Friday, December 4, 2009

ANWAR MULAKAN TUGAS PENASIHAT EKONOMI SELANGOR

SHAH ALAM – Penasihat Ekonomi Negeri Selangor, Datuk Seri Anwar Ibrahim berharap kedudukannya itu tidak menimbulkan kebimbangan, kekeliruan dan salah faham di kalangan rakyat di negeri itu.

Anwar berkata, beliau menerima jawatan sebagai Penasihat Ekonomi setelah mengadakan rundingan serta mendapatkan restu daripada pimpinan Pakatan Rakyat (PR) yang lain, iaitu Presiden Pas, Abdul Hadi Awang, dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang.

“Saya menerima jawatan ini dengan tawaduk, tahu bahawa ada prestasi dan kejayaan yang membanggakan dan cabaran-cabaran yang juga berat yang dihadapi.

“Saya juga terima setelah berunding dan juga minta restu pimpinan PR lainnya, untuk memastikan kehadiran saya ini juga mewakili semangat pembaharuan yang mahu kita tonjolkan,” katanya selepas satu sesi taklimat mengenai Pakej Ransangan Ekonomi Negeri Selangor, di sini.:

Turut hadir Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Anwar mengangkat Sumpah Kerahsiaan di hadapan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ramli Mahmud sebelum menghadiri taklimat itu.

Abdul Khalid mengumumkan pelantikan Anwar sebagai Penasihat Ekonomi Negeri dengan bayaran RM1 sebulan pada sidang Dewan Undangan Negeri bulan lepas.

Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu diberikan sebuah pejabat di sebuah bangunan milik Kumpulan Darul Ehsan Bhd di sini.

Anwar mengakui, ini adalah pengalaman pertamanya di peringkat negeri kerana sebelum ini beliau menjadi pemimpin di peringkat persekutuan.

:“Saya akan menggunakan staf yang paling minimum. Saya pilih Mohd Rafizi Ramli seorang jurutera yang pernah bertugas sebagai pengurus kanan di Petronas,” katanya.

:Anwar turut memuji prestasi Kerajaan Negeri yang disifatkannya membanggakan, terutama apabila melihat laporan Ketua Audit Negara 2008.

:“Dari segi ketelusan, saya ucap tahniah kepada Menteri Besar dan pegawai-pegawai Kerajaan Negeri yang membantu sehingga kita dapat mencatat rekod yang membanggakan daripada Ketua Audit Negara,” katanya.

:Anwar berkata, beliau tahu mengenai kedudukan beliau di Selangor dan tidak mahu wujudnya salah faham.

:“Saya tahu dalam struktur parti, saya ‘bos’ dia (Abdul Khalid). Tetapi saya tahu dalam masa yang sama di Selangor, dia adalah Menteri Besar.

:“Jadi jangan ada kebimbangan dalam perkara itu. bukan dia (Abdul Khalid), tetapi mungkin di kalangan sesetengah orang disebabkan ada kekeliruan di situ. Jadi, saya jelaskan dari awal agar tidak ada kekeliruan mengenai perkara ini,” katanya.

* Artikel ini dipetik dari Akhbar Sinar Harian di http://www.sinarharian.com.my

No comments: