Wednesday, June 16, 2010

GELOMBANG KEDUA PENSWASTAAN DALAM RMK 10 ROMPAK HARTA RAKYAT

KUALA LUMPUR 15 JUN 2010:

Mantan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan Umno-Barisan Nasional akan meneruskan amalan gelombang kegilaan penswastaan pada skala lebih besar di bawah Rancangan Malaysia Ke-10 bagi memenuhi kepentingan peribadi pemimpin, kaum kerabat dan kroni mereka.

Anwar berkata alasan yang diberi adalah bagi melonjakkan pelaburan swasta namun hakikatnya penswastaan hanyalah kuda tunggangan Umno-BN untuk memperkayakan beberapa kerat pemimpin dan kaum keluarga mereka.

"Pakatan tidak menolak penswastaan kerana saya berpegang kepada teori Ibn Khaldun bahawa “businesses owned by responsible and organized merchants shall eventually surpass those owned by wealthy rulers” iaitu perniagaan yang dimiliki oleh peniaga yang tersusun pentadbirannya dan amanah akan mengatasi perniagaan yang dimiliki pemerintah yang kaya.

"Tetapi penswastaan perlulah memenuhi syarat-syarat khusus agar menguntungkan rakyat dan swasta secara adil dan saksama. Ini termasuklah pihak swasta mempunyai kelayakan dan kemampuan, ada peningkatan mendadak dari segi kecekapan dan pulangan kepada rakyat dan jaminan mutu perkhidmatan yang lebih baik.

"Penswastaan juga perlu berlandaskan kepada matlamat untuk membina keberdaya saingan dan keupayaan sektor-sektor yang sudah mampu bersaing. Keutamaan sepatutnya diberikan kepada syarikat-syarikat tempatan di dalam industri yang sudah berkembang pesat di Malaysia, contohnya perkhidmatan sokongan. Berkali-kali kita mempersoalkan tindak-tanduk kerajaan apabila berlakon berjuang untuk rakyat di kaca televisyen, tetapi di bilik-bilik mesyuarat meluluskan kontrak perhubungan awam kepada syarikat asing sehingga mencecah RM77 juta," katanya semasa sesi perbahasan RMK-10 di Dewan Rakyat semalam.

Beliau memberitahu kebelakangan ini rakyat bimbang dengan tindakan kerajaan menjual semua harta rakyat dalam tempoh paling singkat.

Sebelum ini pun memang ada projek penswastaan tetapi tidaklah pada kadar sehingga semua harta berharga rakyat dilelong dalam sekelip mata.

"Dalam masa setahun, rakyat Malaysia telah kehilangan tanah-tanah paling berharga di Singapura apabila kerajaan bersetuju mengalihkan stesen keretapi dari Tanjong Pagar ke Woodlands, sedangkan perkara ini dipertahankan sekian lama demi menjamin kepentingan rakyat. Pada 23 April 2010, negara dikejutkan apabila dua blok minyak L dan M milik Malaysia telah diserahkan kepada Brunei tanpa dibawa ke Dewan Rakyat terlebih dahulu.

"Dari segi hartanah, kerajaan mengumumkan skim pembangunan secara usahasama dengan swasta tanah-tanah bernilai negara termasuklah Kem Tentera Udara Sungai Besi yang dianggap plot hartanah paling berharga di Kuala Lumpur yang belum dikomersilkan.

"Kerajaan juga akan membangunkan tanah-tanah milik kerajaan seluas 3,000 ekar di Sungai Buloh dan plot hartanah milik kerajaan di tengah-tengah Segitiga Emas iaitu di Jalan Ampang, Jalan Stonor dan Jalan Lidcol.

"Siapa yang akan mendapat durian runtuh kali ini? Sebelum ini, langkah penswastaan hartanah sebegini menyaksikan YTL diberikan hak untuk mengambil alih dan membangunkan tanah kerajaan di Sentul tanpa melalui proses tender terbuka. Apa tidak boleh kalau kerajaan melibatkan komuniti tempatan dalam skim pembangunan semula agar rakyat berpendapatan rendah di Sentul turut mendapat manfaat, bukan sahaja YTL dan Tan Sri Francis Yeoh?

"Bagi pembangunan di Sentul, YTL mengumumkan nilai pembangunan kasar (GDV) mencecah RM7 billion yang melibatkan 7,000 unit perumahan dan komersil. Daripada jumlah 7,000 unit itu, hanya 800 unit diperuntukkan bagi perumahan mampu milik, itu pun bukan perumahan rakyat termiskin sedangkan kawasan Sentul mempunyai golongan pendapatan rendah yang besar.

"Sebab itu kita mempersoalkan tabiat bersekongkol dengan kroni ini, kerana rekod mereka dalam membela rakyat sangatlah buruk sedang mereka bersenang lenang dengan harta rakyat," tegas Ketua Pembangkang itu.

Anwar turut menyelar Model Ekonomi Baru (MEB) yang menwar-warkan membudayakan amalan tender terbuka, tetapi secara dasarnya amalan tersebut hanya menjadi percakapan sahaja.

"Walaupun Model Ekonomi baru menwar-warkan tumpuan untuk membudayakan amalan tender terbuka, dalam diam-diam YAB Perdana Menteri menganugerahkan projek pembangunan semula kem tentera udara Sungai Besi kepada konsortium yang melibatkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan Malton Berhad.

"1MDB ini terpalit dengan seorang yang bernama Jho Low yang dianggap sebagai “lelaki misteri yang membelanjakan wang besar di kelab-kelab malam di New York” seperti laporan New York Post . Malton Berhad adalah syarikat yang berkait dengan Datuk Desmond Lim.

"Adalah amat memalukan apabila Perdana Menteri menggunakan Lembaga Tabung Amanah Tentera (LTAT) untuk dijadikan sandaran di dalam konsortium itu, sedangkan jelas ia adalah perancangan melelong harta rakyat kepada kroni pada harga yang tidak berpatutan.

"Selain itu, plot hartanah di tapak Penjara Pudu, yang asalnya dimiliki oleh UDA kini telah diserahkan kepada syarikat yang berkait dengan Tan Sri Vincent Tan.

"Saya pasti senarai harta kerajaan yang akan diserahkan kepada pihak tertentu atas nama penswastaan dan menggalakkan pelaburan swasta akan menjadi lebih panjang setiap bulan. Kalau benar pun penswastaan gelombang kedua ini perlu dilaksanakan, kenapa projek-projek ini berpusing di kalangan pihak yang sama?

Anwar juga mempersoalkan komitmen kerajaan untuk melaksanakan gelombang penswastaan ini secara telus dan melalui tender terbuka seperti yang diumumkan melalui MEB.

"RMK-10 telah menyenaraikan 52 projek berimpak tinggi berharga RM62.7 billion iaitu lima kali ganda lebih mahal daripada projek yang disenaraikan di dalam RMK-9.

"Sebahagian besar dari projek ini adalah projek penswastaan termasuk konsesi pengendalian sampah baru yang akan mengambilalih pengurusan dari kerajaan tempatan, tujuh konsesi tol baru, dua loji penjana elektrik baru dan projek hartanah yang diselubungi misteri yang telah saya huraikan tadi.

"Sebelum ini pun, saya telah menyuarakan kebimbangan dan mempersoalkan kewajaran beberapa projek penswastaan yang sedang diteliti kerajaan. Salah satunya adalah projek penswastaan kepada sebuah syarikat yang bernama Web Power Sdn Bhd yang telah mendapat kontrak menyediakan sebanyak 31 buah helikopter untuk disewakan selama 30 tahun kepada Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dengan kos sewaan RM400 juta setahun. Bagi tempoh 30 tahun kos ini akan mencecah RM12 billion.

"Sebelum itu, Ketua Polis Negara sendiri pernah menulis surat bertarikh 3 November 2006 kepada mantan Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi supaya satu 'Letter of Intent' dikeluarkan kepada syarikat yang sama. Apa keistimewaannya sebuah syarikat bernama Web Power ini sehingga projek-projek besar PDRM harus dianugerahkan secara terus kepadanya?

"Sebab itu, amaran yang tegas perlu diberikan kepada kerajaan supaya semua amalan ini dihentikan secepat mungkin kerana amalan buruk sebegini di kala kerajaan melancarkan gelombang penswastaan kali kedua sudah tentu meningkatkan risiko penyelewengan yang merugikan rakyat. Kita tidak wajar lupa bahawa anggaran kerugian yang ditanggung oleh negara berpunca dari kegagalan siri penswastaan di bawah mantan Perdana Menteri ke-4 dilaporkan mencecah RM100 bilion .

"Walau bagaimana pun, kita bersyukur kerana masih ada pimpinan rakyat yang kukuh pendiriannya untuk mempertahankan hak rakyat. Saya ingin menasihatkan kroni-kroni yang ingin berbelanja besar menantikan projek hartanah di negeri-negeri Pakatan Rakyat, kerana jika ada sedikit pun proses kelulusan yang bersabit dengan kerajaan negeri, saya jamin kerajaan Pakatan Rakyat akan mempastikan kroni-kroni ini tidak akan terlepas dengan rencana mereka merompak harta rakyat," tegas Anwar.

Ketua Pembangkang menegas kerajaan negeri di bawah Pakatan Rakyat akan menggunakan sepenuhnya kuasa yang ada untuk menjaga dan mempertahankan harta rakyat.



* Sumber http://Suara-Keadilan.com

No comments: