Thursday, December 31, 2009

SELAMAT TAHUN BARU 2010 DARIPADA PKR CABANG BERA

BANDAR BERA 31 DISEMBER 2009 / KHAMIS:

Kehadiran 01 Januari 2010 esok diharapkan membawa sinar yang lebih gemilang kepada Parti Keadilan Rakyat (PKR) khususnya di Bera ini. Sokongan rakyat kepada Pakatan Rakyat umumnya dan PKR sendiri khususnya semakin mendapat sambutan rakyat. Di Bera sendiri. di sepanjang tahun 2009 lalu berbagai usaha telah kita lakukan bagi ‘menjenamakan’ semula serta memperkenalkan PKR di Bera ini khususnya sejurus selepas Pilihan Raya Umum (PRU) yang ke 12 lalu.

Kita yakin PKR boleh diterima rakyat khususnya kepada mereka yang telah sekian lama di tindas atau di anak tirikan oleh Umno/BN di Bera ini.

Adalah menjadi harapan kita di tahun 2010 nanti, aktivit yang bakal dijalankan dapat disertai bersama oleh penduduk-penduduk di Bera ini khususnya kepada mereka yang bersimpati kepada perjuangan kita selama ini.

Pimpinan PKR Cabang Bera menyeru kepada semua khususnya kepada penduduk-penduduk di Bera ini terutamanya kepada penyokong PKR yang masih belum mendaftarkan diri sebagai ahli agar menyegerakan dirinya untuk menjadi ahli yang sah PKR sebagai sumbangan yang tidak ternilai kepada parti bagi menjayakan hasrat kita menawan Bera khususnya di PRU 13 nanti.

Sebagai akhir, sekali lagi pimpinan PKR Bera mengambil kesempatan untuk mengucapkan Selamat Tahun Baru 2010, Selamat Tinggal 2009 dan Selamat Datang 2010!


DARIPADA;
JAWATANKUASA PIMPINAN PKR
CABANG BERA
SESI 2007-2010.

Wednesday, December 30, 2009

KENYATAAN AKHBAR P.SARAWANAN, TIMBALAN KETUA AMK BERA

KENYATAAN JAWATANKUASA BERTINDAK SKJT LADANG MENTERI, SDR P.SARAWANAN YANG JUGA TIMBALAN KETUA AMK BERA MERANGKAP EXCO ANGKATAN MUDA KEADILAN (AMK) MALAYSIA DI AKHBAR SINAR HARIAN BERA HARI INI 29/12/2009

ISU SJKT : SERAH MEMO KEPADA PM

BERA – Walaupun isu projek pembinaan Bangunan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Menteri dan SJKT Ladang Kemayan sudah dijelaskan pihak Jabatan Pelajaran Negeri Pahang dan MIC Bahagian Bera, namun terdapat pihak yang mempertikaikannya.

Isu murid India menumpang bangunan sekolah di daerah ini telah diperjuangkan golongan berkenaan sejak hampir 30 tahun lalu, yang diwakili oleh MIC Bahagian Bera ketika itu.

Malah, sehingga ini, gerakan terbabit masih memperjuangkan perkara sama, sehinggalah kerajaan bersetuju menyediakan peruntukan besar bagi membina bangunan baru bagi kedua-dua sekolah itu.

Perkara yang sama juga turut dijelaskan Jabatan Pelajaran Negeri awal Disember lalu dalam siaran akhbar terbitan Sinar Harian, yang mengesahkan Kementerian Pelajaran Malaysia meluluskan peruntukan sebanyak RM1,476 juta bagi membina SJKT Ladang Menteri.

Berdasarkan laporan terbabit, projek itu mengandungi dua blok bangunan membabitkan enam bilik darjah dan blok pentadbiran.

Semalam, Jawatankuasa Bertindak SKJT Ladang Menteri mewakili ibu bapa dan penjaga murid sekolah ini mahu projek pembinaan sekolah baru itu disegerakan tanpa ada sebarang faktor terbengkalai.

Pengerusi, P Sarawanan berkata, suara hati masyarakat India di daerah ini termasuk komuniti luar kawasan ini menandatangani satu memorandum mengenai masalah ini.

Menurutnya, selama lebih 30 tahun, murid India di daerah ini terpaksa menumpang di sekolah lain untuk menimba ilmu.

“Banyak masalah yang timbul berikutan masalah ini, dan kita berharap masalah kelewatan pembinaan sekolah ini dapat diatasi dengan lebih bijak dan progresif daripada semua pihak.

“Murid kaum India terlalu banyak ketinggalan daripada asepk akademik dan ko-kurikulum, berikutan perkongsian bilik darjah dan masa pembelajaran waktu petang yang kurang sesuai, terutama bagi murid Tahap Satu,”
katanya kepada Sinar Harian.

Sarawanan tidak menafikan projek pembinaan bangunan sekolah telah pun dimulakan sejak 3 November lalu, tetapi tiada sebarang perkembangan untuk Projek SJKT Ladang Kemayan.

Katanya, walaupun kerja-kerja meletakkan batu asas itu telah pun dijalankan dua tahun lalu, termasuk papan tanda telah dinaikkan, tetapi kawasan seluas enam ekar itu kini menjadi semak-samun.

Menurut beliau, tindakan jawatankuasa bukanlah mahu mengeruhkan keadaan, tetapi mahu masalah ini diselesaikan dengan cara lebih baik dan segera serta tidak lagi ditangguhkan.

Sinar Harian difahamkan, sebelum ini juga, peruntukan RM250,000 telah disalurkan untuk permulaan pembinaan bangunan baru SJKT Ladang Kemayan, termasuk derma orang ramai berjumlah RM50,000.

Menurut Sarawanan, dengan jumlah RM300,000 itu sepatutnya banyak pembangunan yang telah dimulakan dan tidak sepatutnya masalah ekonomi mengganggu kerja-kerja pembinaan terbabit.

Beliau berkata, sebuah persatuan akan menghantar surat kepada SPRM untuk menyiasat perkara ini, supaya nasib masyarakat India di Bera mendapat pembelaan sewajarnya.

Memorandum masalah pembinaan sekolah itu diserahkan kepada 17 orang individu, termasuk Perdana Menteri, Menteri Pelajaran Malaysia, Menteri Besar Pahang dan Menteri Kerja Raya.

Hadir sama, Presiden Persatuan Penasihat Pengguna-pengguna Malaysia, Varatharajoo Murugan.

Tuesday, December 29, 2009

MESYUARAT AGUNG TAHUNAN PADA 01 FEBRUARI - 15 MAC 2010

BANDAR BERA, 28 DISEMBER 2009 / ISNIN:

Menurut sumber Ibu Pejabat Parti Keadilan Rakyat (PKR), tempoh Mesyuarat Agung Tahunan Cabang-Cabang PKR di seluruh negara akan bermula dari 01 Februari 2010 sehingga 15 Mac 2010 nanti.

Ini bermakna setiap cabang parti hendaklah mengadakan mesyuarat cabang didalam tempoh tersebut. Manakala Kongres Nasional Parti Keadilan Rakyat (PKR) pula akan diadakan pada 28, 29 dan 30 Mei 2010, namun begitu tempat dimana perhmpunan itu bakal diadakan masih belum ditetapkan.

Monday, December 28, 2009

MESYUARAT JAWATANKUASA KALI KE 9 / 2009 (27 DISEMBER 2009) PKR CABANG BERA

BANDAR BERA, 27
DISEMBER 2009 / AHAD:


Mesyuarat JawatanKuasa bulanan Cabang Bera kali ke 9 / 2009 (kali terakhir untuk tahun 2009) ini telah berlangsung dengan jayanya apabila 14 daripada 18 Ahli Jawatan Kuasa (AJK ) hadir semalam untuk bersama membincangkan beberapa agenda penting PKR lebih-lebih lagi perancangan untuk tahun 2010 nanti.

Di mesyuarat tersebut, sebanyak tiga agenda utama untuk PKR Bera dibincangkan yang mana ianya lebih terarah kearah perancangan dan penyusunan peringkat cabang untuk tahun hadapan 2010 yang akan menjengah beberapa hari lagi. Antara perkara-perkara yang dibincangkan tersebut ialah seperti;

1) Mencari seramai 20 orang perwakilan PKR Bera untuk ke Konvensyen PKR Negeri Pahang pada 16-17 Januari ini yang dijangka dibuat di Kuantan, Pahang.

2) Membincangkan Takwim Aktiviti bagi PKR Cabang Bera untuk sepanjang tahun 2010 nanti.

3) Membincangkan persiapan awal untuk Mesyuarat Agung Tahunan Cabang nanti yang dijadualkan berlangsung mulai 01 Februari 2010 sehingga 15 Mac 2010 nanti. Manakala Kongres Nasional PKR pula akan berlangsung pada 28, 29 dan 30 Mei 2010 nanti.

Pada mesyuarat semalam yang diadakan di Pejabat PKR Bera, seramai 20 orang yang terdiri daripada AJK cabang, AMK serta wakil wanita telah dipilih untuk menghadiri konvensyen yang bakal berlangsung di Kuantan nanti pada 16-17 Januari 2010 ini.


Pihak PKR Bera semalam juga telah menetapkan beberapa aktiviti peringkat cabang Bera akan dibuat dan ini selaras dengan dasar kita untuk mengaktifkan secara ‘all out’ segala program di sepanjang tahun depan mulai Januari 2010 ini. Beberapa perkara dan faktor keperluan ianya perlu diadakan serta sesuai dan ‘relevan’ di peringkat cabang PKR ini telah di ambil kira.

Antara aktiviti yang telah diluluskan untuk di buat pada tahun hadapan ialah kursus PACA peringkat cabang Bera, Kursus pengukuhan dalaman parti, perayaan ulangtahun Ke 5 PKR di Bera, penyerahan bantuan hari raya, jamuan rumah terbuka cabang disamping program ceramah-ceramah yang lazim diadakan sebelum ini.

Semua program dan aktiviti yang dirancangkan ini akan dipantau secara berterusan dan dibincangkan diperingkat biro di setiap kali mesyuarat bulanan J/Kuasa PKR Bera di adakan. Disamping itu juga aktiviti di peringkat biro, ranting serta kerjasama bersama NGO di Bera ini akan terus di pertingkatkan dan dimasukkan ke dalam Takwim mengikut kesesuaian kita.

Mesyuarat ini yang bermula pada jam 3.00 petang dan berakhir kira-kira satu jam setengah kemudian nya juga telah bersetuju untuk menetapkan Mesyuarat Agung Tahunan Cabang & Pemilihan Jawatan Kuasa PKR untuk sesi 2010-2013 di rancang untuk diadakan pada 14 Februari 2010 (Ahad) dan tarikh ini akan diberikan kepada Majlis perhubungan Negeri (MPN) Pahang bagi tujuan pengesahan negeri dan pusat.

PROJEK BANGUNAN RISDA BERA DI SAMBUNG KEMBALI!





Antara gambar-gambar terkini di tapak projek bangunan Risda daerah Bera yang sudah disambung pembinaannya kembali sejak sebulan lalu

BANDAR TRIANG, BERA, 27 DISEMBER 2009 @ AHAD

Setelah hampir setahun lebih kerja-kerja menyiapkan Pejabat Risda daerah Bera terbengkalai, akhirnya mulai 27 Oktober 2009 yang lalu, kerja-kerja menyiapkan bangunan tersebut telah disambungkan kembali dengan segalanya kini telah berjalan lancar sebagaimana yang dirangkakan.

Pada 24 Februari 2009 lalu, Blog PKR Bera pernah menyiarkan satu laporan penuh kerja-kerja terbengkalai di tapak pembinaan bangunan Risda ini yang mengakibatkan pihak Risda terpaksa berterusan menyewa bangunan bagi menampung kerja-kerja pentadbiran Risda di daerah ini.

Dengan penyambungan kembali kerja-kerja yang terbengkalai itu, adalah menjadi harapan kita agar pejabat agensi bantuan kepada pekebun kecil itu dapat disiapkan tahun hadapan mengikut jadual sebagaimana yang tertera di papan tanda projek tersebut.
Pihak PKR cabang Bera mengucapkan syabas kepada pengurusan tertinggi Risda persekutuan dan negeri kerana terus memberi perhatian serta bertindak cepat terhadap kerja-kerja yang terbengkalai dahulu.


** ARTIKEL DI BAWAH YANG PERNAH DI SIARKAN DI BLOG PKR BERA INI BERTAJUK "SATU LAGI PROJEK KERAJAAN BN TERBENGKALAI DI BERA" PADA 24 FEBRUARI 2009 **



Gambar Bangunan terbengkalai ini yang dipercayai pejabat pentadbiran utama Risda Daerah Bera yang tidak dapat disiapkan sehingga kini.

BANDAR TRIANG, BERA:

Projek bangunan pentadbiran salah sebuah badan berkanun milik kerajaan Persekutuan dipercayai bangunan Risda Daerah Bera ini sepatutnya telah siap pada pertengahan tahun lepas tetapi sudah hampir setahun ianya terbengkalai. Sehingga kini tidak diketahui penghujungnya dan sampai bila akan berkeadaan sedemikian.
Projek ini yang berada dihadapan Masjid bandar Triang ini sepatutnya telah boleh digunakan untuk kemudahan penduduk untuk berurusan serta kemudahan kakitangan itu sendiri yang kini terpaksa menyewa di lot kedai laluan Triang-Temerloh. Semoga pihak-pihak yang berkenaan dapat mengambil tindakan dengan segera untuk mengelakkan kerja yang terbengkalai ini tiada tindakan

UMNO JUARA RAKYAT ATAU JUAL RAKYAT?

Kita percaya dalam dada para pendokong Pakatan Rakyat (PR) tidak pernah ada istilah 'iri hati' atau pun 'dengki' walaupun sebesar zarah kerana dikatakan PR membuat sesuatu program untuk rakyat disebabkan iri hari kepada UMNO / BN?

Membaca komen yang dibuat oleh Setiausaha Agung UMNO merangkap Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor ini terhadap PR adalah amat melucukan;

"Kita bukan macam pembangkang yang buat sesuatu program dengan hasrat iri hati kepada lawan sebaliknya kita buat untuk kepentingan rakyat"

Untuk apa kita hendak merasa iri atau dengki kepada mereka sekiranya benar program yang dibuat oleh mereka untuk kepentingan rakyat akan dinikmati sepenuhnya untuk rakyat yang memerlukan?

PR tidak pernah menjadikan tujuan utama kita untuk mengadakan program adalah semata-mata disebabkan sebagaimana yang disebutkan oleh Tengku Adnan ini. Saya tidak nampak kenapa PR harus memikirkan 'perasaan' iri hati atau dengki sehingga ketahap itu?

Kalau kita merenungi kembali kenyataan Tengku Adnan di akhbar-akhbar kepunyaan kerajaan ini, UMNO secara terang dan jelas memberitahu bahawa pelancaran untuk program "UMNO JUARA RAKYAT" pada 9 Januari 2010 ini adalah amat penting bukan sahaja untuk UMNO tetapi Barisan Nasional juga dalam mengukuhkan dan mencari sokongan rakyat kepada parti tersebut.

Disamping itu menurut Tengku Adnan lagi, agenda utama di bawah program yang akan digerakkan ke seluruh negara ini adalah untuk menunjuk dan mengingatkan kepada rakyat terutamanya orang-orang melayu di kampung dan desa terutamanya bahawa hanya UMNO dan BN inilah sahaja yang selama ini menjuarai segala hasrat hasrat rakyat, dengan kata lainnya UMNO JUARA RAKYAT!

Program UMNO Juara Rakyat ini akan di lancarkan secara rasmi oleh PM DS Najib Tun Razak di Bukit Sentosa, Selangor merupakan salah satu program terkini yang pada pandangan mereka boleh mengembalikan keyakinan rakyat kepada UMNO dan BN terutamanya.

Secara peribadi saya tidak mahu mengulas panjang apakah isu atau agenda yang bakal di beritahu kepada rakyat tentang pengertian UMNO ini sebagai juara rakyat yang selama mereka mendakwa jasa UMNO bukan setakat kepada melayu bumiputra sahaja malahan kepada kaum lain juga turut menikmati jasa yang dilakukan UMNO / BN ini.

UMNO / BN kini melihat hanya cara ini sahaja peluang yang baik untuk UMNO dan BN kembali rapat pada rakyat dan meyakini rakyat. Bagi saya tiada apa yang hebatnya pun dengan pengumuman yang dibuat oleh UMNO ini untuk 'merapatkan' diri mereka dengan masyarakat desa atau kampung kerana yang pastinya adalah mereka lakukan semua ini semata-mata untuk 'memanjangkan' lagi hayat politik UMNO / BN pada Pilihanraya Umum ke 13 nanti.

Sememangnya rakyat sudah sedia maklum, UMNO / BN hanya tahu mencari kembali mereka sekiranya parti ini kian tersepit dan di tolak rakyat akibat 'perbuatan' mereka yang selalu 'mempermainkan' rakyat didalam pelbagai hal pun sebelum ini.

Kita tidak mahu rakyat tertipu sekali lagi dengan permainan licik UMNO / BN apatah lagi dengan menggunakan slogan "UMNO JUARA RAKYAT" sedikit sebanyak orang melayu terutamanya boleh 'terpesona' dengan dakwaan mereka sebagai juara rakyat lebih-lebih lagi apabila pemimpin-pemimpin terkini mereka mula membangkitkan 'nostalgia syahdu' untuk rakyat mengingati kembali jasa-jasa pemimpin terdahulu (era 50an, 60an dan 70an) terhadap rakyat terutamanya kepada orang melayu!

Apakah benar UMNO ini juara rakyat? Apakah dikira sebagai Juara rakyat apabila banyak tanah-tanah kepunyaan melayu tergadai di atas nama pembangunan? Apakah ini dikatakan sebagai Juara rakyat apabila banyak wang rakyat digunakan sewenang-wenangnya tanpa mengambil kira pandangan rakyat akan pembaziran berlaku? Inikah yang dikatakan Juara rakyat sekiranya rasuah dan penyalahgunaan kuasa semakin meningkat didalam pentadbiran negara? Juara rakyatkah UMNO sekiranya apa jua pemasalahan rakyat tidak ditangani dengan segera? Inikah Juara rakyat sekiranya terang-terang Wang Royalti untuk rakyat Terengganu dan Kelantan ditukarkan namanya kepada Wang Ehsan?

Janganlah nanti rakyat akan berkata " Kalau macam ini caranya, kami sebagai rakyat tidak nampak langsung UMNO sebagai JUARA RAKYAT tetapi kami melihat UMNO kini lebih dikenali sebagai JUAL RAKYAT!"


* Artikel ini di petik dari Blog http://ingeniur.blogspot.com

Saturday, December 26, 2009

SENSASI 'GST' & 'ENJIN JET F-5E'

Isu terbaru kehilangan enjin jet pejuang F-5E TUDM yang akhirnya diberitahu rupanya ‘hilang’ dua buah enjin (mulanya dihebohkan satu enjin sahaja) dan bersama juga kemungkinan komponen kecil yang lain pada jet pejuang tersebut (menurut kata Menteri Pertahanan sendiri), sedikit sebanyak telah menenggelamkan isu yang hangat diperkatakan sebelum ini didada akhbar dan TV iaitu GST.

Apakah itu GST ? GST adalah bermaksud ‘Goods and Services Tax’ dan didalam bahasa melayu ianya bermaksud sejenis cukai di mana apa sahaja barang dan perkhidmatan yang digunakan oleh pengguna (sudah tentu rakyat bawahan yang terpaksa membayarnya) akan mengandungi elemen cukai yang membolehkan ianya dikutip!

GST juga dikenali sebagai ‘Cukai Kepenggunaan’ (Consumption tax) yang secara ringkas asasnya jauh lebih meluas daripada cukai jualan dan cukai perkhidmatan yang ada seperti sekarang.

Dengan tidak menyembunyikan lagi fakta yang sebenar ialah sudah tentu cukai seperti ini akan dikutip daripada pelanggan untuk pihak kerajaan oleh organisasi perniagaan yang berdaftar dengan pihak berkuasa cukai.

Kenapa ianya perlu GST dan apakah tujuan sebenarnya GST tersebut di praktikkan sekarang kepada rakyat negara in? Sebenarnya didalam bahasa yang mudah agar rakyat faham terutamanya yang berpendapatan rendah, GST ini adalah bertujuan untuk memperluaskan lagi asas cukai negara disamping secara tidak langsung ianya bertujuan untuk mengurangkan defisit belanjawan negara.

Memang benar, seperti apa yang telah didakwakan oleh kerajaan yang mengatakan kini sudah banyak negara telah melaksanakan GST ini namun kerajaan negara kita perlu ingat bahawa setiap tindakan yang hendak dilaksanakan oleh negara-negara tersebut kebiasaannya terlebih dahulu telah mendapat respons daripada rakyatnya sebelum melaksanakannya dan tidak seperti menggunakan kaedah ‘paksa rela’ sebagaimana yang diamalkan oleh kerajaan negara kita sebelum ini pada setiap perkara yang dihasratkan!

Sehingga kini sudah hampir 143 buah negara telah melaksanakan GST ini dan pada masa kini negara seperti Singapura telah mengenakan GST kepada rakyatnya dengan kadar 5% , Thailand 7% , Indonesia dan Filipina 10% sementara itu pula negara New Zealand telah mengenakan GST sebanyak 7% dan Australia pula 10%. Walaupun begitu masih terdapat negara di Asia ini yang masih menangguh perlaksanaan GST antaranya ialah negara Hong Kong dan Brunei.

Sekiranya negara kita tetap berkeras untuk melaksanakan juga GST ini sudah pasti perbelanjaan kita akan meningkat kerana setiap sen yang dibelanjakan itu sudah pasti akan di kenaikan cukai termasuk juga ketika kita menggunakan segala perkhidmatan lain yang disediakan.

Memang benar cadangan kadar GST yang bakal di implemenkan di Malaysia ini masih rendah iaitu sekitar 4% (sama seperti kadar GST negara China) dan ianya telah di perakui adalah kadar yang terendah berbanding di negara Asia Pasifik lain. Tetapi kerajaan perlu juga mengambilkira apakah ini merupakan waktu yang sesuai untuk melaksanakan GST tersebut kerana negara kita sendiri masih lagi berada didalam suasana ekonomi yang kurang memberangsangkan ( dengan pertumbuhan ekonomi negara sekitar 3-4% sahaja).

Adalah menjadi harapan kita kepada pihak kerajaan agar ‘menyimpan’ lah dahulu hasrat tersebut demi keutamaan kepada rakyat bawahan kini dan pandangan rakyat bawahan ini juga perlulah di ambil kira sejajar dengan slogan yang diperkenalkan oleh PM Dato Sri Najib Tun Razak sendiri selaku Menteri Kewangan iaitu ‘Rakyat di dahulukan, Percapaian di utamakan’ sewaktu mula-mula mengambil alih tampuk Perdana Menteri Malaysia ke 6 pada Mac 2009 lalu.


* Artikel ini dipetik dari Blog http://ingeniur.blogspot.com

SUARA KEADILAN (LAMAN) SUDAH BISU & KELU?

"Suara Keadilan Online laman berita rasmi Parti Keadilan Rakyat, satu daripada komponen parti Pakatan Rakyat yang kuat kerana bilangan ahli parlimennya yang paling ramai. Ketua Pembangkang Dato’ Seri Anwar Ibrahim adalah daripada parti Keadilan Rakyat"

Sudah lebih daripada 8 bulan membisu, kelu dan hilang serinya. Cukup mengaibkan dan amat memalukan seluruh warga Parti Keadilan Rakyat.

Jika Harakahdaily yang slow dan lembabpun saya telah banyak mengecam dan mengkritik. Saya tak tahu apa perlu saya buat kepada Suara Keadilan Online.

Dulu Zunar mengendalikan Suara Keadilan Rakyat. Berapa gaji yang diberikan sehinggakan Zunar boleh keluar dan mengendalikan urus niaganya sendiri.

Zunar bukan sebarang orang, lincah, licik dan cukup bijak mengatur maklumat dan propaganda. Lihat semasa dia bekerja dengan Harakah cetak. Banyak isu diutarakan dan beberapa bentuk saraf dan propaganda dilakukan sehingga UMNO/BN tidak duduk diam dek kerana kerenahnya. Dia juga antara pemeri maklumat penting kepada laman-laman pada masa itu. Laman M@rhein adalah antara yang menerima maklumat bulat daripada Zunar, sehingga Harakah cetak membuat temu ramah secara rasmi dan memberikan ruang dalam Harakah kepada webmaster M@rhein. TranungKite laman yang saya menghantar tulisan tidak mendapat tempat sebaik m@rhein walaupun laman TranungKite adalah di usahakan oleh Pemuda PAS Kawasan Dungun.

Jika dikatakan Parti Keadilan Rakyat tidak ada orang yang mahir mengendali dan menasihati laman webnya, itu suatu cukup jelik. Haji Abdul Rahman Yusof bekas MP Kemaman, sekarang ini adalah Pengerusi Parti Keadilan Rakyat Terengganu juga merupakan Setiausaha Politik Dato’ Seri Anwar Ibrahim adalah orang yang cukup berpengalaman dalam hal ini.

Zaman reformasi dulu Abdul Rahman lah orang yang begitu banyak memainkan peranan. Saya tidak akan cerita panjang mengenai hal ini. Sudah cukup maklumat itu untuk kita menghukum bersama.

Kalau laman pun masih PKR belum bersedia untuk direformasi, sejauh mana PKR hendak menguasai media baru ini.

Saya menulis perkara ini kerana saya melihat PKR (sesetengah orangnya) lebih mengutamakan perang saraf untuk menaikkan nama orang tertentu dalam PKR dan menjatuhkan musuh dengan menggunakan blogger.

Saya tidak bercadang untuk berbicara secara terperinci bagaimana beberapa orang di kalangan PKR yang menggunakan blogger ini untuk menyerang orang-orang yang tidak disukai dalam PKR dan lebih-lebih lagi orang-orang tertentu dalam PAS bagi mencapai matlamat PKR yang dirancang. Zunar lebih mengetahui perkara ini. Anda boleh bertanya beliau berapa peruntukan kewangan yang diberikan oleh PKR untuk blogger ini mengemas kini bagi tujuan tertentu termasuk menyerang pimpinan yang tidak sehaluan dengan DSAI. Haji Man pun tahu.

Saya berpendapat perkara ini patut dihindarkan. Fokus kepada Pakatan Rakyat dan perbetulkan matlamat tujuan kelahiran blogger dan berikan tumpuan untuk menjatuhkan Kerajaan Korupsi Barisan Nasional. Utamakan keadilan untuk rakyat.

Saya berharap benar Suara Keadilan Online menjadi satu daripada sumber maklumat yang perlu bagi kita mencari kebenaran media.


* Saya ada menulis beberapa isu lain yang boleh dilawati di http://polispencen.blogspot.com/"

Friday, December 25, 2009

SELAMAT HARI KRISMAS

SELAMAT HARI KRISMAS!

PIMPINAN PARTI KEADILAN RAKYAT CABANG BERA MENGUCAPKAN SELAMAT MENYAMBUT HARI KRISMAS KEPADA SEMUA PEMBACA, PENGUNJUNG BLOG PKR BERA DAN JUGA KEPADA SEMUA AHLI DAN PENYOKONG PKR SERTA PAKATAN RAKYAT YANG BERAGAMA KRISTIAN BUKAN SAHAJA DI PARLIMEN BERA MALAHAN JUGA DI NEGERI PAHANG DAN MALAYSIA UMUMNYA.

SEMOGA DENGAN KEHADIRAN PERAYAAN INI AKAN MENJADIKAN KITA RAKYAT MALAYSIA SEMAKIN ERAT DAN BERTAMBAH MESRA DEMI KEUTUHAN DAN PERPADUAN RAKYAT BERBILANG KAUM DAN AGAMA DI NEGARA INI.



SEKIAN,

PIMPINAN PKR CABANG BERA,
BANDAR BERA ; 25 DISEMBER 2009

Thursday, December 24, 2009

IMPLIKASI AMALAN RASUAH, NEGARA DALAM BAHAYA

1. Rakyat sekali lagi dikejutkan oleh satu pendedahan yang memalukan negara apabila Menteri Pertahanan Dato' Zahid Hamidi memberitahu bahawa enjin jet pejuang F-5E bernilai RM 50 juta hilang dan beberapa barangan lain turut lesap .

2. Tidak adalah tempat yang paling selamat di dalam negara kita melainkan kawasan dibawah kawalan Kementerian Pertahanan. Malangnya kementerian ini juga gagal mempertahankan enjin jet pejuangnya, maka apa lagi sandaran keselamatan negara dan rakyat di dalam negara ini ?

3. Memalukan! Inilah sahaja kalimah yang boleh saya lafazkan sewaktu pertama kali ditanya mengenai kehilangan enjin jet pejuang negara pada tahun 2007 yang kini hangat diperkatakan . Sungguh ini memalukan negara justeru menunjukkan sistem kawalan keselamatan negara terlalu rapuh . Apa lah yang boleh diharapkan pada pertahanan negara dan para pejuangnya untuk melindungi keselamatan negara dan rakyat jika enjin jet pejuang mereka boleh hilang dan lesap .

4. Tahun 2007 ini juga mengingatkan saya bagaimana kenyataan Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan bahawa terdapat ahli politik kanan menerima rasuah RM 5 juta untuk membebaskan penjenayah yang sangat dikehendaki kerana terlibat dalam pelbagai aktiviti jenayah seperti pelacuran , gengster , ah long dan lain - lain .

5. Persidangan Dewan Negara pernah diberitahu [ pada tahun 2007 ] terdapat tiga kumpulan gengster utama yang telah dikenal pasti wujud di negara ini sejak 2005 dengan jumlah anggota mencecah 17,000 orang. Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri Datuk Mohd Johari Baharum berkata kumpulan gengster Ang Bin Hoey mempunyai 122 kumpulan dengan 11,764 anggota, kumpulan Wah Kee mengetuai 40 kumpulan dengan 1,991 anggota manakala Thug Gang mempunyai 123 kumpulan dengan 3,497 anggota.

6. Pada 12 ogos 2007 melalui ruangan tetap Tun Hanif Omar [ bekas ketua polis negara ] mendedahkan di akhbar The Star bahawa terdapat 40% daripada anggota polis terlibat dengan rasuah .

7. Sementara pada 14 February 2004 , Datuk Seri Rais Yatim juga pernah mendedahkan bagaimana 18 kes rasuah yang melibatkan high profile sedang diperingkat akhir siasatan tetapi malang sehingga kini tidak lagi kedengaran sebarang tindakan diambil.

8. Ahli Parlimen Kapar S Manikavasagam pernah seketika dulu membuat laporan kepada BPR [ kini SPRM ] apabila laman web seorang yang dituduh penjenayah, Michael Soosai yang seketika dulu dipercayai bersembunyi di India , mendedahkan kegiatan sembilan anggota polis yang terlibat secara langsung dengan rasuah.

9. Baru - baru ni kita dikejutkan dengan berita bumbung stadium Sultan Mizan runtuh di Terengganu , kemudian jambatan gantung di Dipang juga runtuh dan mengakibat hilang nyawa beberapa orang pelajar sekolah yang menggunakan jambatan tersebut . Terbaru hentian bas di Kuala Berang juga dilaporkan runtuh . Saya percaya semuanya ini adalah bermula dan berpunca dari amalan rasuah yang membarah .

10. Indeks rasuah negara di peringkat antarabangsa kini di angka 52 . Angka yang sangat memalukan dan jauh ketinggalan dari negara jiran kita Singapore . Lebih malang , tiada usaha yang serius dan berkesan dari kerajaan UMNO dan BN untuk menangani isu rasuah ini malah mereka kelihatan selesa dengan wabak rasuah yang kian menular ini . Akibatnya , keselamatan negara dan rakyat kini terancam dan berada di dalam keadaan bahaya .


* Artikel ini dipetik dari blog http://episodeperjuangan.blogspot.com/

Wednesday, December 23, 2009

UMNO TERTIDUR 35 TAHUN!

Umno sebenarnya tertidur 35 tahun. Sekarang baru dia tersedar bahawa Pulau Pinang sudah terlepas dari genggamannya.

Baru sekarang Umno terhegeh-hegeh menuntut kerusi Pengerusi BN Pulau Pinang sedangkan sebelum ini tidak berani berbuat demikian.

Sebelum ini Umno sudah beberapa penggal mempunyai kerusi majoriti di DUN Pulau Pinang berbanding Gerakan dan MCA namun tidak berani menuntut kerusi tersebut.

Sekarang bila mereka melihat Gerakan lemah dan tewas teruk dalam Pilihanraya Umum lalu barulah mereka tersedar dari mimpi.

Memang benar Umno tidak ada semangat setia kawan dan tidak jujur dalam persahabatan. Bila kawannya kuat Umno jadi 'Yes Man' bila kawan lemah Umno mahu memijak kepala kawan. Inilah perangai Umno yang mengamalkan politik matlamat menghalalkan cara dan politik pecah perintah.

Sebab itulah Umno pernah menerajang PAS dari BN suatu ketika dahulu. Ketika Umno lemah mereka menghulurkan tangan kepada PAS, bila mereka kuat PAS tidak lagi dipandang oleh mereka.

Sama juga dengan isu kerajaan perpaduan baru-baru ini, bila Umno longlai selepas Pilihanraya Umum 2008 mereka cuba meminang PAS untuk 'berkahwin' dalam Kerajaan Perpaduan.

Alhamdulillah PAS sudah mahir dan fasih dengan perangai buruk Umno. Pinangan Umno ditolak.Kini Gerakan pula mendapat bahana dari kebiadapan Umno.

Maka saya mencadangkan kepada Gerakan dan Presidennya Koh Tsu Kon supaya keluar dari BN dan sertai Pakatan Rakyat kerana Umno dan BN sudah tidak boleh dipercayai lagi.
Umno kini sedang giat membuli MCA dan Gerakan serta juga MIC.

Apa lagi yang Gerakan hendak tunggu sebelum terlambat sila menyeberang secepat mungkin.



* Artikel ini di petik dari http://www.harakahdaily.net/v2

NKRA BAGI MEMERANGI RASUAH - SERIUS ATAU GIMIK?

Cadangan yang diutarakan oleh Ketua Makmal Bidang Keberhasilan Utama (NKRA) bagi Memerangi Rasuah, Datuk Hisham Nordin untuk mewujudkan satu Akta Parti Politik khusus untuk melaksanakan kawalan terhadap pembiayaan yang diterima parti politik didalam usaha mengekang kegiatan rasuah politik di Negara ini amatlah disokong.

Namun begitu cadangan ini masih lagi berada di tahap kajian dan ianya memerlukan penelitian serius kerana ketika ini semua parti politik masih tertakluk dibawah bidang kuasa Pendaftar Pertubuhan (ROS).

Didalam hal ini apa juga cadangan yang berkaitan dengan akta ini perlu dilihat secara menyeluruh serta memerlukan sedikit masa bagi melaksanakannya sebagai contoh didalam cadangan memerangi rasuah politik, ianya perlu ada pemisahan kuasa yang jelas diantara menteri dan Ketua Setiausaha Kementerian.

“Secara dasarnya, menteri hanya boleh terbabit didalam hal yang melibatkan polisi tetapi wujud pula persoalan sama ada surat sokongan daripada orang kanan menteri terbabit seperti setiausaha politik untuk mendapatkan tender boleh dilakukan atau pun tidak? Ini adalah antara perkara yang ingin kita lihat dan atasinya”

Hisham juga menambah definisi surat sokongan tidak harus dilihat sebagai suatu kelulusan tanpa menggunakan proses yang sebenar untuk mendapatkan tender, lesen atau pun sebagainya.

Kajian yangt dilakukan juga turut melihat akan peranan yang dimainkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), ROS serta beberapa agensi yang lain juga didalam usaha untuk memantau segala pembiayaan dan juga perbelanjaan parti politik ini dan ianya juga diteliti samada perlunya kerajaan menyediakan dana tambahan kepada parti politik bagi mengurangkan kebergantungan kepada sumber pembiayaan swasta.

Antara inisiatif lain yang turut dicadangkan untuk mengatasi masalah rasuah politik ini juga ialah dengan cara mendedahkan pengagihan peruntukan kerajaan kepada wakil rakyat serta juga perlantikan pegawai khas politik perlulah dibuat secara rasmi.

Beliau juga mencadangkan agar segala perbicaraan kes rasuah di mahkamah perlulah diselesaikan didalam tempoh setahun oleh kerajaan. Secara peribadinya saya menyanjung tinggi dengan apa yang telah dicadangkan ini kerana ianya sudah pasti akan mendatangkan kebaikan untuk semua cuma satu persoalan sahaja yang bermain di minda saya ialah apakah pihak tertentu terutamnya daripada parti kerajaan sanggup untuk menyiasat parti mereka sendiri didalam hal apa yang telah disebutkan diatas seperti salah guna perbelanjaan untuk tujuan politik mereka atau pun sebagainya?

Pada pengalaman yang lepas ketika menghadapi pilihanraya sebagai contohnya, kita akan melihat betapa perbelanjaan yang dikeluarkan oleh parti-parti politik BN kelihatan begitu melampau sangat perbelanjaannya dan yang pasti langsung tidak mengikut peraturan yang dikeluarkan oleh pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tetapi langsung tiada tindakan atau siasatan terhadap perkara tersebut.

Begitu juga didalam soal surat sokongan atau istilah ‘kabel’ yang begitu berleluasa digunakan terutamanya didalam kes melobi kontrak tender, lesen atau pun kemasukan ke tempat-tempat pembelajaran atau mendapatkan pekerjaan tertentu, apakah kategori sesuai untuk di takrifkan? Apakah ini juga boleh ditafsirkan sebagai rasuah ataupun pertolongan tanpa balasan sahaja?

Sama-samalah kita tunggu apakah cadangan yang diutarakan oleh Ketua Makmal Bidang Keberhasilan Utama (NKRA) bagi Memerangi Rasuah ini boleh dipraktikkan secara telus tanpa gangguan oleh pihak tertentu boleh berjaya ataupun tidak?

Yang pasti rakyat Malaysia amat berharap agar perkara ini dipandang serius dan menyeluruh tanpa adanya pilih kasih didalam isu memetangi rasuah ini semoga negara kita akan lebih dihormati lagi daripada sebelum ini oleh orang negara luar.



* Artikel ini di petik dari blog http://ingeniur.blogspot.com

Tuesday, December 22, 2009

PERWAKILAN BERA DI KONVENSYEN PAKATAN RAKYAT PERTAMA

Kain rentang Konvensyen Pakatan Rakyat Pertama terpapar megah di Auditorium MBSA, Shah Alam, Selangor.
Suasana ketika ketiga-tiga pemimpin utama (Anwar, Hj Hadi dan Lim Guan Eng) tiba di atas pentas utama di konvensyen tersebut.
Antara perwakilan tiga parti yang hadir tekun mendengar perbahasan pimpinan
Dari kiri Dato Tn Ibrahim Tn Man (Naib Presiden PAS), Dato Mustafa Ali (Setiausaha Agung PAS), YB Zuraidah (Ketua Wanita PKR), Sd Shamsul Iskandar (Ketua AMK) dan Ust Nasruddin (Ketua Dewan Pemuda PAS)
Antara ragam pimpinan AMK Malaysia yang mengadakan demonstrasi di hadapan pintu masuk utama MBSA bagi melahirkan sokongan mereka terhadap Sdr Jonah dan Azizi yang ditahan polis

BANDAR BERA: 21 DISEMBER 2009

Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Bera turut bersama rakan-rakan pimpinan cabang lain negeri Pahang di Konvensyen Pakatan Rakyat kali Pertama 2009 yang telah berlangsung di Auditorium MBSA, Shah Alam pada Sabtu 19 Disember 2009.

Pimpinan PKR Bera telah di wakili oleh Tn Hj Abas Awang, Sdr Rizan Hj Ali, Pn Salmiah dan Sdr Bob Manolan di konvensyen tersebut.

Hampir 1500 perwakilan daripada ketiga-tiga parti PKR, PAS dan DAP telah hadir menyertai konvensyen ini yang dianggap oleh semua pemerhati politik sebagai satu 'signal' akan keseriusan Pakatan Rakyat untuk menawan Putrajaya di PRU 13 nanti.

UCAPAN DSAI KETIKA KONVENSYEN PR 19/12/2009

UCAPAN DATO SERI ANWAR IBRAHIM (KETUA UMUM PKR) DI KONVENSYEN PAKATAN RAKYAT PADA SABTU 19HB DISEMBER 2009 DI AUDITORIUM MBSA, SHAH ALAM.

I. KEYAKINAN KEPADA RAKYAT
Kita mengadakan konvensyen ini sebagai menyambut suara rakyat. Rakyat telah bersuara pada 8hb Mac 2008. Dan suara rakyat semakin lantang.Rakyat telah memberikan kita sedikit kepercayaan. Tsunami politik 2008 memcerminkan rakyat telah muak dengan kerenah rasuah, politik perkauman dan taktik jelek adu domba Umno-BN. Mereka marah dengan skandal V K Lingam, dan tatkala harga petrol melabung mereka tidak yakin BN bersungguh-sungguh untuk membantu rakyat.

Maka rakyat memberikan dokongan kepada gagasan Keadilan, DAP dan Pas. Jika kita lihat persiapan jentera pilihanraya, kerjasama antara parti-parti kita yang masih longgar, dan kita melihat pula jaganath pilihanraya Umno-Bn, dengan propaganda licik dan penuh fitnah, semua merasa mustahil kita mampu memperoleh kemenangan yang begitu besar. Tidak ada pendita politik yang mempercayainya, dan sebahagian besar kita sendiri tidak mempercayainya.

Tetapi rakyat memberikan kita kepercayaan. Maka kita harus insaf dan bersifat tawadhu. Kita memperoleh kemenangan tersebut bukan kerana kekuatan kita atau jentera parti. Kita di Dewan Rakyat, di tampuk pemerintahan negeri kerana rakyat memberikan kita sedikit keyakinan. Kita jangan sekali jadi seperti kaduk naik junjung.

Rakyat mahu mencuba kita, rakyat mahu menguji kita. Maka kita jangan mengkhianati kepercayaan tersebut. Kita perlu yakin dengan kebijaksanaan rakyat. Meskipun mereka dihujani dengan propaganda murahan, dan mereka disekat dengan pelbagai instrumen pemerintahan, tetapi bila tiba saatnya, rakyat akan membuat pilihan dan penentuan yang benar dan adil.

Maka kita mengadakan konvensyen ini bukan untuk mencerca dan mengkritik BN dan Umno. Pemerintahan yang ada sekarang sudah kehilangan keabsahan moral, legitimasi moral mereka sudah terhapus. Kita berada di sini untuk mengungkapkan dasar dan kebijakan Pakatan Rakyat, bukan sekadar sebagai gabungan parti-parti politik, tetapi juga sebagai gerakan politik. Pakatan Rakyat is not merely a political alliance, it is first and foremost a political movement.

Perjuangan yang kita bawa ini bukan milik parti-parti politik semata-mata. Agenda perubahan, agenda reformasi yang kita bawa turut menjadi milik lembaga swadaya masyarakat (NGO), blogger, pemikir, penyair dan seniman.

Dengan kepercayaan rakyat yang kita perolehi kita kini berada di persimpangan zaman. Kita tidak berjuang sekadar untuk mengganti satu kekuasaan dengan kekuasaan yang lain. Kita tidak berjuang untuk membuat perubahan runcit-runcitan. Kita berjuang untuk membuat perubahan besar, big change, fundamental change. Semangat dan hati nurani rakyat menuntut ini dan mendorong kita membuat lompatan yang jauh. Maka kita perlu ada keberanian kebenaran, the courage of truth, keyakinan terhadap semangat rakyat, faith in the power of the spirit of the people.


II. FALSAFAH KEBANGSAAN
Apa yang hendak kita lakukan adalah tidak lain dari membina semula sebuah bangsa dan sebuah Malaysia yang berteraskan kekuatan moral rakyat. Dan kekuatan moral rakyat adalah berteraskan prinsip karamah insaniah, kemuliaan darjat insaninya “walakad karamna bani Adam.” Prinsip ini turut diungkapkan oleh seorang pejuang kemanusiaan dan rakyat; Martin Luther King, “A nation where its people will not be measured by the color of their skin but by the content of thier character.” Rakyat sudah merdeka 50 tahun, dan rakyat mahu keluar dari kepompong perkauman yang dibikin oleh ahli-ahli politik yang berfikiran kecil dan sempit.

Maka yang mendasari segala dasar dan kebijakan yang kita bentangkan hari ini adalah prinsip moral sejagat. Ini bukan gimik politik. Kita yakin perjuangan yang tidak dipandu oleh prinsip moral sejagat akan menemui jalan buntu, tidak akan membawa keadilan dan kesejahteraan untuk semua.

Kita berpegang kepada prinsip moral kerana rakyat mahu ahli-ahli politik meleburkan kerangka pemikiran usang dan jumud. Inilah falsafah kebangsaan yang kita maksudkan, satu kebangsaan yang inklusif, adil, tanpa diskriminasi. Surah al Hujurat ayat 13 jelas menganjurkan agar kita meninggalkan perkauman sempit ini:

"Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu)".

Prinsip karamah insaniah dan litaarafu inilah yang menggembeling keyakinan baru di kalangan umat Melayu dan bumiputera untuk membanteras sikap perkauman dan membantah sebarang dasar yang meminggirkan golongan lain atas pertimbangan ras. Justeru itu jangan ada yang mahu menggantikan satu bentuk rasisme dengan rasisme yang baru, dengan membidas perkauman Umno semata-mata dari perspektif kepentingan kaum tertentu. Kepada kaum Cina, India, Kadazan, Iban dan Melayu, ingin saya jelaskan di sini perkauman sempit tidak boleh ditewaskan dengan perjuangan serta tuntutan perkauman sempit juga.

Jika ini berlaku, maka tidak akan ada kemajuan dalam perjuangan melawan perkauman. Perjuangan melawan perkauman hanya akan berjaya jika didorong oleh keadilan sejagat dan kesederhanaan sikap.

Rakyat Malaysia dari pelbagai kaum mempunyai moral resources, khazanah akhlak, yang kaya untuk memerangi fikiran sempit dan perkauman, dan menggantikannya dengan keadilan sejagat untuk semua, menghapuskan prasangka dan menyemai benih persaudaraan insaniah. Inilah yang dituntut oleh Saidina Ali Karamallahu Wajhah apabila ditanya mengenai persaudaraan sesama insan:
Akhukum fil Insaniah(Persaudaraan sesama insan) yang mana turut bergema dalam tradisi tamil: ontre kulam oruvane thevan( satu jiwa kerana kemanusiaan) dan juga dalam tradisi cina yang diungkapkan oleh mahaguru Kung dalam kitab Lun Yu,“si hai zhi nie jie xiong di” yang membawa maksud (empat lautan terbentang luas, semua manusia bersaudara)

III. MENJANA MUAFAKAT
Saya menghargai keringat dan buah fikiran rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat yang terdiri dari pelbagai kaum dan agama yang sanggup berbincang secara terbuka dan ikhlas. Ini belum pernah berlaku dalam sejarah Malaysia. Maka hari ini kita mencipta sejarah. Bukan mudah untuk sampai kepada suatu muafakat yang boleh disebut sebagai overlapping consensus sepertimana yang diungkapkan oleh filasuf John Rawls. Proses perbincangan yang intense dan rancak dari kalangan yang berbeza latar, fahaman dan kepercayaan. Kita menghormati falsafah perjuangan parti-parti masing, yang punya sejarah gemilang dan getir melawan kerakusan kuasa dan mengalami pelbagai bentuk penindasan. Kita berbincang secara terbuka dan ikhlas. Perkara-perkara yang selama ini dianggap sensitif kepada parti masing-masing dan kaum-kaum tertentu. Kerana ada kejujuran maka kita berjaya mencapai muafakat.

Dengan muafakat yang kita perolehi, bangsa Malaysia boleh berrgerak ke hadapan mengharungi abad ke 21 dengan penuh keyakinan, bangsa Melayu punyai keyakinan, bangsa Cina perolehi keyakinan, bangsa India perolehi keyakinan, bangsa Iban perolehi keyakinan dan bangsa Kadazan perolehi keyakinan. Kita tidak membina satu muafakat dengan rasa ketakutan atau rasa tidak selamat.


IV. EKONOMI
Cabaran terbesar yang dihadapi oleh negara adalah dalam sektor ekonomi. Jika ekonomi lembap, kesejahteraan rakyat akan terhakis, ramai rakyat akan hilang pekerjaan. Dasar-dasar yang ada sekarang menyebabkan negara kita jauh ketinggalan dengan negara-negara di rantau ini seperti Singapura, Korea Selatan dan Taiwan. Pakatan Rakyat ingin merangka satu dasar yang akan mengembalikan Malaysia di barisan pertama dengan negara-negara termaju di rantau ini. Kita mesti melakukan satu reformasi ekonomi yang mampu meransang daya saing, kecekapan dan produktiviti.

Dan unsur bersepadu daam reformasi tersebut adalah menjaga kepentingan rakyat melalui satu kerangka keadilan sosial. Kita perlu memastikan pengagihan yang saksama dan menumpukan pertolongan kepada anggota masayarakat yang paling lemah, tanpa mengira kaum atau kumpulan. Kita akan mengadakan kerangka-kerangka dan kebijakan-kebijakan untuk menarik pelabur asing demi meransang pelaburan tempatan. Kita akan mesra dengan usahawan dan memastikan penyertaan bumiputera di dalam ekonomi.

Saya menegaskan di sini sebagai satu Pakatan Rakyat, hati nurani tidak boleh membiarkan sesiapapun di kalangan rakyat tidak memperolehi taraf kehidupan yang manusiawi, seperti rumah, pendidikan, pengangkutan dan lain-lain perkara asas. Malaysia adalah sebuah negeri yang kaya, usahawan kita berdaya saing dan produktif. Pekerja-pekerja rajin dan tekun dan kita mempunyai penjawat-penjawat awam yang berdisiplin. Dengan gabungan kesemua ini tidak mustahil dalam masa 15 tahun, Malaysia akan kembali ke barisan pertama negara-negara maju di rantau ini.

V. WANITA
September yang lalu telah terbit kajian yang berjudul The Female Economy dalam makalah Harvard Business Review. Menurut kajian makalah tersebut, ketakjuban ekonomi terkini bukanlah ekonomi China ataupun India, ataupun ekonomi kedua-duanya digabungkan. Ketakjuban ekonomi itu ialah ekonomi kaum hawa. Pendapatan kaum hawa seluruh dunia untuk tahun 2009 sahaja berjumlah USD 13 trillion, lebih besar dari gabungan KDNK China dan India untuk tahun ini; masing-masing sekitar USD 4.4 trillion dan USD 1.2 trillion. Pada masa 5 tahun akan datang jumlah jumlah pendapatan kaum hawa dijangka mencecah USD 18 trillion, manakala gabungan KDNK India dan China hanya pada angka sekitar USD 8.4 trillion. Maka seperti gejala globalisasi, kebangkitan ekonomi hawa adalah satu gejala yang tidak boleh dihentikan atau diterbalikkan(unstoppable dan irreversible). Oleh itu dalam dokumen Dasar Pakatan Rakyat, terdapat khusus satu bab mengenai wanita.

VI. GOLONGAN MUDA
Golongan muda seharusnya mempunyai serta memperlihatkan keyakinan yang tinggi untuk melakukan perubahan. Pakatan Rakyat sedar bahawa golongan muda memainkan peranan penting demi memastikan kejayaan pilihanraya umum yang lepas. Pakatan Rakyat menyedari untuk mengeratkan lagi hubungan antara generasi dan demi merapatkan jurang tersebut, perlu ada satu keputusan berani, bertanggungjawab dan meyakinkan. Kini kita lihat ramai pemimpin muda yang muncul, samada sebagai ahli parlimen mahupun sebagai adun.

Namun ini tidak seharusnya menjadikan anak-anak muda khususnya yang bersama Pakatan Rakyat cepat berpuas hati. Kita mempunyai agenda yang lebih penting, iaitu menterjemahkan janji-janji serta dasar-dasar yang kita ungkapkan. Oleh demikian pemimpin muda Pakatan, di semua peringkat, perteguhkan tekad, kefahaman serta gerak kerja berdasarkan garis besar perjuangan Pakatan Rakyat. Kita mesti meyakinkan golongan muda betapa Perubahan merupakan perkara asasi, fundamental, bukan sahaja untuk generasi sekarang, juga untuk generasi masa depan.

VII. ALAM SEKITAR
Tatkala kita merumuskan dasar Pakatan Rakyat ini, sedang berlangsung Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Copenhagen. Persidangan yang lebih dikenali sebagai COP 15 itu sungguh mustahak bagi mendapatkan persetujuan serta kesanggupan masyarakat antarabangsa untuk memastikan kelangsungan bumi yang kita diami ini.

Kita akui pembangunan sememangnya penting namun ini tidak bermakna kerusakan yang berlaku terhadap alam harus diiyakan sahaja. Makanya kebelakangan ini, laporan seumpama Stern Review, berupaya menjadi garis panduan melakar dasar nasional yang mengembalikan hala tuju pembangunan ke landasan yang tepat di samping memastikan agenda alam sekitar dan kelangsungan bumi tidak terabai. Pakatan Rakyat bersama dengan masyarakat antarabangsa yang prihatin menyatakan iltizam serta tekad untuk menangani isu perubahan iklim dan berusaha untuk mengurangkan pengeluaran karbon.

VIII. KEBUDAYAAN
Bangsa Malaysia yang kita gagaskan bukanlah satu bangsa yang eka dimensi-one dimensional nation. Kita tidak mahu Malaysia menjadi sekadar bangsa ekonomi, meskipun ekonomi itu amat penting untuk kesejahteraan. Kita mahu bangsa Malaysia itu satu bangsa yang syumul, bangsa yang mempunyai ketinggian akal budi dan segar lagi kreatif dalam pengucapan kebudayaan. Justeru itu antara unsur penting dalam Dasar Pakatan Rakyat adalah Muafakat Kebudayaan Baru. Ia tidak lain sejajar dengan semangat kemerdekaan negara yang kemudiannya perlu digilap lanjutan dari Dasar Kebudayaan Kebangsaan (1971).

IX. PENUTUP
Hari ini kita mencipta sejarah. Tetapi ini hanyalah titik permulaan. Dasar Pakatan yang akan dimeterai sebentar lagi adalah garis besar perjuangan rakyat. Dasar-dasar ini adalah moral compass dalam perjungan politik kita. Pakatan Rakyat akan berlayar jauh, maka kita perlu ada kesatuan fikrah, kesatuan pemikiran dan sentiasa berada di garis tengah. Kita perlu mematuhi ethics of coalition, Etika Pakatan.

Setiap kumpulan punya tuntutannya sendiri dan mempunyai legitimasi dan keabsahannya. Tetapi kita juga perlu melihat urutan keutamaan kerana tidak semua tuntutan boleh ditangani dengan sekaligus. Maka kita tidak boleh melihat tuntutan political constituency masing-masing tanpa melihat dan mempertimbangkan political constituency rakan-rakan kita. Perlu ada sikap 'empathy', keprihatinan terhadap pelbagai sektor dan 'constituency' rakan –rakan kita.

Justeru menjayakan agenda Pakatan Rakyat adalah menjadi prasyarat untuk mendapat dokongan penuh dan keyakinan rakyat. Hanya dengan keyakinan rakyat , bahawa rakyat yakin kita bersatu hati, kita akan memperolehi kemenangan. InsyaAllah.



* Artikel ini adalah Transkrip asal ucapan Dato Seri Anwar Ibrahim sempena Konvensyen Pertama Pakatan Rakyat.

Saturday, December 19, 2009

KONVENSYEN PERTAMA PAKATAN RAKYAT ESOK 19 DISEMBER 2009

Esok (19 Disember 2009), semua pemimpin kanan PAS, PKR dan DAP akan berhimpun dalam Konvensyen Pertama Pakatan Rakyat di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

Turut menyertai mereka adalah 1,500 perwakilan iaitu 500 bagi setiap parti-parti yang bergabung di bawah payung Pakatan Rakyat itu.

Perhimpunan sehari suntuk bermula jam 8.30 pagi hingga 5.30 petang ini dijangka akan turut disertai oleh lebih 100 wakil pelbagai jenis media dari suluruh dunia.

Majlis ini akan dipenuhi dengan ucapan dan pelancaran beberapa perkara penting yang mengikat ketiga-tiga parti dalam Pakatan Rakyat itu.

Kali ini, PKR menjadi sekretariat konvensyen ini di mana Setiausaha Agung PKR, Datuk Sallehudin menjadi pengarah konvensyen ini.

Sehubungan itu, beliau berikrar mahu menjadikan majlis ini seumpama kenduri Pakatan Rakyat yang akan dibuat dengan cara terbaik dan penuh warna warni.

Dipercayai, satu penyataan bersama Pakatan Rakyat akan dibentangkan dalam konvensyen ini untuk dijadikan panduan dan asas ikatan antara ketiga-tiga parti ini.

Antara kandungannya adalah:

1) Hentikan politik perkauman dan diskriminasi dalam semua dasar kerajaan dan perundangan.

2) Kembalikan keutuhan Perlembagaan Persekutuan dan kedaulatan undang-undang.

3) Bangunkan sistem ekonomi yang benar-benar untuk rakyat

4) Kembalikan makna persekutuan dalam mempertahankan hak-hak negeri.

5) Hapuskan ISA dan undang-undang yang menekan rakyat.

6) Hentikan tahun-tahun tanpa pelaburan dan perancangan yang buruk dalam pendidikan, pengangkutan dan kesihatan.

7) Bangunkan agenda keselamatan sosial

8) Perkasakan hak demokratik dalam budaya dan kepelbagaian budaya dan sastera.

Semua pemimpin kanan Pakatan Rakyat dijadualkan berucap. Antaranya Datuk Seri Anwar Ibrahim, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Lim Guan Eng di samping para pemimpin muda Pakatan.

Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Aziz juga dijangka akan berucap menjelang konvensyen ini berakhir pada sebelah petangnya.

Yang menariknya, pada sebelah malamnya, ulama tersohor dunia Sheikh Dr Yusof Qardawy akan memberikan Syarahan Perdana di Masjid Negeri iaitu Masjid Sultan Abdul Aziz Shah di Shah Alam juga.


* Artikel ini dipetik dari laman Harakah Daily http://www.harakahdaily.net/v2

BN BERNASIB BAIK KALI INI,TAPI TIDAK SELAMANYA

Tiada yang lebih mendebarkan Barisan Nasional (BN) selain daripada apa yang ditafsirkan oleh sesetengah pemimpin serta Ahli Parlimen BN ialah cubaan pembangkang untuk menggagalkan Bajet 2010 daripada diluluskan Parlimen kelmarin diketahui lebih awal oleh pihak BN.

Dengan kemenangan sekadar tipis sahaja majoriti tiga undi iaitu 66 menyokong BN sementara 63 pula menolak daripada kalangan pembangkang ketika bacaan kali ketiga bajet 2010 adalah merupakan suatu amaran dan pengajaran yang amat berguna terutamanya kepada pemimpin-pemimpin BN agar perlu bersedia dan perlu sentiasa memikirkan setapak kehadapan.

Sebagaimana diulaskan oleh Menteri di JPM, Dato Sri Nazri Aziz ialah;

“Kita tidak boleh sentiasa mengharapkan bernasib baik pada setiap waktu. Kita mesti berfikiran setapak kehadapan dan sentiasa bersedia”

Akibat daripada usul undian belah bahagian oleh YB M.Kulasegaran (DAP-Ipoh Barat) pada ketika bacaan kali ketiga tersebut setelah beliau mendapati kehadiran ahli-ahli parlimen pada ketika itu tidak ramai, maka kita boleh melihat betapa tergesa-gesanya kehadiran yang ‘terpaksa’ dilakukan demi menyelamatkan daripada tumbangnya BN selaku pemerintah Kerajaan Malaysia walaupun jam sudah menghampiri 11.30 malam.

Apakah yang dikatakan undi belah bahagian itu? Undi belah bahagian bermaksud setiap ahli yang ada didalam Dewan Rakyat akan dikira undinya dan bukan sekadar laungan suara bersetuju ataupun tidak.

Bukan setakat TPM Tan Sri Muhyiddin Yassin yang kelam kabut hadir pada malam tersebut malahan PM Dato Sri Najib Tun Razak pun sendiri terpaksa bergegas sama ke Parlimen walaupun hari sudah jauh malam.

Kita melihatkan perkembangan yang berlaku pada suasana politik Negara kini amat jelas menunjukkan betapa Pakatan Rakyat (PR) lebih kehadapan tahap pemahamannya serta pertanggungjawaban mereka kepada Parlimen yang dihadiri.

BN perlu ingat bahawa suasana di Parlimen sekarang bukannya seperti dahulu lagi yang sentiasa dianggap sebagai medan ‘angguk’ sahaja seumpama ‘Rubber Stamp’ peranannya untuk tujuan mengesahkan setiap tindakan yang kadang kala diluar batasan akal pemikiran rakyat.

Sebab itu apabila Setiausaha Agung BN yang juga Setiausaha Agung UMNO, Dato Sri Tengku Adnan Tengku Mansor yang mengecam serta menuduh Dato Sri Anwar Ibrahim (DSAI) dan barisan pembangkang sebagai mengamalkan politik samseng dengan menjadikan Bajet 2010 sebagai ‘punca’ menggulingkan kerajaan adalah suatu kenyataan yang tidak tepat serta amat dangkal.

Bagaimana beliau boleh menuduh PR ‘bermain kasar’ dengan dikatakan mengamalkan politik kotor? Apakah tindakan undi belah bahagian ini salah menurut perlembagaan atau peraturan Dewan Rakyat yang mulia ini?

Kenapa Tengku Adnan mengatakan PR seperti ‘gangster ‘ untuk melakukan apa cara pun untuk mendapatkan kuasa dengan cara sedemikian dan turut dikata sebagai menghina Dewan Rakyat? Kenapa perlu marah kepada PR kerana tidak memaklumkan terlebih awal dahulu kepada Dewan Rakyat sekiranya hendak mengadakan pengundian seperti tersebut bagi penentuan Bajet 2010?

Cuba tanya ahli-ahli parlimen BN, kenapa mereka tidak hadir? Kenapa mereka ponteng? Dimanakah tanggungjawab mereka sebagai ahli parlimen perlu memberi tumpuan kepada Dewan Rakyat setiap kali bersidang selaras dengan saranan PM Najib Tun Razak sendiri kepada wakil-wakil rakyat BN ini?

Salahkah Dewan Rakyat didalam hal ini? Berdasarkan konvensyen sesebuah negara berparlimen, sekiranya Bajet itu tidak diluluskan, didalam hal seperti negara kita ini Kerajaan pimpinan BN terpaksa dibubarkan dan satu pilihanraya baru terpaksalah diadakan.

Adakah ketidaksungguhan wakil-wakil rakyat kerajaan BN untuk tidak menghadirkan diri ke Dewan Rakyat ini sebagai bukti bahawa mereka ini juga tidak menyokong Bajet 2010? Yang pasti perkara ini bukan isu kecil dan BN harus ingat ‘faktor nasib’ bukannya selalu hadir dan menjamin keputusan menyebelahi BN selamanya…



* Artikel ini dipetik dari blog http://ingeniur.blogspot.com

Friday, December 18, 2009

SELAMAT MENYAMBUT MAAL HIJRAH 1431- SETIAUSAHA CABANG

SELAMAT MENYAMBUT MA'AL HIJRAH 1431
18 Disember 2009 / Juma’at


Assalamualaikum WBT

Semoga tahun baru ini membawa keberkatan pada diri kita semua dan seluruh ummat Islam

Bulan pertama dalam tahun Islam (Hijrah). Sebelum Rasulullah berhijrah dari Makkah ke Yathrib, kiraan bulan dibuat mengikut tahun Masihi. Hijrah Rasulullah memberi kesan besar kepada Islam sama ada dari sudut dakwah Rasulullah, ukhuwwah dan syiar Islam itu sendiri.

Pada asasnya, Muharam membawa maksud 'diharamkan' atau 'dipantang', iaitu Allah SWT melarang melakukan peperangan atau pertumpahan darah. Namun demikian larangan ini ditamatkan setelah pembukaan Makkah (Al Baqarah: 91). Sejak pemansuhan itu, umat Islam boleh melaksanakan tugas dan ibadat harian tanpa terikat lagi dengan larangan berkenaan.

Justeru itu, kita harus faham erti hijrah agar ianya selari dengan penghijrahan kita daripada kita begitu mudah terpengaruh untuk menyokong dan mengiyakan sahaja apa-apa perkara yang jelas bertentangan dengan nilai-nilai moral dan kehidupan kepada memastikan agar setiap perkara yang disokong itu berlandaskan hukum serta nilai kemanusiaan sejagat!

Jazakallahu Khairan Kathiran


Daripada:

RIZAN HJ ALI
Setiausaha PKR Cabang Bera

Friday, December 11, 2009

PAPAN TANDA LOKASI PENEMPATAN DAERAH BERA

Berbanding di daerah lain yang telah lama wujud apatah lagi sudah maju kehadapan seperti daerah Kuantan, Temerloh serta Bentong, Daerah Bera masih terdapat papan tanda lokasi penempatan serta kawasan pelancongan walaupun ia kini sudah kelihatan usang.

Sebenarnya ramai orang tidak perasan dimana papan tanda ini berada? Bukan setakat penduduk daerah lain tetapi penduduk di Bera ini sendiri ramai yang tidak pasti dimanakah lokasi papan tanda ini berada?

Papan tanda ini secara jelasnya menunjukkan kawasan penempatan penduduk, lokasi pelancongan, tempat untuk memancing, berkayak serta juga lokasi penempatan orang asal (asli) di Bera.

Papan tanda ini adalah satu-satunya yang masih tinggal dan teguh berada di persimpangan utama Bandar Bera (Simpang Kerayong) untuk tatapan dan rujukan orang ramai sekiranya berada di Bera.

Sepatutnya pihak Majlis Daerah Bera (MDB) perlu memperbanyakkan lagi papan-papan tanda untuk memperkenalkan lagi daerah Bera ini kepada umum apatah lagi daerah ini mempunyai banyak tempat perlancongan untuk di lawati serta dibangun.

KENYATAAN RASMI KETUA CABANG PKR BERA BERTARIKH: 11 DISEMBER 2009

KENYATAAN RASMI KETUA CABANG PKR BERA TN HJ ABAS AWANG BERKAITAN PERLETAKAN JAWATAN DATO AHMAD SAID HAMDAN SEBAGAI KETUA PESURUHJAYA SPRM SEKARANG UNTUK TUJUAN SIARAN MEDIA

“Tukarlah walau sesiapa pun sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ia nya tetap tidak akan berubah kerana Najib (DS Najib Tun Razak, PM Malaysia) tetap juga akan menggunakan SPRM untuk kepentingan diri sendiri dan Umno / Barisan Nasional (BN) melebihi daripada kepentingan negara”.

Itu adalah antara kenyataan yang dikeluarkan oleh Tn Hj Abas Awang, Ketua Cabang Bera ketika memberi komen tentang perletakkan jawatan Dato Sri Ahmad said Hamdan sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM minggu lalu.

Bagi Hj Abas, keputusan yang dibuat oleh Ahmad Said ini hanyalah sekadar untuk ‘meredakan’ tekanan terhadap SPRM kini terutamanya didalam menangi isu seperti isu Teoh Beng Hock yang telah sedia maklum masih hangat diperkatakan rakyat terhadap SPRM.

Apakah pihak kerajaan Malaysia melalui SPRM boleh memberi jaminan kepada rakyat bahawa dengan menggantikan Dato Abu Kassim sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baru maka segala persoalan dan masalah yang timbul selama ini boleh selesai dengan mudah begitu sahaja?

Sebab itu Beliau berani mengatakan, selagi dasar yang diamalkan serta dipertahankan oleh BN ini terus kekal dan sama sahaja dengan yang lama, maka ianya tidak akan berubah malahan berkemungkinan makin bertambah teruk daripada sekarang!Kalau ada pun perubahan yang bakal dibuat, pasti ianya dihalang walaupun perubahan tersebut baik untuk semua.


* Tn Hj Abas Awang juga adalah merupakan Mantan Pengarah Pelajaran Wilayah Persekutuan dan kini juga adalah Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat Negeri Pahang.

SEKOLAH SATU ALIRAN: WUJUDKAN SATU SURUHANJAYA UNTUK MEMBINCANGKANNYA!

Sekolah satu aliran yang diperkatakan oleh pimpinan Umno / Barisan Nasional (BN) baru-baru tidak lebih sebagai strategi atau mainan politik mereka didalam apa yang dikatakan sebagai ‘memperjuangkan’ bahasa melayu sebagai satu bahasa pada satu aliran sekolah sahaja.

Menurut Tn Hj Abas Awang yang juga Ketua Cabang PKR Bera sekolah satu aliran sebenarnya satu idea yang amat baik dan sudah sepatutnya dibincangkan pun kerana ianya berkait rapat tentang masa depan dan perpaduan Negara itu sendiri.

“Dulunya sekolah satu aliran ini hangat dibincangkan oleh pimpinan Umno / BN tetapi kini sudah senyap? Kenapa harus berhenti setakat ini sahaja? Apakah Umno / BN anggap isu ini sebagai satu gimik politik untuk kepentingan mereka bagi mendapatkan sokongan orang melayu semata-mata”?

“Pada pendapat saya sekiranya kita tidak dapat untuk membincangkan isu satu aliran ini lagi kerana tiadanya persetujuan antara komponen BN, seeloknya diwujudkan satu Suruhanjaya seperti Penyata Razak atau Penyata Rahman Talib bagi membincangkan cadangan satu aliran ini secara serius”.


Mantan Pengarah Pelajaran Wilayah Persekutuan itu juga melihatkan apa yang berlaku ini hanyalah sebagai ‘drama’ yang diulang-ulang versinya semata-mata untuk kepentingan politik mereka. Kalau betul tidak mahu lagi sekolah satu aliran ini dibincangkan, sepatutnya pihak kerajaan yang memerintah lakukannya didalam bentuk yang lain.

“Apakah tiada lagi alternatif lain daripada terus membiarkan isu sekolah satu aliran ini tergantung begitu sahaja? Kerajaan seharusnya mencadangkan kearah bentuk yang lain pula”.

“Mana pula peranan Najib dalam hal ini? Dengan pengenalan beliau terhadap konsep 1 Malaysia seharusnya isu sekolah satu aliran ini sudah perlu serius untuk dibincangkan dan bukannya terus-menerus dibangkit kan lagi pada masa yang akan datang”


Kita mahu kerajaan persekutuan serius didalam hal ini dan kepada Menteri Pelajaran perkara yang paling penting ialah jangan jadikan isu ini sebagai modal politik untuk pemimpin-pemimpin Umno / BN bagi terus-menerus ‘melaris’ kelentong mereka kepada rakyat.

Thursday, December 10, 2009

PERKAMPUNGAN ORANG ASAL POS ISKANDAR: DARI CATATAN SEJARAH PKR DULU DAN KINI

Orang Asal (Asli) merupakan antara kaum yang perlu diberi pembelaan yang utama sekiranya Pakatan Rakyat mengambil alih pimpinan kerajaan di negeri Pahang ini. Dengan jumlah komuniti tersebut yang begitu ramai seperti di daerah Bera sendiri, sudah pastilah usaha kearah itu begitu sukar sedikit berbanding kaum yang lain.

Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Bera telah mengambil langkah yang proaktif keatas itu apabila kembali memasuki ke kawasan penempatan orang asal dengan menjadi Pos Iskandar sebagai destinasi keduanya selepas Bukit Rok.

Hampir kesemua AJK PKR cabang Bera telah bersama dengan kira-kira 200 orang penduduk di Pos Iskandar itu telah menjayakan program ini. Kesan daripada program ini jugalah mula menampakkan hasil apabila penduduk disitu sebulat suara bersetuju menubuhkan satu lagi ranting orang asal di Pos Iskandar selepas Bukit Rok.

Penubuhan ranting ke enam PKR di Bera ini cukup menakjubkan semua kerana ianya telah membuka mata pihak-pihak tertentu terutamanya Umno / BN agar jangan lagi merasa sombong dan angkuh kepada kaum asal ini dengan boleh melakukan apa sahaja demi kepentingan Umno / BN!
Tn Hj Abas Awang selaku Ketua Cabang ketika diminta komen mengenai hal ini antara lain berkata;

“Apa yang berlaku kini menunjukkan orang asal sudah mula berubah. Tidak lagi hanya menurut kata Umno / BN dan yang paling pentingnya sudah ada kesedaran yang tinggi serta meluas berbanding dahulu. Mereka berubah kini mengikut masa dan peredaran zaman”.

“Pengabaian Umno / BN terhadap janji-janji kepada orang asli ini cukup banyak! Walaupun sudah 52 tahun Negara kita merdeka tetapi tahap kehidupan serta pendidikan orang asal ini masih rendah dan ini secara tidak langsungnya bertentangan dengan apa yang didakwakan oleh PM DS Najib Tun Razak sebagai 1 Malaysia?”

“Contohnya kita boleh melihat bagaimana jalan raya dari Felda Triang 1 ke Pos Iskandar sendiri sudah hampir 10 tahun masih tidak di baiki serta kekal ditahap sama sehingga kini! Kenapa ianya boleh berlaku lagi?”

“Orang asal kini juga terkilan dengan sikap dan janji kerajaan apabila berterusan mengabaikan hak kaum ini terutamanya didalam soal tanah apabila dilihat sebagai menafikan hak sebagai warganegara kepada orang asal”


Didalam masa yang sama, beliau yang juga mantan Pengarah Pelajaran Wilayah Persekutuan turut mempersoalkan apa rasionalnya pembinaan kompleks bangunan baru sekolah seperti di Tembangau 6 ini (bersebelahan dengan Pos Iskandar) boleh dibina sebesar-besarnya kompleks ini kerana apa yang dilihatkan ianya lebih kepada sebagai ‘Projek Gajah Putih’ sahaja kerana didapatinya banyak kelas-kelas yang masih kosong sehingga kini. Pelajar yang ada pun sekitar 100-200 orang sahaja tetapi kompleks sekolah yang dibina adalah sebesar sekolah yang sepatutnya memiliki pelajar antara 800-1200 orang!

Ini jelas telah berlaku pembaziran akibat membina kompleks sekolah ini di tempat yang tidak sewajarnya tanpa mengkaji secara mendalam kesannya.

Sdr Amir Abd Aziz, Naib Ketua Cabang 1 PKR Bera yang juga seorang Peguam di Bandar Bera ini antara lain berkata;

“Amatlah diharapkan dengan adanya muka-muka baru didalam PKR Bera ini yang terdiri daripada kaum asal sendiri seperti Sdr Bob Manolan (Ketua AMk Bera), Sdr Zarizan (Setiausaha AMK Bera), Sdr Jemadi (AJK PKR Bera) dan Sdr Romani sendiri selaku Ketua Ranting PKR Pos Iskandar diharapkan boleh membawa perubahan yang besar terutamanya perolehan undi untuk Dun Kemayan ketika di pilihanraya umum nanti”

“Pengalaman saya sendiri sebagai Calon PKR Di Dun Kemayan ketika bertanding di PRU 11 2004 lalu amat memeritkan kita sebagai pembangkang. Dengan ketiadaan anak tempatan orang asal sudah pasti lagi kita sukar di kawasan orang asal. Undi yang kita perolehi daripada Pos Iskandar amat-amatlah menyedihkan kerana yang pasti orang asal disana ketika itu menolak PKR!”

“Jadi saya amat berharap agar sokongan orang asal terhadap PKR di Bera ini berterusan dan kekal sehingga PRU ke 13 nanti”.


Setiausaha Cabang PKR Bera, Sdr Rizan Hj Ali yang juga seorang Jurutera didalam kenyataannya jelas sekali mengatakan kaum orang asal perlu dibela daripada terus dijadikan ‘alat’ kepada Umno / BN semata-mata untuk kepentingan mereka denganberterusan membuat janji-janji kosong setiap kali pilihanraya umum menjelma.

“Kita akui kita sukar sangat dahulunya untuk memasuki apatah lagi mencari undi di Pos Iskandar kerana Umno / BN sudah menguasai segala-galanya untuk memastikan orang asal mengundi BN”.

“PRU 2004 amat mencabar ketika itu, saya selaku Setiausaha Kepada Calon PKR Dun Kemayan (Sdr Amir Abd Aziz) ketika itu langsung tidak diberi kerjasama oleh penduduk di situ bagi memperkenalkan calon kita malahan pernah dihalang tanpa sebarang alasan”.

“Sebab itu apabila keputusan PRU 11 2004 diumumkan, kita sudah menjangka apa yang kita dapat. Walaupun amat sedih, kita tetap menerimanya dengan hati yang terbuka. Paling penting usaha kita dahulu sudah mula menampakkan hasilnya kini dengan tertubuhnya ranting PKR Pos Iskandar selepas 10 tahun PKR wujud di bumi Malaysia ini, bagi saya dan pimpinan PKR terdahulu di Bera ini ianya merupakan satu kejayaan yang berjaya dan gemilang”.


Kisah suka duka serta pengalaman bersama masyarakat orang asal di Pos Iskandar sejak sekian dahulu amatlah berharga terutamanya didalam usaha Pakatan rakyat untuk mendapatkan undi masyarakat tersebut.

Adalah menjadi harapan kita, dengan perubahan yang ada terhadap masyarakat orang asal ini kita mampu mengembangkan lagi pengaruh kita ke kawasan tersebut demi perubahan yang lebih gemilang.

Wednesday, December 9, 2009

TAHNIAH! BLOG PKR BERA KINI MELEBIHI 50,000 PELAWAT

Hari ini Rabu tepat jam 04.33 petang tadi genaplah 50,000 pengunjung serta pelawat yang memasuki Blog PKR Cabang Bera ini.

Sejak ianya dilancarkan secara rasminya oleh Setiausaha PKR Cabang Bera, Sdr Rizan Hj Ali pada 15 OKTOBER 2008 lalu, blog PKR Bera ini tidak putus-putus menerima kehadiran antara 150 - 250 sehari pengunjung yang melawat blog ini untuk mendapat maklumat terkini aktiviti serta berita yang dilaporkan menerusi blog ini.

Hari ini menjadi bukti bagaimana sudah 50,000 pengunjung memasuki blog ini. Kekuatan blog ini ialah blog ini sentiasa di 'update'kan rekod dan beritanya selama 24 jam sehari tanpa henti oleh pengendalinya.

Disamping itu juga blog PKR Bera ini mempunyai rangkaian atau 'link' yang cukup baik bagi 'memasarkan' blog PKR Bera ini apatah lagi blog ini bukan hanya menyiarkan isu-isu nasional sebagai bahan beritanya malahan turut menyiarkan isu-isu setempat di Bera sendiri seperti masalah penduduk, isu bangunan terbengkalai, isu projek membazir sehinggalah memperkenalkan Bera dengan berbagai produk yang ada disini.

Yang pastinya blog PKR Bera bukan sahaja dikunjungi oleh ahli-ahli serta para penyokong Pakatan Rakyat di Bera sahaja malahan sehinggakan ahli-ahli dan pimpinan parti lawan sebelah pun turut melawatnya setiap masa untuk memantau 'kekuatan' PKR Bera kini yang kian meningkat!

Sekali lagi selaku pengendali blog PKR Bera mengucapkan TAHNIAH!


50,000 PENGUNJUNG Tepat Jam 4.33 petang!


Sekian,
PENGENDALI BLOG PKR BERA

KONVENSYEN PAKATAN RAKYAT PERTAMA 19 DISEMBER 2009


SABTU 19 DISEMBER 2009

Tarikh permulaan parti-parti Pakatan Rakyat seperti PKR, PAS dan DAP akan menjalinkan hubungan setiakawannya secara rasmi yang pastinya akan mengubahkan landskap politik negara ini kearah sistem dua parti.


Pihak pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Bera mengucapkan selamat datang & Selamat Berkonvensyen buat kali pertama!



Daripada:
PIMPINAN PKR CABANG BERA

Tuesday, December 8, 2009

POS ISKANDAR: SUATU PERMULAAN YANG CEMERLANG PKR BERA!

Antara penduduk serta ahli-ahli PKR Ranting Pos Iskandar yang bergambar bersama dengan pimpinan PKR Bera sebaik sahaja selesai program tersebut.

Kepimpinan utama Bera yang turut hadir seperti dari kiri Sdr Muthusamy, Sdr Sarawanan, Tn Hj Abas Awang, Sdr Bob Manolan, Sdr Rizan dan juga Tn Hj Suhaimi Said selaku Pengerusi Biro Hal Ehwal Orang Asal Pahang.

Antara penduduk yang hadir di program penubuhan Ranting PKR Pos Iskandar itu

Sdr Bob Manolan selaku pengerusi majlis di majlis tersebut.

Tn Hj Suhaimi Said selaku Pengerusi Biro Hal Ehwal Orang Asal Pahang turut bersama menyampaikan taklimat penerangan di program tersebut.

Tn Hj Abas Awang sedang menyampaikan sumbangan hamper kepada salah seorang pemenang cabutan bertuah.

Jamuan makan yang disediakan oleh PKR Bera kepada penduduk sebaik sahaja selesai penubuhan Ranting PKR Pos Iskandar.

Antara ragam penduduk d Pos Iskandar yang sedang memilih pakaian 'bundle' yang telah disumbanglan oleh PKR Bera


BANDAR BERA 06 DISEMBER 2009:

Kira-kira 200 orang penduduk di Pos Iskandar yang juga salah satu perkampungan orang asal (Orang asli) terbesar di daerah Bera ini berkumpul meraikan kehadiran rombongan pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Bera bagi mendengar taklimat yang disampaikan oleh pimpinan PKR ini.

Rombongan PKR Bera ini di ketuai oleh Ketua Cabang Tn Hj Abas Awang, Sdr Hamzah Bawa (Timbalan), Sdr Amir Abd Aziz (Naib 1), Sdr Muthusamy (Naib 2), Sdr Rizan (Setiausaha Cabang), Sdr Bob Manolan (Ketua AMK Bera) dan Sdr Sarawanan (Timbalan Ketua AMK Bera merangkap Exco AMK Pusat), dan Sdr Amin Yusof (AJK PKR Bera).

Turut hadir di program ini ialah Tn Hj Suhaimi Said (Ketua Cabang PKR Kuala Krau) iaitu Pengerusi Biro Hal Ehwal Orang Asal Pahang yang juga Pengerusi Biro Hal Ehwal Felda PKR Pusat dengan diiringi oleh Setiausaha AMK Bera Sdr Zarizan dan Sdr Jemadi (AJK PKR Bera) sambil diiringi Sdr Romani Mohamad yang juga AJK PKR Bera.

Disamping taklimat serta ceramah dan penerangan ringkas yang disampaikan oleh beberapa orang pimpinan PKR seperti Sdr Sarawanan, Tn Hj Abas Awang serta juga Tn Hj Suhaimi sendiri, program ini juga bertujuan untuk memperkenalkan pimpinan PKR Bera khususnya kepada masyarakat orang asal khususnya di Pos Iskandar ini didalam persiapan menghadapi pilihanraya umum yang akan datang.

Program ini yang di pengerusikan sendiri oleh Sdr Bob Manolan yang juga seorang berketurunan orang asal dan berpendidikan tinggi banyak menyampaikan isu-isu terkini dengan baik apatah lagi diselangi dengan bahasa loghat orang asli sudah pasti ammpu menarik minat masyarakat tersebut untuk mendengarnya.

Program ini juga bertujuan untuk menubuhkan ranting PKR Pos Iskandar yang akhirnya penduduk disini sepakat memilih Sdr Romani Mohamad sebagai Ketua Ranting PKR Pos Iskandar. Selain itu seramai 12 orang penduduk disini turut dipilih untuk bersama menerajui ranting yang baru ini.

Para penduduk yang hadir juga turut dimeriahkan dengan cabutan bertuah hamper yang telah disampaikan oleh Tn Hj Abas serta Tn Hj Suhaimi Said. Sebelum mengakhiri program ini, sebanyak 12 bungkusan pakaian ‘Bundle’ yang berisikan pakaian terbaru dan terpakai merangkumi pakaian kanak-kanak dan orang dewasa wanita dan lelaki di dermakan disini.

Disamping pakaian ‘bundle’, barangan terpakai seperti kasut kulit wanita dan lelaki serta beg-beg tangan kulit juga turut di sumbangkan kepada penduduk orang asal ini.

Menurut Setiausaha PKR Cabang Bera, Sdr Rizan yang juga Ketua penyelaras Sumbangan Pakaian ‘Bundle’ dan barangan terpakai lain antara lain berkata;

“Pakaian bundle dan barangan terpakai ini diperolehi secara terus dari pembekal di beberapa tempat seperti dari Gombak, Cheras , Kelang, Kuala Terengganu serta beberapa tempat lain lagi, yang turut bersimpati dan menyokong penuh pergerakan parti kita”

“Di samping itu juga kesudian beberapa pembekal bundle ini menjadikan diri saya sebagai penyelaras pusat sumbangan pakaian atau ‘One Stop Centre’ untuk pengagihan pakaian bundle serta barangan terpakai ini merupakan satu penghormatan kepada saya sendiri oleh mereka”

“Sehingga kini saya turut dihubungi oleh beberapa pembekal yang lain yang turut untuk menyumbang pakaian terpakai bagi kegunaan kepada orang yang memerlukan selepas ini”

Beliau yang juga Setiausaha Biro Penerangan PKR Pahang menyeru kepada cabang-cabang PKR di Pahang ini sekiranya memerlukan sumbangan pakaian bundle ini agar menghubungi beliau untuk bekalan tersebut.

Program yang sangat berjaya di Pos Iskandar itu berakhir dengan jamuan yang telah dibawa secara khusus oleh pimpinan PKR Bera dari Kerayong untuk santapan penduduk Pos Iskandar tersebut. Dengan penubuhan ranting terbaru ini maka jumlah keseluruhan ranting-ranting PKR Bera telah meningkat kepada enam Ranting.

PKR Bera sebelum ini telah mempunyai lima ranting iaitu, Ranting Kerayong, Ranting Tementi, Ranting Triang 3, Ranting Triang 1 dan Ranting Tembangau. Semoga diharapkan permulaan ini akan menjadi titik tolak kepada penerimaan awal masyarakat orang asal terhadap PKR khususnya menjelang pilihanraya umum yang akan datang.