Thursday, January 7, 2010

ARUS PERJUANGAN PKR BERA SEMPENA 5 TAHUN PENUBUHAN RASMINYA

Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Bera sebagai salah satu siasah politik yang utama di Bera kini sudah bersedia mengorak langkah dengan lebih tersusun kearah matlamatnya untuk menawan parlimen Bera serta menguasai dan mengekalkan tiga Dun yang berada didalamnya dan seterusnya menawan negeri Pahang keseluruhannya pada pilihanraya umum yang akan datang.

Sejarah perkembangan parti KeADILan di Bera ini mula bertapak sebagai salah sebuah parti yang bertanding di dalam pilihanraya umum (PRU) di Bera ini ialah pada PRU 10 1999 iaitu kira-kira tujuh bulan selepas KeADILan di lancarkan di Renaissance Hotel, Jalan Ampang pada 04.04.1999.

Dengan Sdr Zakaria Abdul Hamid yang juga Ketua Pemuda KeADILan pertama Negeri Pahang telah di beri tanggungjawab sebagai calon pilihan KeADILan ketika itu di Dun Bera (Bera, Guai, Triang dan Semantan ketika itu berada dibawah Parlimen Temerloh) walaupun ianya berakhir dengan kekalahan tetapi dengan meletakkan ‘tanda’ parti KeADIlan ini di daerah Bera merupakan suatu kemenangan sulung secara dasarnya disini.

Bertitik tolak daripada itu serta persempadanan baru yang melibatkan kewujudan parlimen Bera yang berasingan daripada Temerloh diatas kapasiti Bera sebagai daerah baru serta mempunyai pentadbirannya sendiri, KeADILan terus didekati dan di kenali sehinggalah tibanya PRU 11 2004 dan Sdr Amir Abd Aziz yang juga Ketua Bahagian pertama Parti Keadilan Rakyat (PKR) Bera (di tukarkan nama selepas perlancaran pergabungan Parti Keadilan Nasional dan Parti Rakyat Malaysia pada Ogos 2003) adalah merupakan calon bagi pihak Parti Keadilan Rakyat (PKR) ketika itu, namun satu perkara yang berlaku ketika itu ialah nama PKR masih tidak dapat digunakan pada PRU 11, 2004 tersebut gara-gara keengganan pihak Pendaftar Pertubuhan (ROS) untuk membenarkan pergabungan dua parti ini disahkan segera. Oleh itu terpaksalah kita pada PRU 11 menggunakan kembali nama asal iaitu Parti Keadilan Nasional (KeADILan) dan juga logo yang lama.

Walaupun kita kalah, keputusan yang diperolehi pada tahun tersebut masih menunjukkan kita masih berjaya mempertahankan kedudukan serta undi yang kita perolehi sebagaimana sebelum ini. Mungkin kerana kesukaran kita untuk menembusi peti-peti undi serta kawasan tertentu seperti di Pos Iskandar yang sebahagian besarnya kaum asal disitu serta juga kesukaran untuk memperolehi undi daripada masyarakat felda terutamanya di gugusan Felda Tembangau serta Felda Sebertak.

Hakikat yang membimbangkan Umno / BN sehingga kini ialah, perolehan undi di kawasan perbandaran seperti Pekan Kemayan dan sekitarnya masih lagi menyebelahi kita sebagaimana sebelumnya. Kehadiran PRU 12 2008 lalu dengan buat pertama kalinya calon Dun Kemayan (Sdr Mohd Shukri @ cucu mat kilau) bertanding atas nama Parti Keadilan Rakyat (PKR) dengan logo yang ada sedikit pembaharuan dan perubahan, sedikit sebanyak telah memperlihatkan ada perubahan yang lebih positif terhadap PKR di sini.

Justeru itu, saya melihat kini dengan perubahan yang kian meningkat serta perkembangan terkini PKR khususnya di Bera ini seharusnya kepimpinan yang kini di ketuai oleh Tn Hj Abas Awang (mantan Pengarah Pelajaran Wilayah Persekutuan) yang pasti memiliki pengalaman yang banyak didalam bidang pentadbiran serta dibantu lagi dengan penyertaan mantan ADUN Guai 2004-2008 daripada Umno , Tn Hj Hamzah Ibrahim kedalam PKR di Bera ini sudah pasti boleh memantapkan lagi PKR Cabang Bera ini.

Sesungguhnya, PKR Bera boleh dikatakan beruntung kerana masih lagi mempunyai beberapa orang ‘pimpinan lama’ yang sudah berada didalam keADILan sejak ianya ditubuhkan lagi pada tahun 1999, yang mana mereka ini juga adalah merupakan diantara tunggak kepimpinan terawal pada Perhubungan KeADILan Negeri Pahang sekitar tahun 2000 hingga 2007.

Antaranya ialah Sdr Amir Abd Aziz (mantan Timbalan Pengerusi PKR Negeri, Bendahari Negeri Pahang , antara tahun 2001-2006 & Ketua KeADILan Temerloh, 2001-2004) , Sdr Rizan Ali (mantan Setiausaha Perhubungan Negeri , Timbalan Ketua Pemuda , Ketua AMK Pahang, antara tahun 2002-2006 & Setiausaha Bahagian Mentakab, 2001-2004), Sdr Muthusamy (AJK Perhubungan Negeri , antara tahun 2001-2007 & Naib Ketua Bahagian Temerloh, 2001-2004), Sdr Sarawanan (Naib Ketua Pemuda / AMK Pahang, 2001-sekarang & Naib Ketua Pemuda Temerloh, 2001-2004) serta juga Sdr Hamzah Bawa selaku AJK Perhubungan Negeri antara tahun 2005-2007 & Naib Ketua Bahagian Temerloh, 2001-2004).

Untuk pengetahuan semua, penubuhan PKR cabang Bera sebenarnya amat unik. PKR cabang Bera langsung tidak ditubuhkan diatas nama penajaan sebagaimana kebiasaannya. Ini kerana diatas inisiatif Sdr Rizan Ali ketika itu sebagai Setiausaha Perhubungan PKR Negeri Pahang yang juga merupakan Setiausaha PKR Bahagian Mentakab pada tahun 2004, bersama dengan Sdr Amir Aziz sendiri selaku Bendahari PKR Pahang ketika itu dan melalui persetujuan Sdr Jafri Rashid (Pengerusi PKR Pahang ketika itu), Sdr Zakaria Hamid (Timbalan Pengerusi PKR Pahang) serta Sdr Mohd Kamal Taib (mantan Ketua KeADILan Bahagian Mentakab) sendiri telah membenarkan agar status pendaftaran PKR bahagian Mentakab di pindah dan ditukarkan nama kepada PKR bahagian Bera pada tahun 2004.

Semua ini dilakukan semata-mata untuk mengelakkan pendaftaran PKR Mentakab terbatal dengan sendirinya apatah lagi pada ketika itu kebanyakan pengerak sudah ‘hilang semangat dan sumber’ disamping ketiadaan penggerak.

Dengan ketiadaan pengerak lebih-lebih lagi apabila persempadanan baru telah mewujudkan Parlimen Kuala Krau (parlimen Mentakab di mansuhkan) maka keputusan yang diambil ialah agar dipindahkan segera pendaftaran Mentakab kepada Bera dan ini sudah pasti dapat mengelakkan karenah birokrasi ROS terhadap PKR pada masa itu terutamanya semasa penubuhan bahagian baru parti pembangkang ketika itu.

Dengan tertubuhnya PKR Bahagian Bera secara rasmi pada tahun 2005, ia menjadikan PKR bahagian Bera adalah di antara dua bahagian pertama PKR di Malaysia yang diluluskan oleh ROS pada ketika itu (mengambil kira selepas persempadanan baru parlimen) dan ianya juga secara tidak langsung menjadikan bahagian PKR pertama wujud secara sah selepas persempadanan baru kawasan parlimen di negeri Pahang.

Seterusnya PKR Bera terus menjadi saingan dan perhatian kepada parti lawan seperti Umno di Bera pada ketika itu. Lawatan Dato Seri Anwar Ibrahim ke Bera pada awal Januari 2005 (selepas kongres PKR pertama di Ipoh 2004) adalah titik tolak kepada perkembangan PKR Bera sehingga kini.

Dengan jumlah keahlian pada peringkat awalnya ialah sekitar 300 orang sahaja pada tahun 2005, kini keahlian PKR Bera sudah hampir mencecah seribu orang keahlian yang sah di ibupejabat parti.

Dan sesungguhnya menjelang ulangtahun ke 5 PKR di tubuhkan secara rasminya di Bera, adalah menjadi harapan kita agar PKR Bera dapat dijadikan prospek yang terbaik dan sebagai alternatif utama kepada masyarakat bandar, pekan, kampung, desa dan pendalaman di daerah ini terutamanya untuk dijadikan sebagai ‘sandaran’ yang terbaik serta lebih berkesan selepas ini selain daripada Umno di daerah Bera ini.



** Artikel sempena 5 tahun PKR di Bera ini di dedikasikan khusus untuk mereka berlima di bawah yang merupakan pengerak utama sehingga tertubuhnya PKR Cabang Bera secara rasminya pada tahun 2005;

1. Sdr Amir Abd Aziz (Ketua PKR Bahagian Bera 2005-2007)
2. Sdr Rizan Ali (Setiausaha PKR Bahagian Bera 2005-2007)
3. Sdr Hamzah Bawa (Naib Ketua PKR Bahagian Bera 2005-2007)
4. Sdr Muthusamy (Naib Ketua PKR Bahagian Bera 2005-2007)
5. Sdr Sarawanan (Ketua AMK Bahagian Bera 2005-2007)


dan tidak lupa juga kepada;

1. Sdr Zakaria Abd Hamid (Mantan Pengerusi PKR Pahang 2005-2008 yang juga mantan calon KeADILan DUN Bera pada PRU 10, 1999)
2. Sdr Jafri Abd Rasyid (Mantan Pengerusi KeADILan 2002-2005 yang juga mantan ADUN Chini 1999-2004)
3. Sdr Kamal Mohd Taib (Ketua KeADILan Bahagian Mentakab 2001-2004)




Laman Rasmi PKR Bera di http://pkrbera.blogspot.com

No comments: