Monday, January 18, 2010

KONVENSYEN PKR PAHANG 2010, AZAM MENAWAN PAHANG TELAH BERMULA!





Antara gambar-gambar ketika Konvensyen PKR Pahang yang diadakan semalam di Dewan Tanjung, Kuantan, Pahang Darul Makmur.

BANDAR BERA 18 JANUARI 2010 / ISNIN:

Konvensyen Parti Keadilan Rakyat (PKR) peringkat negeri Pahang yang diadakan di Dewan Tanjung, Kuantan semalam telah berjaya menghimpunkan hampir 1000 perwakilan yang hadir dari segenap cabang seluruh negeri Pahang semalam.

Konvensyen sehari suntuk tersebut dimulai pada jam 9.00 pagi dengan pembentangan kertas kerja oleh YB Saifuddin Nasution, YB Yaakob Sapari, Sdr Shamsul Iskandar (AMK) serta YB Zuraidah (Wanita) yang akhirnya boleh dirumuskan telah meninggalkan kesan yang cukup besar kepada semua perwakilan semalam.

PKR cabang Bera telah dihadiri oleh 18 perwakilan dengan enam orang daripadanya merupakan perwakilan daripada kaum asal di Bera. Antara perwakilan Bera yang menyertai konvensyen tersebut semalam ialah Hj Abas sendiri selaku ketua delegasi Bera, Sdr Amir, Sdr Rizan, Sdr Malik, Sdr Sarawanan, Hj Hamzah, Sdr Bob Manolan, Sdr Jemadi, Sdr Romani, Sdr Zanizan, Sdr Shakri, Sdr Ridzuan serta beberapa orang lagi perwakilan lain.

Sebanyak tiga kertas kerja telah dibentangkan semalam dengan upacara perasmian penutupnya telah dilakukan oleh Ketua Umum PKR, Dato Seri Anwar Ibrahim yang seterusnya turut hadir untuk majlis makan malam PKR Pahang yang turut terjual hampir 100 meja dan di akhiri dengan ceramah DSAI di Dataran Rakyat, Pejabat PKR negeri Pahang di Beserah, Kuantan.

Konvensyen PKR ini merupakan konvensyen terakhir antara negeri-negeri sempena 10 tahun penubuhan PKR semenjak 04.04.1999 dan merupakan antara lima konvensyen PKR negeri yang terbaik selepas Selangor, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Pahang yang merupakan satu-satunya negeri yang bukan dibawah Pakatan Rakyat (PR).

Konvensyen ini merupakan satu amaran kepada BN bahawa ianya merupakan signal yang jelas bahawa kita serius untuk mengambil alih pemerintahan negri Pahang pada PRU 13 nanti, Insya Allah

Friday, January 15, 2010

SEMBANG BERSAMA PIMPINAN PKR BERA






Bandar Bera, Jumaat @ 15 Januari 2010:

Memasuki tahun baru 2010 ini, pimpinan Parti Keadilan Rakyat Cabang Bera telah memulakan siri 'Sembang Bersama Pimpinan PKR Bera' di kedai-kedai atau restoran-restoran serta gerai yang terpilih bertujuan mendekatkan lagi pimpinan PKR dengan masyarakat setempat di Bera.

Program yang diperkenalkan ini juga sedikit sebanyak telah menyebabkan orang ralai semakin mendekati parti kita ini dan seterusnya diharapkan mampu mengubahkan minda masyarakat terhadap kemampuan PKR itu sendiri terutamanya untuk berkhidmat kepada rakyat.

Sempena program yang julung kali ini diadakan beberapa pemimpin PKR Bera telah bersama masyarakat setempat untuk beramah mesra. Program ini yang disertai oleh Tn Hj Abas Awang selaku Ketua Cabang Bera turut dihadiri oleh Sdr Hamzah Bawa (Timbalan), Sdr Amir dan Cikgu Malik Saleh (Naib-naib), Sdr Rizan serta juga Tn Hj Hamzah Ibrahim bersama beberapa pimpinan AMK Bera.

Diharapkan program yang diadakan buat pertama kali ini mampu merapatkan lagi hubungan diantara parti kita dengan masyarakat setempat khususnya di Bera ini.

Monday, January 11, 2010

DR. SYED HUSIN ALI - SAYA TIDAK LETAK JAWATAN!

KUALA LUMPUR, 11 Jan: Timbalan Presiden Parti keadilan Rakyat (PKR), Dr Syed Husin Ali menafikan laporan sebuah portal berita yang mendakwa beliau telah meletakkan jawatan.

Dalam satu kenyataan beliau memberitahu, laporan yang disiar dalam laman The Malaysian Insider itu yang menggunakan tajuk sensasi telah memberikan kesimpulan berbeza terhadap masyarakat.

"Saya ingin menegaskan bahawa saya tidak meletak jawatan atau menghantar sebarang notis untuk meletak jawatan," katanya.

Menurutnya, beliau mengakui menunjukkan sikap ingin berundur secara perlahan-lahan bagi memberi ruang kepada orang lebih muda mengambil alih tempat beliau.

Pepimpin tertinggi PKR juga jelasnya mengetahui akan hasratnya itu dan beliau tidak pernah memberikan tempoh masa yang jelas berhubung perkara tersebut.

Namun apa yang lebih dikesalkan, perlantikan beliau sebagai senator dituduh sebagai cubaan memberikan laluan kepada orang yang telah berjasa kepadanya memegang jawatan Timbalan Presiden PKR.

"Rupa-rupanya, ketika nama saya diterima sebagai Senator, sewaktu saya berada di Mekah untuk menunaikan Haji, terdapat usaha untuk memutar belit cerita bahawa jawatan senator tersebut hasil daripada persetujuan bahawa saya mengundurkan diri sebagai Timbalan Presiden KEADILAN untuk membuka jalan kepada orang yang telah menjayakan saya".

"Satu atau dua akhbar melaporkannya bahkan menamakan individu tersebut,"
jelasnya.

Laporan The Malaysian Insider hari ini menyebut Dr Syed Husin Ali mahu mengundurkan diri kononnya mahu mewujudkan perlawanan sengit menjelang pemilihan parti itu pertengahan tahun ini.

Selain itu, hasrat Syed Husin itu juga lapor web itu kerana mahu melihat perubahan barisan kepimpinan uatam parti menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 nanti.

Ekoran laporan tersebut, beliau telahpun mengarahkan pegumnya untuk meneliti perkara tersebut kerana didakwa terdapat unsur mahu mencemarkan nama baik beliau.


* Artikel ini dipetik dari http://www.harakahdaily.net/v2

JANJI SAIFUDDIN : BELIAU AKAN TERUSKAN PENTADBIRAN SALEHUDDIN

PETALING JAYA: Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang baru, Saifuddin Nasution Ismail menyifatkan pelantikannya menggantikan Datuk Salehuddin Hashim yang mengumumkan peletakkan jawatannya kelmarin sebagai penyambung tugas dalam meneruskan perjuangan parti itu.

Saifuddin yang akan memulakan tugasnya pada 1 Febuari depan memberitahu, pelantikan tersebut adalah sebagai satu tanggungjawab untuk mengekalkan sistem yang ada dan memantapkan lagi perjuangan parti itu.

"Saya bersyukur dengan pelantikan ini dan Datuk Salehuddin telah tinggalkan sistem yang baik dan saya akan meneruskan sistem yang ada," katanya ketika dihubungi mStar Online di sini hari ini.

Beliau turut memberitahu akan menggunakan pengalaman lebih 20 tahun dalam dunia politik dan berjanji akan memantapkan organisasi parti sebaik mungkin.

"Insya-Allah, pengalaman selama 20 tahun dalam dunia politik akan saya gunakan sebaiknya dan perkara yang akan menjadi fokus saya adalah memantapkan organisasi parti," katanya.

Tambahnya lagi, fokus terhadap masalah rakyat juga akan menjadi keutamaannya lebih-lebih lagi di kawasan jajahan PKR dan bersedia dalam membantu persiapan jentera parti dalam pilihanraya ke-13 akan datang.

"Masalah rakyat turut menjadi perhatian saya dan kita ada dua tahun sahaja lagi untuk mempersiapkan diri bagi menghadapi pilihanraya. Jadi dari sekarang kita kena bersedia," ujarnya.

Ditanya apakah beliau akan bertemu dengan Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, untuk mendapatkan nasihat, Saifuddin berkata, beliau belum lagi berpeluang untuk berjumpa dengan Anwar.

"Setakat ini saya belum lagi duduk dan berbincang dengan Datuk Seri (Anwar) mengenai tugas saya kerana Datuk Salehuddin masih lagi bertugas sehingga akhir bulan ini.
Insya-Allah selepas ini saya akan berbincang lanjut dengan beliau mengenai tugas baru saya,"
katanya.

Ini adalah kali kedua Saifuddin dilantik untuk menguruskan jentera sebuah organisasi politik. Pada tahun 1997, beliau pernah dilantik menjadi setiausaha agung Pergerakan Pemuda Umno Malaysia di bawah pimpinan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Saifuddin memegang jawatan itu sehinggalah reformasi meletus dan Zahid melepaskan jawatan ketua pemuda Umno Malaysia. Saifuddin pula menyertai Anwar dalam gerakan reformasi sehinggalah Keadilan terbentuk beberapa tahun kemudian dan menjadi sebahagian daripada pengasas parti itu.

Sementara itu, Ahli Parlimen Kepong, Tan Seng Giaw ketika dihubungi mStar Online menyifatkan pelantikan sasifuddin sebagai Setiausaha Agung PKR sebagai pilihan tepat dan bijak oleh PKR.

"Beliau seorang yang baik dan mesra dengan orang ramai, pemilihannya sebagai Setiausaha Agung amat sesuai," katanya.

Parti Keadilan Rakyat (PKR) semalam melantik Ahli Parlimen Machang itu sebagai Setiausaha Agung parti yang baru bagi menggantikan Datuk Salehuddin Hashim yang meletakkan jawatannya baru-baru ini.

Mesyuarat biro politik PKR malam tadi turut membuat keputusan untuk menerima notis peletakan jawatan Salehuddin.

Khamis lalu, Salehuddin telah menghantar notis peletakan jawatan dan meminta Majlis Pimpinan Tertinggi parti itu menghormati keputusannya.
Salehudddin yang mengambil alih jawatan tersebut daripada Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim pada Mac 2008, bagaimanapun kekal sebagai anggota biasa parti itu.

Beliau mula menyertai PKR pada 2004 sebagai setiausaha pengelola sebelum dilantik menjadi setiausaha agung.


* Dipetik dari mStar Online

SAIFUDDIN NASUTION DILANTIK SETIAUSAHA AGUNG PKR BARU


KUALA LUMPUR, 10 Jan: Ahli Parlimen Machang, Saifuddin Nasution Ismail telah dilantik sebagai Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi menggantikan Datuk Salehuddin Hashim.

Presiden PKR, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, perlantikan Saifuddin telah diterima dalam Mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat parti, semalam.

Katanya, pada mesyuarat itu, antara perkara lain yang dibincangkan ialah isu perletakan jawatan setiausaha agung, Datuk Salehuddin Hashim.

“Dengan berat hati, kami menghormati keputusan beliau dan menerima perletakan jawatannya mulai 31 Januari 2010,” ujarnya dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily, hari ini.

Bagi pihak parti, beliau mengucapkan ribuan terima kasih kepada Salehuddin atas perkhidmatan cemerlang beliau sebagai setiausaha agung sejak April 2008 dan juga sebagai setiausaha pengelola dari tahun 2004 hingga 2008.

“Memandangkan masa peralihan yang pendek serta tugas-tugas penting yang perlu dijalankan segera, saya telah melantik Saifuddin Nasution sebagai setiausaha agung baru dan perlantikan beliau telah diterima Majlis Pimpinan Pusat semalam,” katanya.



* Dipetik dari http://www.harakahdaily.net/v2

Friday, January 8, 2010

KENYATAAN AKHBAR PIMPINAN TERTINGGI PAKATAN RAKYAT - ISU SERANGAN KE ATAS GEREJA

KUALA LUMPUR, 8 Jan: Pakatan Rakyat mengutuk keras tindakan pihak-pihak tertentu yang menyerang tiga gereja di sekitar Lembah Klang awal pagi tadi.

Demikian kenyataan pemimpin tertinggi Pakatan yang dikeluarkan petang ini. Kenyataan itu ditandatangani oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim, Lim Guan Eng dan Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Berikut adalah kenyataan penuh yang dikeluarkan oleh Pakatan.

KENYATAAN AKHBAR PIMPINAN TERTINGGI PAKATAN RAKYAT

8 JANUARI 2010


Kami mengutuk tindakan pihak tertentu yang menyerang 3 gereja di sekitar Lembah Klang awal pagi tadi. Serangan tersebut adalah satu perbuatan yang dikecam semua agama dan peradaban.

Perbuatan seperti itu tiada tempat dalam mana-mana negara pun di atas dunia ini. Kami percaya ianya berpunca dari politik amarah yang sempit, ditambah dengan unsur provokasi jahat yang semakin menular dan runtuhnya rasa saling hormat menghormati dalam negara kita yang tercinta ini.

Setiap rakyat dalam negara ini, tanpa mengira agama, kaum, keturunan dan etnik seharusnya dapat menikmati keamanan spiritual dan fizikal mereka. Seharusnya sebarang perbezaan pendapat dan pandangan tidak terus dilebarkan.

Kami yakin sebarang perselisihan dapat diselesaikan dengan menumpukan usaha untuk membawa semua pihak ke meja rundingan.

Oleh yang demikian, seluruh kepimpinan Pakatan Rakyat dengan tegas meminta supaya individu atau mana-mana kumpulan yang menyebarkan api kebencian dan kekerasan sebegini agar dihukum dengan setimpalnya.


YB DATO SERI ANWAR IBRAHIM
Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia
Ketua Umum PKR



YAB LIM GUAN ENG
Setiausaha Agung DAP


YB DATO' SERI TUAN GURU HAJI ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS


* Dipetik dari http://www.harakahdaily.net/v2

TERKINI: SETIAUSAHA AGUNG PKR LETAK JAWATAN

KUALA LUMPUR, 7 Jan (Bernama) -- Datuk Salehuddin Hashim hari Khamis meletak jawatan sebagai setiausaha agung Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi menumpukan perhatian terhadap bidang kerjayanya.

Bagaimanapun, beliau, yang mengambilalih jawatan tersebut daripada Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim, pada Mac 2008, kekal sebagai anggota biasa dalam parti itu.

"Cukuplah enam tahun saya aktif dalam parti, lagi pun saya nampak ada orang lain ang lebih berkebolehan dan lagi pandai untuk menggantikan saya," katanya kepada Bernama di sini.

Salehuddin berkata surat perletakan jawatan sudah pun dihantar kepada Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Timbalan Presiden Dr Syed Husin Ali pada pukul 5 petang tadi.

Katanya beliau ingin menumpukan sepenuh perhatian dalam bidang perundingan pengurusan minyak dan gas di Amerika Syarikat.

Salehuddin mula menyertai PKR pada 2004 sebagai setiausaha pengelola sebelum dilantik menjadi setiausaha agung.

-- BERNAMA --

=====================================================================================

PKR SECRETARY-GENERAL RESIGNS

KUALA LUMPUR, Jan 7 (Bernama) -- Parti Keadilan Rakyat (PKR) secretary-general Datuk Salehuddin Hashim resigned from the post today to make way for other members.

However, he remains as an ordinary member of the party.

"Six years is enough for me to be active in the party. Furthermore, I see that there are others who are more capable to take over from me," he told Bernama, here.

He said the resignation letter had already been sent to party president Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail and deputy president Dr Syed Husin Ali at 5pm today.


-- BERNAMA --

Thursday, January 7, 2010

ARUS PERJUANGAN PKR BERA SEMPENA 5 TAHUN PENUBUHAN RASMINYA

Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Bera sebagai salah satu siasah politik yang utama di Bera kini sudah bersedia mengorak langkah dengan lebih tersusun kearah matlamatnya untuk menawan parlimen Bera serta menguasai dan mengekalkan tiga Dun yang berada didalamnya dan seterusnya menawan negeri Pahang keseluruhannya pada pilihanraya umum yang akan datang.

Sejarah perkembangan parti KeADILan di Bera ini mula bertapak sebagai salah sebuah parti yang bertanding di dalam pilihanraya umum (PRU) di Bera ini ialah pada PRU 10 1999 iaitu kira-kira tujuh bulan selepas KeADILan di lancarkan di Renaissance Hotel, Jalan Ampang pada 04.04.1999.

Dengan Sdr Zakaria Abdul Hamid yang juga Ketua Pemuda KeADILan pertama Negeri Pahang telah di beri tanggungjawab sebagai calon pilihan KeADILan ketika itu di Dun Bera (Bera, Guai, Triang dan Semantan ketika itu berada dibawah Parlimen Temerloh) walaupun ianya berakhir dengan kekalahan tetapi dengan meletakkan ‘tanda’ parti KeADIlan ini di daerah Bera merupakan suatu kemenangan sulung secara dasarnya disini.

Bertitik tolak daripada itu serta persempadanan baru yang melibatkan kewujudan parlimen Bera yang berasingan daripada Temerloh diatas kapasiti Bera sebagai daerah baru serta mempunyai pentadbirannya sendiri, KeADILan terus didekati dan di kenali sehinggalah tibanya PRU 11 2004 dan Sdr Amir Abd Aziz yang juga Ketua Bahagian pertama Parti Keadilan Rakyat (PKR) Bera (di tukarkan nama selepas perlancaran pergabungan Parti Keadilan Nasional dan Parti Rakyat Malaysia pada Ogos 2003) adalah merupakan calon bagi pihak Parti Keadilan Rakyat (PKR) ketika itu, namun satu perkara yang berlaku ketika itu ialah nama PKR masih tidak dapat digunakan pada PRU 11, 2004 tersebut gara-gara keengganan pihak Pendaftar Pertubuhan (ROS) untuk membenarkan pergabungan dua parti ini disahkan segera. Oleh itu terpaksalah kita pada PRU 11 menggunakan kembali nama asal iaitu Parti Keadilan Nasional (KeADILan) dan juga logo yang lama.

Walaupun kita kalah, keputusan yang diperolehi pada tahun tersebut masih menunjukkan kita masih berjaya mempertahankan kedudukan serta undi yang kita perolehi sebagaimana sebelum ini. Mungkin kerana kesukaran kita untuk menembusi peti-peti undi serta kawasan tertentu seperti di Pos Iskandar yang sebahagian besarnya kaum asal disitu serta juga kesukaran untuk memperolehi undi daripada masyarakat felda terutamanya di gugusan Felda Tembangau serta Felda Sebertak.

Hakikat yang membimbangkan Umno / BN sehingga kini ialah, perolehan undi di kawasan perbandaran seperti Pekan Kemayan dan sekitarnya masih lagi menyebelahi kita sebagaimana sebelumnya. Kehadiran PRU 12 2008 lalu dengan buat pertama kalinya calon Dun Kemayan (Sdr Mohd Shukri @ cucu mat kilau) bertanding atas nama Parti Keadilan Rakyat (PKR) dengan logo yang ada sedikit pembaharuan dan perubahan, sedikit sebanyak telah memperlihatkan ada perubahan yang lebih positif terhadap PKR di sini.

Justeru itu, saya melihat kini dengan perubahan yang kian meningkat serta perkembangan terkini PKR khususnya di Bera ini seharusnya kepimpinan yang kini di ketuai oleh Tn Hj Abas Awang (mantan Pengarah Pelajaran Wilayah Persekutuan) yang pasti memiliki pengalaman yang banyak didalam bidang pentadbiran serta dibantu lagi dengan penyertaan mantan ADUN Guai 2004-2008 daripada Umno , Tn Hj Hamzah Ibrahim kedalam PKR di Bera ini sudah pasti boleh memantapkan lagi PKR Cabang Bera ini.

Sesungguhnya, PKR Bera boleh dikatakan beruntung kerana masih lagi mempunyai beberapa orang ‘pimpinan lama’ yang sudah berada didalam keADILan sejak ianya ditubuhkan lagi pada tahun 1999, yang mana mereka ini juga adalah merupakan diantara tunggak kepimpinan terawal pada Perhubungan KeADILan Negeri Pahang sekitar tahun 2000 hingga 2007.

Antaranya ialah Sdr Amir Abd Aziz (mantan Timbalan Pengerusi PKR Negeri, Bendahari Negeri Pahang , antara tahun 2001-2006 & Ketua KeADILan Temerloh, 2001-2004) , Sdr Rizan Ali (mantan Setiausaha Perhubungan Negeri , Timbalan Ketua Pemuda , Ketua AMK Pahang, antara tahun 2002-2006 & Setiausaha Bahagian Mentakab, 2001-2004), Sdr Muthusamy (AJK Perhubungan Negeri , antara tahun 2001-2007 & Naib Ketua Bahagian Temerloh, 2001-2004), Sdr Sarawanan (Naib Ketua Pemuda / AMK Pahang, 2001-sekarang & Naib Ketua Pemuda Temerloh, 2001-2004) serta juga Sdr Hamzah Bawa selaku AJK Perhubungan Negeri antara tahun 2005-2007 & Naib Ketua Bahagian Temerloh, 2001-2004).

Untuk pengetahuan semua, penubuhan PKR cabang Bera sebenarnya amat unik. PKR cabang Bera langsung tidak ditubuhkan diatas nama penajaan sebagaimana kebiasaannya. Ini kerana diatas inisiatif Sdr Rizan Ali ketika itu sebagai Setiausaha Perhubungan PKR Negeri Pahang yang juga merupakan Setiausaha PKR Bahagian Mentakab pada tahun 2004, bersama dengan Sdr Amir Aziz sendiri selaku Bendahari PKR Pahang ketika itu dan melalui persetujuan Sdr Jafri Rashid (Pengerusi PKR Pahang ketika itu), Sdr Zakaria Hamid (Timbalan Pengerusi PKR Pahang) serta Sdr Mohd Kamal Taib (mantan Ketua KeADILan Bahagian Mentakab) sendiri telah membenarkan agar status pendaftaran PKR bahagian Mentakab di pindah dan ditukarkan nama kepada PKR bahagian Bera pada tahun 2004.

Semua ini dilakukan semata-mata untuk mengelakkan pendaftaran PKR Mentakab terbatal dengan sendirinya apatah lagi pada ketika itu kebanyakan pengerak sudah ‘hilang semangat dan sumber’ disamping ketiadaan penggerak.

Dengan ketiadaan pengerak lebih-lebih lagi apabila persempadanan baru telah mewujudkan Parlimen Kuala Krau (parlimen Mentakab di mansuhkan) maka keputusan yang diambil ialah agar dipindahkan segera pendaftaran Mentakab kepada Bera dan ini sudah pasti dapat mengelakkan karenah birokrasi ROS terhadap PKR pada masa itu terutamanya semasa penubuhan bahagian baru parti pembangkang ketika itu.

Dengan tertubuhnya PKR Bahagian Bera secara rasmi pada tahun 2005, ia menjadikan PKR bahagian Bera adalah di antara dua bahagian pertama PKR di Malaysia yang diluluskan oleh ROS pada ketika itu (mengambil kira selepas persempadanan baru parlimen) dan ianya juga secara tidak langsung menjadikan bahagian PKR pertama wujud secara sah selepas persempadanan baru kawasan parlimen di negeri Pahang.

Seterusnya PKR Bera terus menjadi saingan dan perhatian kepada parti lawan seperti Umno di Bera pada ketika itu. Lawatan Dato Seri Anwar Ibrahim ke Bera pada awal Januari 2005 (selepas kongres PKR pertama di Ipoh 2004) adalah titik tolak kepada perkembangan PKR Bera sehingga kini.

Dengan jumlah keahlian pada peringkat awalnya ialah sekitar 300 orang sahaja pada tahun 2005, kini keahlian PKR Bera sudah hampir mencecah seribu orang keahlian yang sah di ibupejabat parti.

Dan sesungguhnya menjelang ulangtahun ke 5 PKR di tubuhkan secara rasminya di Bera, adalah menjadi harapan kita agar PKR Bera dapat dijadikan prospek yang terbaik dan sebagai alternatif utama kepada masyarakat bandar, pekan, kampung, desa dan pendalaman di daerah ini terutamanya untuk dijadikan sebagai ‘sandaran’ yang terbaik serta lebih berkesan selepas ini selain daripada Umno di daerah Bera ini.



** Artikel sempena 5 tahun PKR di Bera ini di dedikasikan khusus untuk mereka berlima di bawah yang merupakan pengerak utama sehingga tertubuhnya PKR Cabang Bera secara rasminya pada tahun 2005;

1. Sdr Amir Abd Aziz (Ketua PKR Bahagian Bera 2005-2007)
2. Sdr Rizan Ali (Setiausaha PKR Bahagian Bera 2005-2007)
3. Sdr Hamzah Bawa (Naib Ketua PKR Bahagian Bera 2005-2007)
4. Sdr Muthusamy (Naib Ketua PKR Bahagian Bera 2005-2007)
5. Sdr Sarawanan (Ketua AMK Bahagian Bera 2005-2007)


dan tidak lupa juga kepada;

1. Sdr Zakaria Abd Hamid (Mantan Pengerusi PKR Pahang 2005-2008 yang juga mantan calon KeADILan DUN Bera pada PRU 10, 1999)
2. Sdr Jafri Abd Rasyid (Mantan Pengerusi KeADILan 2002-2005 yang juga mantan ADUN Chini 1999-2004)
3. Sdr Kamal Mohd Taib (Ketua KeADILan Bahagian Mentakab 2001-2004)




Laman Rasmi PKR Bera di http://pkrbera.blogspot.com

Wednesday, January 6, 2010

MAHKAMAH KHAS RASUAH

Dalam membicarakan persoalan integriti dan rasuah, kita akan dapati apabila sesebuah negara dihinggapi penyakit rasuah sehingga rasuah menjadi alat pengumpulan modal utama, maka kita akan dapat menisbahkan negara itu sebagai negara kleptokratis. Situasi ini akan lebih parah apabila wujudnya hubungan rasuah di antara ahli politik dan birokrat pada satu pihak dengan kelompok ahli kelas pemodal bagi pihak yang lain.

Terdapat perbezaan di antara Malaysia dan Indonesia dalam penubuhan Mahkamah Khas rasuah ini. Walaupun kedudukan Indonesia berada lebih kebelakang daripada Malaysia yang berada ditangga ke-56 daripada 180 buah negara berdasarkan indeks persepsi rasuah oleh Transparency International 2009. Namun kita harus sedar bahawa terdapat beberapa kelebihan Indonesia daripada aspek penubuhan Mahkamah khas Rasuahnya.

Penubuhan Mahkamah Khas Rasuah dilihat penting berdasarkan kepada beberapa justifikasi. Pertamanya kita harus melihat bahawa kes-kes rasuah adalah kes-kes yang berat dan penting untuk diselesaikan.. Ini terbukti apabila pandangan daripada Ibnu Khaldun seorang tokoh sarjana Islam yang menyebut bahawa sesebuah tamadun bangsa itu boleh runtuh jika berlakunya amalan rasuah dan nepotisme melampau.

Kes-kes yang melibatkan rasuah wajar untuk diselesaikan sesegera yang mungkin bagi mengelakkan berlakunya penangguhan yang tidak wajar terhadap. Keduanya, penubuhan mahkamah khas rasuah ini adalah mampu untuk meringankan bebanan hakim-hakim mahkamah biasa dalam membicarakan ribuan kes-kes jenayah dan sivil..

Sehingga hari ini kita mempunyai hampir 700 kes rasuah yang sedang dibicarakan dan 400 kes rasuah yang dalam proses rayuan. Jika di Indonesia terdapat pengadilan berkaitan rasuah yang di sebut sebagai Pengadilan Tindak Pidana Korupsi ataupun disebut sebagai Pengadilan TIPIKOR. Pengadilan ini disokong oleh undang-undang berdasarkan Undang-Undang Republik Indonesia No. 30 Tahun 2002 Tentang Komisi Pemberantasan Pidana Korupsi.

Lebih khusus lagi kita boleh merujuk dalam Bab 7, Undang-undang tersebut yang memberikan garis panduan berkaitan Pemeriksaan Disidang Pengadilan bagi kes-kes rasuah yang tertakluk dibawah akta ini. Di dalam Bab 7, Fasal 53 ada menyebut bahawa dengan undang-undang ini dibentuk Pengadilan Tindak Pidana Korupsi yang bertugas dan berwenang memeriksa dan memutus tindak pidana korupsi yang penuntutannya diajukan oleh Komisi Pemberantasan Korupsi (KPK).

KPK adalah badan yang sama tarafnya dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Malaysia. Jika kita merujuk kepada Akta SPRM 2008 yang telahpun dibentangkan oleh Perdana Menteri pada ketika itu. Tidak ada langsung klausa ataupun fasal undang-undang didalamnya yang menyentuh ataupun menyokong pembentukan Mahkamah Khas Rasuah.

KPK Indonesia boleh terus melakukan proses pendakwaan di Mahkamah Pengadilan Tindak Pidana Korupsi mereka bagi kes-kes rasuah kendalian badan anti rasuah tersebut. Namun sebaliknya berlaku kepada SPRM, kuasa pendakwaan masih terletak di bawah kuasa Peguam Negara yang telahpun disebut di dalam akta SPRM yang baru pada Seksyen 58. Dalam akta yang sama hanya memberikan kuasa kepada Ketua Pesuruhjaya SPRM sebagai timbalan pendakwaraya di bawah Seksyen 5 Subseksyen 6.

Bagi kes-kes yang ingin didakwa oleh SPRM setelah mendapat endorsmen Peguam Negara juga terpaksa dibawa ke mahkamah biasa sama ada Mahkamah Sesyen ataupun Mahkamah Tinggi. Jika Malaysia mampu menggubal undang-undang yang menyokong penubuhan Mahkamah Khas Rasuah. Kita pasti kes-kes rasuah yang dikendalikan oleh SPRM akan lebih segera dapat dibicarakan dan mampu untuk memberikan keadilan dengan kadar segera terhadap apa-apa juga situasi yang mungkin timbul akibat daripada konflik pendakwaan kes rasuah terbabit.

Saranan penubuhan Mahkamah Khas Rasuah juga wajib dibaca dengan kaedah perlantikan Ketua Pesuruhjaya SPRM dan Peguam Negara yang perlu diambil kira dalam usaha kita menubuhkan mahkamah khas ini. Jika kita mempunyai Mahkamah Khas Rasuah sekalipun, tetapi kuasa pendakwaan secara mutlaknya masih berada ditangan Peguam Negara. Maka perlu kita pastikan bahawa Peguam Negara itu dilantik dengan kaedah-kaedah transparen dan diiktiraf integritinya.

Mungkin dalam soal ini kita boleh merujuk bagaimana KPK melantik pimpinan anggota pentadbirannya. Perbincangan ini akan kita lanjutkan dalam nukilan akan datang. Kombinasi perlunya wujud Mahkamah Khas Rasuah, Kaedah Perlantikan Ketua Pesuruhjaya SPRM, pimpinannya dan Peguam Negara adalah amat penting bagi memastikan tidak timbul pertikaian pada masa hadapan berkaitan kredibiliti SPRM itu sendiri sebagai badan bebas mencegah rasuah.

Kaedah perlantikan hakim juga boleh merujuk kepada bagaimana Pengadilan TIPIKOR di Indonesia mempunyai hakim Pengadilan Negeri dan hakim ad-hoc menjadi hakim-hakim di mahkamah jenayah korupsi Indonesia. Situasi ini mampu untuk mengelakkan hakim-hakim daripada terdedah kepada sogokan oleh perasuah yang didakwa di mahkamah tersebut kerana komposisi hakimnya yang berubah-ubah lantas menyukarkan proses sogokan hakim berlaku. Kaedah perlantikan hakim seperti ini disebut di dalam Fasal 56 Undang-Undang Komisi Pemberantasan Tindak Pidana Korupsi Indonesia.

Dalam aspek yang lain, SPRM boleh kita anggap sebagai alat atau tool yang bertujuan membudayakan integriti dan anti rasuah. Walaubagaimanapun tool ini akan dilihat tidak bertaring dan bersifat transparen jika tool pelincir seumpama Mahkamah Khas Rasuah yang bertindak sebagai pelengkap kepada SPRM itu tidak diwujudkan.

Mahkamah Khas Rasuah perlu diwujudkan segera bagi mempercepatkan proses pendakwaan dan keadilan dijalankan dengan seoptimum mungkin setelah SPRM bertindak menerima aduan dan laporan rasuah lantas menjalankan penyiasatan atas laporan tersebut.

Hari ini, kerajaan termasuk ahli-ahli Parlimen bertanggungjawab untuk bersama-sama membentangkan dan membahaskan rang undang-undang berkaitan penubuhan Mahkamah Khas Rasuah ini. Kegagalan kita untuk secepat mungkin mempunyai Mahkamah Khas Rasuah hanya akan mengundang kelengahan terhadap usaha-usaha membudayakan integriti dan membentuk Good Governance.


Oleh: Sdr Mohd Nazree Mohd Yunus, Penulis adalah Pengerusi Gerak Malaysia

Tuesday, January 5, 2010

PENJELASAN PKR MENGENAI ISU KALIMAH "ALLAH"

KENYATAAN AKHBAR / PRESS RELEASES

Merujuk kepada kenyataan kami pada 22 November 2009 mengenai perkara di atas, maka BIPPA PKR sekali lagi ingin menjelaskan pendirian kami mengenai hal ini.

Kami berpendirian bahawa, keinginan masyarakat bukan Islam menggunakan kalimah “Allah” sebagai Tuhan adalah suatu perkembangan yang positif dan perlu diterima secara terbuka dan tidak perlu pihak-pihak tertentu mengambil kesempatan untuk menjadikan isu ini sebagai agenda politik untuk menampakkan bahawa merekalah jaguh dalam mempertahankan Islam di negara ini.

Sesungguhnya, kami melihat fenomena ini adalah manifestasi dari fitrah insani bahawa manusia memperakui penciptaan dunia oleh Allah SWT sebagaimana firmannya yang bermaksud:

“Dan jika kamu tanya mereka (orang kafir) siapakah yang mencipta langit dan bumi? Mereka akan berkata Allah…” (Al Quran, Az-Zumar (39):38).

Adalah jelas bahawa penggunaan kalimah Allah untuk mengiktiraf dan membesarkan Allah sebagai Tuhan, adalah hak asasi setiap insan. Ini adalah serasi dengan peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan Perkara 3 (1) yang menjamin kedudukan Islam sebagai agama rasmi Persekutuan dan lain-lain agama boleh diamalkan dengan aman dan damai. Sesungguhnya, ini juga bersesuaian dengan muafakat Pakatan Rakyat yang diputuskan baru-baru ini.

Selanjutnya, kami berpandangan perjuangan untuk menegak makruf dan mencegah mungkar akan menjadi lebih mudah dan selesa berasaskan firman Allah:

"Katakan wahai Ahli Kitab, mari tegakkan kalimah yang sama antara kami dan kamu iaitu bahawa kita tidak akan menyembah selain Allah dan tidak mensyirikkan (associate) Allah dengan satu apapun serta janganlah ada antara kita yang mengambil tuhan-tuhan selain Allah. Dan jika mereka berpaling maka katakanlah bahawasanya kami adalah orang Islam (menyerah diri pada Allah)” (Surah Ali `Imran(3):64).

Sehubungan itu, demi menjaga keharmonian dan kesejahteraan negara semua pihak perlulah menyelesaikan konflik ini dengan menyuburkan budaya dialog antara agama secara matang dan bijaksana (hikmah) sebagaimana saranan Allah mengenainya (Al Nahl: 125 dan Al Ankabut:46)".


Sekian. Terima kasih.

DR. MUHD NUR MANUTY
Pengerusi
Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama (BIPPA)
Parti KeADILan Rakyat.

05 Januari 2010

Friday, January 1, 2010

PERUTUSAN TAHUN BARU 2010 DS ANWAR IBRAHIM

Kita menyambut kedatangan tahun 2010 dengan penuh harapan, agar keadaan menjadi lebih baik buat diri sendiri, keluarga, masyarakat dan negara.

Tahun yang baru, secara simboliknya, menandakan, satu permulaan kepada yang lebih baik dan berusaha menyingkirkan segala kelemahan dan keburukan.

Sudah tentu semua ini tidak bermakna sekiranya kita hanya berpeluk tubuh dan gagal melakukan sesuatu.

Pendek kata, iltizam untuk melakukan perubahan sahaja tidaklah mencukupi, ianya memerlukan satu tindakan yang jitu berasaskan kefahaman terhadap Perubahan yang ingin dilaksanakan.

Rakyat sesungguhnya bijak serta berkemampuan untuk membezakan di antara intan dan kaca. Mereka sedar yang manakah program perubahan palsu serta satu agenda Perubahan berhasrat untuk membawa kemaslahatan kepada rakyat. Namun sekiranya kita gagal untuk menunaikan hasrat dan cita-cita baik tersebut untuk dikecapi rakyat, ianya akan kekal sebagai satu laungan kosong semata-semata.

Tahun 2009 menyaksikan Pakatan Rakyat berjaya melahirkan satu dokumen penting yang dikenali sebagai Agenda Bersama Pakatan Rakyat.

Kita menyediakan suatu rencana dasar untuk membawa bangsa dan negara keluar dari kemelut yangmencengkam. Dokumen tersebut merupakan penzahiran kepada satu permuafakatan yang bukan otoritarian sifatnya. Ianya adalah permuafakatan berasaskan kepercayaan dan benar-benar jujur untuk membawa perubahan.

Kita akui sebagai satu permuafakatan yang muda, dalam proses pembentukan kepada satu permuafakatan yang lebih utuh, sudah tentu kita berhadapan dengan pelbagai pertanyaan.

Ini adalah lumrah, kerana kita menuju kepada yang lebih baik, kita menawarkan satu yang baru buat rakyat dan kita berhasrat mahu sentiasa bersama mereka memastikan kesejahteraan negara ini terjamin.

Alhamdulillah rakyat menyambut baik kehadiran dokumen bersejarah tersebut. Mereka sedar untuk mengembalikan negara ini ke persada negara-negara yang sudah jauh meninggalkan kita seperti Singapura, Taiwan, dan Korea Selatan agenda pembangunan yang selama ini berasaskan perkauman sempit dan hanya membawa keuntungan kepada segelintir yang dekat dengan pemerintah mestilah diketepikan.

Kini tibalah waktu untuk kita mendakap satu agenda Perubahan yang terperinci, cermat dan menyegarkan. Pakatan Rakyat menawarkan satu agenda yang seimbang; tidak hanya tertumpu memulihkan kembali ekonomi negara, akan tetapi juga berusaha mengembalikan hala tuju negara ini sebagai satu negara yang berasaskan Demokrasi Raja Berperlembagaan.

Pakatan Rakyat yakin untuk mengemudi negara ini ke taraf negara maju dengan memastikan pertumbuhan ekonomi yang sihat, agenda pembangunan yang adil untuk semua, institusi kehakiman yang bebas dari cengkaman pemerintah dan pembinaan sebuah masyarakat demokratik yang berteraskan kemuliaan insan.

Dengan kepercayaan rakyat yang kita perolehi, kita akan menggembeling seluruh tenaga dan keringat untuk memastikannya terlaksana. Keyakinan terhadap semangat rakyat, faith in the power of the spirit of the people, akan menjadi satu lagi sumber kekuatan kita, rakyat Malaysia.

Moga tahun 2010 merupakan tahun yang lebih baik buat semua dan negara ini. Inshaallah kita semua berusaha menjayakannya. Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Tahun Baru 2010 kepada semua rakyat Malaysia.

Ubah sebelum parah, ubah demi maruah.


ANWAR IBRAHIM
Ketua Umum,
Parti Keadilan Rakyat



* Dipetik dari blog http://anwaribrahimblog.com

TIRAI HARI PERTAMA 2010 : HARGA GULA NAIK!

Tirai hari pertama 01 Januari 2010 di dengan berita kenaikan harga gula sebanyak 20 sen sekilo. Mungkin di kalangan orang besar-besar seperti Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan YB Dato Sri Ismail Sabri Yaakob 20 sen itu hanyalah kecil sahaja di mata beliau tetapi teramat besar sebenarnya kepada peniaga-peniaga kecil dan pengguna terutamanya yang berpendapatan rendah.

"Harga runcit gula dinaikkan sebanyak 20 sen sekilogram kepada RM1.65 di Semenanjung dan RM1.75 di Sabah dan Sarawak mulai 12 tengah malam ini"

Menurut Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Mohd Zain Mohd Dom berkata, ia berikutan kenaikan harga gula mentah dunia.

Memang kita akui dengan bergantung harap kepada dunia luar terhadap salah satu keperluan utama didalam kehidupan kita seharian seperti gula ini, sudah pasti mahu atau tidak kita terpaksa juga akur.

Tetapi bagaimana pula pihak kerajaan melihat perkara ini dari sudut kegunaan rakya tempatan? Seharusnya kerajaan perlu mengambil langkah yang kehadapan didalam mengelakkan perkara ini berlaku.

Kita tidak faham kerana dengan apa yang diketahui ialah kita mempunyai ladang penanaman tebu untuk tujuan pembuatan gula ini begitu besar di utara tanahair tetapi kenapa ianya tetap berlaku?

Apakah langkah kerajaan memberi kepada seseoang individu seperti AP didalam mengawal pengeluaran gula ini juga turut dijadikan faktor kepada kenaikan harga 20 sen ini?

Kerajaan seharusnya mengawal harga ini dengan menggunakan segala yang bekaitan dengan kerajaan seperti agensi Felda atau sebagainya untuk 'menguruskan' secara terus pengeluaran gula termasuk juga memiliki tanaman tebu sendiri sejak awal.

Satu perkara yang dibimbangi kini ialah kesan kenaikan harga gula ini sudah pasti akan 'mengheret' kenaikan harga yang lain juga seperti penyediaan minuman atau pun kuih muih yang berasaskan gula sebagai penggunaan utamanya.

Akhirnya yang tetap menjadi mangsa adalah kita...kita sebagai rakyat bawahan jugalah yang dijadikan mangsa yang sebenar akibat 'permainan' gila ini.