Thursday, February 18, 2010

YB ZULKIFLI NOORDIN SENGAJA TIDAK SAHKAN KEDATANGAN KEPADA J/KUASA DISIPLIN PKR - DR SYED HUSIN

Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Senator Dr Syed Husin Ali berkata, Zulkifli Noordin telah diminta memilih dua tarikh yang sesuai untuk membolehkan beliau hadir menghadap Jawatankuasa Disiplin PKR, iaitu 18 atau 23 Februari, namun ia tidak pernah dijawab oleh Zulkifli.

Justeru, beliau dalam kenyataan kepada Harakahdaily pagi ini memberitahu, Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu itu tidak harus menyalahkan mana-mana pihak kerana dia lebih mementing diri sendiri dari partinya.

Syed Husin menjelaskan pendirian PKR berhubung kenyataan Zulkifli yang mendakwa PKR sengaja untuk mengenakan dirinya apabila memanggil beliau menghadap Jawatankuasa Disiplin ketika beliau berada di luar negara iaitu Korea.

“Beliau diminta menjawab sebelum 12 Februari 2010 dan memberitahu sebelum 15 Februari 2010, pilihan beliau untuk tarikh pendengaran kes yang dicadangkan oleh Lembaga, iaitu 18 atau 23 Februari 2010.

“Lembaga Disiplin tidak mendapat apa-apa jawapan daripada Zulkifli apabila kedua-dua tarikh 12 dan 15 Februari luput,” katanya.

Tambahnya, pada 16 Februari lalu, Zulkifli memberitahu melalui media beliau tidak dapat hadir kerana ke Korea dan kenyataan beliau kemudian disalinkan kepada Setiausaha Agung, Saifuddin Nasution.

Jelasnya, Zulkifli pergi ke Korea atas urusan sendiri dan bukan dihantar oleh parti dan parti tidak tahu-menahu tentang pemergiannya.

Beliau berkata, Zulkifli tidak pernah memberitahu Lembaga Disiplin mengenainya, juga tidak pernah mencadangkan tarikh lain untuk pendengaran.

“Ini nampaknya menjadi cara biasa Zulkifli. Dalam kes yang lalu beliau memberi alasan tidak berada di Kuala Lumpur juga untuk mengelak hadir mengikut tarikh yang ditetapkan oleh Jawatankuasa Disiplin ketika itu,” ujarnya.

Malam tadi, katanya, mesyuarat mingguan Biro Politik PKR membincangkan beberapa perkara termasuk kes-kes disiplin.

Berhubung kes Zulkifli, ujarnya, biro menyerahkan kepada Lembaga Disiplin untuk membuat keputusan dan menyampaikannya kepada parti dengan seberapa segera.

Menurutnya, lembaga diminta oleh Biro Politik untuk mengambil kira semua kenyataan melalui media yang telah dibuat oleh Zulkifli selepas surat tunjuk sebab dihantar kepadanya.

Biro Politik mengambil perhatian bahawa Lembaga Disiplin telah menghantar surat tunjuk sebab kepada Zulkifli pada 8 Februari lalu melalui faks, emel dan surat berdaftar.


* Artikel ini dipetik dari Harakahdaily.net

No comments: