Monday, May 24, 2010

HAPUS JUDI, BUKAN KAJI : AMK SELANGOR

KUALA LUMPUR, 24 MEI 2010:

Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor mendesak agar kerajaan menghapuskan terus judi bola sepak Piala Dunia 2010 bukan mengkaji apabila jelas bantahan keras dan meluas rakyat daripada pelbagai agama dan bangsa dilontarkan.

“Kita menggesa agar kelulusan kebenaran judi pertaruhan bola sepak dibatalkan segera,” kata Ketua Penerangannya, Mohd Ezli Mashut kepada Harakahdaily.

Beliau mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang dilaporkan berkata, kerajaan akan meneliti reaksi masyarakat berhubung pemberian semula lesen menjalankan kegiatan pertaruhan pada kejohanan bola sepak Piala Dunia 2010 kepada Berjaya Group.

Sepatutnya, kata Mohd Ezli kerajaan lebih faham dan maklum bahawa perjudian jelas bertentangan dengan syariat Islam serta ianya bukan budaya masyarakat Malaysia.

Justeru, ujarnya kerajaan tidak perlu menunggu bantahan meluas rakyat pelbagai agama dan bangsa kerana tugas dan tanggungjawab kerajaan ialah memastikan rakyat hidup dalam suasana yang berteraskan syariah dan menepati budaya murni universal pelbagai agama dan bangsa.

“Kita bimbang dan khuatir jika judi pertaruhan bola sepak tidak hapuskan, masyarakat akan terdedah kepada kes-kes jenayah, budaya jijik dan konflik keluarga,” katanya lagi.

Tambahnya, AMK Selangor melihat situasi perkembangan mutakhir ini seolah-olah kerajaan Umno BN semakin tidak prihatin untuk membina negara dan rakyat yang mempunyai kepribadian mulia dan unggul.

Menurutnya, jika prasyarat untuk membina negara hebat ini ditolak, negara sedang menuju ke arah sebuah masyarakat yang porak peranda.

Justeru, katanya rakyat perlu bangkit menyatakan penegasan bahawa kerajaan perlu diletakkan dalam landasan yang tepat dan sebenar.

“Kita perlu mengorak perjuangan bersama agar harapan baru untuk selamatkan Malaysia menjadi realiti,” katanya


* Sumber http://harakahdaily.net

No comments: