Wednesday, July 14, 2010

AKHBAR KEADILAN JADI REBUTAN DI PARLIMEN

KUALA LUMPUR:

Akhbar rasmi Parti Keadilan Rakyat, 'KEADILAN' yang diterbitkan oleh Angkatan Muda bukan sahaja diberikan secara percuma di sekitar Majlid Jamek pagi semalam anggota Dewan Rakyat juga berebut di bangunan Parlimen juga berebut untuk mendapatkan naskah mereka.

Pengedaran akhbar 24 mukasurat itu dilakukan selepas satu sidang media oleh Ahli Parlimen Batu, Tian Chua untuk memaklumlan mengenai kemunculan 'KEADILAN'.

Tian menjelaskan KEADILAN akan terus menerbitkan akhbar parti itu walaupun permit penerbitan Suara Keadilan telah tamat tempoh dan tidak diperbaharui Kememnterian Dalam Negeri sambil berkata KEADILAN tidak akan tunduk kepada tekanan KDN.

"Hari ini merupakan edaran akhbar rasmi KEADILAN iaitu 'KEADILAN' bagi menggantikan edisi Suara Keadilan, parti akan terus menerbitkan akhbar parti walaupun terdapat tekanan daripada KDN.

Sebagai pihak yang memperjuangkan hak rakyat dan kebebasan bersuara kita tidak akan tunduk dengan tekanan tersebut.

"Apa yang ingin dimaklumkan bahawa pagi tadi edisi ini telah diedarkan secara percuma kepada warga kota di sekitar Masjid Jamek dan kesempatan penerbitan yang baru ini kita akan edar akhbar ini secara percuma di parlimen.

"Kita tidak akan hentikan penerbitan sehingga mendapat keterangan sebenar terhadap kedudukan permit akhbar terbabit dari KDN. KDN tidak boleh mengambil apa-apa tindakan ke atas akhbar ini kerana ia adalah hak parti dan parti mempunyai kuasa untuk membuat terbitan," tegas Tian.

Sementara itu Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin memberitahu penerbitan akhbar ini tetap diteruskan dan ini adalah bagi memastikan setiap rakyat mendapat maklumat yang jelas mengenai isu yang berlaku di negara ini.

"Kita tidak akan tunduk kepada tekanan politik kotor Umno-Barisan Nasional, dasar yang diamalkan oleh Umno-BN adalah amat kejam kerana halangan bersuara dan mendengar.

"Kita akan pastikan akhbar rasmi KEADILAN ini akan terus berada dipasaran dan setiap rakyat berhak mendapat maklumat yang tepat mengenai apa jua penyelewengan yang berlaku didalam pentadbiran kerajaan bukannya berita yang telah diputar belit.

"Hari ini kita mahu KDN mengambil sikap yang lebih adil agar kelulusan penerbitan diberikan kepada Suara Keadilan. Kami kesal dengan tindak tanduk KDN yang tidak mengambil apa-apa tindakan terhadap akhbar arus perdana dan juga Suara Perkasa yang secara jelas mempunyai unsur hasutan dan perkauman," kata Zuraida.

Ahli Parlimen Subang, Sivarasa Rasiah pula menegaskan terbitan akhbar akan diteruskan dan beliau menyatakan kelewatan terbitan disebabkan oleh karenah KDN yang sentiasa membuat pemantauan kerana takut rakyat terus mendapat maklumat yang jelas terhadap pentadbiran kerajaan.

"Saya juga tegaskan kita terus terbit akhbar terbabit dan kelewatan terbitan ini disebabkan pemantauan yang dilakukan oleh KDN. Sikap sedemikian ini jelas Umno-BN menggunakan KDN untuk memastikan akhbar terbabit tidak diterbit bagi mengelak rakyat mendapat maklumat yang tepat.

"Sepatutnya KDN menggunakan saluran undang-undang yang betul jika ingin menghalang penerbitan bukan menggunakan kuasa politik pemimpin tertentu.

Sekarang jelas wujudnya tekanan politik kerana KEADILAN mahupun Suara Keadilan belum lagi disabitkan salah oleh Mahkamah tetapi KDN telah mengambil sikap yang terburu tanpa menunggu keputusan mahkamah," jelas Sivarasa.

Selepas sidang media tersebut Tian telah menyerahkan senaskah akhbar Keadilan kepada Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz yang ketika itu berada di lobi parlimen.



* Sumber http://Suara-Keadilan.com

No comments: