PETALING JAYA: Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang baru, Saifuddin Nasution Ismail menyifatkan pelantikannya menggantikan Datuk Salehuddin Hashim yang mengumumkan peletakkan jawatannya kelmarin sebagai penyambung tugas dalam meneruskan perjuangan parti itu.
Saifuddin yang akan memulakan tugasnya pada 1 Febuari depan memberitahu, pelantikan tersebut adalah sebagai satu tanggungjawab untuk mengekalkan sistem yang ada dan memantapkan lagi perjuangan parti itu.
"Saya bersyukur dengan pelantikan ini dan Datuk Salehuddin telah tinggalkan sistem yang baik dan saya akan meneruskan sistem yang ada," katanya ketika dihubungi mStar Online di sini hari ini.
Beliau turut memberitahu akan menggunakan pengalaman lebih 20 tahun dalam dunia politik dan berjanji akan memantapkan organisasi parti sebaik mungkin.
"Insya-Allah, pengalaman selama 20 tahun dalam dunia politik akan saya gunakan sebaiknya dan perkara yang akan menjadi fokus saya adalah memantapkan organisasi parti," katanya.
Tambahnya lagi, fokus terhadap masalah rakyat juga akan menjadi keutamaannya lebih-lebih lagi di kawasan jajahan PKR dan bersedia dalam membantu persiapan jentera parti dalam pilihanraya ke-13 akan datang.
"Masalah rakyat turut menjadi perhatian saya dan kita ada dua tahun sahaja lagi untuk mempersiapkan diri bagi menghadapi pilihanraya. Jadi dari sekarang kita kena bersedia," ujarnya.
Ditanya apakah beliau akan bertemu dengan Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, untuk mendapatkan nasihat, Saifuddin berkata, beliau belum lagi berpeluang untuk berjumpa dengan Anwar.
"Setakat ini saya belum lagi duduk dan berbincang dengan Datuk Seri (Anwar) mengenai tugas saya kerana Datuk Salehuddin masih lagi bertugas sehingga akhir bulan ini.
Insya-Allah selepas ini saya akan berbincang lanjut dengan beliau mengenai tugas baru saya," katanya.
Ini adalah kali kedua Saifuddin dilantik untuk menguruskan jentera sebuah organisasi politik. Pada tahun 1997, beliau pernah dilantik menjadi setiausaha agung Pergerakan Pemuda Umno Malaysia di bawah pimpinan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Saifuddin memegang jawatan itu sehinggalah reformasi meletus dan Zahid melepaskan jawatan ketua pemuda Umno Malaysia. Saifuddin pula menyertai Anwar dalam gerakan reformasi sehinggalah Keadilan terbentuk beberapa tahun kemudian dan menjadi sebahagian daripada pengasas parti itu.
Sementara itu, Ahli Parlimen Kepong, Tan Seng Giaw ketika dihubungi mStar Online menyifatkan pelantikan sasifuddin sebagai Setiausaha Agung PKR sebagai pilihan tepat dan bijak oleh PKR.
"Beliau seorang yang baik dan mesra dengan orang ramai, pemilihannya sebagai Setiausaha Agung amat sesuai," katanya.
Parti Keadilan Rakyat (PKR) semalam melantik Ahli Parlimen Machang itu sebagai Setiausaha Agung parti yang baru bagi menggantikan Datuk Salehuddin Hashim yang meletakkan jawatannya baru-baru ini.
Mesyuarat biro politik PKR malam tadi turut membuat keputusan untuk menerima notis peletakan jawatan Salehuddin.
Khamis lalu, Salehuddin telah menghantar notis peletakan jawatan dan meminta Majlis Pimpinan Tertinggi parti itu menghormati keputusannya.
Salehudddin yang mengambil alih jawatan tersebut daripada Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim pada Mac 2008, bagaimanapun kekal sebagai anggota biasa parti itu.
Beliau mula menyertai PKR pada 2004 sebagai setiausaha pengelola sebelum dilantik menjadi setiausaha agung.
* Dipetik dari mStar Online
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment