Wednesday, March 31, 2010

MAB SADURAN AEM

KUALA LUMPUR, 31 MAC 2010:

Majlis Pakatan Rakyat tengah hari tadi mendakwa Model Ekonomi Baru (MEB) menyadur semangat Agenda Ekonomi Malaysia (AEM) kata Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dilihat memuatkan prinsip-prinsip utama AEM dalam ucapannya, semalam.

"Seolah-olah prinsip utama yang diwar-warkan itu disadur dari AEM (apabila) Perdana Menteri bercakap mengenai keperluan mencapai pendapatan tinggi, membina ekonomi yang utuh secara berterusan dan menjamin kesaksamaan, peralihan bantuan berasaskan keperluan tanpa mengira kaum," jelas beliau di Parlimen.

Jelas Anwar, kesemua prinsip tersebut telahpun diperjuangkan Pakatan Rakyat sejak 2006 lagi, dan kemudiannya menjadi manifesto bersama-sama PKR, DAP dan PAS pada Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU 12) yang lalu.

Pun begitu, beliau yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh berkata, Najib yang juga Menteri Kewangan I turut dilihat gagal menjelaskan mekanisme lanjutan untuk mencapai kelapan-lapan inti utama MEB.

Bagi Pakatan Rakyat, katanya kerajaan seharusnya menyentuh kaedah-kaedah kerajaan menangani isu rasuah, ketirisan, pembaziran, ketidakbebasan mahkamah, polis dan PDRM tidak profesional sebelum memperkenalkan MEB.

Dengan tidak menyentuh beberapa mekanisme tersebut, menurut beliau, mengakibatkan ekonomi negara terus dilihat tidak menentu oleh para pelabur luar.

Akibatnya, menurut Anwar, dana dari Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dijangkakan akan disalahgunakan oleh kroni-kroni tertentu melalui aktiviti pengkorporatan badan tersebut kelak.

"Pengkorporatan akan dilakukan di mana (dana) KWSP akan dipinda pada satu badan tertentu sedangkan tanpa reformasi menyeluruh, bahaya pada (aktiviti) penswastaan," jelasnya.

Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang kemudiannya berkata, tindakan Najib mengumumkan MEB di luar Parlimen seolah-olah tidak mencerminkan konsep 1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.

"Pengumuman Najib itu bercanggah dengan konsep rakyat didahulukan kerana pengumuman tersebut dibuat di luar Dewan Rakyat," jelasnya.

Senada dengan Abdul Hadi, Penasihat DAP, Lim Kit Siang berkata, tindakan Najib itu seperti menghina kemuliaan Dewan Rakyat.

Ini kerana, menurut beliau, Najib sanggup pergi mengumumkan MEB di luar Parlimen, sedangkan beliau berpeluang membentangkan di Dewan Rakyat sekarang.

Dalam perkembangan yang lain, Majlis Pakatan Rakyat mengumumkan bahawa PKR direstui untuk meletakkan calon dalam pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor kelak.

Turut menyertai Anwar, Lim dan Abdul Hadi di Pejabat Ketua Pembangkang adalah Dr. Syed Husin Ali (Timbalan Presiden PKR), Datuk Mahfuz Omar (Naib Presiden PAS), Datuk Mustafa Ali (Setiausaha Agung PAS), Saifuddin Nasution (Setiausaha Agung PKR) dan beberapa pemimpin tertinggi komponen PR.


* Artikel ini dipetik dari www.harakahdaily.net

DS ANWAR : PENASIHAT TENTERA ISRAEL YANG SAMA ILHAMKAN SATU ISRAEL, 1 MALAYSIA !

KUALA LUMPUR 31 MAC 2010 :

Persamaan Satu Israel dan 1 Malaysia tidak boleh dianggap kebetulan kerana kedua-dua konsep tersebut dicetuskan oleh pegawai perisikan tentera Israel yang sama yang bekerja dengan bekas Perdana Menteri negara Zionis itu pada 1999.

Pegawai tentera terbabit yang kini bekerja dengan APCO ketika itu bekerja di bawah Ehuh Barak yang menjadi Ketua Turus Angkatan Tentera Israel, menurut Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Kritikan Parti Buruh kepada Ehud Barak ialah kerana terlalu ramai rakan tentera perisikan yang bukan dari parti.

"Platform Satu Israel menjanjikan perkhidmatan yang lebih baik dalam pendidikan dan kemudahan kesihatan baik manakala di Malaysia pula ada klinik 1 Malaysia,

"Tujuan Ehud untuk alih isu 'settlement' atau penempatan, iaitu alih pandangan lain dalam negara manakala 1 Malaysia alih isu pertelingkahan antara kaum dan masalah rasuah dalam negara.

"Mesej Satu Israel ialah 'People first' manakala 1 Malaysia pula 'Rakyat didahulukan', Kemudian 1 Israel menubuhkan Tabung Satu Israel manakala Malaysia menubuhkan Yayasan 1 Malaysia.

"Jadi persamaannya itu terlalu banyak di antara apa yang dibuat Ehud Barak dan Datuk Seri Najib Razak.

"APCO menafikan tetapi pegawai yang bertugas adalah pegawai yang sama yang saya namakan Pegawai Pertahanan Israel," kata Anwar dalam sidang media yang diadakan di lobi Parlimen semalam.

Anwar memnuat sidang media tersebut setelah menjelaskan isu APCO secara terperinci di dalam Dewan Rakyat pagi semalam.

Penjelasan tersebut dibuat selepas Ahli Parlimen Kota Belud, Datuk Abdul Rahman Dahlan menggunakan Peraturan Mesyuarat 37(1) meminta Ketua Pembangkang membuat penjelasan mengenai isu APCO pada sidang Dewan Rabu minggu lalu.


* Artikel ini di petik dari http://Suara-Keadilan.com

GANESAN BOHONG TERIMA TUJUH SOALAN SAHAJA DARIPADA PAKATAN RAKYAT

IPOH 31 MAC 2010 :

Ahli Dewan Undangan Negeri Pakatan Rakyat kesal dengan tindakan Speaker 'haram', Datuk R. Ganesan yang mendakwa menerima hanya tujuh soalan daripada 216 soalan yang dihantar.

Menteri Besar Pakatan Rakyat, Datuk Seri Nizar Jamaluddin berkata ADUN Pakatan telah menghantar soalan mengikut syarat yang telah ditetapkan.

"Kita telah menghantar soalan bertulis kepada Setiausaha Dewan, kita juga telah mengikut arahan surat yang dihantar oleh Setiausaha Dewan yang mengarahkan semua soalan perlu dihantar sebelum 15 Mac.

"Kita mengikut apa yang diarahkan oleh surat tersebut, tetapi kenyataan Speaker haram itu mengatakan beliau hanya menerima tujuh soalan dari ADUN Pakatan. Ini satu pembohongan sedangkan kita telah menghantar semua soalan, kalau tujuh orang sahaja kami nak tahu siapa mereka dan apa soalan tersebut.

"Disini timbul persoalan, Speaker sepatutnya tidak menerima soalan, yang terima adalah Setiausaha Dewan tetapi kenyataan yang diberikan oleh Speaker haram itu nampak sangat menipu dan ada unsur tertentu yang tidak mahu soalan-soalan yang dikemukakan oleh ADUN Pakatan dijawab di dalam Dewan," kata Nizar yang juga ADUN Pasir Panjang dalam sidang media semalam selepas sidang ditangguhkan.

Nizar juga menjelaskan soalan yang dikemukakan itu menjurus kepada kepentingan rakyat Perak dan fakta-fakta yang diperlukan.

"Soalan kita semua untuk kebajikan rakyat dan ada juga soalan yang kita perlukan fakta jadi tindakan menafikan soalan itu tidak tepat dengan etika Dewan," tegas Nizar.



* Artikel ini dipetik dari http://Suara-Keadilan.com

Tuesday, March 30, 2010

PRK HULU SELANGOR: MIC KELUAR, UMNO MASUK?

Polemik terbaru antara parti komponen didalam Barisan Nasional (BN) dijangka berlaku lagi apabila UMNO dan MIC masing-masing menuntut untuk meletakkan calonnya masing-masing di Pilihanraya kecil (PRK) Parlimen Hulu Selangor nanti.

Sebaik sahaja berita kematian mantan MP Hulu Selangor Dato Dr Zainal Abidin Ahmad tersebar, MIC melalui kenyataan Presidennya Dato Seri S.Samy Vellu telah awal-awal menetapkan bahwa Dato G.Palenivel adalah bakal calon yang akan dikemukakan kepada MIC kerana dengan alasan Dato G.Palanivel ini merupakan mantan MP disitu sejak 1995-2008 lalu oleh itu tidak menjadi masalah untuk MIC dan Barisan Nasional (BN) mencalonkan beliau lagi sekali.

Namun begitu sanggahan yang dibuat oleh beberapa orang pimpinan UMNO negeri Selangor jelas menunjukkan bahawa ada kemungkinan UMNO juga mahu meletakkan calon berasaskan komposisi pengundi di parlimen Hulu Selangor yang berkedudukan pengundi melayu 53.5%, berbanding pengundi cina 27% dan pengundi india pula sekitar 19.5%.

UMNO beranggapan strategi yang digunakan oleh PKR di Pilihanraya Umum PRU 12 lalu kelihatan berjaya apabila PKR melalui calonnya ketika itu Dato Dr Zainal Abidin Ahmad berjaya memenangi hati serta pengundi melayu yang menguasai parlimen Hulu Selangor sehingga PKR berjaya merampas kerusi ini daripada MIC yang merupakan penyandang tiga kali berturut melalui G.Palanivel yang juga merupakan Timbalan Presiden MIC.

Pemilihan calon yang sesuai dengan keadaan semasa juga amat penting lebih-lebih lagi didalam isu politik semasa negara yang tidak pernah padam sejak PRU 12. UMNO dengan strateginya yang melihatkan komposisi pengundi melayu sebagai majoriti melihatkan ini adalah peluang terbaik untuknya melonjakkan parti UMNO sebagai juara dikalangan orang melayu, justeru itu dengan meletakkan calon daripada UMNO sahajalah mereka merasakan kerusi ini mampu dikembalikan semula kepada BN.

Disamping itu juga UMNO beranggapan rakyat tidak berapa suka dan seronok dengan MIC atau kemungkinan tidak berapa suka kepada calon MIC disebabkan rekod lalu, memungkinkan lagi betapa kuatnya desakan agar UMNO diberi peluang bertanding disitu.

MIC pula beranggapan sebagai satu komponen utama BN merasakan parlimen Hulu Selangor adalah hak dan kepunyaan MIC sejak dahulu lagi dan seharusnya perkiraan ini diambil kira sebagai asas kerjasama didalam BN. Walaupun dengan jumlah pengundi kaum india begitu kecil, ia tidak seharusnya dijadikan asas untuk ‘menyingkirkan’ MIC begitu sahaja tanpa mengambil kira peranan MIC sebelum ini kepada pembinaan negara Malaysia!

Walaupun apa alasannya oleh kedua pimpinan UMNO dan MIC ini, rakyat kini sudah boleh menilai dan mengetahui apa yang sedang berlaku sekarang didalam BN dan kita juga tahu rakyat kini semakin matang dan melihat bahawa parti yang berasaskan perkauman seperti UMNO, MCA dan MIC sesungguhnya tidak ‘relevan’ lagi dinegara kita yang telah merdeka hampir 53 tahun ini.

Sesungguhnya inilah perbezaannya mereka (UMNO, MCA & MIC) berbanding Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang jelas berbeza dari segi pendekatannya yang tidak berasaskan rasis perkauman sebagai modal politik didalam perjuangan membela nasib rakyat bawahan!



* Artikel ini dipetik dari blog http://ingeniur.blogspot.com

PENYERTAAN AHLI UMNO DALAM PERKASA BUKTI 1 MALAYSIA GIMIK POLITIK

Parti Islam Se-Malaysia (PAS) melihat penyertaan ahli-ahli Umno dan sokongan mereka terhadap -Pertubuhan Pribumi Perkasa (PERKASA) sebagai bukti jelas bahawa Umno tidak serius dalam gagasan 1 Malaysia.

Gagasan berkenaan hanyalah gimik politik bagi menarik kembali sokongan kaum-kaum bukan Melayu kepada Barisan Nasional, sedangkan dalam masa yang sama mereka menyertai dan menyokong Perkasa yang membangkitkan isu perkauman atas nama Melayu.

Sebelum ini, Kerajaan BN dan Umno berpakat mengharamkan pertubuhan Su Qiu dan Hindraf yang dikatakan pelampau Cina dan India yang menyemarakan semangat perkauman. Tetapi bila Perkasa wujud, mereka membelanya atas nama kebebasan bersuara. Di sini memperlihatkan ketidakadilan Umno dalam memberikan hak kepada semua kaum bagi menubuhkan pertubuhan. Malah Perkasa mendapat keistimewaan khas untuk menerbitkan Akhbar mereka sendiri, sedangkan media parti politik seperti Harakah dan Suara Keadilan menunggu bertahun-tahun untuk dapatkan permit.

PAS tidak menafikan hak Perkasa untuk berpersatuan atau mewujudkan organisasinya, tetapi pihak Kerajaan perlu adil dan Umno seharusnya menyatakan pendirian sebenar mereka dalam gagasan 1 Malaysia.

Pengakuan Ketua Pemuda Umno sebelum ini bahawa memang ada ahli Umno menyertai Perkasa membuktikan bahawa Umno sendiri merupakan parti perkauman.

Kehadiran Mukhriz dan Awang Adek dalam mesyuarat Agung Tahunan Perkasa baru-baru ini menunjukan pemimpin Umno memang tidak ikhlas dalam gagasan satu Malaysia dan menyokong Perkasa untuk menyemarakan kebencian antara kaum.

PAS melihat bahawa rakyat juga semakin sangsi dengan kedudukan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang dilihat gagal memberikan kefahaman kepada ahli Umno terhadap gagasan 1 Malaysia. Mungkinkah wujud penentangan terhadap Najib dan gagasannya itu sehingga membuatkan ahli dan pemimpin Umno secara terbuka menyokong Perkasa.

Pas berharap agar rakyat menyedari perkara ini dan bersatu menolak pelampau perkauman ini. Pas menyeru rakyat hidup bersatu padu dengan rasa muhibbah tanpa perlu melakukan apa-apa provokasi melampau.

Kaum bukan Melayu diseru menghormati hak-hak keistimewaan Melayu yang ditetapkan perlembagaan dan Kaum Melayu diharapkan tidak mendiskriminasikan kaum bukan Melayu. Kesefahaman dan tolak ansur menjadi kunci perpaduan rakyat selama ini dan ianya perlulah dikekalkan.

Gagasan 1 Malaysia tidak perlu jika organisasi perkauman atau parti politik perkauman wujud, kerana merekalah yang sering menyemarakan rasa benci, dendam dan amarah antara kaum dinegara ini.

Hatta di diakhirat juga nanti tidak ada atas nama bangsa, samaada Melayu, cina atau India yang dijamin masuk syurga. Semua manusia sama, yang membezakannya adalah ketaqwaan kepada Allah swt.


Ustaz Idris Ahmad,
Ketua Penerangan PAS Pusat
.


* Artikel ini dipetik dari http://www.harakahdaily.net

KRONI UMNO / BN SELEWENG WANG IHSAN PUNCA BANGUNAN RUNTUH

KUALA TERENGGANU 30 MAC 2010:

Pemberian wang ihsan antara faktor utama kejadian bangunan runtuh yang semakin menjadi di Terengganu kebelakangan ini disebabkan gejala rasuah berleluasa yang berlaku dengan penyalahgunaan wang tersebut.

Pengerusi Majlis Pimpinan KEADILAN Negeri Terengganu, Abdul Rahman Yusof berkata kejadian bangunan runtuh yang terjadi adalah akibat daripada penyelewengan spesifikasi dan ciri-ciri keselamatan yang diragui akibat amalan rasuah berhubung pengagihan wang ihsan kepada kroni Umno dan Barisan Nasional.

"Semua pembinaan di Terengganu yang dibuat sejak tahun 1999 melalui Jabatan Pembangunan Pusat yang mengunakan wang royalti yang dipanggil wang ihsan oleh kerajaan Umno-Barisan Nasional ini seharusnya disiasat.

"Kebanyakan projek pembangunan yang melalui JPP ini memerlukan siasatan terperinci kerana tidak melalui proses tender biasa dan diberikan kepada kroni-kroni Umno melalui proses rundingan terus atau 'direct negotiation'.

"Bangunan yang dibangunkan atas nama wang ihsan ini tidak mengikut spesifikasi dan piawaian yang ditetapkan dan mengancam nyawa orang ramai," tegas beliau semasa dihubungi Suara Keadilan.

Kejadian terbaru petang semalam mengakibatkan seorang buruh warga Bangladesh maut, manakala empat lagi rakannya cedera apabila para besi bagi pembinaan bangunan Institut Oseanografi dan Institut Akuakultur Universiti Malaysia Terengganu (UMT) runtuh.

Sebelum ini, bumbung Sekolah Menengah Ajil, bumbung stadium Sultan Mizan, bangunan stesen bas Kuala Berang dan bumbung masjid Kampung Puteh di Kemaman juga dilaporkan runtuh.

Selain itu, kolam renang yang pernah digunakan untuk Sukan Malaysia (Sukma) di Batu Burok pula dilaporkan bocor.

Dalam satu kenyataan hari ini Abdul Rahman juga berkata terlalu banyak kejadian keruntuhan dan kecacatan dalam pembangunan projek-projek di Terengganu yang mengancam keselamatan dan nyawa orang awam.

"Antaranya, keruntuhan Stadium Sultan Mizan di Gong Badak, keruntuhan kubah Masjid Kampung Puteh, keruntuhan Dewan Sekolah Menengah Wakaf Tapai, keruntuhan Terminal Pengangkutan Awam Kuala
Berang, kebocoran Pusat Akuatik Batu Burok, keretakan Pusat latihan Antarabangsa (ITC) yang menjadi fakulti Baru Kolej Universiti Institiut Teknikal Tinggi Terengganu (TATIUC), kebocoran siling Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Terengganu dan pelbagai lagi.

"Kejadian keruntuhan dan kecacatan ini berlaku bukan secara kebetulan tetapi akibat kecuaian di semua peringkat dari proses tender hingga kelulusan pembangunannya. Kejadian ini mengancam keselamatan dan nyawa orang awam. Projek prasarana ini akan digunakan ramai orang awam dan perlu penyelesaian segera sebelum lebih banyak nyawa akan terkorban," kata beliau.

Abdul Rahman menyeru kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Bebas bagi menyiasat semua pembangunan projek prasarana sejak 1999 kerana mutu dan spesifikasi pambangunannya menjadi
tandatanya.


* Artikel ini dipetik dari http://suara-keadilan.com

MALAYSIA ANTARA 10 NEGARA TERTINGGI AMBIL ARAK DIDUNIA

KUALA LUMPUR, 29 MAC 2010:

Biarpun mempunyai bilangan rakyat hampir 26 juta sahaja, namun Malaysia adalah antara 10 negara tertinggi dalam pengambilan arak di dunia, kata Ahli Parlimen Kota Raja, Dr Siti Mariah Mahmud (gambar).

Mendedahkan perkara itu di Dewan Rakyat lewat petang ini, beliau berkata, rakyat negara ini membelanjakan sebanyak USD500 juta iaitu lebih kurang RM1.75 bilion bagi pembelian minuman keras.

"Penjualan beer berkembang di antara 5 hingga 7 peratus setahun melebihi kadar pertumbuhan penduduk iaitu 2.4 peratus, manakala umur purata ketagihan arak ialah 23 tahun," dedahnya lagi sewaktu membahaskan Titah Yang di-Pertuan Agong.

Menurutnya, pengambilan alkohol di kalangan remaja khususnya di bawah umur 18 tahun semakin meningkat iaitu kira-kira 45 peratus, dan mereka mengambilnya secara berterusan.

Antara faktor peningkatan itu, jelasnya kerana mungkin arak jenis beer sangat mudah diperolehi di kedai-kedai.

Lebih membimbangkan apabila pendedahan arak dibuat di peringkat umur yang lebih awal.

Beliau sewaktu mengemukakan satu kajian, 19 peratus di kalangan pelajar sekolah menengah mengaku pernah meminum arak, manakala 1 peratus mengaku mengambilnya secara berterusan.

"Dalam satu kajian yang dilakukan ke atas pesakit yang dimasukkan ke hospital KL pada tahun 1993, 48 peratus daripada yang ditanya mengaku minum arak.

"Satu pertiga ketagih arak, 61 peratus adalah Cina, 60 peratus India dan 30 peratus Melayu,” katanya lagi.

Jelasnya lagi, kerajaan dilihat tidak memberi perhatian sewajarnya kepada isu ketagihan arak dan sering mengatakan ianya isu kaum India.

Arak juga jelasnya, dibuktikan bukan sahaja membahayakan kesihatan dan menyebabkan gejala sosial, namun kos rawatan penyakit disebabkan arak juga lebih tinggi berbanding pendapatan penjualannya.

"Negara kita dalam fasa lima mengaku bahawa Islama adalah agama Persekutuan, apakah menyebabkan dadah kita panggil najis dan sekiranya didapati mengedar dadah boleh dihukum gantung sampai mati.

"Tapi minuman keras, nikotin pada rokok, diberi layanan yang lain dan boleh didapati dengan berleluasa. Atas alasan apakah minuman keras tidak dimasukkan sekali dalam akta dadah merbahaya sedangkan kesannya atas kehidupan rakyat begitu meluas sekali," soalnya lagi.

Trend di Asia, katanya menunjukkan peningkatan ketara setiap tahun berbanding trend di negara Eropah yang semakin menunjukkan penurunan akibat kempen mereka yang agresif.

Peningkatan di negara ini juga, jelasnya akibat undang-undang terlalu longgar seperti Akta Aksais Seksyen 32 (1)(a) dan (b) mengecualikan penjualan todi dan beer dalam tin dan botol.

"Apabila saya menang di Kota Raja, saya didatangi sekumpulan India dari golongan pertengahan dan rendah.

"Mereka meminta tolong saya supaya memastikan arak dan todi tidak dijual secara mudah di kedai-kedai runcit," katanya.

Mengulas lanjut beliau berkata, arak dan todi di kedai-kedai runcit pada waktu ini boleh diperolehi dalam plastik dengan harga RM2 atau RM3.


* Artikel ini dipetik dari http://www.harakahdaily.net