GEORGE TOWN: Kaum wanita akan mencatatkan satu lagi sejarah di negara ini apabila Setiausaha Majlis Perbandaran Pulau Pinang, Patahiyah Ismail dilantik untuk memangku jawatan Yang Dipertua majlis itu berkuatkuasa Isnin depan.
Beliau akan mencatat sejarah sebagai wanita pertama di negara ini untuk menerajui sebuah pihak berkuasa tempatan.
Pengumuman mengenai pelantikan itu dibuat oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng di sini Jumaat. Beliau berkata, Patahiyah akan memulakan tugas barunya itu Isnin depan.
Patahiyah akan mengantikan Yang Dipertua sekarang, Tan Cheng Chui, 54, yang memutuskan untuk bersara awal atas sebab kesihatan.
“Dari segi peraturan dan undang-undang, Tan masih lagu memegang jawatan Yang Dipertua MPPP sehingga tempoh perkhidmatannya tamat 1 Mac tahun depan. Dan saya telah dimaklumkan bahawa seorang pemangku hanya boleh dilantik sekiranya berlaku kekosongan pada jawatan tersebut.
“Tetapi kekosongan itu tidak wujud kerana Tan sedang bercuti tetapi sementara Tan sedang menghabiskan cutinya, kita memerlukan seorang pegawai untuk menerajui MPPP dan melaksanakan tugas-tugas seorang Yang Dipertua,” kata Lim pada sidang akhbar tersebut.
Katanya soalnya ialah kerajaan negeri tidak mahu aktiviti majlis tergendala.
"Oleh yang demikian saya telah mencadangkan agar Patahiyah terus mengambilalih tugas-tugas seorang Yang Dipertua dan cadangan ini dipersetujui oleh Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri,” tambah Lim.
Dengan itu katanya, Patahiyah akan mengangkat sumpah sebagai anggota ahli majlis Isnin ini untuk membolehkan beliau mengambil alih semua tugas Yang Dipertua majlis dan ini termasuklah mempengerusikan mesyuarat penuh MPPP.
Lim berkata, pelantikan rasmi mana-mana calon ke jawatan itu hanya boleh dilakukan Mac depan apabila Tan bersara wajib.
“Sudah tentulah Patahiyah akan menjadi salah seorang calon yang akan dipertimbangkan ke jawatan itu secara rasmi dan peluang ini perlu beliau gunakan untuk membuktikan yang beliau boleh dan mampu menerajui sebuah kerajaan tempatan,” jelas ketua menteri itu lagi.
Patahiyah mengambilalih jawatan setiausaha majlis pada Jun lalu selepas Tan, yang sebelum itu menyandang jawatan setiausaha dilantik sebagai Yang Dipertua.
Patahiyah menyertai MPPP sebagai seorang arkitek di Jabatan Bangunan pada tahun 1985.
Sumber: Warta Kerajaan
>* Artikel ini di petik dari blog tranung kite, http://www.tranungkite.net/v10
Saturday, November 21, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment