Peranan yang dimainkan oleh media sememangnya amat berkesan tidak kiralah samada melalui media cetak atau pun media elektronik. Dengan media cetak biasanya lebih tertumpu kepada akhbar dan majalah manakala media elektronik pula lebih kepada radio & TV disamping media alternatif era kini iaitu internet.
Secara peribadi pada pandangan saya selain TV dan radio, media cetak seperti akhbar-akhbar lagi lebih berkesan terutamanya kepada masyarakat desa dan luar Bandar apatah lagi didalam keadaan mereka yang masih tidak berkesempatan untuk menguasai media alternatif terkini seperti internet.
Kenapa saya berkata sedemikian? Kalau kita merujuk sejak akhir-akhir ini sesungguhnya peranan yang dimainkan oleh sesetengah akhbar milik pemerintah cukup berkesan untuk menyampaikan maklumat walaupun secara terang-terangan berita yang disiarkan adalah ‘tidak benar’ dan lebih kepada ‘dakyah palsu’ bagi mengembar-gemburkan isu yang pada pandangan kita cuma isu kecil yang boleh diselesaikan secara dalaman.
Sejak selepas PRU 12 2008 lalu, apabila lima negeri Selangor, Perak, Pulau Pinang, Kedah di samping Kelantan yang sedia ada di menangi dan di perintah oleh parti gabungan pembangkang Pakatan Rakyat, akhbar-akhbar ini begitu ‘rajin’ serta ‘cukup suka’ untuk menjadikan pemerintahan Pakatan Rakyat (PR) di kelima-lima negeri ini sebagai tempat untuk ‘menembak dan menyerang’ dengan mencari salah walaupun perkara itu hanya kecil sahaja.
Bermula dengan negeri Perak di peringkat awal pembentukan kerajaan Negeri kemudian disusuli Pulau Pinang, seterusnya Selangor dan Kedah disamping Kelantan (walaupun Kelantan sudah lali dengan serangan media sejak 1990 lagi), ‘serangannya’ dan ‘perbuatan’ yang tidak bertamadun sebagai pengamal media ini terus berterusan yang sehingga akhirnya kerajaan negeri Perak ‘jatuh’ secara tidak demokratik akibat mainan media seperti ini yang menyerang kerajaan Perak pimpinan PR setiap masa tanpa henti!
Dalam kes Perak, berbagai isu seperti kononnya isu melayu hilang kuasa di negeri tersebut, isu‘penderhakaan’ kepada Raja, isu geran tanah, isu bantuan ke sekolah serta isu kononnya ‘Menteri Besar DS Nizar Jamaluddin’ di perkudakan oleh DAP serta berbagai isu lain lagi yang di ‘diperkatakan’ di Perak sebagaimana yang dimainkan oleh akhbar ini maka akhirnya rakyat pun terutama kepada golongan tua dan veteran serta masyarakat desa dan luar Bandar turut percaya dan terpengaruh walaupun tidak semuanya!
Peranan akhbar pada era sebelum merdeka terutamanya diantara tahun 1930an – 1950an cukup besar dan amat berkesan terutamanya untuk membangkitkan semangat nasionalisme serta semangat anti kepada penjajah British pada ketika itu. Oleh kerana keberkesanan membangkitkan semangat menentang penjajahlah, beberapa akhbar dizaman tersebut telah diharamkan oleh British bagi membendung daripada orang melayu terutamanya di kampung dan desa daripada turut serta menentang penjajah!
Mungkin belajar daripada pengalaman itulah kerajaan tahu dan amat arif sekali dengan peranan yang dimainkan oleh media seperti akhbar ini cukup besar. Sebab itulah dengan bantuan seperti akhbar-akhbar ini maka sedikit sebanyak kesan daripada ‘dakyah’ yang tidak benar ini tetap disebarkan untuk bacaan dan tatapan umum rakyat Malaysia walaupun nilai berita yang dituliskan itu sama ‘standard’nya seperti sampah kerana penuh dengan fitnah, penipuan dan provokasi!
Bagi akhbar seperti ini, nilai berita itu tidak lagi penting walaupun ianya lebih berbentuk fitnah ataupun penipuan. Bagi mereka yang penting adalah akhbar ini laku dan laris di pasaran walaupun segala berita yang sensasikan ini hanyalah berbentuk kepada propaganda sahaja.
Terkini sebagai contoh, isu kononnya Dato’ Husam Musa Exco kanan kerajaan Kelantan akan meletakkan jawatannya samada sebagai exco serta jawatan politiknya selaku Timbalan Pesuruhjaya II PAS Kelantan. Sejak 2,3 hari ini, akhbar-akbar seperti ini cukup ‘berjasa’ kepada pemerintah kerana secara terus menerusnya menyerang serta menyebarkan berita kononnya ada pergolakan yang besar diantara TG Nik Aziz Nik Mat MB Kelantan serta Husam Musa sendiri akibat isu seperti menantu TG Nik Aziz, Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PBMK) dan juga isu tajaan menunaikan haji.
Sebenarnya apa yang diperkatakan didalam akhbar seperti ini hanyalah lanjutan daripada ‘siri serangan’ terbaru terhadap negeri-negeri Pakatan Rakyat. Kalau kita perhatikan akhbar ini lebih menjadikan isu dalaman yang kecil ini sebagai modal mereka bagi melariskan akhbar.
Percayalah, siri serangan terhadap pemerintahan kerajaan negeri-negeri PR tidak akan habis dan berhenti di sini sahaja sehinggalah meraka berjaya ‘meruntuhkan’ atau menimbulkan 'suasana tidak stabil' pada sesebuah kerajaan negeri pimpinan Pakatan Rakyat!
Cuba kita lihat Perak kini, kalau dahulu siang malam akhbar-akhbar ini memainkan peranan dengan menyiarkan segala 'keburukan' yang dibuat oleh pemimpin-pemimpin PR Perak tetapi kini lihatlah, sudah tiada langsung serangan-serangan sebagaimana yang dilakukan oleh akhbar –akhbar ini sebagaimana sebelum ‘kejatuhan’ kerajaan pimpinan PR kepada Barisan Nasional (BN)!
Apakah ini nilai dan standard akhbar-akhbar kita di Malaysia? Kenapa isu yang lagi penting seperti penyalahgunaan kuasa, rasuah, salah guna wang rakyat dan sebagainya oleh pemimpin-pemimpin BN langsung tidak dijadikan isu utama pada akhbar-akhbar mereka? Kalau ada pun hanyalah berita kecil atau di letakkan di halaman dalam bukan sebagaimana isu Husam Musa sebagai tajuk berita utama akhbar tersebut!
Apakah rakyat negara ini akan terus di 'hiburkan' dengan berita-berita sensasi berbentuk sampah ini? Sama-samalah kita fikirkan jangan sampai rakyat negara ini serta orang luar menilai akhbar kita pada standard cap ayam sahaja...
* Artikel ini dipetik dari blog 'Raikan Hasrat Anda' di http://ingeniur.blogspot.com
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment