Tuesday, April 27, 2010

THAMRIN GHAFAR : SUDAH TIBA MASANYA SAYA MENYOKONG PAKATAN RAKYAT

SHAH ALAM 27 APRIL 2010 :

Bekas Exco Pergerakan Pemuda Umno Malaysia, Thamrin Ghafar menyifatkan sudah tiba masa bagi beliau menyokong Pakatan Rakyat setelah melihat penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa berleluasa yang dilakukan oleh pimpinan Umno dan Barisan Nasional selama lebih 50 tahun mentadbir negara.

Bercakap kepada Suara Keadilan baru-baru ini anak mantan Timbalan Perdana Menteri, Tun Ghafar Baba itu berkata beliau sendiri tidak bersetuju dengan banyak dasar yang dilaksanakan kerajaan Umno-BN yang tidak memberi manfaat kepada rakyat dan negara.

"Saya dah mula sedar bahawa banyak isu yang saya sendiri tidak boleh terima tentang dasar Umno dan Barisan Nasional. Saya rasa sudah sampai masanya saya terpaksa mengubah sikap," kata Thamrin yang juga adalah bekas Pengerusi MARA.

Kehadiran beliau pada dua majlis utama semasa kempen pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor telah mengejutkan penyokong Pakatan Rakyat.

Thamrin pertama kalinya hadir pada majlis Pidato Perdana anjuran Pemuda Pakatan Rakyat di Sg Buaya 24 April lalu dan juga ceramah 'grand finale' di Stadium Mini Kuala Kubu Baharu bersama-sama pimpinan Pakatan Rakyat.


* Artikel ini dipetik dari http://Suara-Keadilan.com

No comments: