SHAH ALAM:
Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan fitnah terbaru Umno-Barisan terhadap dirinya melalui apparatus propaganda mereka, Utusan Malaysia yang dipintal daripada sebuah blog menunjukkan ketandusan idea dan hilang integriti sebagai sebuah organisasi media yang bebas.
Ketika menghantar komen beliau semasa mengerjakan ibadah umrah di Mekah bersama Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail, Anwar berkata kempen fitnah yang dilancarkan Utusan Malaysia sekian lama terhadapnya hanya semata-mata berasaskan dendam dan kebencian.
"Alhamdulillah saya dan Azizah dapat menunaikan ibadat umrah dengan tenang. Doa kami moga umrah mabrur, sa'i mashkur dan amalan solehah.
"Rupa-rupanya tatkala di Makkah al Mukarramah, serangan fitnah bertali arus ditujukan kepada peribadi saya. Namun apa yang baru? Pencak mereka hanyalah fitnah, jika tidak agen Cina, India pastinya tali barut CIA. Khabar ini langsung tidak mengejutkan. Apatah lagi walau Umno-BN punyai dana puluhan juta, kemiskinan idea begitu terserlah apabila mahu memintal fitnah.
"Hanya dengan mengutip tulisan blog Elaine Supkis (kononnya blog terkenal) dan kenyataan seseorang yang bernama Joshua Trevino, Utusan Malaysia milik Umno, tanpa berpandukan etika kewartawanan mulai satu kempen dangkal dan berakarkan kebencian.
"Terpampang di muka hadapan fitnah 'Anwar Agen CIA'. Pimpinan Umno pula bersahuti-sahutan menyokong. Tidakkah mereka sedar rakyat Malaysia mual untuk disogok dengan berita sedemikian. Hari ini terungkailah segala pembohongan yang dipintal serta dianyam pimpinan Umno yang diketuai Dato' Sri Najib Razak. CNN telahpun mengeluarkan satu kenyataan bahawa organisasi media tersebut tidak menerima sebarang bentuk bayaran dari saya. Kemunculan saya untuk ruang 'Connect The World' merupakan keputusan penerbit program tersebut," jelas Anwar.
Anwar menegaskan penafian keras yang dibuat CNN mendedahkan perancangan Utusan Malaysia untuk terus merencana fitnah ke atas beliau.
"Penafian CNN bukan sahaja meruntuhkan bongkah penipuan media berhaluan kanan ekstrem seperti New Ledger, namun mendedahkan makar Utusan selaku lidah rasmi Umno yang berusaha memfitnah saya. Malahan organisasi CNN yang berpengkalan di Hong Kong berpandangan adalah janggal mengapa tiada usaha dari pihak Utusan untuk mendapatkan kepastian dari pihak mereka. Namun bagi kita tidaklah mengejutkan kerana mengetahui peranan Utusan yang selama ini sudahpun luluh integritinya sebagai sebuah organisasi yang bebas," kata Ketua Pembangkang lagi.
* Sumber http://Suara-Keadilan.com
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment