Wednesday, January 6, 2010

MAHKAMAH KHAS RASUAH

Dalam membicarakan persoalan integriti dan rasuah, kita akan dapati apabila sesebuah negara dihinggapi penyakit rasuah sehingga rasuah menjadi alat pengumpulan modal utama, maka kita akan dapat menisbahkan negara itu sebagai negara kleptokratis. Situasi ini akan lebih parah apabila wujudnya hubungan rasuah di antara ahli politik dan birokrat pada satu pihak dengan kelompok ahli kelas pemodal bagi pihak yang lain.

Terdapat perbezaan di antara Malaysia dan Indonesia dalam penubuhan Mahkamah Khas rasuah ini. Walaupun kedudukan Indonesia berada lebih kebelakang daripada Malaysia yang berada ditangga ke-56 daripada 180 buah negara berdasarkan indeks persepsi rasuah oleh Transparency International 2009. Namun kita harus sedar bahawa terdapat beberapa kelebihan Indonesia daripada aspek penubuhan Mahkamah khas Rasuahnya.

Penubuhan Mahkamah Khas Rasuah dilihat penting berdasarkan kepada beberapa justifikasi. Pertamanya kita harus melihat bahawa kes-kes rasuah adalah kes-kes yang berat dan penting untuk diselesaikan.. Ini terbukti apabila pandangan daripada Ibnu Khaldun seorang tokoh sarjana Islam yang menyebut bahawa sesebuah tamadun bangsa itu boleh runtuh jika berlakunya amalan rasuah dan nepotisme melampau.

Kes-kes yang melibatkan rasuah wajar untuk diselesaikan sesegera yang mungkin bagi mengelakkan berlakunya penangguhan yang tidak wajar terhadap. Keduanya, penubuhan mahkamah khas rasuah ini adalah mampu untuk meringankan bebanan hakim-hakim mahkamah biasa dalam membicarakan ribuan kes-kes jenayah dan sivil..

Sehingga hari ini kita mempunyai hampir 700 kes rasuah yang sedang dibicarakan dan 400 kes rasuah yang dalam proses rayuan. Jika di Indonesia terdapat pengadilan berkaitan rasuah yang di sebut sebagai Pengadilan Tindak Pidana Korupsi ataupun disebut sebagai Pengadilan TIPIKOR. Pengadilan ini disokong oleh undang-undang berdasarkan Undang-Undang Republik Indonesia No. 30 Tahun 2002 Tentang Komisi Pemberantasan Pidana Korupsi.

Lebih khusus lagi kita boleh merujuk dalam Bab 7, Undang-undang tersebut yang memberikan garis panduan berkaitan Pemeriksaan Disidang Pengadilan bagi kes-kes rasuah yang tertakluk dibawah akta ini. Di dalam Bab 7, Fasal 53 ada menyebut bahawa dengan undang-undang ini dibentuk Pengadilan Tindak Pidana Korupsi yang bertugas dan berwenang memeriksa dan memutus tindak pidana korupsi yang penuntutannya diajukan oleh Komisi Pemberantasan Korupsi (KPK).

KPK adalah badan yang sama tarafnya dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Malaysia. Jika kita merujuk kepada Akta SPRM 2008 yang telahpun dibentangkan oleh Perdana Menteri pada ketika itu. Tidak ada langsung klausa ataupun fasal undang-undang didalamnya yang menyentuh ataupun menyokong pembentukan Mahkamah Khas Rasuah.

KPK Indonesia boleh terus melakukan proses pendakwaan di Mahkamah Pengadilan Tindak Pidana Korupsi mereka bagi kes-kes rasuah kendalian badan anti rasuah tersebut. Namun sebaliknya berlaku kepada SPRM, kuasa pendakwaan masih terletak di bawah kuasa Peguam Negara yang telahpun disebut di dalam akta SPRM yang baru pada Seksyen 58. Dalam akta yang sama hanya memberikan kuasa kepada Ketua Pesuruhjaya SPRM sebagai timbalan pendakwaraya di bawah Seksyen 5 Subseksyen 6.

Bagi kes-kes yang ingin didakwa oleh SPRM setelah mendapat endorsmen Peguam Negara juga terpaksa dibawa ke mahkamah biasa sama ada Mahkamah Sesyen ataupun Mahkamah Tinggi. Jika Malaysia mampu menggubal undang-undang yang menyokong penubuhan Mahkamah Khas Rasuah. Kita pasti kes-kes rasuah yang dikendalikan oleh SPRM akan lebih segera dapat dibicarakan dan mampu untuk memberikan keadilan dengan kadar segera terhadap apa-apa juga situasi yang mungkin timbul akibat daripada konflik pendakwaan kes rasuah terbabit.

Saranan penubuhan Mahkamah Khas Rasuah juga wajib dibaca dengan kaedah perlantikan Ketua Pesuruhjaya SPRM dan Peguam Negara yang perlu diambil kira dalam usaha kita menubuhkan mahkamah khas ini. Jika kita mempunyai Mahkamah Khas Rasuah sekalipun, tetapi kuasa pendakwaan secara mutlaknya masih berada ditangan Peguam Negara. Maka perlu kita pastikan bahawa Peguam Negara itu dilantik dengan kaedah-kaedah transparen dan diiktiraf integritinya.

Mungkin dalam soal ini kita boleh merujuk bagaimana KPK melantik pimpinan anggota pentadbirannya. Perbincangan ini akan kita lanjutkan dalam nukilan akan datang. Kombinasi perlunya wujud Mahkamah Khas Rasuah, Kaedah Perlantikan Ketua Pesuruhjaya SPRM, pimpinannya dan Peguam Negara adalah amat penting bagi memastikan tidak timbul pertikaian pada masa hadapan berkaitan kredibiliti SPRM itu sendiri sebagai badan bebas mencegah rasuah.

Kaedah perlantikan hakim juga boleh merujuk kepada bagaimana Pengadilan TIPIKOR di Indonesia mempunyai hakim Pengadilan Negeri dan hakim ad-hoc menjadi hakim-hakim di mahkamah jenayah korupsi Indonesia. Situasi ini mampu untuk mengelakkan hakim-hakim daripada terdedah kepada sogokan oleh perasuah yang didakwa di mahkamah tersebut kerana komposisi hakimnya yang berubah-ubah lantas menyukarkan proses sogokan hakim berlaku. Kaedah perlantikan hakim seperti ini disebut di dalam Fasal 56 Undang-Undang Komisi Pemberantasan Tindak Pidana Korupsi Indonesia.

Dalam aspek yang lain, SPRM boleh kita anggap sebagai alat atau tool yang bertujuan membudayakan integriti dan anti rasuah. Walaubagaimanapun tool ini akan dilihat tidak bertaring dan bersifat transparen jika tool pelincir seumpama Mahkamah Khas Rasuah yang bertindak sebagai pelengkap kepada SPRM itu tidak diwujudkan.

Mahkamah Khas Rasuah perlu diwujudkan segera bagi mempercepatkan proses pendakwaan dan keadilan dijalankan dengan seoptimum mungkin setelah SPRM bertindak menerima aduan dan laporan rasuah lantas menjalankan penyiasatan atas laporan tersebut.

Hari ini, kerajaan termasuk ahli-ahli Parlimen bertanggungjawab untuk bersama-sama membentangkan dan membahaskan rang undang-undang berkaitan penubuhan Mahkamah Khas Rasuah ini. Kegagalan kita untuk secepat mungkin mempunyai Mahkamah Khas Rasuah hanya akan mengundang kelengahan terhadap usaha-usaha membudayakan integriti dan membentuk Good Governance.


Oleh: Sdr Mohd Nazree Mohd Yunus, Penulis adalah Pengerusi Gerak Malaysia

No comments: