Monday, June 21, 2010

TIAN CHUA: SAYA TETAP KE DEWAN RAKYAT SEBAGAI AHLI PARLIMEN BATU

KUALA LUMPUR 21 JUN 2010:

Pengarah Strategi dan Politik KEADILAN, Tian Chua menyatakan bahawa beliau akan hadir ke Dewan Rakyat hari ini sebagai Ahli Parlimen yang sah bagi mewakili pengundi kawasan Batu selepas teka-teki mengenai spekulasi kedudukannya hangat diperkatakan oleh media dan pemerhati politik.

"Tidak ada kekeliruan, tidak ada masalah dan ini adalah pentas di mana saya berdiri untuk mengesahkan bahawa esok (hari ini), saya akan tetap hadir ke Dewan Rakyat sebagai Ahli Parlimen yang sah," kata Tian Chua.

Beliau menyatakan demikian kepada kira-kira seribu orang hadirin dalam sebuah majlis makan malam bagi mengumpul dana gerak kerja parti anjuran KEADILAN Selangor dan Wilayah Persekutuan dengan tema "Pertahankan Parlimen Batu, Selamatkan Malaysia" di Pusat Konvensyen HGH di Sentul, malam tadi.

Tian menjelaskan keputusan Mahkamah Tinggi hari Khamis lalu, secara jelas mengisytiharkan bahawa kerusi Parlimen Batu tidak akan dikosongkan.

Keputusan hakim Datuk Ghazali Cha menyatakan sebarang keputusan tidak harus membebankan rakyat sehingga perlu diadakan semula pilihan raya kecil yang akan mengakibatkan pembaziran wang negara.

Hukuman asal dijatuhkan ke atas Tian Chua adalah enam bulan penjara dan denda RM3,000, namun hakim mengetepikan keputusan tersebut dengan menurunkan hukuman kepada denda sebanyak RM2,000.

Tafsiran hakim terhadap denda RM2,000 tersebut tidak akan menyebabkan beliau hilang kelayakan sebagai Ahli Parlimen.

Dalam pada itu, Tian Chua sempat mengulas rentetan dan pengalaman kerjanya yang pertama kali menjadi Ahli Parlimen bagi kawasan tersebut.

Beliau menyatakan kawasan Parlimen Batu sebagai istimewa kerana mempunyai banyak tempat bersejarah terutamanya kawasan-kawasan perumahan dan petempatan awal semenjak pembukaan Kuala Lumpur.

"Antaranya Sentul, yang merupakan kampung keretapi yang signifikan dengan masyarakat India, Jinjang yang merupakan petempatan yang paling awal bagi kampung baru Cina di Kuala Lumpur, Kampung Padang Balang yang sinonim bagi masyarakat Melayu bahkan Ibu Pejabat PAS sendiri di Taman Melewar turut termasuk di dalam Parlimen Batu," katanya.



* Sumber http://Suara-Keadilan.com

No comments: