Sesudah subuh tadi, aku menatap kembali akhbar-akhbar perdana negara yang banyak bercerita serta di kuasai oleh cerita-cerita tentang hasrat calon ini bakal bertanding, calon ini tak layak bertanding, pelan peralihan wanita Umno, harapan calon-calon yang bakal bertanding...semuanya berkisar pemilihan parti keramat 'Melayu' (kata-kata pendukung Umno lah) yang bakal berlangsung bulan Mac 2008 nanti.
Satu episod sejarah yang amat penting dalam persejarahan Malaysia sebelum melangkah lebih jauh. Detik sejarah yang penting itu ialah saat-saat Dato' Onn Jaafar hendak meletakkan jawatan sebagai Presiden UMNO.
"Sebelum Dato' Onn meninggalkan UMNO satu perhimpunan Agung Khas telah diadakan di Hotel Majestic pada 23 dan 26 Ogos 1951. Dalam perhimpunan itu Tunku Abdul Rahman Putra telah dipilih menjadi Yang Dipertua Agung baru setelah mengalahkan lawan-lawannya dalam pertandingan 3 penjuru. Nama Tunku Abdul Rahman Putra telah dicalonkan oleh Encin Bahaman Shamsuddin. Beliau ditentang oleh Tuan Hj Ahmad Fuad, calon yang dikemukakan oleh Dato' Onn, Encik C.M.Yusuf dicalonkan oleh Raja Ayub bin Raja Bot dan Encik Tajuddin Bin Uda Isa"
* Catatan Tan Sri Dato' Abdul Samad Idris dalam bukunya 25 Tahun Merdeka
Banyak pengajaran dan kesimpulan yang boleh kita perolehi berdasarkan episod diatas. Salah satunya adalah tentang adanya pertandingan 3 penjuru merebut jawatan Yang Dipertua Agung (kini di panggil Presiden) dan telah ada kempen-kempen yang dijalankan bertujuan menaikkan calon masing-masing.
Misalnya Dato' Onn dalam ucapannya telah menyokong Haji Ahmad Fuad Hassan sebagai YDP Agung UMNO dengan alasan bahawa beliau seorang haji dan ulamak yang berkemampuan untuk memimpin. Tunku pula kerana pada pendapat ramai dicalonkan kerana pendidikan tingginya serta kewibawaannya memimpin kesatuan Melayu United Kingdom ketika menuntut dahulu serta status berdarah raja.
Persoalannya disini yang ingin diketengahkan ialah adakah calon-calon ini sendiri yang mendabik dada mengatakan dia seorang yang layak dan berkebolehan untuk memimpin? Jawapannya tidak kerana ini atas keyakinan orang ramai terhadap calon-calon tersebut.
Akhirnya Tunku dipilih sebagai YDP Agung UMNO berdasarkan status berdarah raja yang mana pada ketika itu orang melayu umumnya amat menyanjungi pada istana. Tetapi satu hal yang unik ialah sikap calon-calon yang lain yang kalah dalam pertandingan ini. Mereka tidak terus menarik diri tetapi sebaliknya terus patuh kepada keputusan mesyuarat yang berkehendakkan mereka menjadi Ahli Majlis Tertinggi UMNO.
Secara peribadi saya sengaja mengambil peristiwa ini kerana untuk membandingkan keadaan zaman sekarang dengan segala keadaan yang berlaku pada hari ini terutamanya dalam saat-saat perebutan jawatan pucuk pimpinan UMNO samada di peringkat cawangan, Bahagian dan seterusnya Majlis Tertinggi parti.
Berbagai isu sudah timbul sekarang, bermula dengan isu kuota dan kelayakan seseorang calon, lepas itu timbul isu politik wang yang telah hampir 2 dekad masih tidak padam-padam malahan semakin membara kehangatan isu rasuah wang didalam politik UMNO kini, wujudnya pula isu memilih pemimpin bukan berdasarkan keupayaan tetapi kerana faktor siapa yang lebih tinggi menawarkan imbuhan agar seseorang calon itu dipilih, sehinggalah kini isu terbaru dan cukup memalukan didalam parti yang dianggap keramat oleh pendokong parti cap keris ini ialah adegan tumbuk menumbuk serta baling membaling kerusi ketika mesyuarat agung UMNO diadakan telah mula 'dirasai' kehebatannya....
Keadaan yang sedemikian rupa tidak pernah berlaku kepada ahli UMNO pada zaman sebelum dan awal kemerdekaan negara. Jika pun ada hanya seorang dua sahaja. Sejarah Melayu juga tidak pernah mencatatkan tentang trend dan keadaan sedemikian berlaku didalam sistem politik orang melayu. Kenapa perkara ini harus berlaku kini?
Kemungkinan-kemungkinan yang ada antara lainnya ialah kerana telah terbukti kini bahawa tangga pertama untuk mencapai kejayaan dalam politik atau dalam perniagaan ialah dengan memenangi satu-satu jawatan didalam parti. Ekoran daripada inilah kalau kita melihat kini, kebanyakan yang menang adalah ahli perniagaan atau kontraktor yang semata-mata mengharapkan dengan kemenangan mereka ini menjaminkan segala macam jenis projek yang menghasilkan wang akan diperolehinya.
Kalau dahulu, UMNO kebanyakannya di pimpin oleh penghulu-penghulu, guru-guru atau kerani-kerani dan ahli-ahli agama yang mana mereka ini lebih dekat kepada rakyat dan tahu tentang permasalahan orang ramai. Berbanding kini semua itu telah menjadi sejarah. Bagi mereka kini, faktor tentang kebolehan, kelulusan, kejujuran, bertanggungjawab serta rapat dengan orang ramai tidak lagi berguna. Faktor wang yang banyak serta menjanjikan habuan yang lumayan sekiranya menang pada satu-satu jawatan itu lah kriteria yang paling diutamakan oleh perwakilan untuk memilih mereka.
Secara dasarnya, hal yang demikian telah cukup jauh menyimpang daripada amalan budaya Melayu. Hang Tuah dilantik menjadi Laksamana Melaka kerana kegagahan serta sifat kepahlawanannya, Datuk Bahamana bergelar Orang Kaya Semantan adalah disebabkan kegagahannya, Dato' Onn pula berdasarkan kepada kepandaian dan kebolehannya menyatukan orang Melayu dan begitu jugalah yang lain-lain didalam konteks keperibadian dan kehidupan orang Melayu. Kesemuanya dipilih berdasarkan kualiti, kebolehan dan daya kepimpinannya.
Sebagai akhirnya, apakah mungkin akan muncul pada masa akan datang seorang Perdana Menteri Malaysia yang menggunakan wang untuk mempengaruhi pemilihannya?
dipetik dari http://ingeniur.blogspot.com
Wednesday, November 12, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment