Tuesday, April 27, 2010

BN MENANG DALAM DUKA, KEADILAN KALAH DALAM TENANG

PKR TUMBANG! Itulah tajuk utama Utusan Malaysia hari ini yang menunjukkan seolah-olah Parti Keadilan Rakyat @ KEADILAN ini seolah-olah telah kalah dan tumbang diseluruh negara!

Kekalahan yang dialami oleh KEADILAN merupakan proses biasa didalam sesebuah pilihanraya apatah lagi didalam pilihanraya kecil (PRK) seperti di P094 Hulu Selangor semalam. Kita menerima setiap kekalahan itu dengan rasa tawadduk dan terbuka kerana semua orang sedia maklum bahawa pilihanraya kecil adalah pilihanraya yang akan menjadi tumpuan diseluruh negara. Justeru itu, kekalahan seumpama ini bukanlah sesuatu yang perlu kita ratapi segala-galanya.

Bertanding di atas tiket pembangkang adalah seumpama mengambil risiko ‘bermain bola diatas padang yang tidak rata’. Ibarat kata orang ‘kekalahan kepada Barisan Nasional (BN) itu sudah pasti tetapi sekiranya kita menang terhadap mereka Barisan Nasional lebih-lebih lagi didalam PRK itu adalah bonus’.

Kenapa saya berkata sedemikian? PRK adalah medan untuk BN memunggah segala jenteranya ke sesuatu pilihanraya kecil diatas nama kempen pilihanraya. Tanpa mengambil kira kadang kala perbuatan mereka yang secara terang-terangan menyalahgunakan jentera dan pelbagai agensi kerajaan maka sudah pastilah perlawanan ini diibaratkan kita bermain bola di atas padang yang tidak rata.

Itu tidak mengambil kira lagi kesangsian kita terhadap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang timbul akibat senarai daftar nama pengundi yang sentiasa berubah tanpa memaklumkan kepada pengundi walaupun itu hak mutlak SPR untuk berbuat demikian.

Dengan undi yang diperolehi oleh calon BN sebanyak 24,997 berbanding calon KEADILAN 23,272, majoriti yang diperolehi oleh P.Kamalanathan ini sebanyak 1,725 sebenarnya tidaklah menunjukkan bahawa itu sebagai satu kemenangan yang cukup besar berbanding dengan apa ‘yang ditaburkan’ oleh BN di sepanjang 8 hari berkempen!

Apa lagi yang tidak di berikan dan di janjikan oleh pemimpin-pemimpin BN khususnya terhadap pengundi di Hulu Selangor tempohari? Dengan berbagai ‘tawaran menarik’ oleh pelbagai agensi dan jabatan apakah dengan undi majoriti sebanyak 1,725 itu sudah cukup besar dan setimpal untuk BN perolehi?

Sepatutnya BN mendapat majoriti yang lebih besar lagi iaitu sebagai contoh 10,000 undi keatas dan barulah ianya benar-benar dikatakan BN itu telah di mula di terima kembali oleh rakyat. Setakat majoriti 1,725 ini apakah benar menunjukkan slogan ‘1MALAYSIA’ serta kepimpinan Najib sebagai PM telah benar-benar di terima oleh rakyat negara ini?

Kemampuan KEADILAN memperolehi undi yang besar dengan pelbagai isu, tohmahan dan fitnah yang dilemparkan terhadap calon KEADILAN Dato Zaid Ibrahim seperti isu ‘arak’, ‘judi’, ‘calon orang luar Hulu Selangor’ dan sebagainya, undi yang diperolehi sebanyak 23,272 oleh Zaid didalam pilihanraya kecil ini adalah merupakan kemenangan moral yang pasti memberi impak yang maksima buat Zaid untuk menang dipilihanraya umum yang ke 13 nanti di Hulu Selangor.

Percayalah, kekalahan Zaid di pilihanraya kecil Hulu Selangor ini adalah hampir sama dan mirip kepada kekalahan Tan Sri Khalid Ibrahim ketika di pilihanraya kecil Ijok pada tahun 2007. Kalau kita ingat kembali bagaimana Khalid yang kalah di sekitar undi 1000 lebih ketika itu tetapi akhirnya menang semula dengan majoriti yang cukup besar di pilihanraya umum ke 12 2008 lalu.



* Artikel ini dipetik dari blog http://ingeniur.blogspot.com

PENOLAKAN PENGUNDI CINA, BN SUKAR DI SIBU

KUALA LUMPUR, 27 APRIL 2010 :

Barisan Nasional (BN) kini sangat bimbang menghadapi pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Sibu ekoran penolakan besar pengundi Cina terhadap mereka seperti ditunjukkan dalam PRK Hulu Selangor pada 25 April lalu.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali (gambar) berkata, BN akan menghadapi laluan sukar apabila majoriti masyarakat Sibu adalah dari kaum itu.

"Jika sentimen di Semenanjung sama dengan Sarawak, BN akan sukar di Sibu," katanya yang juga bekas Pengarah Pilihan raya PAS Pusat dalam sidang medianya di sini.

Pada PRK Hulu Selangor Ahad lalu, lebih 70 peratus pengundi Cina memberikan undi kepada PKR.

Zaid telah berjaya meningkatkan enam kali ganda undinya di DUN Kuala Kubu, iaitu kawasan pengundi Cina, berbanding PRU 2008 lalu.

Di Sibu, lebih 60 peratus pengundinya adalah Cina. Dengan sentimen penolakan ini, ianya merisaukan pemimpin BN.

Pengerusi Perkasa, sayap ekstrem Umno, Datuk Ibrahim Ali menyifatkan pengundi Cina sebagai 'tidak sedar diri' apabila menolak BN.

Beliau mahu masyarakat Cina dihukum dengan menyekat sebarang peruntukan pembangunan ke kawasan mereka.

"Cuma yang saya tidak pasti di Sibu, calon Cina BN akan lawan calon Cina Pakatan Rakyat. Jadi saya rasa ia satu pertembungan sengit," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Pakatan Rakyat dijangka akan mengumumkan calonnya daripada DAP bagi PRK itu pada satu majlis makan malam, hari ini.

Anggota Parlimen Sibu, Sarawak yang juga Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Robert Lau meninggal dunia 9 April lalu akibat barah.

Lau, 68, dari parti SUPP, salah satu komponen BN, memenangi kerusi tersebut dengan majoriti 3,235 undi menewaskan dua calon Pakatan Rakyat dalam pilihan raya lalu iaitu calon DAP Wong Ho Leng dan calon PKR Lim Chin Chuang.

Kematiannya membawa kepada satu lagi pilihan raya kecil iaitu yang kesebelas selepas pilihan raya umum 2008.


* Artikel ini di petik dari http://harakahdaily.net

CALON PAKATAN RAKYAT BAGI PRK PARLIMEN SIBU DIUMUM HARI INI

SHAH ALAM 27 APRIL 2010 :

Pakatan Rakyat dijangka akan mengumumkan calonnya daripada DAP bagi pilihan raya kecil P.212 Bandar Sibu pada satu majlis makan malam hari ini.

Ketika dihubungi Suara Keadilan, Ketua Pemuda DAPSY, Anthony Loke mengesahkan perkara ini dan menyatakan beberapa pimpinan tertinggi Pakatan Rakyat termasuk Presiden KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Setiausaha Agung DAP. Lim Guan Eng dan Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang akan turut hadir pada majlis tersebut yang diadakan sebuah hotel di Sibu.

"Kita sudah ada beberapa nama yang dipertimbangkan dan kami akan umumkan pada hari ini," kata Loke tanpa menyebut nama calon yang bakal mewakili Pakatan Rakyat.

Walau bagaimanapun Suara Keadilan difahamkan calon yang sudah disahkan bertanding adalah salah seorang daripada enam Ahli Dewan Undangan Negeri DAP di Sarawak.

Di dalam pilihan raya Dewan Undangan Negeri Sarawak kesembilan yang diadakan pada 20 Mei 2006, Barisan Nasional memenangi 62 daripada 71 kerusi dengan kerusi selebihnya dimenangi oleh calon Bebas, DAP, KEADILAN dan SNAP.

DAP memenangi enam kerusi di Pending (N.10), Batu Lintang (N.11), Kota Sentosa (N.12), Meradong (N.40), Bukit Assek (N.45) dan Kidurong (N.59).

KEADILAN menang kerusi tunggalnya oleh Dominique Ng Kim Ho N.9 Padungan manakala calon Bebas, Gabriel Adit Demong menang di kerusi N.43 Ngemah dan Johnichal Rayong Anak Ngipa di N.28 Engkilili.

Gabriel kemudiannya menyertai Parti Cinta Malaysia pada 10 Disember 2009.

Pada peringkat Parlimen pula BN memenangi 30 daripada 31 kerusi pada Pilihan Raya Umum 2008.

Kerusi tunggal pembangkang di menangi calon DAP, Chong Chieng Jen di Bandar Kuching yang juga ADUN Kota Sentosa.

Kerusi Bandar Sibu kosong berikutan kematian wakilnya, Datuk Robert Lau, 68, yang juga Timbalan Menteri Pengangkutan pada 9 April di Hospital Selayang akibat derita barah.

Suruhanjaya Pilihan Raya telah menetapkan 8 Mei sebagai hari penamaan calon bagi pilihan raya kecil Bandar Sibu manakala hari pengundian pada 16 Mei.

Kawasan Parlimen P.212 mempunyai 54,695 pengundi berdaftar seperti mana yang tersenarai dalam Daftar Pemilik Induk (DPI) 2009 yang dikemas kini sehingga 9 April lalu.

Daripada jumlah itu, 52,158 adalah pemilih biasa, manakala 2,537 lagi pengundi pos.

Sibu adalah kawasan majoriti Cina dengan jumlahnya 36,389 atau 66.7 peratus; 5,740 atau 10.05 peratus (Melayu); 12,050 atau 22.1 peratus (Bumiputera Sarawak); 218 atau 0.4 peratus (Bumiputera Sabah); 54 atau 0.1 peratus (India); 23 atau 0.04 peratus (Orang Asli) dan 71 orang atau 0.13 peratus kaum lain.


* Artikel ini dipetik dari http://Suara-Keadilan.com

THAMRIN GHAFAR : SUDAH TIBA MASANYA SAYA MENYOKONG PAKATAN RAKYAT

SHAH ALAM 27 APRIL 2010 :

Bekas Exco Pergerakan Pemuda Umno Malaysia, Thamrin Ghafar menyifatkan sudah tiba masa bagi beliau menyokong Pakatan Rakyat setelah melihat penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa berleluasa yang dilakukan oleh pimpinan Umno dan Barisan Nasional selama lebih 50 tahun mentadbir negara.

Bercakap kepada Suara Keadilan baru-baru ini anak mantan Timbalan Perdana Menteri, Tun Ghafar Baba itu berkata beliau sendiri tidak bersetuju dengan banyak dasar yang dilaksanakan kerajaan Umno-BN yang tidak memberi manfaat kepada rakyat dan negara.

"Saya dah mula sedar bahawa banyak isu yang saya sendiri tidak boleh terima tentang dasar Umno dan Barisan Nasional. Saya rasa sudah sampai masanya saya terpaksa mengubah sikap," kata Thamrin yang juga adalah bekas Pengerusi MARA.

Kehadiran beliau pada dua majlis utama semasa kempen pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor telah mengejutkan penyokong Pakatan Rakyat.

Thamrin pertama kalinya hadir pada majlis Pidato Perdana anjuran Pemuda Pakatan Rakyat di Sg Buaya 24 April lalu dan juga ceramah 'grand finale' di Stadium Mini Kuala Kubu Baharu bersama-sama pimpinan Pakatan Rakyat.


* Artikel ini dipetik dari http://Suara-Keadilan.com

ANWAR : BN TIDAK BELAJAR KESILAPAN LALU

SHAH ALAM, 26 APRIL 2010 :

Kemenangan undi majoriti tipis menunjukkan Barisan Nasional (BN) tidak pernah belajar daripada kesilapan lalu.

Ketua Umum Pakatan Rakyat (PR) Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ini kerana jumlah pelaburan yang dikeluarkan BN tidak berbaloi dengan jumlah undi majoriti diperoleh.

“Sekurang-kurangnya BN menghabiskan lebih RM100 juta untuk mendapatkan majoriti di Hulu Selangor yang mana jumlahnya lebih kurang RM65,000 setiap orang,” katanya.

Menurutnya, perkara itu merupakan bukti ‘pembunuhan’ karakter, perkauman, rasuah dan keganasan yang digunakan oleh BN bagi membantu mereka memenangi pilihan raya kecil.

“Rakyat tidak boleh diperbodohkan dengan sebarang taktik kotor dan penyalahgunaan kuasa kerana mereka tidak akan tertipu,” katanya dalam satu kenyataan kepada Sinar Harian semalam.

Beliau berkata, negara menghadapi cabaran politik kotor yang masih lagi tidak dapat diselesaikan sehingga kini.

“Selain daripada puluhan menteri berkempen setiap hari, polis turut mengamalkan sikap 'double standard' terhadap penyokong PR malah ada yang mendakwa dihalang polis untuk memasuki pusat pengundian bagi menunaikan tanggungjawab,” katanya.

Ketua Pembangkang itu berkata, walaupun kalah di Hulu Selangor, PR akan terus berusaha dengan memberi kesedaran kepada rakyat khususnya di Selangor termasuk ke kawasan Felda.

"Kita akan meningkatkan sokongan rakyat di Hulu Selangor dan banyak yang perlu kita lakukan agar sasaran menarik pengundi di kawasan pedalaman dan Felda tercapai,” katanya.

Anwar berkata, beliau bersyukur atas sokongan luar biasa yang telah ditunjukkan petugas DAP, Pas dan PKR sendiri.

“Komitmen mereka diperlukan untuk mengubah kepada yang lebih baik,” katanya.


* Artikel ini dipetik dari http://www.sinarharian.com.my

BN LEBIH BERLIKU SELEPAS HULU SELANGOR

ALOR SETAR, 26 APRIL 2010:

Keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Hulu Selangor semalam memberikan mesej yang jelas BN bakal menghadapi jalan-jalan yang lebih berliku pada masa akan datang.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak (gambar) ketika sidang media selepas Sidang Dewan Undangan Negeri (Dun) Kedah, hari ini melahirkan rasa terkejutnya dengan kemenangan tipis calon BN, P Kamalanathan.

"BN menang kita tak terkejut, tapi yang kita terkejut BN menang sikit, majoriti undi yang hanya 1,700 lebih tak setimpal dengan apa yang dia sogokkan kepada pengundi di Hulu Selangor. BN akan berhadapan jalan yang berliku jika keputusan ini diambil kira.

"Peruntukan untuk sekolah Cina, peneroka Felda, projek-projek segera dan berbagai-bagai lagi sogokan kepada pengundi termasuk serangan peribadi ke atas calon adalah amalan yang menyalahi undang-undang, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kena siasat perkara ini," katanya yang juga Ahli Majlis Syura Ulama PAS.

Azizan yang bersimpati di atas kekalahan Pakatan Rakyat (PR) bagaimanapun turut mengucapkan tahniah kepada jentera PR yang berjaya meningkatkan jumlah undi berbanding pilihan raya yang lalu.

Keputusan malam tadi menyaksikan calon PR, Datuk Zaid Ibrahim mendapat 23,272 undi, berbanding 23,177 undi yang diperolehi oleh Allahyarham Datuk Zainal Abidin Ahmad ketika pilihan raya umum yang lalu.

"Ini merupakan petanda baik kepada PR dalam pilihan raya yang akan datang. Kita harap PR akan mencatatkan kemenangan dalam PRK Sibu, 15 Mei nanti," katanya.



* Artikel ini dipetik dari http://www.harakahdaily.net

LENSA KAMERA DI PRK P094 HULU SELANGOR

Pemangku Ketua Cabang Bera, Tn Hj Abas Awang dan Sdr Amir Aziz, Naib Ketua 1 Cabang Bera.
Turut kelihatan Sdr Shakri Othman (Bendahari Cabang Bera) bersama dengan petugas-petugas dari cabang-cabang PKR negeri Pahang yang lain.

Antara gambar-gambar yang dirakam sempena kempen pilihanraya kecil P094 Hulu Selangor baru-baru ini. Turut kelihatan Pemangku Ketua Cabang Bera Tn Hj Abas Awang di samping Sdr Amir Aziz dan Sdr Shakri Othman.



* Semua gambar ini dipetik dari blog PKR Cabang Raub.

ANALISIS PRK HULU SELANGOR : NAJIB TERPAKSA TURUN PADANG UNTUK KEMENANGAN BN!

Amat jarang dan bukan suatu kelaziman sebenarnya didalam sejarah pilihanraya kecil (PRK) yang diadakan di negara kita apabila Perdana Menteri akan turut sama membantu kempen calonnya secara ‘all out’. Apa yang berlaku di pilihanraya kecil Hulu Selangor ialah apabila Dato Seri Najib Tun Razak walaupun baru pulang dari siri lawatan kerjanya ke Jepun terus bergegas secara tergesa-gesa ke sana semata-mata kononnya untuk bertemu rakyat!

Kita dapati bukan sekali kehadirannya malahan sehingga ke malam terakhir kempen PRK tersebut Najib terus hadir untuk ke program pemimpin bersama rakyat yang turut dihadiri oleh mantan PM Tun Dr Mahathir Mohamad, TPM Tan Sri Muhyiddin Yassin serta juga P.Kamalanathan sendiri selaku calon BN di PRK Hulu Selangor.

Seingat saya dizaman Dato Seri Anwar Ibrahim (DSAI) menjawat Timbalan Perdana Menteri dahulu (antara 1993-1998), sekiranya berlaku sebarang pilihanraya kecil, Perdana Menteri ketika itu (Dato Seri Dr Mahathir Mohamad) tidak sesekali akan turun sama berkempen di kawasan pilihanraya kecil tersebut, cukup beliau mengharapkan DSAI sahaja yang mengetuai segalanya bagi menjamin kemenangan Barisan Nasional (BN) ketika itu.

Fenomena ini turut sama berlaku apabila PM Dato Seri Abdullah Badawi menjadi Perdana Menteri, tugasan untuk mengetuai sebarang kempen pilihanraya kecil terus di beri kepercayaan kepada DS Najib Tun Razak ketika itu sebagaimana yang berlaku ketika di PRK Permatang Pauh, Kuala Terengganu, Bukit Gantang, dan lain-lain lagi.

Kepercayaan dan keyakinan yang diberikan oleh Mahathir dan Pak Lah dahulu kepada kedua-dua timbalannya jelas kelihatan berbanding kini. Apakah keupayaan Muhyiddin selaku Timbalan Perdana Menteri yang ditugaskan untuk mengetuai jentera BN kini sudah kurang diyakini oleh Najib yang memaksanya untuk turun padang bersama?

Berdasarkan kepada ucapan Najib pada hari pertama kehadirannya sejurus kembali dari Jepun, yang mengakui pilihanraya kecil Hulu Selangor ini merupakan medan penting buat dirinya juga bagi menilai penerimaan rakyat terhadap gagasan 1Malaysia yang diperkenalkan oleh kepimpinan beliau.

Tidak dapat tidak katanya lagi, BN perlu menang kerana keputusan itu bakal menentukan samada dasar yang diperkenalkan bagi membangunkan Negara menerusi Model Ekonomi Baru (MEB) atau pun pendekatan 1Malaysia boleh diterima atau tidak oleh masyarakat.

Fenomena yang jarang-jarang berlaku ini seolah-olah menunjukkan bahawa ‘aura’ Najib walaupun sekadar untuk pilihanraya kecil sekali pun amatlah diperlukan kehadirannya. Secara tidak langsung, ianya juga amat perlu bagi menaikkan lagi semangat disamping memberi suntikan baru kepada jentera BN didalam memastikan kerja kuat harus diteruskan lagi untuk menjamin kemenangan BN!

Disamping itu juga apakah mungkin juga kegagalan Muhyiddin sendiri didalam mengemudi jentera Barisan Nasional khususnya menangkis segala ‘serangan’ jentera Pakatan Rakyat memaksa Najib sendiri terpaksa turun ke Hulu Selangor untuk tempoh tiga hari terakhir tersebut?

Alasan Najib selaku Pengerusi BN Negeri Selangor dan seharusnya beliau turun sama ke Hulu Selangor bukanlah alasan yang terbaik untuk didendangkan. Yang pastinya, apa yang dilakukan oleh Perdana Menteri sendiri untuk turun ke padang berkempen bersama-sama seolah-olah memperlihatkan apa yang janjikan kepada beliau sebenarnya adalah retorik semata-mata…


* Artikel ini dipetik dari blog http://ingeniur.blogspot.com

HULU SELANGOR BUKTIKAN BN TIDAK ADA HARAPAN

KUALA LUMPUR :

Jika trend pengundian di Hulu Selangor berterusan hingga pilihan raya umum ke-13 nanti, Barisan Nasional (BN) tidak ada harapan lagi untuk memerintah semula Selangor, kata Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Mohamad Sabu (gambar).

"Jika trend pengundian dalam pilihan raya kecil Hulu Selangor 25 April lalu menyeluruh di seluruh negara dan kekal sedemikian sehingga pilihan raya ke-13, Pakatan Rakyat (PR) akan kekal sebagai Kerajaan Negeri Selangor.

"Ia juga bermakna Pulau Pinang akan terus diperintah PR, Perak akan terlepas lagi dari cengkaman BN dan mungkin Negeri Sembilan juga akan terlepas dari cengkaman BN," katanya.

Walaupun tidak menolak kemungkinan beberapa kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) di Selangor akan terlepas daripada PR, Mohamad menjangka lebih banyak kerusi Dun di negeri itu akan dapat dikuasai oleh PR dengan trend pengundian seperti itu.

Beliau juga melihat pilihan raya kecil Hulu Selangor itu memperjelaskan lagi bahawa isu dan sentimen perkauman amat dominan di kalangan para pengundi Melayu.

"Para pemimpin Umno berjaya memberikan gambaran kepada majoriti pengundi Melayu bahawa BN itu Melayu dan Melayu itu BN. Sebab itulah mereka mengundi BN," katanya.

Beliau juga melihat cabaran yang lebih besar kepada PAS di masa akan datang untuk menyedarkan rakyat mengenai pengkhianatan Umno dan BN terhadap orang-orang Melayu sejak negara belum mencapai kemerdekaan pada tahun 1957.

"Saya menyatakan begitu kerana majoriti pemimpin dan ahli PAS adalah orang-orang Melayu dan oleh kerana itu, PASlah yang memikul cabaran paling besar untuk menyedarkan orang-orang Melayu tentang tipu muslihat Umno yang menggunakan perkauman sempit untuk mengekalkan kuasa mereka," katanya.

Orang-orang Melayu, katanya, hendaklah dibebaskan daripada pemikiran sesat yang menyandarkan kepentingan Islam dan Melayu kepada Umno.

"Bertawakkal hendaklah kepada Allah, bukan kepada Umno. Malangnya, ada di kalangan pemimpin politik Melayu pun yang meletakkan Umno sebagai tempat bertawakkal kononnya untuk menjaga kepentingan Melayu dan Islam," kata Mohamad.

Beliau tetap optimis PR akan terus menawan hati rakyat jika para pemimpinnya memperlihatkan pentadbiran kerajaan yang bersih dari rasuah dan penyelewengan, hidup sederhana dan tidak bermewah-mewah dengan wang rakyat serta menjimatkan perbelanjaan negeri-negeri yang diperintah untuk dipulangkan kepada rakyat dan kepentingan mereka.

Mohamad juga mengucapkan terima kasih kepada para pemimpin dan ahli-ahli PAS di peringkat kawasan-kawasan yang bekerja bersungguh-sungguh untuk membantu PR dalam pilihan raya kecil Hulu Selangor itu.


* Artikel ini dipetik dari http://www.harakahdaily.net

Wednesday, April 21, 2010

AKTIVITI BERSAMA DI HULU SELANGOR

HULU SELANGOR, 21 APRIL 2010:

Kesungguhan yang ditunjukkan oleh petugas-petugas pilihanraya daripada Parti Keadilan Rakyat @ KEADILAN Cabang Rompin dan Raub semalam di bilik gerakan KEADILAN Felda Sungai Tengi , dengan melakukan kerja-kerja penyusunan ‘flyers’ serta ‘handbill’ yang bakal di edarkan kepada semua pengundi di kawasan tersebut.

Di tempat yang sama juga diadakan ceramah oleh YB Azmin Ali, Naib Presiden KEADILAN yang menyampaikan ucapannya hampir satu jam bagi menjawab berbagai tohmahan yang dilemparkan oleh Barisan Nasional khususnya UMNO. Hampir 1000 orang penduduk setempat hadir ke ceramah tersebut malam tadi.

Turut kelihatan bersama malam tadi ialah Sdr Wak Rabidin Kasmawi (Ketua KEADILAN Cabang Rompin), Sdr Rizan Ali (Setiausaha KEADILAN Cabang Bera), Tn Hj Hamzah Ibrahim (Ketua Penerangan KEADILAN Cabang Bera) dan juga Sdr Hafez (Setiausaha KEADILAN Cabang Kuala Krau).

TERKINI DI HULU SELANGOR

HULU SELANGOR, 21 APRIL 2010:

Kempen pilihanraya Parti Keadilan Rakyat @ KEADILAN sudah memasuki di pertengahan perjalanan kini. Dengan berbagai isu yang semakin hangat kini di perkatakan oleh kedua-dua pihak.

Berkempen secara menyerang peribadi terutamanya terhadap Dato Zaid Ibrahim selaku calon Pakatan Rakyat oleh pihak Barisan Nasional khususnya UMNO benar-benar sudah sampai ke tahap malampau apabila berbagai tuduhan seperti Zaid Ibrahim seorang ‘peminum arak tegar’ dan kini menuduh dirinya pula sebagai ‘kaki judi’!

Menyusuri kempen di beberapa tempat malam tadi seperti di kawasan Felda Sungai Tengi dan Felda Soeharto mendapati pengundi di kawasan tersebut begitu mengharapkan maklumat-maklumat terkini daripada Pakatan rakyat khususnya didalam menangkis berbagai tohmahan dan cacian yang dibawa oleh BN / UMNO khususnya.

Malam tadi di Sungai Tengi contohnya, kehadiran YB Azmin Ali , Naib Presiden KEADILAN telah memukau hampir 1000 orang penduduk di kawasan tersebut apabila beliau menyampaikan ucapan yang sarat dengan maklumat bagi menjawab segala persoalan yang ditimbulkan oleh BN dan UMNO khususnya.

Keadaan yang berlaku di di Dewan orang ramai pekan Serendah malam tadi juga turut memberi jawapan kepada Barisan Nasional apabila beribu-ribu penduduk dikawasan tersebut khususnya kaum Cina berbondong-bondong untuk hadir bagi mengikuti beberapa ceramah yang telah disampaikan oleh pemimpin-pemimpin Pakatan rakyat disana.

Semoga memasuki hari kelima kempen pilihanraya kecil P094, Hulu Selangor ini pasti akan semakin rancak dengan berbagai ceramah dan program yang telah diaturkan oleh Pakatan Rakyat khususnya.

KEMPEN DI HULU SELANGOR

HULU SELANGOR, 21 APRIL 2010:

Sebahagian antara edaran dan bahan kempen seperti ‘flyers’ dan ‘handbill’ serta akhbar rasmi Negeri Selangor yang diedarkan kepada penduduk sekitarnya sempena kempen pilihanraya kecil Parlimen Hulu Selangor yang sedang berlangsung sekarang sehingga ke hari pengundian Ahad 25 April 2010 nanti.

P094 HULU SELANGOR: DATO HJ ZAID IBRAHIM


DATO HJ ZAID IBRAHIM

CALON PARTI KEADILAN RAKYAT
[KEADILAN]

P094, HULU SELANGOR

Friday, April 9, 2010

BANTUAN ATAU SOGOKAN PENGUNDI?

Mengikuti kenyataan yang dibuat oleh Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Dato Seri Noh Omar yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani hari ini di Utusan Malaysia hari ini (06 April 2010) yang meminta agar Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dapat mengkaji semula peranan Badan Pemantau Pilihan Raya Adil dan Bebas (Mafrel) yang mendakwa Barisan Nasional (BN) telah melakukan kesalahan kerana menyalurkan bantuan kepada penduduk di kawasan Parlimen Hulu Selangor memperlihatkan seolah-olah Noh Omar ini tidak memahami peranan yang dimainkan oleh Mafrel selama ini.

Sebenarnya apa yang didakwa oleh Mafrel itu sememang benar belaka kerana sekiranya kita melihat kepada ‘perangai’ UMNO dan BN setiap kali sahaja ada pilihanraya kecil dimana-mana sahaja, maka secara berbondong-bondonglah mereka semua ini datang untuk menyalurkan bantuan secara tiba-tiba walhal sebelum itu jangan diharaplah untuk dibantu atau memberi bantuan pun walaupun teruk macamana sekali pun keadaan penduduk dikawasan tersebut.

Mafrel selaku badan yang memantau setiap kali pilihanraya diadakan sudah pasti akan melihat semua ini daripada semua segi dan bukannya hanya menuduh secara membabi buta sahaja tanpa mengambil kira fakta yang tepat sebagaimana dakwaan kenyataan Noh Omar tersebut.

Apakah itu tidak dapat ditarifkan sebagai ‘ kaedah menyogok ‘ pengundi sekiranya secara tiba-tiba sahaja bantuan yang diturunkan kepada pengundi melebihi daripada biasa? Bukannya tidak boleh membantu tetapi haruslah diambil kira akan keperluan yang sepatutnya dan bukan melebihi daripada sepatutnya apatah lagi ketika kempen pilihanraya kecil baru hendak bermula di Hulu Selangor ini.

Apakah yang dikatakan sebagai menyogok? Tidak dikatakan menyogok ke sekiranya tiba-tiba sahaja jalan diturap siang dan malam disepanjang kempen pilihanraya dan kadang kala juga sehingga ke belakang ceruk dapur rumah kita di kampung-kampung pun tiba-tiba di buat lorong atau jalan kampung yang baru siap berturapkan tar?

Apakah tindakan seperti memberi bantuan percuma secara tiba-tiba di musim pilihanraya kecil secara mengejut seperti gantian atap rumah, papan dinding rumah, gula, beras, minyak masak, bantuan biasiswa kanak-kanak sekolah, meluluskan bantuan baik pulih balai raya, dewan masyarakat, masjid, surau tidak boleh ditakrifkan sebagai sogokan atau cubaan merasuahkan pengundi?

Kalau jujur dan ikhlas ingin membantu, kenapa tidak dilakukan semua ini diluar musim pilihanraya? Kenapa tidak dibuatnya mengikut jadual yang ditetapkan dan bukannya menukar jadual secara tiba-tiba semata-mata hendak dibawa ke tempat pilihanraya kecil yang bakal diadakan?

Sebenarnya, Mafrel bukanlah sebuah kuda tunggangan pembangkang sebagaimana yang didakwakan oleh Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Syed Ali AlHabshee apatah lagi untuk didakwakan sebagai ‘penyibuk bermusim’ semata-mata.

Sebagai pemantau yang diiktiraf oleh SPR, seharusnya semua pihak termasuk samada pihak kerajaan atau pembangkang sekali pun haruslah menghormati setiap teguran yang dibuat oleh Mafrel.

Untuk rekod, Mafrel tidak pernah membezakan antara Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat. Pengalaman pilihanraya kecil di DUN Manek Urai, Kelantan pada tahun lepas telah menyaksikan Mafrel turut menyenaraikan beberapa perkara yang ditakrifkan sebagai ‘kesalahan kecil’ yang tidak sepatutnya dilakukan olkeh kerajaan negeri ketika tempoh kempen pilihnaraya kecil disana.

Kita sebenarnya tidak pernah sama sekali pun menentang sebarang bantuan yang diberikan kepada mereka yang susah dan memerlukan cuma kita merasakan sesuatu yang tidak kena apabila bantuan itu hanya tiba ketika sesuatu pilihanraya kecil. Sebagai orang yang matang sudah pasti dapat mengagak bahawa bantuan ini adalah bantuan yang berupa pancing untuk pengundi agar memilih UMNO dan Barisan Nasional semata-mata!

Kepada mereka yang ‘terasa pedas’ dengan kritikan yang dibuat oleh Mafrel ini, seharusnya perlu menilai diri kita terlebih dahulu apakah perbuatan yang dilakukan ini salah atau pun tidak.

Ingat!, memberi bantuan kepada yang memerlukan sebenarnya tidak salah tetapi yang salahnya adalah memberi bantuan secara ‘melampau’ sebagai salah satu agenda kempen mereka ketika dimusim pilihanraya seperti di pilihanraya kecil Parlimen Hulu Selangor ini!



* Artikel ini dipetik dari blog http://www.ingeniur.blogspot.com

SAIFUDDIN DEDAH PENGUNDI BERGANDA DALAM DAFTAR PEMILIH SPR

KUALA LUMPUR 8 APRIL 2010 :

Ahli Parlimen Machang, Saifuddin Nasution Ismail mendedahkan dalam dewan Rakyat hari ini daftar pemilih yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya tidak bersih dan masih mempunyai kelemahan.

Saifuddin dalam sesi perbahasan berkata pegakuan pegawai SPR di Putrajaya membuktikan kelemahan masih wujud dalam daftar pemilih.

"Bila Pakatan Rakyat mengunjungi SPR di Putrajaya mengenai isu senarai 150 nama yang di dalam undi pos tetapi muncul di dalam daftar pemilih di negeri-negeri lain semasa pilihanraya kecil di Bagan Pinang, reaksi pegawai SPR di Putrajaya ialah jangan risau kerana nama ini mengundi di Bagan Pinang kalau pun nama mereka muncul di Perak, Pahang dan di Kelantan membuktikan bahawa kita berdepan dengan daftar pemilih yang masih ada kelemahannya,

"Bila ditanya kenapa hal ini berlaku, pegawai tersebut berkata ianya ekoran proses apabila seorang anggota tentera tamat bertugas, Kementerian Pertahanan mengambil masa setahun untuk memaklumkan kepada SPR. Dalam tempoh seorang anggota tentera yang telah bersara dia telah memiliki kad pengenalan awam yang dengannya dia mendaftarkan diri sebagai pemilih, ianya bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan yang tidak membolehkan seseorang mengundi dua kali.

"Untuk itu saya meminta agar SPR dan Menteri yang bertanggungjawab dapat meneliti perkara ini," jelas Saifuddin lagi.

Beliau juga mencadangkan supaya Malaysia mencontohi negara Bangladesh yang mendapatkan dana dari Kesatuan Eropah sebanyak 4 juta Euro bagi membersihkan daftar pemilih di negara tersebut.

"Hari ini senarai daftar pemilih di Bangladesh, kertas undi akan dikeluarkan setelah identiti mereka dikenal pasti secara pasti melalui tangan dan apabila wajah mereka tertera di skrin komputer, kertas undi dikeluarkan maka tidak ada lagi pertikaian di negara yang politiknya bergolak gara-gara daftar pemilih dan saya fikir itu boleh kita contohi kerana saya berpendapat di mana ada kemahuan di situ ada jalan," tegas Saifuddin dalam sesi perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan Tambahan di Dewan Rakyat.



* Artikel ini dipetik dari blog http://suara-keadilan.com

CAKAP BERBELIT SERLAHKAN SIFAT MUNAFIK ZULKIFLI NORDIN

KUALA LUMPUR 8 APRIL 2010 :

Angkatan Muda KEADILAN Malaysia menganggap kenyataan berbelit Ahli Parlimen Bebas Kulim-Bandar Baharu berhubung dakwaan pembbaitan pihak ketiga dalam kes pembunuhan Altantuya Shaaribuu menyerlahkan sifat munafik Zulkifli Noodin.

Demikian menurut kenyataan AMK yang dikeluarkan hari ini yang mengulas beberapa siri 'pendedahan' yang sedang ligat diputar belit oleh media berikutan kenyataan Zulkifli.

AMK berkata media pro-BN seperti Utusan Malaysia dan Berita Harian giat menyiarkan pendedahan Ahli Parlimen Bebas Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim bahawa beliau dimaklumkan oleh Zulkifli bahawa pihak ketiga yang beliau maksudkan ialah Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Zulkifli pada 23 Mac 2010 yang lepas mendedahkan di Dewan Rakyat bahawa beliau ditawarkan ganjaran yang disifatkannya boleh menggoyah iman untuk mengaitkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor oleh 'pihak ketiga' yang tidak didedahkan.

"Walaupun begitu, ia sama sekali berbeza dengan apa yang diceritakan oleh Zulkifli melalui wawancara Suara Keadilan bertarikh Julai 2007 di mana tatkala beliau ditanya apakah faktor beliau menarik diri daripada menjadi peguam Azilah Hadri, alasan yang diberikan adalah disebabkan oleh tindakan Azilah yang mahu mengubah strategi pembelaan di saat akhir meskipun sebanyak 12 sesi konsultansi diadakan di antara beliau dan Azilah. Strategi Azilah, disifatkan Zulkifli, merosakkan strategi pembelaan yang dirancang lebih awal yang hanya memberi kelebihan dan perlindungan kepada 'pihak ketiga'.

"Sebagai peguam, Zulkifli sewajarnya tahu akan etika guaman yang tidak membenarkan sebarang kenyataan subjudis yang boleh mengganggu perjalanan mahkamah, dalam keadaan rayuan bagi kedua tertuduh bagi kes ini masih berjalan. Tindakan ini jelas satu penghinaan kepada mahkamah umumnya," kata Ketua AMK dalam kenyataan tersebut.

AMK menimbulkan persoalan mengapa Zulkifli acapkali memberikan kenyataan yang samar dan meragukan?

"Sewajarnya sebagai seorang Muslim yang bertanggungjawab, beliau harus mendedahkan siapa pihak ketiga yang dimaksudkan sedari awal lagi, bukannya mewujudkan dua versi cerita yang berbeza mengikut iktikad politik beliau.

"Sekiranya benar Zulkifli seorang yang benar-benar Muslim yang taat pada agama, mengapa Zulkifli masih taat dan wala' kepada seorang pemimpin yang kononnya tergamak memfitnah orang lain dan berusaha memalitkan orang tersebut dalam kes pembunuhan Altantuya ini?

"Adalah sesuatu yang memelikkan apabila Zulkifli, yang acapkali menggambarkan beliau sebagai "Muslim First" gagal memperlihatkan kemusliman beliau dalam berhadapan dengan kes Altantuya. Malah, sikap berdolak dalik dan menimbulkan keraguan seumpama ini hanya merupakan sebahagian daripada sikap syaitan yang acapkali dijelaskan di dalam Al-Quran, khususnya seperti yang diungkapkan di dalam Surah Al-Baqarah, ayat 14-16. Zulkifli tidak pernah mendedahkan sebarang nama pun, baik dalam cerita 'pihak ketiga' ini termasuklah seloka," tegas beliau lagi.

Tambah AMK memperlihatkan diri sebagai Muslim yang baik tidak terhad dengan berketayap ataupun memberi khutbah di merata tempat, sebaliknya keazaman untuk mempertahankan kebenaran meskipun pahit adalah sesuatu yang patut dijunjung oleh individu seperti Zulkifli.

Memutar belit cerita dan menimbulkan keraguan yang tidak munasabah adalah hanya satu unsur munafik yang menghampiri sikap syaitan.

"AMK menyimpulkan bahawa, Zulkifli harus berhenti daripada meneruskan sikap berdolak-dalik seumpama ini. Jangan cemarkan imej Islamik yang dibawa beliau ke sana sini kerana ianya hanya menghampiri sikap syaitan yang sesat lagi menyesatkan umat manusia seluruhnya," kata beliau lagi.



* Artikel ini dipetik dari blog http://suara-keadilan.com

Thursday, April 8, 2010

CHEW MEI FUN LETAK JAWATAN DALAM PARTI DAN KERAJAAN

KUALA LUMPUR 8 APRIL 2010:

Datin Paduka Chew Mei Fun hari ini meletakkan kesenua jawatan yang dipegang beliau samada dalam kerajaan atau parti.

Selain jawatan Ketua Wanita MCA Chew juga turut melepaskan kedudukanya sebagai Senator dan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Beliau membuat pengumuman tersebut sejurus selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa pusat terakhir Pergerakan Wanita MCA di Wisma MCA hari ini.

Sebelum ini Chew memutuskan akan meletakkan jawatannya jika Datuk Seri Dr Chua Soi Lek dipilih sebagai presiden parti.

Jawatan Ketua Wanita MCA yang baru diisi oleh Yu Chok Tow manakala Tan Ah Eng dipilih sebagai timbalan.



* Artikel ini dipetik dari blog http://suara-keadilan.com

Monday, April 5, 2010

15 SUBKONTRAKTOR PROJEK IPD BERA BUAT LAPORAN POLIS

* PETIKAN ARTIKEL KELUARAN SINAR HARIAN EDISI PAHANG (BERA) HARI INI 05 APRIL 2010. PKR CABANG BERA PERNAH MENGULAS ISU PROJEK IPD BERA INI TERBENGKALAI PADA 03 FEBRUARI 2010 LALU DI BAWAH TAJUK "KENAPA PROJEK IPD BERA BOLEH TERBENGKALAI" ? SILA RUJUK http://pkrbera.blogspot.com/2010/02/kenapa-projek-ipd-bera-boleh.html

BERA : Kesemua 15 subkontraktor bagi projek pembinaan Ibu Pejabat Polis (IPD) Bera bernilai RM60 juta membuat laporan polis berikutan kegagalan kontraktor utama membuat pembayaran bermula Mac tahun lalu.

Jurucakap Sub-Kontraktor, Ahmad Nizam Ibrahim berkata, dalam laporan itu turut meminta polis melakukan siasatan kepada pihak berkenaan apabila telah melantik subkontraktor yang baru untuk meneruskan kerja-kerja pembinaan.

Menurutnya, pihak mereka tidak menerima sebarang surat atau notis yang menyatakan kontrak mereka diberhentikan daripada meneruskan pembinaan di tapak projek tetapi keliru ada pula pihak lain dibenarkan meneruskan projek berkenaan.

“Melalui laporan polis itu, kami mahu pihak berkenaan memberi penjelasan kepada kami mengenai keadaan yang berlaku di tapak projek.

“Kami tidak pasti sama ada kami telah ditamatkan kontrak atau tidak, kerana kami langsung tidak menerima sebarang surat atau notis mengenainya,’ katanya.

Beliau berkata demikian selepas membuat laporan polis yang turut dihadiri oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Triang, Leong Ngah Ngah.

Sebelum itu, mereka mengadakan perjumpaan di tapak pembinaan selain meninjau tapak projek.


Bayaran tertunggak RM10juta

Ahmad Nizam berkata, bayaran tertunggak yang masih belum diterima 15 subkontraktor adalah kira-kira RM10 juta dan terdapat lima peratus kerja-kerja pembinaan yang masih belum diselesaikan.

Sinar Harian difahamkan, sejak kesemua 15 subkontraktor ini tidak menerima pembayaran sewajarnya, mereka sebulat suara memberhentikan kerja-kerja pembinaan buat sementara waktu supaya kontraktor utama boleh membuat pembayaran kepada mereka.

Projek berkenaan sepatutnya siap pada Julai 2009, sehingga kerja-kerja pembinaan itu diteruskan semula Mac lalu oleh subkontraktor lain yang dilantik pihak berkaitan.

Menurutnya, mereka memberhentikan sementara kerja-kerja pembinaan itu adalah untuk menuntut hak mereka yang dijanjikan sebelum ini.

“Kami buat semua kerja kami. Tidak sepatutnya mereka menolak untuk membayar kepada kerja-kerja yang kami lakukan.

“Sekiranya mereka membuat pembayaran mengikut masa yang ditetapkan, saya yakin perkara ini tidak mungkin akan berlaku,” katanya.

Beliau berkata, kini apabila telah ada pihak ketiga meneruskan kerja-kerja pembinaan itu, mereka tidak pasti sama ada kedudukan mereka sekarang ini, adakah masih di bawah kontrak projek dan yang paling penting, adakah mereka akan dibayar sepenuhnya.


KDN perlu masuk campur

Sementara itu, Ngah Ngah berkata, keadaan seumpama ini tidak seharusnya wujud lebih-lebih ia melibatkan projek pembinaan kerajaan Barisan Nasional iaitu di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Menurutnya, masalah dalaman ini wajar diambil kira oleh pihak yang lebih berkuasa supaya tidak menjadi lebih besar dan melibatkan orang luar.

“Kerajaan menyediakan perbelanjaan yang besar untuk projek ini. Sudah tentu rakyat mahukan yang terbaik apabila projek ini siap kelak.

“Namun, apabila masalah dalaman ini tidak mampu diselesaikan ia sudah tentu memberikan rekod yang tidak baik bukan sahaja kepada pihak kontraktor terlibat tetapi juga kerajaan,” katanya.

Ngah Ngah berkata, kegagalan kontraktor utama yang dilantik KDN untuk membuat pembayaran menyebabkan subkontraktor kecewa apabila tidak menerima bayaran pada waktu yang dijanjikan.

Katanya, subkontraktor juga merupakan ahli perniagaan yang memerlukan pembayaran pada setiap kerja-kerja yang mereka lakukan dan sememangnya mereka wajar melenting jika langsung tidak menerima pembayaran.

Menurutnya, melalui laporan polis itu, diharap perkara berkenaan dapat diselesaikan dengan cara yang baik lebih-lebih lagi penduduk daerah ini masih menanti-nanti projek itu siap.

KU LI : UMNO / BN AKAN HILANG SOKONGAN MELAYU DI HULU SELANGOR

KOTA KINABALU :

Bekas Naib Presiden Umno, Tengku Tan Sri Razaleigh Hamzah menjangkakan KEADILAN-Pakatan Rakyat akan mampu menarik sokongan pengundi Melayu yang menyokong Umno-Barisan Nasional sekiranya parti itu menamakan calon Melayu yang berwibawa dan mempunyai ketokohan.

Malah menurut bekas Menteri Kewangan itu Barisan Nasional tidak akan mempunyai jalan mudah menghadapi pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor tersebut.

"Pilihan raya kecil Hulu Selangor tidak akan memberi laluan mudah kepada Barisan Nasional. PKR akan mampu menarik banyak sokongan pengundi Melayu sekiranya calon Melayunya baik.

"Barisan Nasional tidak akan mendapat sokongan pundi Melayu," kata beliau selepas menyampaikan ceramah berhubung isu royalti minyak di Kota Kinbabalu, Sabah semalam.

PRK Hulu Selangor yang dijangka berlangsung pada 25 April depan diadakan berikutan kematian Ahli Parlimen dari KEADILAN, Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad, 71 tahun minggu lalu akibat barah otak.

MIC telah menamakan calon tunggalnya, Datuk G. Palanivel sebelum pucuk pimpinan BN membuat keputusan muktamad sementara Umno Bahagian Hulu Selangor telah menghantar memorandum kepada Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Razak mendesak supaya kerusi itu diserahkan kembali kepada Umno.

Penyokong bekas Menteri Besar, Tan Sri Muhammad Muhd Taib juga telah memasang kain rentang dan poster untuk menonjolkan beliau sebagai calon berpotensi.



* Artikel ini di petik dari blog http://Suara-Keadilan.com

CALON KEADILAN BAGI PRK HULU SELANGOR DIUMUMKAN SELASA

SG TENGI 5 APRIL 2010 :

Spekulasi siapa yang akan mewakili Pakatan Rakyat bagi pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor akan diketahui selewatnya hari Selasa ini.

Ketika berucap di Majlis Penerangan Kerajaan Negeri Selangor di Kampung Desa Maju, Sg Tengi semalam Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan calon yang dipilih kelak adalah yang terbaik bagi membawa bendera KEADILAN dan Pakatan Rakyat pada pilihan raya kecil 25 April depan.

Secara berjenaka Anwar berkata berbanding dengan Pilihan Raya Umum 2008 di mana parti menghadapi masalah mencari calon yang berkaliber dan bersesuaian senario kini sudah berubah.

"Kita akan umumkan nama calon satu, dua hari lagi. Sekarang keadaan sudah berubah, calon lebih ramai daripada pengundi.

Dulu masa pilihan raya umum 2008 susah nak cari calon yang sesuai, sebab tu ada yang lompat. Saya minta maaflah pasal hal ini kerana masa tu kita pilih mana yang ada. Tapi tidak apa ini menjadi satu pengajaran kepada kita.

"Ada baiknya sekarang ramai calon kerana ini bermakna ramai calon yang layak, yang bagus-bagus semua," kata Anwar kepada lebih 500 penduduk Sg Tengi yang memenuhi Dewan Felda Sg Tengi dimana majlis diadakan.

Turut hadir pada majlis penerangan tersebut termasuk Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim, Exco, Ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri serta kepimpinan KEADILAN peringkat pusat dan negeri.

PRK diadakan berikutan Ahli Parlimen Hulu Selangor, Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad, 71, meninggal dunia akibat barah otak 25 Mac lalu.

Allahyarham mengalahkan calon Barisan Nasional, Datuk G. Palanivel dengan majoriti tipis 198 undi.

Sementara itu laporan Bernama menyatakan Barisan Nasional dijangka mengumumkan calonnya pada 15 April.


* Artikel ini dipetik dari http://Suara-Keadilan.com

11 TAHUN KEADILAN MEMIKUL AMANAH AGENDA REFORMASI

SHAH ALAM 4 APRIL 2010:

Pengarah Strategi Parti Keadilan Rakyat, YB Tian Chua menganggap detik 4 April merupakan tarikh keramat kepada gerakan rakyat yang mahukan perubahan politik berlaku dalam sistem demokrasi di Malaysia.

"Saya sebut tarikh ini sebagai tarikh keramat menandakan kebangkitan perjuangan rakyat pelbagai kaum di negara ini. Ia merupakan permulaan kesedaran mengenai sistem demokrasi di negara kita. Penubuhan PKR lebih 10 dekad lalu juga merupakan satu permulaan momentum yang akhirnya membawa kepada tsunami politik pada 8 Mac 2008," kata Tian.

Menurutnya, beliau menghargai jasa dan perjuangan aktivis parti terdahulu yang telah banyak berkorban masa dan tenaga untuk memastikan parti itu kukuh sehingga kini.

"Pengorbanan ahli parti yang memulakan gerakan ini memikul tanggungjawab sangat sukar di mana rakyat pada masa itu masih belum yakin terhadap gerakan pembaharuan dan perjuangan ini merupakan satu proses yang panjang. Pengorbanan aktivis veteran telah membawa hasil kepada perubahan struktur politik di negara kita.

"Kewujudan PKR merupakan gabungan tenaga dari segenap kelompok masyarkaat dan pelbagai latar belakang seperti ahli akademik, ahli politik, aktivis sosial dari NGO dan kesatuan pekerja. Mereka telah gabungkan pemikiran lama dan menyuarakan kritikan terhadap sistem pentadbiran yang lama,"

Tian Chua yang juga Ahli Parlimen Batu berkata beliau berharap PKR akan terus bergerak maju dan menjadi sebuah parti yang kuat untuk memikul amanah oleh rakyat yang mahu melihat kemunculan politik baru di negara ini yang berpaksi kepada amalan ssitem demokrasi dan keadilan.

"Kita berharap parti ini akan maju terus ke depan dan kekal sebagai sebuah parti dominan dalam arus politik tanahair untuk membawa perubahan total dalam sistem politik yang musnah angkara rejim BN,"katanya.



* Artikel ini dipetik dari http://Suara-Keadilan.com