Tuesday, April 27, 2010

ANALISIS PRK HULU SELANGOR : NAJIB TERPAKSA TURUN PADANG UNTUK KEMENANGAN BN!

Amat jarang dan bukan suatu kelaziman sebenarnya didalam sejarah pilihanraya kecil (PRK) yang diadakan di negara kita apabila Perdana Menteri akan turut sama membantu kempen calonnya secara ‘all out’. Apa yang berlaku di pilihanraya kecil Hulu Selangor ialah apabila Dato Seri Najib Tun Razak walaupun baru pulang dari siri lawatan kerjanya ke Jepun terus bergegas secara tergesa-gesa ke sana semata-mata kononnya untuk bertemu rakyat!

Kita dapati bukan sekali kehadirannya malahan sehingga ke malam terakhir kempen PRK tersebut Najib terus hadir untuk ke program pemimpin bersama rakyat yang turut dihadiri oleh mantan PM Tun Dr Mahathir Mohamad, TPM Tan Sri Muhyiddin Yassin serta juga P.Kamalanathan sendiri selaku calon BN di PRK Hulu Selangor.

Seingat saya dizaman Dato Seri Anwar Ibrahim (DSAI) menjawat Timbalan Perdana Menteri dahulu (antara 1993-1998), sekiranya berlaku sebarang pilihanraya kecil, Perdana Menteri ketika itu (Dato Seri Dr Mahathir Mohamad) tidak sesekali akan turun sama berkempen di kawasan pilihanraya kecil tersebut, cukup beliau mengharapkan DSAI sahaja yang mengetuai segalanya bagi menjamin kemenangan Barisan Nasional (BN) ketika itu.

Fenomena ini turut sama berlaku apabila PM Dato Seri Abdullah Badawi menjadi Perdana Menteri, tugasan untuk mengetuai sebarang kempen pilihanraya kecil terus di beri kepercayaan kepada DS Najib Tun Razak ketika itu sebagaimana yang berlaku ketika di PRK Permatang Pauh, Kuala Terengganu, Bukit Gantang, dan lain-lain lagi.

Kepercayaan dan keyakinan yang diberikan oleh Mahathir dan Pak Lah dahulu kepada kedua-dua timbalannya jelas kelihatan berbanding kini. Apakah keupayaan Muhyiddin selaku Timbalan Perdana Menteri yang ditugaskan untuk mengetuai jentera BN kini sudah kurang diyakini oleh Najib yang memaksanya untuk turun padang bersama?

Berdasarkan kepada ucapan Najib pada hari pertama kehadirannya sejurus kembali dari Jepun, yang mengakui pilihanraya kecil Hulu Selangor ini merupakan medan penting buat dirinya juga bagi menilai penerimaan rakyat terhadap gagasan 1Malaysia yang diperkenalkan oleh kepimpinan beliau.

Tidak dapat tidak katanya lagi, BN perlu menang kerana keputusan itu bakal menentukan samada dasar yang diperkenalkan bagi membangunkan Negara menerusi Model Ekonomi Baru (MEB) atau pun pendekatan 1Malaysia boleh diterima atau tidak oleh masyarakat.

Fenomena yang jarang-jarang berlaku ini seolah-olah menunjukkan bahawa ‘aura’ Najib walaupun sekadar untuk pilihanraya kecil sekali pun amatlah diperlukan kehadirannya. Secara tidak langsung, ianya juga amat perlu bagi menaikkan lagi semangat disamping memberi suntikan baru kepada jentera BN didalam memastikan kerja kuat harus diteruskan lagi untuk menjamin kemenangan BN!

Disamping itu juga apakah mungkin juga kegagalan Muhyiddin sendiri didalam mengemudi jentera Barisan Nasional khususnya menangkis segala ‘serangan’ jentera Pakatan Rakyat memaksa Najib sendiri terpaksa turun ke Hulu Selangor untuk tempoh tiga hari terakhir tersebut?

Alasan Najib selaku Pengerusi BN Negeri Selangor dan seharusnya beliau turun sama ke Hulu Selangor bukanlah alasan yang terbaik untuk didendangkan. Yang pastinya, apa yang dilakukan oleh Perdana Menteri sendiri untuk turun ke padang berkempen bersama-sama seolah-olah memperlihatkan apa yang janjikan kepada beliau sebenarnya adalah retorik semata-mata…


* Artikel ini dipetik dari blog http://ingeniur.blogspot.com

No comments: