Wednesday, May 26, 2010

ANWAR: 'PAMITAN' KE UMNO SUDAH BERLALU

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, setakat yang diketahuinya, tiada lagi wakil rakyat PKR yang akan melompat parti setakat ini.
"Ya, setakat yang kita tahu (tiada). Tetapi kalau tawarannya naik daripada RM2 juta kepada 5 juta, saya tak tahu. Setakat ini kita dengar keadaan terkawal, katanya menyifatkan 'pamitan ke sebelah sana' (Umno) sudah berlalu."

Beliau yang juga ketua umum PKR berkata, sebagai sebuah parti baru, menjadi lumrah ia diserang kuat - pengalaman yang menurutnya dikongsi bersama oleh DAP dan PKR sebelum ini, termasuk Umno sendiri.

"Malah Umno sebelum ini menyaksikan penghijarahan pemimpin utama, (termasuk) presiden pertama, kedua dan keempatnya.

"Jadi dalam konteks kita (PKR), kalau (musuh) anggap tak boleh pukul saya secara langsung, (mereka) pukul kekuatan (lain) yang ada pada PKR," katanya.

Selepas pilihan raya umum dua tahun lalu, PKR kehilangan tujuh kerusi parlimen (lihat carta bawah). Empat daripadanya akibat tindakan melompat parti, manakala seorang lagi dipecat.

Tindakan melompat parti oleh ADUN PKR - yang kemudiannya mengisytiharkan menjadi "bebas mesra BN" - juga menyumbang ke arah runtuhnya kerajaan Pakatan Rakyat pimpinan bekas menteri besar Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin di Perak.

Dalam wawancara dengan Malaysiakini awal petang ini, Anwar berulang kali menegaskan bahawa bekas pemimpin PKR yang melompat "dibeli" dan mendedahkan pihaknya kini sudah bersedia dengan pita rakaman.

"Kita sekarang nasihati kawan-kawan kita buat pita rakaman (tawaran melompat parti)," katanya ketika dikunjungi di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya.

Rakam cubaan menyogok

"Rakaman (menunjukkan) kalau disogok dengan wang. Kita cuba dapatkan dengan (pita rakaman) itu. Kalau lapor pada SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah) tak ada kesan.

"Maknanya, kalau kita ambil rakaman, kita boleh edar pada orang ramai. Saya tak yakin institusi pemerintah akan lakukan apa-apa, kerana ini arahan pimpinan negara."

Katanya, walaupun seorang demi seorang wakil rakyat dan pemimpin PKR sebelum ini melompat parti, sokongan di peringkat akar umbi tidak terjejas kerana mendakwa ia 'dibuat hasil daripada "perjanjian sulit", bukan dengan restu rakyat.

"Macam Bayan Baru (Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim), selain ahli parlimen (itu) tak ada (ikut), yang lain tinggal (bersama parti). Tiada cabang dibubar, tiada pemimpin (bahagian) keluar. Saya tak lihat masalah," katanya.

Sementara itu, Anwar juga menjangkakan isu pemimpinnya yang lompat parti akan dibangkitkan oleh perwakilan parti itu dalam kongres tahunannya yang akan diadakan pada hujung bulan ini.

"Dalam perbahasan (kongres) kita bebas. Dan kita beri ruang. Oleh yang demikian, saya rasa (perkara ini) akan dibangkitkan, wajar dibangkitkan. Saya rasa (mereka) perlu penjelasan," katanya lagi.

Mengakui parti "sedikit terjejas" dengan tindakan beberapa orang wakil rakyatnya, beliau menjangkakan anggota parti itu akan mendesak pucuk pimpinan PKR lebih teliti memilih calon untuk bertanding dalam pilihan raya.

"Kita akan jelaskan pemilihan (calon) lalu, dengan keadaan terbatas, tak tamai golongan profesional, sarjana dan intelektual sanggup (bertanding), jadi kita pilih yang ada sahajalah.

"Oleh kerana itu, kesannya juga ada," kata ahli parlimen Permatang Pauh.

Anwar berkata, beberapa 'orang yang rapat dengannya', yang kini berpaling menentangnya, hanya bertemu dengannya "setahun dua kali".

"Lagi pun di Malaysia ini, siapa yang tak rapat dengan saya? Cuba beritahu," katanya cuba berjenaka.


*Sumber MalaysiaKini

No comments: