Saturday, February 21, 2009

TIADA BEZA NAMA BPR ATAU SPRM

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Dato' Ahmad Said Hamdan

YAB, Tan Sri Khalid Ibrahim, MB Selangor

Salam pada semua,

Apa lagi yang boleh diharapkan kepada penguatkuasaan pencegahan rasuah dinegara ini walaupun ianya telah bertukar nama daripada Badan Pencegah Rasuah (BPR) kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)?
Dengan isu terbaru yang dibangkitkan oleh pihak SPRM berkaitan penyalahgunaan kuasa oleh MB Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim tentang isu lembu korban serta wang penyelenggaraan kenderaan Lexus beliau telah membangkitkan sekali persoalan tentang ketelusan pihak terbabit.

Kenyataan yang dibuat oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Ahmad Said Hamdan dalam Utusan Malaysia hari ini dengan berkata; "Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim akan didakwa berhubung tuduhan beliau telah menyalahguna kuasanya dalam pembelian lembu korban dan penyelenggaran kereta peribadinya. Pihak SPRM telah mempunyai segala bukti tentang kes ini.kertas siasatan sudah siap dan akan dikemukakan kepada Pejabat Peguam Negara tidak lama lagi".

Kes ini pada asalnya telah dibangkitkan oleh Pengerusi GERAK, Mohd Nazree Mohd Yunus telah dijadikan asas untuk pendakwaan apabila Pengerusi GERAK ini membuat laporan kepada SPRM. Adakah mainan media milik BN yang turut memperbesarkan lagi isu ini dengan bantuan mantan MB Selangor yang lalu, Dr Khir Toyo boleh dijadikan asas pendakwaan yang kukuh untuk mendakwa kes ini?

Kalau ini dijadikan sandaran SPRM, apakah beribu-ribu kes yang dilaporkan kepada pihak yang terlibat sejak 10 tahun lalu dengan segala bukti yang cukup kemas dan lengkap tidak boleh turut didakwa sama kepada mereka yang terlibat?

Pengalaman beberapa orang bekas aktivis anti rasuah ini seperti Sdr Ezam yang suatu ketika dahulu pernah memimpin pemuda Keadilan serta yang lain telah jelas mempunyai bukti yang lengkap terhadap beberapa individu yang berprofil tinggi seperti Tan Sri Rafidah Aziz, Tan Sri Annuar Musa malahan juga terhadap bekas MB Selangor, Dr Khir Toyo sendiri turut 'gagal' untuk menarik minat BPR/SPRM untuk bertindak terhadap meraka ini.

Apakah tidak cukup bukti lagi atau pun dihalang oleh tangan-tangan ghaib bagi pendakwaan ini dapat dilakukan? Ini semua jelas dan mengesahkan kepada kita semua sebagai rakyat bahawa dasar pendakwaan terpilih tetap diteruskan hingga kini walaupun BPR telah bertukar nama kepada SPRM yang kononnya telah mengikut model dan contoh badan penguatkuasaan rasuah di Hong Kong yang diketahui umum antara Suruhanjaya pencegahaan rasuah yang terhebat di dunia.

Kerajaan BN boleh mendakwa kepada seluruh alam semesta ini bahawa SPRM bebas, tidak terikat dengan BN apatah lagi mempengaruhi SPRM untuk menjalankan tugas, tetapi apa yang berlaku hari ini, rakyat sudah boleh menilainya. Jaja lah pada sesiapapun, tetapi mata kita tetap celik untuk melihat apa yang berlaku.

Kalau setakat mengikut model dan menukar nama sahaja tetapi masih ditakuk lama tahap pencegahaannya, itu tidak memadai. Kehairanan ini turut bertambah apabila kes yang melibat Tan Sri Khalid Ibrahim ini turut melibatkan Peguam Negara (AG) apabila kertas siasatan yang didakwa sudah siap turut dikemukakan kepada AG. Ketika ditanya oleh akhbar kenapa kertas siasatan tetap dan masih diserahkan kepada AG? Jawapan yang diberikan oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Ahmad Said Hamdan amat dangkal; "Kita mahu siasatan ini ada keadilan. Bukan hanya SPRM yang menilainya, malahan AG pun berpeluang melihatnya".

Menjadi kehairanan kita, kenapa SPRM yang telah diberikan kuasa untuk mendakwa sendiri tanpa melibatkan AG telah turut melibatkan lagi AG didalam kes yang melibat MB Selangor ini? Apakah ini hanyalah salah satu daripada agenda terbaru Umno terutamanya untuk melibatkan SPRM didalam usaha menjatuhkan kepimpinan Pakatan Rakyat di Selangor? Sama-samalah kita menilainya...
Dipetik dari blog htt://ingeniur.blogspot.com

No comments: