Tuesday, September 29, 2009

RUMAH TERBUKA PKR BERA PADA 04 OKTOBER 2009 / AHAD

Salam kepada semua,

Parti Keadilan Rakyat (PKR) cabang Bera dengan segala hormatnya menjemput Tuan/Puan, Sdra/Sdri semua untuk hadir ke Majlis Rumah Terbuka Anjuran PKR Cabang Bera yang bakal diadakan sebagaimana maklumat berikut:

TARIKH : 04 OKTOBER 2009 / AHAD

MASA: MULAI JAM 10.00 PAGI - 01.00 TENGAHARI

TEMPAT: LAMAN KEADILAN (BERHADAPAN DENGAN PADANG SJK(C) KERAYONG & KLINIK DESA KERAYONG)


ANTARA TETAMU KEHORMAT IALAH PIMPINAN PKR PUSAT & NEGERI PAHANG.


Semoga dengan kehadiran Tuan/Puan, Sdra/Sdri nanti sudah pasti akan mengeratkan lagi hubungan silaturrahim diantara kita nanti, Insya Allah.


Sekian, terima kasih & Salam Reformasi!


DARIPADA: KETUA CABANG & PIMPINAN PKR CABANG BERA.

JANG OH JANG, UMNO OH UMNO! : "DEN TAK KESAH....ISO SAMAD PUN BOLEH"

Entahla....apa lagi yang hendak diperkatakan apabila akhirnya Tan Sri Isa Samad, Mantan MB Negeri Sembilan juga yang dipilih sebagai calon BN (Umno) untuk Pilihanraya Kecil Dun Bagan Pinang yang dijadualkan pada 11 Oktober nanti. Penamaan calon untuk PRK tersebut nanti akan diadakan pada hari Sabtu 03 Oktober ini.

Secara umumnya, Isa Samad tidak perlu lagi diperkenalkan kepada umum khususnya di Teluk Kemang sendiri kerana dengan 'kredibiliti' beliau miliki selama menjadi Menteri Besar Negeri Sembilan selama 20 tahun lebih sudah diketahui umum satu negara.

Kehebatan beliau memimpin Negeri Sembilan telah menyebabkan Mantan PM Tun Abdullah Ahmad Badawi sendiri suatu masa dahulu telah membawa beliau ke Pusat sebagai Menteri Kabinet sebaik sahaja selesai PRU ke 11 2004 itu. Namun bintang beliau terus menjunam jatuh dan malap semalapnya sehinggkan terbuang begitu sahaja selama tiga tahun lebih akibat daripada tuduhan terlibat dengan politik wang atau bahasa mudahnya 'Rasuah Wang' ketika di pemilihan Umno tahun 2004 dulu.

Kini selepas tiga tahun pergantungan beliau daripada sebarang jawatan didalam parti selesai, beliau yang memenangi semula jawatan sebagai Ketua Bahagian Umno Teluk Kemang pada pemilihan Umno lalu tiba-tiba hari ini namanya disanjung dan dijulang setinggi-tingginya kembali sebagai 'calon yang teramat sesuai' bagi menghadapi Pakatan Rakyat di PRK Bagan Pinang nanti.

Bebarapa hari lepas, Tun Dr Mahathir Mohamad secara peribadi telah membuat nasihat dan teguran secara terbuka agar Umno janganlah sesekali memilih kembali Isa Samad untuk PRK ini sebagai calon kerana pada pandangan beliau (Tun) isu moral apatah lagi 'track record' Isa Samad sendiri yang pernah terpalit dengan rasuah sebelum ini sudah pasti bakal membawa bala dan beban untuk Umno / BN menghadapi PRK ini.

Umno khususnya secara jelas kini benar-benar telah ketiadaan calon yang sesuai. Kalau sebelum ini ketika di PRK Permatang Pasir tempohari, Calon yang sudah dikira paling terbaik itu pun akhirnya terbukti ada kaitan dengan isu moral juga walaupun dikira 'kecil' sahaja oleh Umno, itu pada calon yang tidak dikenali dan baru didalam arena politik, tetapi kini nagaimana pula? Sudah terang lagi bersuluh dan jelas lagi nyata terbukti Isa Samad yang diwarnai dengan pelbagai kontroversi sebelum ini samada ketika menjadi MB Negeri Sembilan mahu pun ketika menjadi Menteri Kabinet boleh dipilih menjadi calon BN lagi kali ini!

Sebagaimana di artikel saya sebelum ini, apa lagi yang boleh diharapkan oleh Umno untuk melahirkan atau menonjolkan sebaik-baik tokoh untuk diketengahkan sebagai pemimpin yang boleh diharapkan oleh rakyat? Sebab itu terpilihnya Isa Samad ini, jelas kepada semua rakyat Malaysia khususnya para pengundi di Bagan Pinang yang Umno / BN sudah ketiadaan calon yang sesuai baik dari segi perangai, akhlak, tingkah laku, amanah, jujur serta zuhud untuk menjadi pemimpin!

Ibarat kata pepatah, "tidak ada rotan, akar pun berguna" ,tidak ada yang terbaik sangat-sangat didalam yang terbaik pun, ada yang terbaik dikalangan paling-paling tidak baik pun jadi lah....Den tak kisah....Iso Samad pun boleh....



Artikel ini dipetik dari blog 'Raikan Hasrat Anda' di http://ingeniur.blogspot.com

Wednesday, September 16, 2009

UCAPAN RAYA KETUA AMK PKR CABANG BERA


Selamat Hari Raya Aidilfitri & Maaf Zahir Batin


Kedatangan Syawal yang bakal tiba. Saya mewakili Angkatan Muda Parti Keadilan Cabang Bera mengucapkan selamat bergembira berhari raya kepada seluruh pimpinan PKR Cabang Bera, barisan Pakatan Rakyat, Pemuda dan Wanita dan terutama sekali kepada penduduk-penduduk Daerah Bera.


Semoga kita akan lebih akrab dan kukuh saling kunjung mengunjungi teman dan sahabat handai. Pemuda pulang ke desa dengan satu harapan dan dapat menyalurkan idea-idea yang baru. Percambahan ilmu dan minda yang tidak dikongkong dan diisi oleh maklumat yang serong yang mana akan merencatkan generasi muda di kampung-kampung dan Felda.


Kita mesti memperkukuhkan permufaakatan kita untuk menjadi Malaysia sebuah negara demokratik dan dihormati oleh Negara lain. Pada masa kini pelbagai sentiment dimainkan oleh sekumpulan tertentu dan didokong oleh segelintir media massa tetapi saya percaya kita tidak terjebak didalam agenda “Pecah Perintah” yang dipelopori oleh penjajah terdahulu.


Kepada yang pulang ke Bera saya harap akan lebih berhati-hati dijalan raya seperti yang selalu kita dengar “Berhati-Hati Dijalan Raya Ingatlah Orang Yang Dikasihi”


Balik kampung pada 18 & 24 September 2009 selepas jam 12 malam sehigga 5 pagi anda tidak perlu membayar tol. Kekuatan Pakatan Rakyat keuntungan untuk rakyat.


Sekian


Bob Manolan Mohamad

Ketua AMK Parti Keadilan Rakyat

Cabang Bera Pahang merangkap

AJK AMK Negeri Pahang Darul Makmur.

UCAPAN HARI LEBARAN KETUA CABANG PKR BERA


"Saya ucapkan Selamat Hari Raya pada semua ahli-ahli Parti Keadilan Rakyat khususnya dan kepada semua penyokong -penyokong Pakatan Rakyat di Bera khasnya dan Malaysia amnya yang bersama-sama berjuang menegakkan kebenaran.

Tidak lupa juga pada seluruh ummat Islam di Bera, di Negeri Pahang dan di Seluruh Negara kita Malaysia, Sesungguhnya perjuangan menegakkan KEADILAN adalah tanggungjawab semua yang mahu hidup bahagia di dunia dan di akhirat.
Terima kasih dan Selamat Hari Raya daripada saya dan semua pimpinan PKR Bera amnya serta disamping keluarga tercinta khususnya"



UCAPAN KHAS SEMPENA HARI RAYA IDUL FITRI 1430H OLEH :

YBHG TN HJ ABAS BIN AWANG
KETUA PKR CABANG BERA merangkap
KETUA PENERANGAN PKR NEGERI PAHANG

UCAPAN IDUL FITRI OLEH SETIAUSAHA PKR BERA


Assalamualaikum wbt dan Salam Sejahtera

"Kepada semua ahli-ahli Parti Keadilan Rakyat khasnya serta penyokong-penyokong Pakatan Rakyat umumnya di Parlimen Bera ini, Saya sekeluarga mengambil kesempatan untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Idul Fitri & Salam lebaran 1430H dan semoga kita bersama-sama bermaafan diantara satu sama lain
. Setelah sebulan kita berpuasa semoga ibadat kita itu diterima oleh Allah SWT hendaknya dan mendapat fadhilatnya serta di rahmati hendaknya Insya Allah.

Semoga hikmah berpuasa itu mengajar kita erti kehidupan yang lebih baik dan sempurna lagi serta akan menjadi lebih bertakwa lagi hendaknya sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud"


"Wahai orang-orang yang beriman! telah diwajibkan keatas kamu berpuasa, seperti juga diwajibkan keatas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu menjadi orang-orang yang bertakwa"

-Surah Al-Baqarah : 183-



الله أكبر, الله أكبر, الله أكبر, الله أكبر, الله أكبر, الله أكبر, الله أكبر, وللهِ الحمد



Jazakallahu Khairan Kathiran

RIZAN HJ ALI

Setiausaha PKR Cabang Bera merangkap
Setiausaha Biro Penerangan PKR Negeri Pahang Darul Makmur.

UCAPAN RAYA KETUA PENERANGAN PKR BERA


Ucapan Sempena Hari Raya Idul Fitri oleh Ketua Penerangan,
Parti Keadilan Rakyat Cabang Bera, Tn Hj Hamzah Ibrahim.



"Di Kesempatan ini saya mengucapkan Selamat Hari Raya Idul Fitri, Maaf Zahir Batin kepada semua ahli-ahli serta penyokong-penyokong Parti Keadilan Rakyat khas nya dan Pakatan Rakyat umumnya. Teruskan perjuangan sehingga kita berjaya memerintah Negeri Pahang, Insya Allah! Kita di Bera akan terus bersama-sama dengan rakyat didalam menyampaikan segala info dan maklumat yang terbaru tentang perjuangan kita"


-Ikhlas Daripada;
Tn Hj Hamzah Ibrahim & Sekeluarga
15/09/2009

Tuesday, September 15, 2009

KEADAAN 'BERA WATER FRONT' KINI AMAT MENYEDIHKAN....

Gambar 1) Keadaan Bera Water Front kini begitu menyedihkan kerana ianya gagal diselenggarakan dengan baik.

Gambar 2) Permukaan jalan di Bera Water front ini telah mula rosak tanpa diselenggarakan dengan baik.
Gambar 3) Kelihatan lampu-lampu yang telah pecah dan rosak dan sejak dari awal lagi ianya gagal menyala dan berfungsi akibat ketiadaan sambungan bekalan elektrik.


Gambar 4) Semak-samun yang 'bermaharajalela' akibat ketiadaan penyelenggaraan untuk menebas dan memotong rumput di sini.

Gambar 5) Semak-samun jelas kelihatan ditangga jeti dan turut kelihatan sebatang 'Concrete Pile' yang masih tertanam didasar sungai dan ini secara tidak langsungnya mencacatkan pemandangan kita.

Gambar 6) Laluan berjalan kaki (Walkway) serta bangku tempat rehat kini dipenuhi semak-samun yang mula menjalar ke pagar Bera Water Front ini.


BANDAR BERA, 15 SEPTEMBER 2009:


Apa sudah jadi dengan keadaan 'Bera Water Front' kini? setelah setahun lebih ianya disiapkan dan boleh digunakan, keadaannya sungguh menyedihkan sekali apatah lagi kos perbelanjaannya menelan hampir RM 2 Juta.

Keadaan Bera Water Front ini amat menyedihkan kerana ianya tidak diuruskan dengan baik serta tidak dijaga sebagaimana sepatutnya. Kelihatan lampu-lampu yang pecah dan sejak dari awal lagi tidak bernyala dan berfungsi serta keadaan semak-samun yang jelas kelihatan disamping keadaan permukaan jalan (premix) yang telah mulai rosak sejak akhir-akhir ini.

Manakala di Jeti pula masih kelihatan sebatang 'Concrete Pile' yang masih tertanam didasar sungai yang masih belum dikeluarkan. Keadaan ini amat mencacatkan pemandangan kita sama sekali. Turut menjadi kehairanan kita semua ialah ketiadaan papan tanda (Sign Board) Bera Water Front ini sejak awal lagi.

Keadaan ini boleh dielakkan seandainya pihak berkuasa tempatan seperti Majlis Daerah Bera (MDB) mengambil langkah-langkah segera bagi menyelenggara keadaan sedemikian. Bera Water Front ini yang terletak dilaluan utama Temerloh-Bera-Bahau di Mengkarak sentiasa disinggahi pemandu untuk berhenti rehat terutamanya di bulan ramadhan ini untuk berbuka puasa.

Diharapkan pihak-pihak yang berwajib dapat mengambil tindakan dengan segera. Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Bera pernah menyiarkan laporan tentang Bera Water Front ini sekitar 4 November 2008 untuk pengetahuan umum di blog PKR Bera ini sebagaimana yang dipaparkan dibawah.


[ARTIKEL ASAL INI BOLEH DILAWATI DI BLOG http://pkrbera.blogspot.com
]

Bera 04 November 2008:
Projek 'Bera Water Front' di Mengkarak yang pembinaannya telah dimulakan sejak akhir 2003 lalu kini telah didapati 'siap' pembinaan semenjak 5 bulan lalu. Menurut sumber, projek tersebut yang bernilai kira-kira RM 2 juta itu telah mengalami 'pasang surut' pembinaan sebanyak 2 kali dengan turut melibatkan masalah pada kontraktor yang terlibat.

Projek 'Bera Water Front' ini merupakan satu projek dibawah seliaan Majlis Daerah Bera (MDB) ini merupakan projek yang dilaksanakan untuk tujuan pengindahan di tepi sungai Pahang. Projek yang kelihatan sakit ini terpaksa mengambil masa hampir kira-kira 5 tahun untuk disiapkan sepenuhnya tetapi apa yang dikesali ialah, proses untuk menyiapkan projek ini amat menyedihkan dengan kerja-kerja yang tidak kemas, keadaan yang gelap pada waktu malam di kawasan tersebut serta juga didapati terdapat kesan rekahan pada lantai.

Disamping itu sebatang 'Bore Pile' (telah ditanam didalam sungai) yang terdapat di depan pondok jeti di Water Front ini juga menunjukkan betapa kerja-kerja penyiapan ini dilakukan secara tergesa-gesa.

Menurut penduduk berdekatan yang ditemui melahirkan rasa yang cukup kecewa dengan sikap pihak-pihak yang terlibat kerana tidak memantau projek ini secara dekat dan melahirkan kehairanan kenapa tapak disini yang dipilih untuk dijadikan Water Front di daerah Bera ini. Ini kerana menurutnya lagi, tapak yang disediakan ini tidak sesuai kerana terlalu hampir dengan jalan utama Bera-Temerloh dan berdekatan dengan selekoh yang sudah tentu membahayakan pengguna jalanraya sekiranya banyak kenderaan yang berhenti di tepi Water Front ini.

Seorang penduduk lagi berpendapat, sepatutnya projek ini boleh di buat di tepi sungai Triang yang berdekatan dengan pusat Bandar Bera serta sudah pasti amat sesuai dengan mercu tanda baru daerah Bera.

BANNER IDUL FITRI OLEH PKR CABANG BERA

Gambar 1) Banner Selamat Hari Raya Idul Fitri yang memaparkan gambar Ketua Cabang Bera, Tn Hj Abas Awang di sekitar laluan utama Temerloh-Bera-Bahau (Laluan 10) serta di Simpang tiga Paloh Hinai-Guai dan laluan ke tanah-tanah rancangan Felda di sekitar Bera.

Gambar 2) Salah satu banner raya PKR Cabang Bera yang di pamerkan di simpang utama Bandar Bera (Berhadapan Masjid dan Pejabat Daerah Bera)


BANDAR BERA, 15 SEPTEMBER 2009 @ 25 RAMADHAN 1430H:

Kelihatan 'banner-banner' Selamat Hari Raya Idul Fitri yang telah dipasang disetiap laluan utama Temerloh-Bera-Bahau (Laluan 10) serta di persimpangan utama Bandar Bera dan juga di simpang tiga Paloh Hinai-Guai serta di laluan utama ke tanah rancangan felda-felda sekitar Bera.

Kebanyakan banner-banner ucapan raya ini telah dinaikkan sejak seminggu lalu untuk mengucapkan selamat hari raya kepada semua penduduk terutama di Bera ini.

Thursday, September 10, 2009

45 TAHUN MASIH LAGI TUA!

Gesaan Khairy Jamaluddin (sebagaimana yang tersiar di Utusan Malaysia 10 September 2009) agar cadangan Pergerakan Pemuda UMNO untuk menghadkan umur kepada sesiapa yang mahu bertanding sebagai Ketua Pemuda UMNO kepada 45 tahun sahaja berbanding tiada had umur pada ketika ini.

Menurut Khairy, keputusan yang dibuat ini juga adalah selaras dengan aspirasi perjuangan Pemuda itu sendiri dan ini merupakan antara pembaharuan yang bakal dicadangkan untuk tujuan pindaan perlembagaan parti nanti.

Dengan menghadkan umur bagi jawatan Ketua Pemuda kepada 45 tahun kebawah akan lebih menampakkan lagi ciri-ciri pemuda itu sendiri. Pada masa ini sesiapa sahaja dibenarkan bertanding untuk apa-apa jawatan tertinggi pun didalam sayap parti ini asalkan calon-calon ini melepasi kriteria tertentu selain daripada mendapat cukup percalonan.

Bagi saya langkah yang dicadangkan oleh Pemuda UMNO ini sebenarnya masih lagi tidak menepati aspirasi dan ciri-ciri perjuangan pemuda kalau baru setakat meminda had umur hanya kepada 45 tahun sahaja.

Didalam zaman era globalisasi sekarang, pemuda sudah matang didalam membuat keptusan dan hala tujunya, oleh itu adalah elok agar had untuk jawatan Ketua Pemuda itu diturunkan lagi kepada takrifan umur pemuda yang sebenarnya.

Sekiranya cadangan ini diterima oleh UMNO sebagai pindaannya, bagi saya UMNO masih lagi terkebelakang didalam membuat tindakan yang betul apatah lagi didalam keadaan sekarang bertujuan untuk memikat dan menarik minat golongan muda untuk bersama dengan pemuda UMNO ini.

Sehingga kini didalam pergerakan pemuda mana-mana parti politik di Malaysia, hanya sayap Parti Keadilan Rakyat (PKR) iaitu Angkatan Muda Keadilan (AMK) sahaja yang telah menetapkan dan menuruti pindaan perlembagaan parti dengan mensyaratkan keahlian AMK mestilah dibawah umur 35 tahun termasuk untuk semua jawatan utama seperti Ketua AMK, Timbalan Ketua AMK, Naib-Naib Ketua AMK dan Exco AMK pusat!

Tindakan yang dibuat oleh PKR ini cukup hebat dan cukup dipandang tinggi dan ini barulah dikatakan benar-benar menuruti aspirasi perjuangan pemuda. Sebenarnya negara kita ini masih lagi boleh dikatakan tertinggal dibelakang berbanding di negara-negara luar didalam pembentukan pelapis pemudanya.

Sebagai contoh, diberitakan ada Ketua-ketua Pemuda parti politik di Vietnam, Iran dan Turki baru mencecah sekitar umur 25-30 tahun sahaja tetapi pandangan mereka ini tetap diminta oleh Ketua-ketua parti masing-masing kerana pada pandangan Ketua-ketua ini, hanya orang muda sahaja yang mampu memberi pandangan tentang kehendak orang muda berbanding orang yang lebih tua!

Sebab itu saya katakan, apa yang dihasratkan oleh menantu Mantan Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi ini dilihatkan masih tidak cukup untuk memenangi hati orang-orang muda kerana tiada apa yang dikatakan sebagai pembaharuan didalam UMNO!

Pemuda kini sudah kehadapan didalam segenap hal dan sudah tahu memikirkan apa yang perlu dilakukan untuk negara. Pemuda perlu diasuh sehingga ke peringkat yang lebih tinggi dan jangan dibiarkan mereka ini hanyut.

Sudah sampai masanya peranan pemuda diberikan tempat yang sewajarnya dan dipandang tinggi. Jangan biarkan atau ‘dibakulsampahkan’ sahaja setiap idea yang diberikan oleh pemuda itu. Paling penting, jangan diasuh atau diajar golongan muda atau pimpinan pemuda ini dengan material dan duniawi semata-mata sebagaimana yang berlaku sekarang.

Kadang-kadang kita merasi sangsi dan pelik sekali, umur baru mencecah 30an, sudah memiliki harta yang cukup banyak melimpah ruah dengan kereta-kereta mewah 5-6 buah di beberapa buah rumah, sedangkan baru 4-5 tahun aktif didalam politik dan yang lebih kita sangsikan lagi ialah sudah memiliki pelbagai gelaran dan pangkat walaupun kita sendiri tidak ketahui apakah jasa-jasa yang mereka telah lakukan sekitar 4-5 tahun bergiat didalam politik!



Artikel ini di petik dari blog 'Raikan Hasrat Anda' di http://ingeniur.blogspot.com

Wednesday, September 9, 2009

LANGKAH KERAJAAN KELANTAN HARUS DISOKONG!

Arahan Kerajaan negeri Kelantan agar semua pusat membeli belah dan pasar raya agar ditutup dan tidak dibenarkan beroperasi pada hari pertama sempena hari raya aidil fitri yang bakal disambut pada hujung minggu hadapan haruslah dipandang positif.

Keputusan yang diambil ini adalah selepas mengambil kira beberapa faktor yang memungkinkan arahan ini dikeluarkan. Menurut Exco Pelancongan, Kebudayaan dan Kerajaan Tempatan Negeri Kelantan YB Dato Takiyuddin Hassan, pada tahun lepas kerajaan negeri telah membenarkan pusat membeli belah dan pasaraya ini beroperasi mulai tengah hari sehingga waktu tengah malam pada hari raya pertama namun berbagai masalah yang telah timbul.

Antara masalah yang timbul yang telah dibangkitkan oleh pekerja-pekerja adalah kegagalan majikan itu sendiri untuk membayar bayaran berganda (double pay) sedangkan mereka bekerja pada hari cuti umum perayaan disamping akan turut dikenakan hukuman sekiranya tidak bekerja pada hari tersebut, Sebagaimana yang beliau tegaskan melalui kenyataannya di STAR hari ini;

"However, there were so many problems and we received complaints of employers failing to give double pay to employees for working on a public holiday.

We also received grouses from Muslims and non-Muslims who said that they were penalised for not working on the first day of Hari Raya,".


Pada pandangan saya sepatutnya pada hari raya pertama terutamanya orang islam seharusnya mengambil peluang untuk bersama dengan keluarga yang tercinta dan memperbanyakkan aktiviti ziarah-menziarahi kerumah saudara mara kita dan juga kenalan terdekat kita.

Apabila ruang yang ada ini turut disekat apatah lagi untuk setahun sekali sahaja, maka peluang untuk mereka ini bergembira bersama sanak saudara samada jauh atau dekat ini akan tiada seandainya mereka ini 'dipaksa rela' untuk bekerja.

Memang kita akui pada hari perayaan ini kebiasaannya pusat-pusat membeli belah atau pasaraya ini akan memperolehi lebih lagi pendapatan kerana masing-masing akan mengambil peluang untuk mencari sesuatu barang lebih-lebih lagi kepada kanak-kanak dan remaja terutamanya.

Disamping itu juga dengan penutupan pusat-pusat membeli belah dan pasaraya ini juga akan secara tidak langsung mengurangkan sedikit 'aktiviti' berpeleseran terutamanya anak-anak remaja kita yang kini semakin menjauhkan diri untuk bersama-sama keluarga bertandang dan menziarahi antara satu sama lain.

Dengan langkah yang julung kali ini dibuat oleh kerajaan negeri Kelantan, saya rasa sedikit sebanyak akan melegakan ibubapa terutamanya didalam mengawal tingkah laku anak-anak remaja kita agar biar bersama keluarga sempena menyambut hari lebaran yang mulia ini setahun sekali.

Tindakan ini seharusnya disokong oleh semua rakyat dan diharapkan arahan ini juga perlu diperluaskan kepada semua perayaan yang utama di negara kita ini manakala dipihak pusat-pusat membeli belah dan pasaraya ini seharusnya mengutamakan tanggungjawab sosial demi kesejahteraan semua.


Artikel ini dipetik dari blog http://ingeniur.blogspot.com

Tuesday, September 8, 2009

KERJA AMAL DAN SUMBANGAN HARI RAYA OLEH PKR BERA

Gambar 1) Kelihatan Tn Hj Abas, Tn Hj Hamzah, Sdr Amin dan Sdr Rizan ketika membungkus segala barangan keperluan yang akan disumbang nanti kepada para penerima.

Gambar 2) Antara kenderaan pacuan empat roda (4x4) yang digunakan untuk tujuan program sumbangan sempena raya oleh PKR Bera.

Gambar 3) Tn Hj Hamzah, Sdr Adam dan Tn Hj Abas sedang berbual bersama penerima sumbangan ini di Dun Guai.

Gambar 4) Cikgu Malek dan Tn Hj Hamzah ketika menyampaikan sumbangan kepada penerima yang kurang upaya.

Gambar 5) Cikgu Malek juga turut menyampaikan sumbangan berbentuk pakaian yang telah siap dijahit kepada salah seorang penerima kurang upaya.

Gambar 6) Tn Hj Abas dan Sdr Zakaria bersama AJK PKR Ranting Triang 3 sedangkan menyampaikan sumbangan disalah sebuah rumah di Triang 3.

Gambar 7) Tn Hj Hamzah, Sdr Adam, Cikgu Malek dan Tn Hj Abas ketika memberi sumbangan kepada salah seorang penduduk yang uzur di Kuala Triang.

Gambar 8) Cikgu Malek memberi sumbangan kepada salah seorang penerima selaku wakil kepada ibunya.

Gambar 9) Sdr Rizan ketika menyampaikan sumbangan PKR Bera kepada salah seorang warga emas yang telah uzur di Dun Guai.

Gambar 10) Sdr Amir menyampaikan sumbangan kepada warga emas yang uzur di Dun Kemayan.

BERA 06 - 07 September 2009:


Hampir 50 buah hamper yang berisi barangan keperluan makanan seperti beras, gula, minyak masak dan kurma telah disumbangkan oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Bera sempena persiapan menyambut kehadiran 01 Syawal 1430 H yang bakal disambut dan di raikan pada 20 September 2009 ini.

Barangan ini disumbangkan kepada semua golongan yang kurang bernasib baik seperti ibu-ibu tunggal, orang-orang yang kurang upaya serta golongan miskin yang memerlukan di sekitar Dun Guai dan juga Dun Kemayan didalam Parlimen Bera ini. Sumbangan ini juga tidak sekadar terhad kepada barangan keperluan makanan malahan PKR Bera turut menyumbang pakaian yang diperolehi daripada penyumbang-penyumbang perseorangan untuk program ini.

Hampir semua kepimpinan utama PKR Bera telah turun bersama ke destinasi-destinasi yang ditetapkan seperti di kampung-kampung sekitar Kuala Triang, Kuala Bera, Tok Langit serta beberapa tempat lagi di dalam Dun Guai ini. Manakala di Dun Kemayan pula destinasi yang ditujui adalah di sekitar tanah rancangan Felda Triang 1, Triang 3, Tembangau 1, Tembangau 2, serta juga di Sebertak, Tementi dan Rentam yang kesemuanya berada didalam Dun Kemayan.

Antara pimpinan PKR Bera yang turut bersama ialah Tn Hj Abas Awang (Ketua Cabang PKR Bera), Sdr Hamzah Bawa (Timbalan), Sdr Amir Aziz (Naib Ketua 1), Cikgu Malek Salleh (Naib Ketua 3), Sdr Rizan (Setiausaha), Tn Hj Hamzah Ibrahim (Ketua Penerangan PKR Bera yang baru dilantik), Sdr Adam (yang juga Pengerusi Masjid Kuala Triang) serta barisan Ahli Jawatankuasa PKR Bera Sdr Amin, Sdr Zakaria dan ahli-ahli di peringkat ranting yang turut bersama memeriahkan sempena program sumbangan raya ini.

Dengan menaiki 2 kenderaan pacuan empat roda (4x4), hampir kesemua barangan sumbangan ini berjaya disampaikan pada setiap rumah yang telah dikenal pasti oleh petugas parti serta melalui ketua-ketua ranting PKR sendiri. PKR Bera telah mengambil inisiatif untuk bergerak memberi sumbangan secara konvoi daripada rumah ke rumah tanpa membebankan penerima untuk hadir secara setempat sebagaimana yang dibuat kebiasaannya.

Dengan cara ini juga secara tidak langsung dapat kita memperkenalkan lagi PKR Bera kepada orang ramai akan kewujudan parti di Parlimen Bera ini. Ia juga boleh mengeratkan lagi hubungan silaturrahim diantara parti dan orang ramai khususnya.

Program sumbangan sempena raya ini adalah merupakan program pertama kali seumpama ini diadakan sejak PKR Bera ditubuhkan pada tahun 2005. Semoga program ini akan berjalan secara berterusan pada masa yang akan datang, Insya Allah.

Monday, September 7, 2009

PERTAHANKAN KREDIBILITI MB PAKATAN RAKYAT SELANGOR !

Kelihatan Penduduk Seksyen 23 Shah Alam yang cuba melepaskan geram kepada MB Selangor TS Khalid Ibrahim ketika hadir pada sesi dialog untuk memberi penjelasan mengenai isu pemindahan kuil di Dewan Bankuet, Wisma MBSA, semalam.


Saya tidak faham apa motif sebenar hampir kesemua akhbar-akhbar utama negara kita semalam (Edisi Berita Minggu 06 September 2009) menyiarkan tentang Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim di 'boo' oleh beberapa orang 'keparat' yang dipercayai pemuda daripada parti lawan di Selangor yang cuba membuat kacau di sesi dialog antara penduduk Seksyen 23 Shah Alam semalam Dewan Bankuet, Wisma MBSA, Shah Alam.

Berita Minggu dengan tajuk utamanya "Khalid kena boo" benar-benar merentap jiwa para pendokong Pakatan Rakyat (PR) didalam memberi peluang kepada mereka yang hadir semalam. Diberitahu kebanyakan yang memulakan 'perangai yang tidak senonoh' ini dibulan puasa adalah bukan penduduk Seksyen 23 itu tetapi turut dihadiri oleh beberapa orang ahli pemuda parti lawan ini di Selangor yang jelas bertindak seperti orang yang hilang akal dan dirasuki umpama seperti 'keparat yang tidak reti bahasa dan tahu menghormati pemimpin' ini.

Selain Tan Sri Khalid, Ahli Parlimen Shah Alam YB Khalid Samad dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Tiga, YB Rodziah Ismail turut di'boo' lebih 10 kali oleh meraka yang hadir bukannya untuk berbincang dan berdialog tetapi hadir hanya untuk mengambil kesempatan memalukan pemimpin Pakatan Rakyat ini.

Bukan untuk menuduh tetapi ramai yang berkeyakinan perbuatan seperti ini seolah-olah didalangi oleh Umno dan secara tidak langsung telah menggambarkan inilah sikap dan mentaliti ahli-ahli Umno yang seolah-olah hanya mereka inilah sahaja yang 'berjuang' 'bagai nak rak' dan sanggup mempertahankan agama 'bagaikan separuh mati' demi kemurnian Islam itu selama ini. Sebab itu isu Kuil Hindu ini hanyalah satu daripada penyebab untuk mereka ini mengambil kesempatan untuk memperlekehkan kewibawaan pimpinan PR di SElangor khususnya didalam menyelesaikan beberapa masalah yang tertunggak sekian lama yang kini diwarisi daripada kerajaan BN negeri Selangor dahulunya.

Perbincangan yang dirintiskan oleh MB dan pimpinan negeri sebenarnya cukup baik dan murni niatnya walaupun ramai yang mengatakan sudah terlewat dan sepatutnya ditangani sejak awal lagi. Kita akui bukan mudah untuk menyelesaikan hal ini tetapi janganlah pulak ada yang cuba mengambil kesempatan sebagaimana yang berlaku Sabtu lalu.

Tidak habis lagi isu jualan arak yang telah dimanipulasikan oleh Umno Selangor khususnya yang sanggup berdemonstrasi untuk menunjukkan kepada semua bahawa arak perlu diharamkan di kawasan majoriti penduduk islam kini timbul pula isu kuil.

Kadang-kadang sikap ahli-ahli Umnon ini cukup menggambarkan betapa 'hodoh'nya perangai mereka ini semua kerana sanggup mempermainkan isu agama demi kepentingan politik mereka. Saya ingin bertanya kenapa Umno tidak mengadakan demonstrasi sama di negeri-negeri bawah pimpinan Umno yang jelas lebih begitu banyak jualan araknya walaupun dikawasan melayu islam? Apakah negeri-negeri seperti Johor, Melaka atau Pahang sudah benar-benar bersih daripada jualan arak di kedai-kedai 24 jam dikawasan majoriti penduduknya adalah islam?

Isu kuil saya rasa bukan setakat bermasalah berkaitan lokasinya di Selangor sahaja malahan ianya turut berlaku dibeberapa negeri dibawah pimpinan Umno, tetapi ianya tidak digembar-gemburkan kerana akhbar-akhbar yang dikuasainya berjaya memainkan peranan ini untuk menutup isu ini daripada dikeluarkan untuk pengetahuan umum.

Sebab itu daripada awal lagi saya bertanya apakah motif utama yang dimainkan oleh akhbar-akhbar utama berbahasa melayu ini untuk menyiarkan berita tentang MB Selangor yang di malukan serta di perlekehkan oleh beberapa orang 'pencacai' ketika sesi dialog baru-baru ini diadakan, kalau bukan kerana bermotifkan untuk memperkecilkan keupayaan mentadbir negeri oleh pimpinan Pakatan Rakyat?

Kenapa saya berkata sedemikian? Lihatlah apa komen Perdana Menteri (PM) Dato Seri Najib Tun Razak apabila mengatakan di Utusan Malaysia 07 September 2009 "Bukti pakatan tidak berwibawa", manakala Ibrahim Ali yang menggunakan platformnya sebagai Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa)pula berkata di akhbar yang sama "Pembangkang tiada kredibiliti memerintah" yang kesemuanya merujuk kepada apa yang telah berlaku di Selangor ini kerana isu yang sama iaitu isu kuil.



Artikel ini di petik dari blog 'Raikan Hasrat Anda' di http://ingeniur.blogspot.com

DUN BAGAN PINANG : SAY GOOD BYE TO UMNO / BN !

Kematian ADUN Barisan Nasional (BN) Bagan Pinang, YB Azman Mohd Nor akibat jangkitan didalam darah di Hospital Pakar Seremban (SSH) semalam telah mengesahkan kepada kita semua bahawa satu lagi pilihanraya kecil (PRU) akan diadakan dalam tempoh terdekat ini.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof ketika diminta mengulas telah berkata, hanya boleh diketahuinya selepas pihak SPR menerima notis kekosongan kerusi DUN Bagan Pinang daripada Speaker DUN Negeri Sembilan yang dijangkakan diterima isnin ini.Selepas itu barulah SPR boleh memutuskan satu pilihanraya kecil perlu diadakan disitu.

Siri pilihanraya-pilihanraya kecil (PRK) selepas Pilihanraya Umum (PRU) ke 12 2008 lalu telah menyaksikan lapan PRU sudah diadakan dengan tujuh PRK yang diadakan di Semenanjung telah dimenangi oleh Pakatan Rakyat manakala kerusi tunggal pada PRK di Sarawak pula dimenangi oleh BN.

Sehingga kini negeri Pulau Pinang telah mengadakan tiga PRK (Permatang Pauh, Penanti dan Permatang Pasir)dengan satu masing-masing di Kuala Terengganu (Terengganu), Bukit Gantang (Perak), Bukit Selambau (Kedah) dan Manek Urai (Kelantan).Manakala satu kerusi lagi di Batang Air (Sarawak).

Didalam keadaan Umno / BN begitu takut dan seboleh-bolehnya mengelak daripada terlibat dengan sebarang pilihanraya kecil selepas PRU 12 lalu, tetiba dengan adanya kematian terbaru wakil rakyat ini, maka mahu tidak mahu terpaksa jugalah Umno terutamanya untuk sekali lagi berhadapan dengan Pakatan Rakyat.

Pada PRU 12 2008 lalu, Allahyarham Azman Mohd Nor telah berjaya dipilih sebagai Adun Bagan Pinang selepas menewaskan Calon Pas Ramli Ismail dengan kelebihan majoriti sebanyak 2333. Walaupun diakui oleh pimpinan Umno yang mengatakan ini merupakan kubu kuat mereka serta telah menjadi tradisi mereka memenanginya, namun dengan situasi dan keadaan semasa kini lebih-lebih lagi selepas PRU 12 2008, Umno / BN terutamanya tidak boleh lagi terlalu yakin untuk mencapai kemenangan pada kerusi tersebut lagi kerana rekod kemenangan PR pada semua tujuh PRK di semenanjung telah dimenangi oleh PR walaupun di kubu Umno / BN sebagaimana yang berlaku di Kuala Terengganu.

PRK yang bakal diadakan nanti di Negeri Sembilan merupakan PRK yang pertama yang akan dilangsungkan dinegeri yang berada dalam lingkungan zon selatan (Zon Selatan boleh ditakrifkan Johor, Melaka dan Negeri Sembilan) yang selalu diperkatakan orang sebagai negeri-negeri 'totok' jiwa pengundi terutamanya orang melayu kepada Umno / BN. Sebelum ini kita telah mengharungi tujuh PRK di negeri-negeri zon utara (Perak, Pulau Pinang, Kedah dan Perlis) dan negeri-negeri pantai timur (kelantan, Terengganu dan Pahang) dan semuanya mencatatkan kemenangan yang cukup bergaya kepada PR!

Saya amat berkeyakinan dengan semangat yang dibawa daripada utara serta pantai timur semenanjung, roh kemenangan terhadap PR akan turut dijelmakan di PRK Bagan Pinang dan dengan kemenangan ini nanti, kekuatan Umno / BN akan dapat dinilai serta di ukur oleh mereka dan PR sendiri.

Dengan perbezaan 4 kerusi DUN Negeri Sembilan antara BN (20 kerusi) dan PR (16 kerusi) sebelum kematian Allahyarham Azman Mohd Nor ini, kekalahan Umno / BN nanti pada PRK ini sudah pasti akan memberikan impak yang cukup besar kepada BN didalam mencari keyakinan orang ramai untuk Negeri Sembilan terus diterajui oleh Umno / BN di PRU ke 13 nanti.

Dengan senario perbezaan yang semakin mengecil kepada 3 kerusi (Seandainya PRK Dun Bagan Pinang nanti PR menang) kekuatan dan keutuhan kerajaan BN semakin goyah dan seandainya ada perkara diluar dugaan kita berlaku di DUN Negeri Sembilan seperti kes melompat parti daripada BN ke PR atau pun ada usul undi tidak percaya terhadap MB Dato Seri Mohammad Hassan di DUN ini terjadi, maka sudah pasti teraju kepimpinan Negeri Sembilan akan berpindah tangan daripada Barisan Nasional (BN) kepada Pakatan Rakyat (PR), Insya Allah.

Sama-samalah kita saksikan dan yang pastinya rakyat kini semakin cerdik, matang dan tahu apa yang mereka pilih. Daripada rakyat untuk rakyat juga akhirnya...



Artikel di petik daripada blog http://ingeniur.blogspot.com

Tuesday, September 1, 2009

BAZAR RAMADHAN BANDAR BERA

Gambar 1) Antara murtabak (Restoran Ros Alang) yang paling ramai dikunjungi oleh pembeli setiap hari dengan tawaran harganya tetap sama sejak 5 tahun dahulu, sekeping RM 2.50 sahaja.



Gambar 2 & 3) Antara gerai jualan kuih muih yang terdapat di Bazar Ramadhan Bandar Bera yang sentiasa mendapat sambutan orang ramai setiap hari.


Bandar Bera 31 Ogos 2009:
Kesibukan dan suasana Bazar Ramadhan di Bandar Bera yang sentiasa di penuhi oleh ramai untuk mencari juadah berbuka puasa. Bazar ramadhan ini memulakan operasinya setiap hari mulai jam 3.30 petang yang menyediakan berbagai juadah untuk dibeli oleh orang ramai terutamanya masakan tradisional yang bukan sahaja daripada negeri Pahang malahan juga daripada negeri-negeri lain seperti Kelantan, Terengganu, Kedah dan sebagainya.

Kedudukan Bazar ramadhan ini yang begitu strategik di simpang utama (simpang Kerayong) antara laluan Temerloh-Bera-Bahau ini menjadikan ianya mudah untuk disinggahi oleh pengguna jalanraya dari kedua-dua arah ini. Disamping itu juga dengan kemudahan lain yang berhampiran dengan tapak bazar ini seperti Masjid Daerah Bera serta kemudahan bank juga turut memberi impak kehadiran ke bazar ramadhan ini.

HADIAH HARI KEBANGSAAN KE 52 : TAHNIAH! 1 MALAYSIA HARGA MINYAK NAIK !

Tiada hadiah yang paling mahal buat rakyat Malaysia sempena menyambut hari Kebangsaan negara kita yang ke 52 semalam melainkan pengumuman kenaikan harga minyak mulai 1 September 2009, apabila kerajaan mengumumkan kenaikan harga minyak RON 95 dan RON 97 dinaikkan antara 5 sen dan 25 sen menjadikan kini RON 95 RM 1.80 dan RON 97 melambung secara melampau daripada RM 1.80 menjadi RM 2.05!

Berdasarkan kenyataan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan yang juga Ahli Parlimen Bera, Dato' Seri Ismail Sabri Yaakob, menjelaskan harga RM1.75 seliter bagi RON95 yang diumumkan Mei lalu ditetapkan berdasarkan harga minyak dunia ketika itu AS$40 setong.

"Kini harga petrol dunia melonjak kepada AS$82 setong. Ini bermakna peningkatan sebanyak 102 peratus.Penetapan harga petrol di negara ini menggunakan Mekanisme Harga Automatik (APM) di mana ia bergantung kepada kedudukan harga kos produk di pasaran dunia.

"Sekiranya harga minyak dunia mengalami penurunan, maka kerajaan akan menyemak semula harga petrol dan turunkan harga petrol. Jika harga minyak dunia naik, maka kita akan membincangkan perkara itu dalam Majlis Ekonomi Negara"


Beliau juga berkeyakinan penuh sehingga ke akhir tahun ini, tiada lagi kenaikan harga minyak baru sebagaimana yang dinyatakan beliau semalam ketika hadir di majlis pelancaran RON95 seluruh negara di Stesen Minyak Petronas Lebuh Raya Sprint semalam.

Amatlah menghairankan kita kenapa pihak kerajaan tidak memikirkan langsung keperitan rakyat negara ini dengan kenaikan harga minyak ini lebih-lebih lagi disaat umat Islam terutamanya yang akan balik ke kampung bagi merayakan hari raya puasa tidak lama lagi? Dengan kos tol lebuhraya yang telah sedia maklum amat mahal, kini beban pada kos petrol akan turut bertambah juga kesan daripada kenaikan ini.

Disamping itu juga keperitan penduduk di pendalaman sepatutnya turut diambil kira yang rata-rata antara mereka hanyalah bekerja sebagai petani, penorah getah, pekebun sayaur, penanam padi serta para peneroka yang sentiasa menggunakan bahan api petrol ini pada pengangkutan atau peralatan mesin mereka.

Sepatutnya Ismail Sabri mengambil kira semua faktor ini lebih-lebih lagi beliau yang juga Wakil Rakyat di kawasan yang boleh dikategorikan luar bandar iaitu Parlimen Bera sepatutnya terlebih dahulu mengkaji kesusahan rakyat dikawasannya yang majoritinya merupakan golongan berpendapatan rendah sebelum meluluskan kenaikan seperti ini.

Adalah diharapkan beliau dapat memahami perkara ini dan jangan terlalu mengambil kira kenaikan ini amat perlu disebabkan untuk memenuhi desakan pihak yang berkepentingan bagi menjaga periuk nasi masing-masing sahaja. Beliau sebagai seorang menteri seharusnya mengemukakan pandangan yang sewajarnya berdasarkan kepentingan rakyat bawahan dengan mengemukakan contoh yang terbaik ialah akan nasib penduduk di kawasannya terlebih dahulu, kalau pun tidak mengambil contoh ditempat lain kerana sebab-sebab yang dinyatakan diatas tadi.


Artikel ini dipetik dari blog 'Raikan Hasrat Anda' di http://ingeniur.blogspot.com