Tuesday, July 13, 2010

'RETREAT' SAHKAN SOKONGAN MELAYU KEKAL KEPADA PAS

KUALA LUMPUR:

Pemukiman tiga hari PAS bermula Jumaat hingga Ahad lalu di Port Dickson merumuskan parti itu tidak mengalami penurunan sokongan Melayu seperti yang didakwa pihak tertentu.

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata berdasarkan analisis yang dibuat, sejak Pilihan Raya Umum (PRU) 1995 sehingga PRU 2008, undi Melayu terhadap PAS konsisten dan menyaksikan sedikit peningkatan.

"Pada PRU 1995 undi Melayu kepada PAS sekitar 38 hingga 40 peratus, 1999 kita mendapat lonjakan sehingga 55 peratus ekoran isu pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim dari kabinet.

"Pada PRU tahun 2008, sokongan Melayu terhadap PAS antara 42 hingga 46 peratus.

"Ini membuktikan bahawa PAS tidak kehilangan pengundi teras Melayu selama ini," katanya.

Beliau berkata demikian sebagai menolak dakwaan pihak tertentu bahawa PAS mengalami kemerosotan sokongan Melayu ekoran kerjasama parti itu dalam Pakatan Rakyat.

Dakwaan itu dibuat ekoran serangan hebat terhadap PAS oleh Umno ketika parti itu berusaha untuk mengekalkan kedudukannya walaupun sokongan untuk rakan-rakannya dalam BN hilang.

Dalam pilihan raya 2008, sokongan pengundi luar bandar kepada PAS tidak tinggi bukannya kerana mereka Melayu tetapi kerana maklumat dari PAS dan rakan-rakannya tidak sampai kepada mereka.

Mengulas lanjut Mahfuz berkata, PAS memperoleh 45 peratus sokongan Melayu pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Bukit Gantang sewaktu Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaludin menjadi calon.

"Itu tidak termasuk sokongan Melayu di Kelantan, kalau diambil kira Kelantan, sokongan Melayu lagi la tinggi," tambahnya lagi.

Pemukiman hujung minggu lalu itu disertai ahli Majlis Syura PAS serta Presiden dan AJK PAS pusat yang lain.

Ianya antara lain bagi merangka persedian PAS menghadapi PRU ke-13.

Dalam pada itu retreat tersebut juga merumuskan bahawa yang menghakis kepentingan Melayu seperti termaktub dalam perkara 153 Perlembagaan adalah Umno BN.

Menurutnya, isu memperkenal Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) dan isu penukaran sistem kemasukan ke IPT dari kuota ke meritokrasi antara contoh penghakisan hak Melayu oleh Umno BN.

Sehubungan itu jelasnya, atas sebab itu PAS juga memutuskan akan memulakan usaha lebih konstruktif melindungi hak orang Melayu yang termaktub dalam perlembagaan tanpa menafikan hak kaum-kaum lain sebagai warga negara Malaysia.

"Teras kita adalah keadilan kepada siapa yang berhak.

"Semua parti dalam Pakatan Rakyat pada konvensyen lalu sebulat suara telah bersetuju mempertahan apa sahaja yang termaktub dalam perlembagaan," katanya.


* Sumber http://harakahdaily.net

No comments: