Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Cabang Bera memandang serius akan kekecewaan beberapa peniaga di kawasan Pusat Pertumbuhan Desa Simpang Sebertak sebagaimana yang disiarkan didalam Akhbar Sinar Harian (Zon Bera) hari ini 09 Julai 2010 (Sila rujukan petikan akhbar dibawah) yang mendapati empat pintu lot kedai dikawasan tersebut masih lagi terbiar tanpa memulakan operasi perniagaan.
Keadaan itu menjadikan kedai-kedai tersebut terbiar yang boleh mengundang gejala yang tidak sihat seperti melakukan vandalism terhadap kedai-kedai tersebut disamping kebimbangan masyarakat setempat sekiranya ada aktiviti yang tidak bermoral berlaku didalam kedai yang terbiar itu.
Walaupun kedai tersebut telah di anugerahkan kepada yang berjaya tetapi sehingga kini masih tidak kelihatan untuk mereka memulakan operasi dan ini amatlah menghairankan kepada mereka yang benar-benar ingin berniaga dikawasan tersebut apatah lagi kawasan Simpang Sebertak ini merupakan tempat yang strategik untuk mencari rezeki di Felda Gugusan Bera ini.
Justeru itu KEADILAN Cabang Bera juga berharap agar mereka yang telah berjaya memperolehi kedai tersebut agar menyegerakan operasi perniagaannya dan tindakan Majlis Daerah Bera (MDB) yang telah mengeluarkan surat amaran dan peringatan kepada peniaga terbabit supaya segera membuka kedai di situ amatlah wajar sebagaimana yang telah disyaratkan.
Perkara ini diakui sendiri oleh oleh Yang Dipertua MDB, Datuk Ahmad Daud dan KEADILAN Cabang Bera berharap agar MDB bertindak dengan sewajarnya sekiranya peniaga-peniaga tersebut masih gagal untuk menjalankan operasinya.
SINAR HARIAN EDISI PAHANG - ZON BERA , 09 JULAI 2010
Tajuk: Kecewa Lot Kedai Terbiar
SIMPANG SEBERTAK – Beberapa peniaga melahirkan rasa kecewa, apabila lot kedai di bangunan Majlis Daerah Bera (MDB) di sini, masih tidak dibuka pemiliknya.
Apa yang mengecewakan mereka, peniaga yang berjaya memperoleh kedai di bangunan itu seolah-olah tidak bersyukur, sedangkan ada peniaga lain yang lebih memerlukan lot kedai berkenaan, gagal memperolehnya.
Pengerusi Penaja Pusat Pertumbuhan Desa Simpang Sebertak, Rosli Abu Kassim berkata, terdapat empat pintu lot kedai yang sudah diberikan kepada peniaga yang berjaya dalam temu duga, tetapi gagal membuka perniagaan mereka di situ hingga kini.
Menurutnya, keadaan itu bukan sahaja menyebabkan kedai berkenaan terbiar, tetapi mengundang lebih ramai remaja melakukan vandalisme, sehingga menyebabkan pintu dan tingkap mengalami kerosakan.
“Apabila mereka diberi peluang ini, sepatutnya mereka menggunakannya sebaik mungkin. Bukannya berlumba-lumba memohon lot kedai itu dengan peniaga yang benar-benar memerlukan tapak untuk berniaga,” katanya kepada Sinar Harian.
Rosli berkata, selain pintu kedai diconteng, beberapa keping tingkap turut dipecahkan individu tidak bertanggungjawab.
Katanya, ada kemungkinan lot kedai kosong itu digunakan mereka untuk melakukan aktiviti tidak sihat yang boleh menyumbang kepada peningkatan gejala sosial di kawasan tanah rancangan berhampiran.
Tinjauan Sinar Harian mendapati, bangunan kedai tersebut sememangnya boleh menjadi tempat individu melakukan perbuatan negatif kerana ia agak tersorok daripada pandangan orang ramai.
Rosli berkata, keadaan semak di belakang bangunan kedai itu juga boleh menjadi habitat haiwan berbisa seperti ular atau sebagainya dan keadaan itu boleh mengancam penduduk berhampiran.
“Kita mahu MDB tegas dalam perkara ini. Jika peniaga yang layak itu tidak mahu membuka perniagaan mereka, sepatutnya mereka boleh membatalkan kelulusan peniaga terbabit.
“Masih ramai peniaga yang berebut-rebut untuk berniaga kerana kawasan ini merupakan lubuk rezeki, lebih-lebih lagi ia terletak di tengah-tengah Felda Gugusan Bera,” katanya.
Mengulas perkara itu, Yang Dipertua MDB, Datuk Ahmad Daud berkata, MDB telah mengeluarkan surat kepada peniaga terbabit supaya segera membuka kedai di situ.
“Dalam surat itu juga dinyatakan tempoh untuk mereka membuka perniagaan di bangunan tersebut. Sekiranya gagal, MDB boleh mengambil tindakan sewajarnya,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.
http://www.sinarharian.com.my/pahang/content/story7923751.asp
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment