Monday, November 30, 2009

TIDAK HADIR BTN, HILANGKAH JATI DIRI KITA PADA NEGARA?

Membaca dan meneliti berbagai pandangan daripada pemimpin-pemimpin politik Umno / BN dan juga NGO yang menyebelahi Umno / BN hari ini terhadap keputusan Kerajaan Negeri Selangor mengharamkan kursus Biro Tata Negara (BTN) seolah-olah memperlihatkan tanpa BTN ini kakitangan kerajaan atau pelajar-pelajar di negeri tersebut menjadi 'dungu' 'hilang pertimbangan' atau 'tiada jati diri' kepada negara?

Hampir kesemua pemimpin ini menghuraikan akan kepentingan BTN dan dalam masa yang sama menafikan sama sekali dakwaan kerajaan Selangor bahawa Modul BTN ini lebih kepada proses doktrinisasi menyebarkan pemikiran perkauman, membenci pembangkang serta mengapi-apikan kebencian antara kaum.

Selaku bekas pelajar Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) era 90an suatu ketika dahulu pengalaman menyertai kursus BTN ini amatlah 'menyeronokkan' kita apatah lagi di saat itu masih mentah lebih-lebih lagi pada politik.

Tiada apa yang hendak dibanggakan sangat dengan BTN ini selain dijadikan tempat untuk memainkan 'perasaan' kita sebagai orang melayu apabila diasak dengan berbagai ceramah atau taklimat seperti 'sesi membasuh otak' (Brain Washed).

Masih teringat bagaimana hampir setiap malam kami dihidangkan dengan nyanyian (turut menyanyi sama) 'Anak Kecil Main Api' yang di akhir nyanyian tersebut di beri kefahaman tentang 'makna' di sebalik lirik lagu tersebut.

Hampir setiap kali ceramah diadakan, tumpuan pada kandungan ceramah itu banyak menekankan kepada kebencian kepada pembangkang dan parti politik yang tidak sehaluan dengan kerajaan disamping menaikkan semangat akan kebimbangan melayu terhadap kemungkinan 'hilangnya'tanah air kita kepada kaum lain!

Pada pandangan saya mungkin modul kursus BTN era 90an itu terpaksa disesuaikan dengan era dan suasana negara ketika itu kerana begitu banyak modulnya lebih menekankan penyampaiannya dengan membangkit soal kuasa melayu kita serta 'keburukan pembangkang' pada kerajaan.

Tetapi rupanya silap! Memasuki era tahun 2000 bentuk penyampaian dan modul BTN itu bukan sekadar sama dengan era 90an malahan cara penyampaiannya lagi agresif dan lebih menghentam kepada keperibadiaan seseorang.

Kenapa saya berkata sedemikian? Pengalaman saudara mara yang berkesempatan hadir pada kursus BTN terutama setahun dua kebelakangan ini memberitahu begitu terkejut apabila kursus BTN ini masih dijadikan tempat untuk menghentam pembangkang serta agendanya tetap serupa seperti dahulu walaupun mungkin kaedahnya sahaja sudah berubah.

Dengan cara penyampaiannya begitu bersemangat dan agresif yang kadang kala 'terlepas' juga penyampaian berbentuk 'serangan' ke arah peribadi seseorang (pembangkang), di samping itu diberitahu juga pada sesetengah modul tertentu BTN ini langsung tidak dibekalkan nota atau risalah modul untuk dijadikan sebagai bahan rujukan oleh setiap peserta tetapi hanya diarahkan mendengar sahaja taklimat atau pembentangan modul ini.

Aneh bukan? Pengalaman berkursus atau berseminar dimana-mana pun, setiap kali modul atau kertas kerja baru dibentangkan, para peserta kursus sudah pasti di bekalkan fail serta nota dan peralatan kursus untuk digunakan dan malahan juga dibenarkan untuk disimpan serta dibawa pulang, tetapi ini tidak terjadi kepada sesetengah modul BTN.

Sebab itu apabila kerajaan Selangor membuat keputusan menghalang kakitangan kerajaan atau pelajar dibawah kelolaan negeri ini daripada mengikuti kursus BTN ini, ianya bukanlah sesuatu yang mengejutkan demi 'menjaga' minda dan pemikiran mereka semua daripada di 'cuci' dengan perkara yang tidak sepatutnya.

Secara peribadi, tiada guna juga kalau berpuluh kali pun hadir ke kursus BTN dan beratus kali jugalah kita 'insaf' dan 'menangis' kononnya akan kebimbangan kita terhadap nasib orang melayu dan tanah orang melayu di bumi bertuah ini tetapi didalam masa yang sama juga semua orang tahu betapa banyaknya kini tanah milik melayu kita telah tergadai ke bangsa lain dek kerana siapa...


* Artikel ini dipetik dari blog Ingeniur De' Raikan Hasrat Anda di http://ingeniur.blogspot.com

No comments: