Saturday, July 3, 2010

KDN HENTIKAN PENERBITAN SUARA KEADILAN

SHAH ALAM 02 JULAI 2010:

Kementerian Dalam Negeri (KDN) hari ini secara rasmi memaklumkan pemberhentian penerbitan akhbar rasmi Parti Keadilan Rakyat, Suara Keadilan atas alasan permitnya telah tamat pada 30 Jun lalu.

Dalam surat yang dikirim Ketua Setiausaha, KDN berkata tidak berpuashati dengan penjelasan yang diberikan oleh akhbar berhubung surat tunjuk sebab yang dihantar ke kementerian itu bertarikh 29 dan 30 Jun lalu.

Surat tersebut yang dihantar dengan tangan dialamatkan kepada Pengarang Suara Keadilan, Dzulkarnain Taib.

Menurut KDN, Panel 13 Kementerian tersebut yang menilai permit penerbitan dan lesen mesin cetak tidak berpuashati dengan penjelasan yang terkandung dalam surat jawapan yang diterima kementerian itu berhubung artikel yang disiarkan Suara Keadilan bertajuk 'Felda Bankrap' dalam isu 237 bertarikh 22 Jun hingga 29 Jun lalu.

"Sila ambil perhatian bahawa panel 13 KDN belum lagi mempertimbangkan permohonan pembaharuan permit penerbitan bagi Suara keadilan. Justeru itu, permit bagi penerbitan Suara keadilan kini tidak lagi sah sehingga satu keputusan mengenainya dikeluarkan oleh kementerian ini,"ujarnya.

Selain itu, KDN juga telah mengeluarkan surat kepada pencetak akhbar Suara Keadilan untuk menghalang syarikat itu mencetak akbar berkenaan yang dianggap sudah tamat tempoh sah laku.

KDN juga telah menyenaraikan lampiran butiran pelanggaran syarat dan tindakan yang diambil terhadap Suara Keadilan yang dilampirkan bersama dalam surat berkenaan.

Antaranya berhubung kegagalan Suara keadilan menghantar lapan naskah dengan segera ke kementerian sebaik ia dicetak untuk semakan pihak kementerian pada 7 Januari 2010.

Suara Keadilan juga diberi surat nasihat bertarikh 23 Febuari 2010 berhubung isu di muka surat 3 bertajuk "Umno-BN Ketagih Sedut Hasil Petronas", "BN Bolot, Jual Saham Bernas" dan isu di muka surat 12 bertajuk "Umno-BN Rosakkan Institusi Perubatan".

KDN sekali lagi menghantar surat nasihat pada 8 April 2010 berikutan kegagalan Suara Keadilan menghantar lapan naskah ke kementerian itu bagi tujuan semakan selepas ia dicetak.



* Sumber http://Suara-Keadilan.com

No comments: