengemukakan laporan mengenai operasi tahun pertama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kepada Dewan Rakyat dan Dewan Negara hari ini.

Perkara itu dimaklumkan Pengerusinya, Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad dalam satu sidang media di lobi Parlimen hari ini.

"Pada hari ini laporan jawatankuasa mengenai rasuah dikemukakan kepada kedua-dua dewan. Ini merupakan satu sejarah sejak SPRM ditubuhkan pada Januari 2009 dan telah menjalankan tugas selama setahun," katanya.

Menurutnya, jawatankuasa yang dianggotai beberapa wakil dari Barisan Nasional, PAS, PKR, DAP itu telah bermesyuarat sebanyak enam kali sebelum menghasilkan laporan yang dikemukakan itu.

"Laporan SPRM dikemukakan kepada kami pada 26 April 2010 dan kita telah bermesyuarat sebanyak 6 kali dan hasilnya, laporan diserah kepada Perdana Menteri dan kepada dewan untuk pengetahuan umum," katanya.

Jawatankuasa itu ujarnya, melihat prestasi SPRM boleh ditingkatkan jika semua pihak memberikankerjasama kepada mereka untuk menjalankan tugas.

"Berdasarkan laporan dan penjelasan daripada SPRM, kami mendapati pencapaian SPRM pada 2009 boleh dipertingkatkan," katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, laporan berkenaan boleh disentuh dan dibahaskan oleh ahli Parlimen di Dewan Rakyat.

PAS diwakili ahli Parlimen Kubang Kerian, Salahuddin Ayub dalam menganggotai jawatankuasa berkenaan, PKR diwakili Senator Zambri Yusuf, manakala Tan Seng Giaw mewakili DAP.

Minggu lepas, Ketua Whip DAP, Lim Kit Siang mencabar jawatankuasa berkenaan membentangkan laporannya.

Menurut Akta SPRM, jawatankuasa khas itu mengemukakan laporan tahunannya kepada perdana menteri yang kemudian akan membentangnya di Dewan Rakyat.


* Sumber http://harakahdaily.net

KONTRAK BELI GERABAK KERETAPI DIDAKWA MANGSAKAN DANA AWAM

KUALA LUMPUR:

Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad menegaskan kerajaan Umno-Barisan Nasional tidak patut memberikan kontrak pembelian gerabak keretapi elektrik kepada syarikat negara China, Zhuzhou Electric Locomotive Co Ltd, malah patut mengharamkan pembabitan syarikat tersebut di negara ini.

Ini berikutan beberapa percanggahan serius di dalam terma-terma pembelian yang diberi oleh Zhuzhou, tetapi anehnya kerajaan Umno-BN juga telah bersetuju dengan terma dan harga pembelian yang jauh lebih tinggi daripada persetujuan asal.

"Berkenaan artikel saya yang disiarkan dalam Harakah baru-baru ini, dan dikomen bekas Menteri Pengangkutan bahawa saya tidak meneliti fakta, saya ingin jelaskan kenapa saya berkata kerjaan Umno-BN patut batalkan belian dan haramkan Zhuzhou.

"Saya ingin tekankan di sini bahawa rakyat tuntut kebenaran, kenapa selepas rundingan terus Zhuzhou menawarkan harga lebih tinggi, kira-kira RM48 juta untuk setiap keretapi elektrik enam gerabak (EMU), berjumlah RM1.8 bilion untuk kesemua 38 unit," kata Dr Dzulkely pada sidang media semalam.

Jelas beliau lagi, pertama ialah pembatalan pembelian kerana keperluan pengangkutan awam bandar mengikut pelan Bidang Keberhasilan Utama Nasional (NKRA) yang jauh lebih tinggi, dan bukannya tidak diberi.

Kedua ialah isu jumlah pesanan dan perincian, di mana jumlah pesanan baru ialah 38 unit dengan enam gerabak seunit, berbanding dengan pesanan asal lapan unit dengan tiga gerabak seunit.

"Jika dibandingkan dengan model lama, yang baru ini hanya ada beberapa kamera litar tertutup (CCTV) tambahan dan skrin iklan tambahan, itu sahaja, kenapa pula harganya melonjak hingga tambahan kira-kira RM10 juta seunit?

"Saya tidak bandingkan epal dengan oren, itu tak masuk akal. Ini saya bandingkan epal dengan epal, tak jauh beza kedua-duanya," tambah Dr Dzulkefly.

Tambah beliau lagi, isu ketiga ialah Kementerian Kewangan telah mendesak dan membenarkan Kementerian Pengangkutan untuk mengadakan rundingan terus.

"Siapa di MOF yang membuat keputusan ini, kita perlu tahu.

"Ini satu keputusan melibatkan tambahan perbelanjaan wang rakyat kira-kira RM500 juta, yang saya khuatir akan hilang begitu sahaja," tegas beliau.

Beliau memberitahu kontrak pembelian ini tidak termasuk kontrak penyelenggaraan, pembaikan, dan 'overhaul' (MRO), yang mana kerajaan Umno-BN sepatutnya memasukkan MRO sekali dengan kontrak pembelian.

"Kerajaan Umno-BN patut belajar daripada kesilapan lalu di mana disebabkan kerajaan Umno-BN tidak mempunyai apa-apa perjanjian MRO dengan General Electric (GE), maka kesemua kos MRO terpaksa ditanggung oleh kerajaan yang mencecah belanja hampir sama dengan gerabak baru," kata beliau.

Sehubungan itu, beliau meminta Jawatankuasa Kira-kira Wang Awam (PAC) untuk menyiasat kesahihan apa sahaja kenyataan dan sidang media beliau berkaitan dengan isu ini dan mengharapkan siasatan rapi akan dijalankan agar wang rakyat tidak dibazirkan begitu sahaja.


* Sumber http://Suara-Keadilan.com

AKHBAR KEADILAN JADI REBUTAN DI PARLIMEN

KUALA LUMPUR:

Akhbar rasmi Parti Keadilan Rakyat, 'KEADILAN' yang diterbitkan oleh Angkatan Muda bukan sahaja diberikan secara percuma di sekitar Majlid Jamek pagi semalam anggota Dewan Rakyat juga berebut di bangunan Parlimen juga berebut untuk mendapatkan naskah mereka.

Pengedaran akhbar 24 mukasurat itu dilakukan selepas satu sidang media oleh Ahli Parlimen Batu, Tian Chua untuk memaklumlan mengenai kemunculan 'KEADILAN'.

Tian menjelaskan KEADILAN akan terus menerbitkan akhbar parti itu walaupun permit penerbitan Suara Keadilan telah tamat tempoh dan tidak diperbaharui Kememnterian Dalam Negeri sambil berkata KEADILAN tidak akan tunduk kepada tekanan KDN.

"Hari ini merupakan edaran akhbar rasmi KEADILAN iaitu 'KEADILAN' bagi menggantikan edisi Suara Keadilan, parti akan terus menerbitkan akhbar parti walaupun terdapat tekanan daripada KDN.

Sebagai pihak yang memperjuangkan hak rakyat dan kebebasan bersuara kita tidak akan tunduk dengan tekanan tersebut.

"Apa yang ingin dimaklumkan bahawa pagi tadi edisi ini telah diedarkan secara percuma kepada warga kota di sekitar Masjid Jamek dan kesempatan penerbitan yang baru ini kita akan edar akhbar ini secara percuma di parlimen.

"Kita tidak akan hentikan penerbitan sehingga mendapat keterangan sebenar terhadap kedudukan permit akhbar terbabit dari KDN. KDN tidak boleh mengambil apa-apa tindakan ke atas akhbar ini kerana ia adalah hak parti dan parti mempunyai kuasa untuk membuat terbitan," tegas Tian.

Sementara itu Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin memberitahu penerbitan akhbar ini tetap diteruskan dan ini adalah bagi memastikan setiap rakyat mendapat maklumat yang jelas mengenai isu yang berlaku di negara ini.

"Kita tidak akan tunduk kepada tekanan politik kotor Umno-Barisan Nasional, dasar yang diamalkan oleh Umno-BN adalah amat kejam kerana halangan bersuara dan mendengar.

"Kita akan pastikan akhbar rasmi KEADILAN ini akan terus berada dipasaran dan setiap rakyat berhak mendapat maklumat yang tepat mengenai apa jua penyelewengan yang berlaku didalam pentadbiran kerajaan bukannya berita yang telah diputar belit.

"Hari ini kita mahu KDN mengambil sikap yang lebih adil agar kelulusan penerbitan diberikan kepada Suara Keadilan. Kami kesal dengan tindak tanduk KDN yang tidak mengambil apa-apa tindakan terhadap akhbar arus perdana dan juga Suara Perkasa yang secara jelas mempunyai unsur hasutan dan perkauman," kata Zuraida.

Ahli Parlimen Subang, Sivarasa Rasiah pula menegaskan terbitan akhbar akan diteruskan dan beliau menyatakan kelewatan terbitan disebabkan oleh karenah KDN yang sentiasa membuat pemantauan kerana takut rakyat terus mendapat maklumat yang jelas terhadap pentadbiran kerajaan.

"Saya juga tegaskan kita terus terbit akhbar terbabit dan kelewatan terbitan ini disebabkan pemantauan yang dilakukan oleh KDN. Sikap sedemikian ini jelas Umno-BN menggunakan KDN untuk memastikan akhbar terbabit tidak diterbit bagi mengelak rakyat mendapat maklumat yang tepat.

"Sepatutnya KDN menggunakan saluran undang-undang yang betul jika ingin menghalang penerbitan bukan menggunakan kuasa politik pemimpin tertentu.

Sekarang jelas wujudnya tekanan politik kerana KEADILAN mahupun Suara Keadilan belum lagi disabitkan salah oleh Mahkamah tetapi KDN telah mengambil sikap yang terburu tanpa menunggu keputusan mahkamah," jelas Sivarasa.

Selepas sidang media tersebut Tian telah menyerahkan senaskah akhbar Keadilan kepada Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz yang ketika itu berada di lobi parlimen.



* Sumber http://Suara-Keadilan.com

Tuesday, July 13, 2010

'RETREAT' SAHKAN SOKONGAN MELAYU KEKAL KEPADA PAS

KUALA LUMPUR:

Pemukiman tiga hari PAS bermula Jumaat hingga Ahad lalu di Port Dickson merumuskan parti itu tidak mengalami penurunan sokongan Melayu seperti yang didakwa pihak tertentu.

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata berdasarkan analisis yang dibuat, sejak Pilihan Raya Umum (PRU) 1995 sehingga PRU 2008, undi Melayu terhadap PAS konsisten dan menyaksikan sedikit peningkatan.

"Pada PRU 1995 undi Melayu kepada PAS sekitar 38 hingga 40 peratus, 1999 kita mendapat lonjakan sehingga 55 peratus ekoran isu pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim dari kabinet.

"Pada PRU tahun 2008, sokongan Melayu terhadap PAS antara 42 hingga 46 peratus.

"Ini membuktikan bahawa PAS tidak kehilangan pengundi teras Melayu selama ini," katanya.

Beliau berkata demikian sebagai menolak dakwaan pihak tertentu bahawa PAS mengalami kemerosotan sokongan Melayu ekoran kerjasama parti itu dalam Pakatan Rakyat.

Dakwaan itu dibuat ekoran serangan hebat terhadap PAS oleh Umno ketika parti itu berusaha untuk mengekalkan kedudukannya walaupun sokongan untuk rakan-rakannya dalam BN hilang.

Dalam pilihan raya 2008, sokongan pengundi luar bandar kepada PAS tidak tinggi bukannya kerana mereka Melayu tetapi kerana maklumat dari PAS dan rakan-rakannya tidak sampai kepada mereka.

Mengulas lanjut Mahfuz berkata, PAS memperoleh 45 peratus sokongan Melayu pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Bukit Gantang sewaktu Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaludin menjadi calon.

"Itu tidak termasuk sokongan Melayu di Kelantan, kalau diambil kira Kelantan, sokongan Melayu lagi la tinggi," tambahnya lagi.

Pemukiman hujung minggu lalu itu disertai ahli Majlis Syura PAS serta Presiden dan AJK PAS pusat yang lain.

Ianya antara lain bagi merangka persedian PAS menghadapi PRU ke-13.

Dalam pada itu retreat tersebut juga merumuskan bahawa yang menghakis kepentingan Melayu seperti termaktub dalam perkara 153 Perlembagaan adalah Umno BN.

Menurutnya, isu memperkenal Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) dan isu penukaran sistem kemasukan ke IPT dari kuota ke meritokrasi antara contoh penghakisan hak Melayu oleh Umno BN.

Sehubungan itu jelasnya, atas sebab itu PAS juga memutuskan akan memulakan usaha lebih konstruktif melindungi hak orang Melayu yang termaktub dalam perlembagaan tanpa menafikan hak kaum-kaum lain sebagai warga negara Malaysia.

"Teras kita adalah keadilan kepada siapa yang berhak.

"Semua parti dalam Pakatan Rakyat pada konvensyen lalu sebulat suara telah bersetuju mempertahan apa sahaja yang termaktub dalam perlembagaan," katanya.


* Sumber http://harakahdaily.net

Monday, July 12, 2010

'KEADILAN' BONGKAR LAGI DAKWAAN PENYELEWENGAN FELDA

KUALA LUMPUR 12 JULAI 2010:

Lebih 400 naskah akhbar 'KEADILAN' terbitan Parti Keadilan Rakyat di bawah Angkatan Muda di edarkan secara percuma kepada warga kota pagi tadi dengan liputan berita mengenai langkah Kementerian Dalam Negeri menggantung permit penerbitan Suara Keadilan sebagai tajuk utama.

Selain itu 'KEADILAN' terus membuat liputan susulan mengenai dakwaan penyelewengan urus tadbir Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) yang menjadi asas kepada tindakan penggantungan oleh KDN .

Pengedaran akhbar tersebut dilakukan oleh Angkatan Muda KEADILAN di perkarangan Stesen LRT Masjid Jamek mulai jam 8:45 pagi yang diketuai oleh Ketua Penerangan AMK Pusat, Lee Kai Loon.

Pada sidang media Lee menyifatkan sambutan amat menggalakkan daripada ahli dan orang ramai apabila akhbar habis diberikan dalam tempoh dua puluh minit sahaja menunjukkkan bahawa rakyat menanti kemunculan akhbar rasmi KEADILAN di pasaran selain kecewa dengan tindakan Kementerian Dalam Negeri (KDN) menyekat permit penerbitan akhbar Suara Keadilan.

"Hari ini AMK telah mengedar 400 naskah akhbar rasmi KEADILAN iaitu 'KEADILAN' yang mengantikan Suara Keadilan, kita tahu permit akhbar terbit telah digantung permitnya. Apa yang berlaku hari ini kita melihat sambutan yang diberikan terhadap akhbar terbabit amat mengalakkan.

"Kebanyakkan warga kota tertanya-tanya di manakah ingin mendapat akhbar tersebut di pasaran, mereka juga bertanya adakah Suara Keadilan tidak akan di terbitkan lagi. Mereka kesal dengan tindakan KDN yang menyekat penerbitan akhbar rasmi KEADILAN dan menganggap KDN bersikap pilih kasih kerana tidak mengambil tindakan ke atas akhbar Suara Perkasa yang secara jelas mempunyai unsur hasutan perkauman".

"Kita akan meneruskan penerbitan akhbar ini bagi menunjuk sikap kita sebagai parti yang inginkan ketelusan dalam membongkar segala kepincangan mahupun penyelewengan di dalam pentadbiran kerajaan Umno-Barisan Nasional . Kalau kita ingin menunggu akhbar arus perdana untuk menyiarkan berita penyelewengan di dalam kerajaan sudah tentu jauh sekali, jadi inilah tujuan sebenar akhbar terbitan Pakatan Rakyat seperti Suara Keadilan, Harakah mahupun Roket".

"Saya ingin memberitahu akhbar ini akan terus diterbitkan secara tidak berkala, KDN tidak boleh mengambil apa-apa tindakan kerana parti mempunyai hak untuk menerbitkan akhbar mereka. Kepada pembaca dan penyokong KEADILAN mahupun Pakatan Rakyat, mereka boleh mendapatkan akhbar tersebut di tempat biasa yang mereka perolehi," jelas Lee.

Sehubungan itu Ketua AMK Wilayah Persekutuan, Md Zaman Md Tasi menjelaskan sebagai sayap kepada parti KEADILAN, AMK bertanggungjawab untuk membuat penyebaran maklumat kepada seluruh rakyat bagi memastikan rakyat mendapat informasi yang tepat.

"Kita bertanggungjawab untuk memastikan rakyat mendapat maklumat yang benar bukan berita yang telah di putar belit seperti apa yang dilakukan oleh media arus perdana Utusan Malaysia".

"Apa yang kita lakukan hari ini merupakan satu gerakan awal AMK bagi menentukan setiap terbitan akhbar 'KEADILAN' berada di tangan pembaca. Kerajaan patut sedar dengan kebebasan media dan mereka sepatutnya tidak menyekat kebebasan kita sebagai rakyat Malaysia untuk bersuara, mendengar mahupun menyampaikan maklumat".

"Kita tegaskan kepada Umno-BN walaupun terdapat kecaman dari KDN ataupun pemimpin atasan mereka kami tetap terbitkan akhbar tersebut, sebelum ini kami tidak pernah mendapat apa-apa permit untuk terbitan risalah dan ini bukannya merupakan sesuatu yang baru kepada kami".

"Kita akan pastikan seluruh rakyat di negara ini mendapat terbitan baru Keadilan, penerangan akan dilakukan bagi menjelaskan penjenamaan baru Suara Keadilan kepada 'KEADILAN'. Kita tidak mahu rakyat terus tertipu dengan penyebaran maklumat yang dilakukan oleh akhbar arus perdana Umno-BN," katanya.

Turut membantu mengedarkan edisi Keadilan itu ialah Exco AMK Pusat, Ramlan Roes mendesak agar KDN bersikap adil dalam urusan mereka dan jangan terlalu mengikut telunjuk pemimpin Umno".

"Saya berharap KDN dapat bersikap profesional dalam urusan kebebasan media, KDN perlu adil terhadap setiap akhbar sama ada bagi bahasa Cina, India mahupun edisi Melayu dan yang paling penting adalah bagi akhbar parti. Kita mempunyai hak dalam menyampaikan maklumat kepada rakyat, kalau ini pun hendak di kekang oleh kerajaan di manakah lagi tempat untuk kita teruskan informasi itu sampai kepada rakyat".

"Di Malaysia kita melihat akhbar mereka secara terbuka menfitnah Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim tetapi tidak ada satu pun tindakan mahupun amaran diberikan, tetapi jika ini dilakukan oleh akhbar kita dengna segera tindakan diambil".

"Kami dari AMK menyokong penuh tanggungjawab yang diberikan oleh warga Suara Keadilan dalam menyampaikan maklumat kepada rakyat, kami berharap mereka dapat meneruskan perjuangan walaupu mendapat tekanan dari KDN".

"Apa yang berlaku hari ini adalah sebagai satu sejarah walaupun KDN sentiasa memantau penerbitan Suara Keadilan tetapi hari ini kita berjaya mengedar empat ratus naskah secara percuma kepada warga kota," kata Ramlan.

Pengedaran akhbar terbabit dilakukan secara aman tanpa ada sebarang gangguan dab beberapa anggota polis yang berpakaian biasa turut berada di lokasi tersebut bagi memantau aktiviti pengedaran akhbar itu.

Warga kota dari semua kaum menyambut baik akhbar tersebut dan berharap ia sentiasa berada di dalam pasaran seperti biasa.

'KEADILAN' diterbitkan setelah KDN tidak mahu memperbaharui permit penerbitan lidah rasmi parti, Suara Keadilan yang tamat 30 Jun lalu.



* Sumber http://Suara-Keadilan.com

'KEADILAN' PERCUMA MENDAPAT SAMBUTAN LUAR BIASA PAGI INI!

KUALA LUMPUR 12 JULAI 2010:

Akhbar terbitan Angkatan Muda KEADILAN yang dikeluarkan secara tidak berkala menemui ahli dan penyokong KEADILAN pagi tadi apabila lebih 400 naskah diedarkan secara percuma di Stesen Masjid Jamek pagi tadi.

Anggota AMK yang diketuai oleh Ketua Penerangan, Lee Kai Loon mula mengedarkan mula mengedarkan akhbar 'KEADILAN' kepada ahli dan penyokong bermula pukul 8.45 pagi tadi.

Sambutan yang ditunjukkan amat menggalakkan apabila semua naskah habis diedarkan dalam masa 20 minit.

Malah ramai oramng ramai yang lalu lalang di kawasan tersebut bertanya bagaiman untuk mendapatkan naskah percuma.

'KEADILAN' diterbitkan setelah Kementerian Dalam Negeri tidak mahu memperbaharui permit penerbitan lidah rasmi parti, Suara Keadilan yang tamat 30 Jun lalu.

Kai Loon berkata AMK akan terus berjuang menyampaikan maklumat penting kepada ahli, penyokong dak rakyat melalui penerbitan akhbar parti.

"Ini adalah hak kami sebagai sebuah parti politik yang sah. Tidak ada sesiapa boleh menafikan pihak ini hatta KDN sendiri," tegas beliau.


* Sumber http://Suara-Keadilan.com

Saturday, July 10, 2010

NAIKKAN TARAF LALUAN BANDAR BERA-TRIANG KEPADA 4 LORONG

Sudah tiba masanya jalan raya laluan utama di Bera di naikkan tarafnya menjadi empat lorong yang menghubungkan antara Bandar Bera (Persimpangan Kerayong) dengan Pekan Triang.

Ini kerana kita mendapati kenderaan yang menggunakan laluan tersebut daripada sehari ke sehari semakin bertambah sehinggakan berlaku kesesakan jalan yang begitu panjang di bandar ini.

Kesesakan yang teruk akan bertambah secara luar biasanya apabila musim perayaan seperti Hari Raya Puasa dan Tahun Baru Cina tiba kerana ramai perantau-perantau yang berada diluar daerah Bera ini akan kembali ke kampung masing-masing disini.

Di samping itu juga faktor daerah Bera ini berada di tengah-tengah laluan yang menghubungkan dua daerah iaitu Temerloh, Pahang dan juga Jempul, Negeri Sembilan ini juga adalah penyumbang utama laluan di bandar ini semakin sesak.

Faktor jalan yang sibuk serta terlalu kecil juga adalah antara penyebab utama kadang-kala kemalangan boleh berlaku disekitar bandar ini.

Justeru itu Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Cabang Bera menggesa agar pihak yang berkaitan seperti Jabatan Kerja Raya (JKR) dan pihak berkuasa tempatan seperti Majlis Daerah Bera (MDB) dapat memikirkan perkara ini dengan serius.

BERSIH DESAK SPR AKUR TEKANAN RAKYAT UNTUK PRU-13 ADIL DAN TELUS

PUTRAJAYA 10 JULAI 2010:

Pengerusi Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih), Datuk Ambiga Sreenevasan berkata Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu mengambil serius kritikan dan komen daripada rakyat yang inginkan proses yang adil dan bebas dan tidak berpartisan.

Semalam, Bersih 2.0 menyerahkan memorandum kepada SPR meminta badan itu mempertimbangkan cadangan dan saranan rakyat berkenaan proses yang adil dan telus pada pilihan raya umum akan datang.

Memorandum tersebut diserahkan kepada Pegawai Perhubungan Awam SPR, Sabri Said yang berjanji akan memastikan Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof menerima memorandum itu.

"Kesemua perkara, cadangan dan saranan yang dimasukkan di dalam memorandum tersebut disokong oleh undang-undang berkait dan juga amalan terbaik antarabangsa, maka SPR tiada sebab untuk tidak menggunakan dan mengaplikasikan kandungan memorandum ini," kata Ambiga pada sidang media selepas penyerahan memorandum.

Menurut Ambiga, Bersih 2.0 kini merupakan satu badan yang bebas daripada mana-mana pengaruh parti politik dan sehingga kini mempunyai hampir 60 badan bukan kerajaan (NGO) bernaung di bawahnya.

"Sokongan NGO ini jelas menunjukkan matlamat Bersih 2.0 sebagai badan yang bersih daripada politik berpartisan, dan sokongan NGO juga semakin bertambah setiap hari," tambah beliau yang juga bekas Pengerusi Badan Peguam Malaysia.

Kata beliau lagi, terdapat kira-kira empat juta pengundi yang belum berdaftar dan kelompok ini perlu diberi pendedahan dan didaftarkan sebelum pilihan raya umum akan datang.

Tambahnya ini merupakan satu tanggungjawab yang patut disokong oleh SPR, bukannya memberi kekangan dalam pendaftaran pengundi baru.

"Kita menerima aduan daripada beberapa pihak bahawa SPR hanya mengeluarkan sejumlah borang sahaja dalam sebulan dan jumlah ini tidak mencukupi untuk mendaftarkan pengundi. Saya rasa SPR perlu memberi sokongan kepada mereka yang membantu memberi kesedaran dan mendaftarkan pengundi, yang mana merupakan tugas SPR," tegas Ambiga lagi.

Tegas beliau, antara perkara yang disentuh dalam memorandun itu termasuk cadangan pendaftaran pengundi secara otomatik, pemilihan Ahli Dewan Undangan dan juga pemilihan Ahli Dewan Negara.

"Kita juga meminta SPR untuk mengambil tindakan terhadap laporan pelanggaran undang-undang pilihan raya yang dibuat pada dua pilihan raya kecil lalu dan juga laporan pilihan raya lama yang sehingga kini dibiarkan tanpa tindakan.

"Apa gunanya mempunyai undang-undang pilihan raya yang begitu luas skopnya tanpa apa-apa tindakan untuk menguatkuasakannya?" ujar beliau.

Ditanya Bersih 2.0 akan mengadakan demonstrasi jalanan, Ambiga berkata Bersih sentiasa mengalu-alukan pandangan, kritikan dan saranan rakyat.

"Jika rakyat merasakan wujudnya permasalahan, kita minta datang berjumpa dan kita boleh membincangkan penyelesaian terbaik, tidak semestinya kita perlu membuat demonstrasi jalanan," kata beliau.


* Sumber http://Suara-Keadilan.com

Friday, July 9, 2010

KEADILAN CABANG BERA MENYOKONG TINDAKAN MDB

Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Cabang Bera memandang serius akan kekecewaan beberapa peniaga di kawasan Pusat Pertumbuhan Desa Simpang Sebertak sebagaimana yang disiarkan didalam Akhbar Sinar Harian (Zon Bera) hari ini 09 Julai 2010 (Sila rujukan petikan akhbar dibawah) yang mendapati empat pintu lot kedai dikawasan tersebut masih lagi terbiar tanpa memulakan operasi perniagaan.

Keadaan itu menjadikan kedai-kedai tersebut terbiar yang boleh mengundang gejala yang tidak sihat seperti melakukan vandalism terhadap kedai-kedai tersebut disamping kebimbangan masyarakat setempat sekiranya ada aktiviti yang tidak bermoral berlaku didalam kedai yang terbiar itu.

Walaupun kedai tersebut telah di anugerahkan kepada yang berjaya tetapi sehingga kini masih tidak kelihatan untuk mereka memulakan operasi dan ini amatlah menghairankan kepada mereka yang benar-benar ingin berniaga dikawasan tersebut apatah lagi kawasan Simpang Sebertak ini merupakan tempat yang strategik untuk mencari rezeki di Felda Gugusan Bera ini.

Justeru itu KEADILAN Cabang Bera juga berharap agar mereka yang telah berjaya memperolehi kedai tersebut agar menyegerakan operasi perniagaannya dan tindakan Majlis Daerah Bera (MDB) yang telah mengeluarkan surat amaran dan peringatan kepada peniaga terbabit supaya segera membuka kedai di situ amatlah wajar sebagaimana yang telah disyaratkan.

Perkara ini diakui sendiri oleh oleh Yang Dipertua MDB, Datuk Ahmad Daud dan KEADILAN Cabang Bera berharap agar MDB bertindak dengan sewajarnya sekiranya peniaga-peniaga tersebut masih gagal untuk menjalankan operasinya.



SINAR HARIAN EDISI PAHANG - ZON BERA , 09 JULAI 2010
Tajuk: Kecewa Lot Kedai Terbiar

SIMPANG SEBERTAK – Beberapa peniaga melahirkan rasa kecewa, apabila lot kedai di bangunan Majlis Daerah Bera (MDB) di sini, masih tidak dibuka pemiliknya.

Apa yang mengecewakan mereka, peniaga yang berjaya memperoleh kedai di bangunan itu seolah-olah tidak bersyukur, sedangkan ada peniaga lain yang lebih memerlukan lot kedai berkenaan, gagal memperolehnya.

Pengerusi Penaja Pusat Pertumbuhan Desa Simpang Sebertak, Rosli Abu Kassim berkata, terdapat empat pintu lot kedai yang sudah diberikan kepada peniaga yang berjaya dalam temu duga, tetapi gagal membuka perniagaan mereka di situ hingga kini.

Menurutnya, keadaan itu bukan sahaja menyebabkan kedai berkenaan terbiar, tetapi mengundang lebih ramai remaja melakukan vandalisme, sehingga menyebabkan pintu dan tingkap mengalami kerosakan.

“Apabila mereka diberi peluang ini, sepatutnya mereka menggunakannya sebaik mungkin. Bukannya berlumba-lumba memohon lot kedai itu dengan peniaga yang benar-benar memerlukan tapak untuk berniaga,” katanya kepada Sinar Harian.

Rosli berkata, selain pintu kedai diconteng, beberapa keping tingkap turut dipecahkan individu tidak bertanggungjawab.

Katanya, ada kemungkinan lot kedai kosong itu digunakan mereka untuk melakukan aktiviti tidak sihat yang boleh menyumbang kepada peningkatan gejala sosial di kawasan tanah rancangan berhampiran.

Tinjauan Sinar Harian mendapati, bangunan kedai tersebut sememangnya boleh menjadi tempat individu melakukan perbuatan negatif kerana ia agak tersorok daripada pandangan orang ramai.

Rosli berkata, keadaan semak di belakang bangunan kedai itu juga boleh menjadi habitat haiwan berbisa seperti ular atau sebagainya dan keadaan itu boleh mengancam penduduk berhampiran.

“Kita mahu MDB tegas dalam perkara ini. Jika peniaga yang layak itu tidak mahu membuka perniagaan mereka, sepatutnya mereka boleh membatalkan kelulusan peniaga terbabit.

“Masih ramai peniaga yang berebut-rebut untuk berniaga kerana kawasan ini merupakan lubuk rezeki, lebih-lebih lagi ia terletak di tengah-tengah Felda Gugusan Bera,” katanya.

Mengulas perkara itu, Yang Dipertua MDB, Datuk Ahmad Daud berkata, MDB telah mengeluarkan surat kepada peniaga terbabit supaya segera membuka kedai di situ.

“Dalam surat itu juga dinyatakan tempoh untuk mereka membuka perniagaan di bangunan tersebut. Sekiranya gagal, MDB boleh mengambil tindakan sewajarnya,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.


http://www.sinarharian.com.my/pahang/content/story7923751.asp

AHLI PARLIMEN KEADILAN DESAK POLIS SIASAT EXCO PAHANG DIROMPAK WANG TUNAI RM300 RIBU?

KUALA LUMPUR 8 JULAI 2010:

Ahli Parlimen Indera Mahkota, Azan Ismail hari ini mempersoalkan aset tunai berjumlah RM300,000 yang dimiliki seorang Exco Pahang, Datuk Wan Adnan Wan Mamat yang dirompak beberapa hari lalu di rumahnya.

Azan merujuk kepada laporan akhbar The Star pada 6 Julai lalu mengenai tindakan pantas polis menembak mati empat penjenayah dalam kejadian pecah rumah Exco tersebut di Pantai Selamat, Kuantan.

"Dalam berita ini perompak telah melarikan RM300,000 wang tunai dari kediaman beliau dan perkara ini telah menimbulkan banyak persoalan bagaimana seorang Exco kerajaan negeri menyimpan begitu banyak tunai di dalam simpanan kediaman sendiri.

"Hari ini begitu banyak berita berkenaan simpanan tunai yang berkaitan kerajaan beberapa isu kita dengar di Pulau Pinang dan sebagainya yang melibatkan kakitangan kerajaan dan orang yang diberi amanah oleh kerajaan sebagai pentadbir termasuk Exco.

"Kita minta pihak berkuasa menyiasat laporan akhbar ini bagaimana seorang Exco boleh menyimpan begitu banyak tunai di dalam kediamannya yang menjadikan kes ini kes rompakan dengan kesudahan empat orang ditembak mati oleh pihak polis yang juga menimbulkan banyak isu yang mana lima tahun kebelakangan ini banyak kes-kes tembakan yang menyebabkan berlaku kematian kepada suspek atau juga orang-orang yang di anggap penjenayah," ujarnya dalam sidang media di lobi parlimen tengahari tadi.

Katanya, Pakatan Rakyat mendesak satu laporan terperinci berkenaan kejadian itu termasuk tindakan polis melepaskan tembakan kepada suspek terbabit.

"Kita ada statistik yang agak membimbangkan," tambah beliau.

Sementara itu, menurut Ahli Parlimen Batu, Tian Chua, polis tidak menjelaskan bagaimana penjenayah tersebut ditembak mati.

"Siapakah mereka, apakah perlu desakan dan satu keperluan, untuk membunuh ke empat orang. Saya percaya tidak ada orang yang melarikan diri, tidak ada survivor dalam kejadian ini, ke empat-empatnya semua ditembak mati dan kenapa perlunya membunuh semua," soal beliau.

Tian Chua berkata, selain itu timbul keraguan mengenai empat butir peluru yang telah dicuri dari rumah exco berkenaan.

"Kita rasa pelik, kenapa perlunya perompak curi peluru dan akhirnya dapat dikembalikan. Ini satu cerita yang sangat pelik sekali," ujarnya.

Beliau turut memetik statitik yang telah dijawab secara rasmi oleh Kementerian dalam negeri dewan berhubung kes tembak mati oleh pihak polis, iaitu sembilan kes pada 2005, 16 kes pada 2006, 13 kes pada 2007, 82 kes pada 2008 dan 88 kes pada 2009.

Sementara itu, Ahli Parlimen Kapar, S Manikavasagam mendesak polis supaya memberikan penjelasan berhubung isu tersebut memandangkan trend yang serupa berlaku dalam kejadian tembak oleh polis.

"Trend polis dari awal, bila tembak ada parang. Ini cara biasa, lepas tembak ada parang. Saya minta pihak polis beri gambaran jelas trend ini berlaku sudah lama.

Beliau turut menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat dakwaan exco berkenaan yang memiliki wang tunai sehingga RM300,000.

"Mana wang ini datang, sepatutnya SPRM siasat wang ini. Bagaimana Exco ada RM300,000. Bukan siasat isu pasir sahaja," tegas beliau.


* Sumber http://Suara-Keadilan.com

KENAPA ZALIMI AKHBAR ALTERNATIF?

Sejak akhir-akhir ini akhbar-akhbar alternatif, kembali menjadi sasaran tindakan tegas Kementerian Dalam Negeri (KDN) di atas dakwaan melanggar syarat-syarat permit penerbitan.

Terbaru akhbar Suara Keadilan (SK) milik Parti KeADILan Rakyat, digantung permitnya kerana menyentuh isu sensitif berkaitan Felda yang didakwa mereka sudah bangkrap.

Jelasnya isu berkaitan Felda adalah isu yang amat sensitif. Ia menaikkan kemarahan Umno-Barisan Nasional kerana Felda begitu sinonim dengan perjuangan Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak.

Menyentuh isu-isu berkaitan Felda, seolah-olahnya dilihat sebagai menyentuh keperibadian Najib.

Persoalannya di sini, atas apakah justifikasi tindakan KDN sehingga menggantung permit SK, hanya kerana membuat laporan mengenai Felda?

Atas apakah justifikasi dari sudut keselamatan negara, mahupun ketenteraman awam, bahawa isu Felda ini akan menggugat keamanan negara?

Yang dipersoalkan oleh SK dan akhbar alternatif seperti Harakah, adalah pendedahan soal penyelewengan, salah gunakuasa dan salah urus Felda oleh pemerintah.

Jika sekiranya SK ataupun Harakah membuat laporan dengan fakta yang tidak tepat, KDN boleh menegur dan memberi amaran.

Jika sekiranya Felda merasakan mereka menjadi mangsa fitnah, mereka boleh mengambil tindakan mengikut undang-undang.Felda dan kerajaan Umno-BN tidak langsung menjawab segala dakwaan dan fakta-fakta yang dikemukakan.

Sebaliknya mereka membuat tindakan yang tidak realistik dengan menyerbu pejabat SK, mengambil tindakan keras terhadap SK dan menggunakan kuasa kerajaan untuk menggantung penerbitan SK.

Isunya di sini bukan soal SK sahaja. Isu yang besar adalah soal kebebasan media. Mengapa Umno-BN begitu takut dengan akhbar alternatif, sedangkan mereka mempunyai begitu banyak akhbar arus perdana yang menyokong?

Hanya dua tiga akhbar tabloid sahaja yang menyokong Pakatan Rakyat. Itu pun secara berkala, bukan harian.

Umno-BN menguasai media elektronik dengan siaran 24 jam sehari dan mempunyai media cetak yang diterbitkan setiap hari.

Media-media pro Umno-BN ini, setiap hari ada sahaja bahan yang dipaparkan buat mengkritik, menghentam dan berusaha memporak perandakan Pakatan Rakyat serta kerajaan negeri pimpinannya.

Tidakkanlah puluhan media pro Umno-BN ini, tidak mampu berhadapan dengan hanya dua tiga akhbar tabloid yang kecil, yang jualannya amat terhad?

Jika hendak dipertikaikan soal sensitiviti isu dan provokasi, begitu banyak media pro Umno-BN yang melanggar syarat permit kerana membawa isu rasis yang boleh menggugat keselamatan negara.

Jelas di sini kerajaan tidak adil. KDN jangan sesekali mengambil tindakan yang berat sebelah.

Mereka seolah-olah tidak tahu membezakan antara isu yang menggugat kestabilan Umno-BN dengan isu yang mengancam keselamatan negara.

Dalam keadaan Umno-BN yang terdesak dengan pelbagai isu dalaman dan luaran yang memungkinkan mereka tumbang pada Pilihan Raya Umum ke-13 nanti, langkah menekan akhbar alternatif merupakan suatu langkah yang tidak bijak.

Langkah ini hanya akan merosakkan sistem demokrasi dan mencalarkan kemurnian amalan demokrasi dalam negara.

Demokrasi yang sebenar adalah dengan memberi ruang sepenuhnya kepada rakyat untuk bersuara, dan pihak yang berkuasa mempunyai peluang untuk memperbetulkan segala tanggapan secara terbuka.

Menutup pintu demokrasi, hanya akan mempercepatkan jalan Umno-BN untuk bersemadi di muzium.



* Sumber http://Suara-Keadilan.com

Wednesday, July 7, 2010

PAHANG MASIH TIADA BANGUNAN PERPUSTAKAAN AWAM NEGERI YANG BARU?

Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Cabang Bera cukup terkejut dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh Pengarah Perbadanan Perpustakaan Pahang Farizah Jaafar semalam apabila memberitahu perpustakaan negeri yang sedia ada tidak boleh diiktirafkan sebagai perpustakaan (dalam gambar diatas) kerana kedhaifan yang teramat sangat serta serba serbi ketinggalan zaman! (Sila rujuk petikan Utusan Malaysia 06 Julai 2010 di bawah).

Dakwa beliau lagi, lebih memalukan lagi apabila semua negeri di Malaysia telah mempunyai perpustakaan yang serba canggih dan besar seperti mana negeri jirannya Terengganu, Johor, Selangor dan sebagainya. Perkara ini diakui sendiri oleh mereka yang pernah berkunjung ke negeri-negeri tersebut.

Kita sendiri pun tidak memahami kenapa sehingga kini Pahang tidak mampu untuk membina perpustakaan sehebat negeri lain sedangkan Pahang adalah antara negeri yang dikuasai BN yang ‘pandai’ menguruskan kewangannya sendiri berbanding di negeri-negeri Pakatan Rakyat yang lain.

Justeru itu KEADILAN Cabang Bera mempersoalkan apakah tiada inisiatif untuk kerajaan Pahang membina satu bangunan baru perpustakaan negeri untuk menggantikan yang lama yang begitu tersorok dan amat daif.

Perpustakaan merupakan tempat untuk rakyat mencari ilmu serta menjadikannya tempat untuk membuat rujukan. Oleh itu suasana perpustakaan yang baik serta ceria sudah pasti akan menarik minat orang ramai untuk hadir ke situ.

Macamana untuk menarik sokongan masyarakat agar berminat untuk membaca sebagaimana kempen minat membaca yang dijalankan oleh kerajaan Pusat sebelum ini sekiranya kerajaan Pahang pimpinan UMNO-BN sendiri tiada hasrat untuk menarik minat rakyat negerinya sendiri?


PAHANG MASIH TIADA PERPUSTAKAAN NEGERI
Utusan Malaysia 6 Julai 2010


KUANTAN 5 Julai
- Pahang merupakan satu-satunya negeri di Malaysia yang masih belum mempunyai perpustakaan awam negeri yang serba moden.

Pengarah Perbadanan Perpustakaan Pahang, Farizah Jaafar berkata, perpustakaan awam yang terdapat di bandar ini tidak boleh diiktiraf sebagai perpustakaan negeri berikutan keadaan fizikalnya yang ketinggalan zaman.

Menurut beliau, pihaknya difahamkan hampir semua negeri termasuk Sabah dan Sarawak mempunyai perpustakaan awam negeri masing-masing.

"Malah ada negeri bakal mempunyai dua perpustakaan walaupun perpustakaan sedia ada masih elok dan moden," katanya.
(Perpustakaan Negeri Johor Darul Takzim).
Beliau berkata demikian selepas majlis perasmian Seminar Pembangunan Komunikasi Teknologi Maklumat (ICT) Dalam Komuniti: Fungsi dan Peranan Perpustakaan di Kompleks Dagangan Mahkota di Bandar Indera Mahkota di sini hari ini.

(Perpustakaan Negeri Terengganu Darul Iman).
Seminar itu dirasmikan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob. Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Sains, Teknologi dan Inovasi negeri, Datuk Mohd. Sharkar Shamsuddin dan Ketua Pengarah Perpustakaan Negara Malaysia PNM), Datuk Raslin Abu Bakar serta Timbalan Pengerusi Perbadanan Perpustakaan Pahang, Datuk Shahaniza Shamsuddin.


http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0706&pub=Utusan_Malaysia&sec=Pahang&pg=wp_08.htm

SUARA KEADILAN: APABILA DEMOKRASI DI HUKUM MATI

Kerajaan BN yang zalim telah mengggunakan Akta zalim iaitu Akta Penerbitan dan Pencetakan 1984 bagi melarang PKR untuk menerbitkan akhbar Suara Keadilan.

Tulisan ini ingin membawa para pembaca melihat dan mengenali Akta draconian ini dengan lebih dekat supaya para pembaca dapat melihat kezalimannya dengan lebih dekat.

Harapan saya selepas para membaca artikel ini dan mengenali betapa buruknya Akta ini maka kita dapat bersama-sama dengan satu nada menyumpah Akta ini dan berdoa agar Akta ini dapat dimusnahkan dengan kadar segera.

Di dalam Islam hanya Allah yang ada kuasa mutlak. Kuasa manusia tidak mutlak. Kuasa manusia boleh dibahas dan dipertikaikan.Jika kita lihat Akta Akta Penerbitan dan Pencetakan 1984 ianya berpaksikan atas satu dasar sahaja iaitu Menteri Dalam Negeri adalah berkuasa penuh dan tiada siapa boleh persoalkan kuasa mutlak tersebut hatta Mahkamah .

Akta ini mengingatkan saya kepada kata-kata Lord Acton yang masyhur iaitu “ power corrupts and absolute power corrupts absolutely” ( “Kuasa itu merosakkan dan kuasa yang mutlak rosak secara mutlak” ) .

Ayuh mari kita berkenalan dengan Akta zalim ini.

Seksyen 6 ( 1 ) ( a ) memperuntukkan bahawa Menteri boleh melalui budibicaranya yang mutlak memberikan kebenaran atau permit kepada mana-mana orang untuk menncetak dan menerbitkan suratkhabar di negara ini tetapi dalam masa yang sama di bawah seksyen 6 ( 2 ) Menteri yang sama juga diberikan kuasa mutlak untuk membatalkan permit suratkhabar atau menggantungnya seberapa lama yang Menteri itu mahu.

Seksyen 13A ( 1 ) Akta Penerbitan dan Pencetakan 1984 memperuntukkan bahawa keputusan Menteri untuk tidak memberikan, membatalkan permit atau menggantung permit adalah muktamad dan keputusan tersebut tidak boleh dipersoalkan oleh mana-mana Mahkamah atas apa alas an sekalipun.

Seksyen 5 pula mengandungi 10 kesalahan yang boleh dikenakan ke atas mana-mana orang iaitu kesalahan-kesalahannya adalah mencetak, mengimport ,menerbitkan, menjual dan mengedar mana-mana suratkhabar yang tidak mendapat permit dari Menteri atau kesalahan atau menawarkan diri untuk mencetak,menawarkan diri untuk mengimport , menawarkan diri untuk menerbitkan,menawarkan diri untuk menjual dan menawarkan diri untuk mengedar mana-mana suratkhabar yang tidak mendapat permit dari Menteri.

Mana-mana orang yang didapati melakukan mana-mana kesalahan dari 10 kesalahan di atas boleh ditangkap dan jika didapati bersalah oleh Mahkamah boleh dihukum dengan hukuman penjara tidak lebih dari 3 tahun penjara atau dengan hukuman denda yang tidak melebihi RM 20,000-00 atau kedua-duanya.

Akta ini juga memberikan kuasa kepada Pendakwa Raya , jika dia mendakwa mana-mana orang di bawah mana-mana peruntukkan Akta ini , untuk meminta Mahkamah menggantung penerbitan akhbar tersebut dan jika Mahkamah berbuat demikian ianya adalah suatu yang sah di bawah seksyen 8c ( 2 ) Akta tersebut.

Akta ini juga berdasarkan seksyen 12 ( 1 ) memberi kuasa mutlak kepada Menteri untuk meletakkan apa-apa syarat di atas permit yang diberikan dan kuasa Menteri ini juga tidak boleh dipersoalkan oleh mana-mana Mahkamah atas apa-apa alasan sekalipun. Kita tentu tidak lupa bagaimana akhbar Harakah pernah dikenakan syarat-syarat yang tidak munasabah oleh Menteri meskipun permit dikeluarkan.

Saya masih ingat sewaktu mewakili Harakah memfailkan semakan kehakiman bagi mencabar keputusan Menteri suatu ketika dahulu. Harakah telah mencabar syarat-syarat yang dirasakan tidak munasabah yang dikenakan ke atas akhbar tersebut.

Saya masih ingat salah satu syarat yang dikenakan kepada Harakah adalah ia hanya boleh menerbitkan berita tentang PAS sahaja . Maknanya kalau Harakah hentam Umno di dalam akhbar teersebut ia dikira melanggar syarat permit. Tidakkah ini syarat gila yang hanya boleh dikenakan oleh Kerajaan gila seperti Kerajaan BN.

Meskipun jangka hayat permit suratkhabar itu adalah untuk tempoh 12 bulan daripada tarikh permit dikeluarkan namun berdasarkan seksyen 12 ( 1 ) Menteri juga diberi kuasa mutlak untuk meletakkan syarat di dalam permit bahawa tempoh usia permit itu dikurangkan dari 12 bulan.
Seksyen 12 ( 2 ) secara jelas menyatakan Menteri mempunyai kuasa mutlak untuk tidak meluluskan permohonan bagi mendapatkan permit. Dan di bawah seksyen 12 ( 2 ) inilah Menteri telah menggunakan kuasa mutlaknya itu untuk tidak memperbaharui permit akhbar Suara Keadilan. Harus diingatkan Menteri tidak perlu memberi apa-apa alasan mengapa ia enggan memperbarui permit Suara Keadilan.

Di dalam undang-undang pentadbiran ( administrative law ) sebarang keputusan pihak awam seperti kuasa Menteri perlu mematuhi prinsip keadilan asasi ( natural justice ) di mana salah satu prinsip itu adalah apa yang dipanggil “ audi alteram partem” ( seseorang hendaklah diberi hak untuk didengar ).

Diterjemah di dalam kes akhbar Suara Keadilan sepatutnnya Menteri hendaklah memberi hak tersebut kepada PKR apabila ia memutuskan untuk tidak mahu memberikan permit kepada Suara Keadilan. Adakah tindakan Menteri tersebut boleh dicabar ? Jawabnya tidak kerana seksyen 13B dengan secara jelas memberi kekebalan kepada Menteri apabila diperuntukkan bahawa mana-mana orang yang tidak diberikan permit atau digantung permitnya tidak perlu diberi hak untuk didengar oleh Menteri .

Akhirnya Akta ini juga membenarkan mana-mana orang yang ditangkap kerana disyaki melakukan apa-apa kesalahan di bawah Akta ini tanpa perlu waran tangkap dari Mahkamah ( lihat seksyen 20 Akta ) . Seterusnya jika pihak penguatkuasa KDN melakukan penggeledahan dan rampasan dan berlaku kerosakan mereka juga kebal dari sebarang tuntutan gantirugi dan mereka tidak boleh disaman di Mahkamah ( lihat seksyen 24 )

Amat menghairankan hanya kerana Suara Keadilan menyerang bertubi-tubi pengurusan Felda – agensi di bawah jagaan dan kawalan Najib- maka ia dihukum dengan hukuman yang amat berat – tidak boleh lagi diterbit dan dicetak akhbar tersebut. Kita tidak faham kenapakah Suara Keadilan perlu di hukum dengan hukuman sebegitu berat. Jika pun berita tentang Felda itu adalah satu fitnah ke atas Felda bukankah Felda dibenarkan oleh undang-undang untuk menyaman akhbar itu dan menuntut gantirugi . Tidakkh akhbar pro Umno juga banyak kali menyiarkan berita fitnah dan bohong dan mengapakah mereka tidak pernah dihukum seperti Suara Keadilan ?

Suatu yang amat ganjil parti apabila politik berdaftar seperti PKR dinafikan haknya yang fundamental iaitu menyebarkan mesejnya kepada rakyat melalui penerbitan akhbar. Jika Perlembagaan Perskutuan di dalam Perkara 10 ( 1 ) memberi kebebasan bersuara yang mana hak itu termasuk kebebasan akhbar Akta zalim ini menjadikan hak dan kebebasan di dalam undang-undang tertinggi tersebut tidak lagi bermakna dan hanya satu ilusi atau mimpi.

Sayugia diingatkan apabila BN menghukum Suara Keadilan menggunakan Akta zalim itu pada hakikatnya BN sedang menjatuhkan hukuman mati ke atas demokrasi. Apabila hak bersuara PKR dinafikan BN pada hakikatnya sedang mencabut oksigen dari tabung atau balang demokrasi. Pembunuh demokrasi wajib dihukum mati oleh hakim yang berkuasa di negara ini- rakyat atau pengundi .

Apa lagi – marilah kita sama-sama menyumpah Akta zalim ini 33 kali dalam sehari !



Mohamed Hanipa Maidin,
AJK PAS Pusat (http://peguampas.blogspot.com)

* Sumber http://harakahdaily.net

PEMIMPIN UMNO-BN DALANGI AKTIVITI CURI PASIR SEJAK LEBIH 20 TAHUN DI SELANGOR

SHAH ALAM 7 JULAI 2010:

Ahli Dewan Undangan Negeri Sri Muda, Suhaimi Shafiei menyifatkan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan rasuah didalangi agenda politik Umno-Barisan Nasional yang semakin panas punggung ekoran usaha tegas kerajaan negeri membanteras aktiviti dan penyelewengan pengeluaran pasir oleh pihak terbabit sejak lebih 20 tahun dahulu.

Ketika di hubungi Suara Keadilan, Suhaimi berkata arahan siasatan SPRM terhadapnya dikeluarkan tidak sampai 48 jam selepas beliau membuat kenyataan media untuk menbongkar salah guna kuasa dan penyelewangan oleh beberapa individu yang memegang jawatan kanan dalam Umno-BN di Selangor berhubung permohonan tanah di sekitar Shah Alam.

"Perang saraf ini bertepatan dengan usaha propaganda awal yang mengatakan saya adalah salah seorang ADUN KEADILAN yang akan meletakkan jawatan dalam Dewan Undangan Selangor. Apa yang berlaku mengesahkan adanya arahan daripada pihak tertentu agar memberi tekanan kepada saya supaya terperangkap dengan permainan politik mereka, yang telah menetapkan sasaran agar dapat membeli tiga lagi ADUN KEADILAN sebelum penghujung tahun ini.

"Saya di panggil SPRM untuk mengambil keterangan saya atas fitnah oleh seseorang yang cuba mengaitkan saya dengan aktiviti mencuri pasir melibatkan sebuah syarikat bernama MNT Construction Enterprise yang saya sendiri tidak tahu mengenainya dan tidak kenal siapa mereka ini (dibelakang syarikat terbabit)," tegas beliau lagi.

Suhaimi menjelaskan telah menjadi prinsip beliau dan semua ADUN Pakatan Rakyat bahawa tiada seorang pun akan terlibat sama sekali dalam aktiviti haram, bahkan beliau menentang kuat aktiviti mencuri pasir yang amat berleluasa semasa pentadbiran kerajaan Umno-Barisan Nasional.

Tambah beliau gejala ini semakin terkawal di bawah pengendalian dan pengawasan kerajaan negeri Pakatan Selangor, walaupun masih terdapat sedikit kelemahan.

"Cengkaman KEADILAN ini secara tidak langsung memberi tekanan kepada mereka yang terlibat hingga terpaksa mencari alternatif dengan mendakwa kami pula yang terlibat dalam kegiatan haram ini.

"Penubuhan Kumpulan Semesta Sdn Bhd adalah sebagai pemangkin kepada usaha mengurangkan kecurian pasir oleh mereka yang tamak. Aktiviti mencuri pasir juga amat berleluasa di Johor dan Negeri Sembilan, tetapi kegiatan itu tidak disiasat menyeluruh kerana negeri itu adalah di bawah cengkaman Umno-BN," jelas Suhaimi.

Menurut beliau lagi, aktiviti ini berleluasa di bawah kerajaan Umno-BN tetapi dilindungi oleh pimpinan mereka.

Beliau memberi contoh di Shah Alam bagaimana seorang pemimpin politik Umno-BN telah menyalah gunakan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung untuk memberi kebenaran kepada lori yang mencuri pasir melalui sebuah kampung kerana menerima sumbangan sebuah syarikat sekitar RM40,000 sebulan.

Suhaimi juga menegaskan percubaan kali ini adalah kesinambungan serangan siri terbaru Umno-BN yang memperalatkan agensi seperti SPRM untuk mencemarkan maruah kerajaan negeri Selangor dan mencalar imej beliau sebagai seorang ADUN Pakatan Rakyat yang memegang teguh prinsip kebertanggungjawaban dan ketelusan.

"Ini adalah satu propaganda politik dan jelas mempunyai tujuan ‘mala fide’ atau berniat jahat untuk mencemar Pakatan Rakyat secara keseluruhannya. Kami akan menentang usaha jahat ini dengan mendedahkan lebih banyak pembohongan Umno-BN dan menelanjangkan siapa sebenarnya yang melindungi aktiviti pengeluaran pasir haram di sungai dan tanah kerajaan negeri satu ketika dahulu.

"Kita minta SPRM siasat mereka tanpa memilih bulu dan akhirnya, kebenaran pasti akan terbukti. Serangan ini tidak sama sekali akan melemahkan semangat saya dan rakan rakan untuk terus berjuang menegakkan keadilan dan kebenaran," tambah beliau.

Beliau serta ADUN Batu Caves Amirudin Shari di panggil SPRM Khamis lalu untuk memberi keterangan berhubung dakwaan rasuah. Suhaimi dipanggil semula ke SPRM Isnin lepas.


* Sumber http://Suara-Keadilan.com