Monday, December 28, 2009

UMNO JUARA RAKYAT ATAU JUAL RAKYAT?

Kita percaya dalam dada para pendokong Pakatan Rakyat (PR) tidak pernah ada istilah 'iri hati' atau pun 'dengki' walaupun sebesar zarah kerana dikatakan PR membuat sesuatu program untuk rakyat disebabkan iri hari kepada UMNO / BN?

Membaca komen yang dibuat oleh Setiausaha Agung UMNO merangkap Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor ini terhadap PR adalah amat melucukan;

"Kita bukan macam pembangkang yang buat sesuatu program dengan hasrat iri hati kepada lawan sebaliknya kita buat untuk kepentingan rakyat"

Untuk apa kita hendak merasa iri atau dengki kepada mereka sekiranya benar program yang dibuat oleh mereka untuk kepentingan rakyat akan dinikmati sepenuhnya untuk rakyat yang memerlukan?

PR tidak pernah menjadikan tujuan utama kita untuk mengadakan program adalah semata-mata disebabkan sebagaimana yang disebutkan oleh Tengku Adnan ini. Saya tidak nampak kenapa PR harus memikirkan 'perasaan' iri hati atau dengki sehingga ketahap itu?

Kalau kita merenungi kembali kenyataan Tengku Adnan di akhbar-akhbar kepunyaan kerajaan ini, UMNO secara terang dan jelas memberitahu bahawa pelancaran untuk program "UMNO JUARA RAKYAT" pada 9 Januari 2010 ini adalah amat penting bukan sahaja untuk UMNO tetapi Barisan Nasional juga dalam mengukuhkan dan mencari sokongan rakyat kepada parti tersebut.

Disamping itu menurut Tengku Adnan lagi, agenda utama di bawah program yang akan digerakkan ke seluruh negara ini adalah untuk menunjuk dan mengingatkan kepada rakyat terutamanya orang-orang melayu di kampung dan desa terutamanya bahawa hanya UMNO dan BN inilah sahaja yang selama ini menjuarai segala hasrat hasrat rakyat, dengan kata lainnya UMNO JUARA RAKYAT!

Program UMNO Juara Rakyat ini akan di lancarkan secara rasmi oleh PM DS Najib Tun Razak di Bukit Sentosa, Selangor merupakan salah satu program terkini yang pada pandangan mereka boleh mengembalikan keyakinan rakyat kepada UMNO dan BN terutamanya.

Secara peribadi saya tidak mahu mengulas panjang apakah isu atau agenda yang bakal di beritahu kepada rakyat tentang pengertian UMNO ini sebagai juara rakyat yang selama mereka mendakwa jasa UMNO bukan setakat kepada melayu bumiputra sahaja malahan kepada kaum lain juga turut menikmati jasa yang dilakukan UMNO / BN ini.

UMNO / BN kini melihat hanya cara ini sahaja peluang yang baik untuk UMNO dan BN kembali rapat pada rakyat dan meyakini rakyat. Bagi saya tiada apa yang hebatnya pun dengan pengumuman yang dibuat oleh UMNO ini untuk 'merapatkan' diri mereka dengan masyarakat desa atau kampung kerana yang pastinya adalah mereka lakukan semua ini semata-mata untuk 'memanjangkan' lagi hayat politik UMNO / BN pada Pilihanraya Umum ke 13 nanti.

Sememangnya rakyat sudah sedia maklum, UMNO / BN hanya tahu mencari kembali mereka sekiranya parti ini kian tersepit dan di tolak rakyat akibat 'perbuatan' mereka yang selalu 'mempermainkan' rakyat didalam pelbagai hal pun sebelum ini.

Kita tidak mahu rakyat tertipu sekali lagi dengan permainan licik UMNO / BN apatah lagi dengan menggunakan slogan "UMNO JUARA RAKYAT" sedikit sebanyak orang melayu terutamanya boleh 'terpesona' dengan dakwaan mereka sebagai juara rakyat lebih-lebih lagi apabila pemimpin-pemimpin terkini mereka mula membangkitkan 'nostalgia syahdu' untuk rakyat mengingati kembali jasa-jasa pemimpin terdahulu (era 50an, 60an dan 70an) terhadap rakyat terutamanya kepada orang melayu!

Apakah benar UMNO ini juara rakyat? Apakah dikira sebagai Juara rakyat apabila banyak tanah-tanah kepunyaan melayu tergadai di atas nama pembangunan? Apakah ini dikatakan sebagai Juara rakyat apabila banyak wang rakyat digunakan sewenang-wenangnya tanpa mengambil kira pandangan rakyat akan pembaziran berlaku? Inikah yang dikatakan Juara rakyat sekiranya rasuah dan penyalahgunaan kuasa semakin meningkat didalam pentadbiran negara? Juara rakyatkah UMNO sekiranya apa jua pemasalahan rakyat tidak ditangani dengan segera? Inikah Juara rakyat sekiranya terang-terang Wang Royalti untuk rakyat Terengganu dan Kelantan ditukarkan namanya kepada Wang Ehsan?

Janganlah nanti rakyat akan berkata " Kalau macam ini caranya, kami sebagai rakyat tidak nampak langsung UMNO sebagai JUARA RAKYAT tetapi kami melihat UMNO kini lebih dikenali sebagai JUAL RAKYAT!"


* Artikel ini di petik dari Blog http://ingeniur.blogspot.com

1 comment:

Ayiem said...

tidak dapat dinafikan lagi jasa UM-no kepada rakyat....

Jasa UM-no yang paling besar ialah membuka mata rakyat untuk bangun menghapuskan UM-no....