Thursday, February 26, 2009

CAKAP KITA (UMNO) KINI RETORIK! - MUKHRIZ

Calon Ketua Pemuda Umno, Dato Mukhriz Tun Mahathir


Dalam program Hujah rancangan terbitan TV 9 telah menyiarkan pandangan oleh Dato Mukhriz Tun Mahathir yang telah mengiyakan apa yang dikatakan oleh rakyat selama ini terutamanya orang melayu terhadap UMNO adalah benar.

Dalam program tersebut, Mukhriz yang juga salah seorang calon Ketua Pemuda Umno Malaysia pada pemiliha Umno Mac nanti telah mengakui betapa umno kini tidak lagi dipandang tinggi bukan sahaja oleh kaum lain di negara ini malahan kepada masyarakat melayu sendiri bahawa Umno sebagai sebuah parti pembela kepada Islam, Bahasa Melayu Institusi Raja Melayu dan berbagai lagi.

Perjuangan yang dibawa oleh Umno kononnya untuk agama, bangsa dan negara adalah bohong belaka dan dianggap sebagai hanya mainan dibibir sahaja terutamanya ketika menghadapi pilihanraya. Sebagaimana yang terpacul dari mulut beliau sendiri jelas apa yang diperkatakan oleh beliau sememangnya benar belaka;

"Kita sudah menyimpang dari perjuangan untuk agama, bangsa dan tanahair. Rakyat tidak melihat kita benar-benar berpegang kepada perjuangan kita. Segala ucapan kita sudah menjadi retorik dan orang mengatakan kita sememangnya retorik serta tidak lagi mengamalkan apa yang kita kata"

Mukhriz yang kita akui sememangnya seorang yang vokal pada setiap kata-katanya tanpa rasa gentar atau berselindung telah melahirkan kata-kata itu. Sememangnya sejak akhir 80an Umno telah mula berubah apabila berbagai anasir-anasir yang tidak sihat mula melanda parti itu.

Kewujudan politik wang didalam parti itu terutamanya diawal 90an sehingga kini sudah menjadi semakin berleluasa tanpa kawalan. Akibatnya, pembinaan terhadap kemajuan bangsa melayu serta bumiputra yang lain semakin ditinggalkan kerana ahli-ahli umno kini menjadikan parti itu sebagai tempat memunggah kekayaan serta kesenangan peribadi.

Apa yang berlaku terhada agama Islam yang kini semakin kurang penghayatannya ini adalah jelas kesan yang dibawa oleh umno itu sendiri. Kurangnya majlis ilmu serta lebih mementingkan duniawi dengan pelbagai program yang mengasyikkan di TV-TV juga telah menjadikan masyarakat yang peka terhadap agama Islam semakin menjarakkan diri dengan umno.

Kesombongan serta keangkuhan umno didalam isu bahasa melayu sejak 6 tahun dulu sehingga kini merupakan kesan yang semakin dirasai oleh orang melayu kini. Dengan perlaksanaan PPSMI yang telah memasuki tahun ke 6 kini di sekolah-sekolah lagi sekali jelas menunjukkan umno sesungguhnya sombong didalam hal ini.

Yang pasti orang melayu serta bumiputra kini semakin terhimpit akibat dasar-dasar yang terus tidak konsisten yang dibuat oleh umno. Sesungguhnya apa yang diperkatakan oleh Mukhriz itu adalah benar belaka...."cakap kita (umno) retorik belaka"! Sesungguhnya orang melayu kini banyak tergadai dek perbuatan Umno....



Dipetik daripada blog http://ingeniur.blogspot.com

No comments: