Tuesday, August 10, 2010

BILA PROJEK HOSPITAL DAERAH BERA AKAN BERMULA?

Walaupun sudah lebih setahun majlis pecah tanah di tapak projek Hospital Daerah Bera (HB) di lakukan (majlis pecah tanah dibuat pada 06 Februari 2009), tetapi sehingga kini tidak nampak tanda-tanda kerja-kerja awal projek HB tersebut akan bermula sehingga ke saat ini.

Untuk rekod, majlis pecah tanah tersebut telah disempurnakan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang, Sultan Haji Ahmad Shah yang telah disaksikan oleh ribuan penduduk Daerah Bera disini.

Projek Hospital Bera ini adalah merupakan salah satu projek pembinaan Hospital baru yang diluluskan oleh kerajaan semasa kajian semula Rancangan Malaysia Ke-9 serta mempunyai katil sebanyak 40 buah dan boleh ditambah kepada 60 buah katil dimasa hadapan bagi menampung keperluan penduduk setempat. Ia akan dibina diatas tanah seluas 26 ekar.

Dengan kos pembinaan dianggarkan sebanyak RM 60 Juta, Hospital Daerah Bera di jangka siap tahun 2012 sebagaimana didalam perancangan Kementerian Kesihatan Malaysian(KKM).

Dengan kadar kepesatan daerah ini semakin membangun apatah lagi peningkatan jumlah penduduk yang semakin meningkat, keutamaan dan keperluan untuk daerah ini mempunyai hospital sendiri amatlah tinggi demi kelangsungan kesihatan penduduk Bera.

Buat masa sekarang penduduk daerah Bera ini memerlukan masa antara 30 minit hingga satu jam perjalanan untuk ke Hospital Sultan Ahmad Shah, Temerloh atau pun ke Hospital Jempol sekiranya memerlukan rawatan hospital.

Justeru itu Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Cabang Bera menggesa agar Kementerian Kesihatan Malaysia dapat mempercepatkan dengan kadar segera projek tersebut agar segala kesulitan yang dihadapi oleh penduduk daerah ini dapat diatasi.

No comments: