Wednesday, July 28, 2010

STESEN-STESEN BAS DI BERA HEBAT TETAPI BAS TIADA!


Stesen Bas Utama Bandar Bera, Kerayong kelihatan lengang kerana ketiadaan bas.
Stesen Bas Triang yang begitu selesa dan moden kelihatan lengang kerana ketiadaan bas.

BANDAR BERA, 28 JULAI 2010:

Hampir kebanyakan penduduk di daerah Bera mengetahui bahawa daerah ini mempunyai dua buah Stesen bas yang dikira agak baru dan selesa iaitu terletak di Bandar Bera dan juga di Triang.

Tetapi yang menjadi persoalannya ialah sungguh pun stesen-stesen bas tersebut begitu moden dan baru, kekurangan dan ketiadaan bas untuk ke beberapa destinasi didalam daerah dan luar daerah ini terus menjadi persoalan orang ramai.

Sehingga kini hanya terdapat bas yang beroperasi dari Bandar Temerloh yang menghubungkan secara terus ke Bandar Bera, Triang dan beberapa perkampungan felda seperti Mayam, Purun serta Sebertak.

Manakala bas daripada pekan Bahau Jempol turut menjalankan perkhidmatannya yang menghubungkan Bahau dengan Bandar Bera, Triang serta Kemayan, felda Bukit Mendi dan Tembangau.

Dengan hanya mengharapkan perkhidmatan bas dari kedua-dua daerah tersebut sudah pasti akan merugikan masa pengguna untuk ke destinasi yang lain kerana jarak kedua-dua daerah tersebut yang jauh pasti akan mengambil masa yang lama untuk sesebuah bas tersebut tiba di daerah Bera ini.

Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Cabang Bera melahirkan rasa kesal dan hairan kenapa tiadanya syarikat bas yang beroperasi secara terus dari daerah Bera ini juga adalah antara punca utama kenapa perkhidmatan awam didaerah ini sangat lemah dan ini juga antara punca yang tidak membantu untuk menjadikan Bera sebagai daerah yang mempunyai destinasi pelancongan yang hebat walaupun daerah ini memiliki Tasik Bera yang cukup dikenali ramai.

Sepatutnya sudah tiba masanya daerah Bera ini mempunyai satu rangkaian perkhidmatan basnya sendiri untuk kemudahan pengguna terutamanya para pelancong.

Dengan status YB Ahli Parlimen Bera sebagai salah seorang daripada Menteri Kabinet Persekutuan, sudah pasti campur tangan beliau untuk mengadakan satu perkhidmatan bas sendiri didaerah Bera ini amatlah diperlukan sekarang.

Gambar-gambar yang disertakan disini adalah antara bukti bahawa perkhidmatan awam seperti bas disini amatlah diperlukan dan usahlah dibiarkan selamanya kedua-dua stesen bas ini dipenuhi oleh kenderaan yang lain selain daripada bas!

No comments: