Friday, April 9, 2010

SAIFUDDIN DEDAH PENGUNDI BERGANDA DALAM DAFTAR PEMILIH SPR

KUALA LUMPUR 8 APRIL 2010 :

Ahli Parlimen Machang, Saifuddin Nasution Ismail mendedahkan dalam dewan Rakyat hari ini daftar pemilih yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya tidak bersih dan masih mempunyai kelemahan.

Saifuddin dalam sesi perbahasan berkata pegakuan pegawai SPR di Putrajaya membuktikan kelemahan masih wujud dalam daftar pemilih.

"Bila Pakatan Rakyat mengunjungi SPR di Putrajaya mengenai isu senarai 150 nama yang di dalam undi pos tetapi muncul di dalam daftar pemilih di negeri-negeri lain semasa pilihanraya kecil di Bagan Pinang, reaksi pegawai SPR di Putrajaya ialah jangan risau kerana nama ini mengundi di Bagan Pinang kalau pun nama mereka muncul di Perak, Pahang dan di Kelantan membuktikan bahawa kita berdepan dengan daftar pemilih yang masih ada kelemahannya,

"Bila ditanya kenapa hal ini berlaku, pegawai tersebut berkata ianya ekoran proses apabila seorang anggota tentera tamat bertugas, Kementerian Pertahanan mengambil masa setahun untuk memaklumkan kepada SPR. Dalam tempoh seorang anggota tentera yang telah bersara dia telah memiliki kad pengenalan awam yang dengannya dia mendaftarkan diri sebagai pemilih, ianya bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan yang tidak membolehkan seseorang mengundi dua kali.

"Untuk itu saya meminta agar SPR dan Menteri yang bertanggungjawab dapat meneliti perkara ini," jelas Saifuddin lagi.

Beliau juga mencadangkan supaya Malaysia mencontohi negara Bangladesh yang mendapatkan dana dari Kesatuan Eropah sebanyak 4 juta Euro bagi membersihkan daftar pemilih di negara tersebut.

"Hari ini senarai daftar pemilih di Bangladesh, kertas undi akan dikeluarkan setelah identiti mereka dikenal pasti secara pasti melalui tangan dan apabila wajah mereka tertera di skrin komputer, kertas undi dikeluarkan maka tidak ada lagi pertikaian di negara yang politiknya bergolak gara-gara daftar pemilih dan saya fikir itu boleh kita contohi kerana saya berpendapat di mana ada kemahuan di situ ada jalan," tegas Saifuddin dalam sesi perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan Tambahan di Dewan Rakyat.



* Artikel ini dipetik dari blog http://suara-keadilan.com

No comments: