Wednesday, December 24, 2008

KETUA BAHAGIAN BERA DI PPSMI 16/12/2008

Gambar Ketua Bahagian PKR Bera, Tn Hj Abas Awang

Pada 16 Disember 2008 yang lalu, Parti Keadilan Rakyat (PKR) Bahagian Bera begitu berbangga apabila Ketua Bahagian Tn Hj Abas Awang telah dijemput untuk menghadiri sidang meja bulat bagi membincangkan tajuk “Perlaksanaan Pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI)” baru-baru ini di Putrajaya International Convention Centre (PICC). Hampir 300 orang yang mewakili daripada pelbagai peringkat samada NGO, persatuan penulis serta badan politik diseluruh negara turut menyertainya.

Tn Hj Abas Awang yang juga Mantan Pengarah Pelajaran Wilayah Persekutuan adalah seorang yang berpengalaman luas didalam dunia pendidikan selama 33 tahun. Persidangan meja bulat untuk PPSMI ini di pengerusikan oleh Timbalan Menteri Pelajaran, Dato Dr Wee Ka Siong serta turut dihadiri oleh Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Dato Alimuddin Mohd Dom.

Menurut Tn Hj Abas lagi, Amatlah malang apabila hanya 40% wakil-wakil daripada badan-badan yang mewakili orang melayu menentang PPSMI ini dengan pelbagai alasan manakala 60% pula menyokong agar PPSMI ini diteruskan. Manakala kaum cina yang dihadiri oleh pelbagai kumpulan serta parti-parti cina baik daripada parti kerajaan atau pembangkang sepakat untuk menolak secara total penggunaan PPSMI ini.

Beberapa rumusan dan alasan menurut Tn Hj Abas telah disepakati didalam menolak kenapa PPSMI tersebut tidak harus diteruskan antaranya ialah seperti berikut:

1) Untuk menegakkan sebagai Negara bangsa, identity sesebuah Negara boleh dikenali melalui penggunaan serta penguasaan bahasa yang utama terutamanya sebagaimana Indonesia, Thailand atau Jepun yang menekankan hanya penggunaan satu bahasa sahaja walaupun berbagai kaum yang ada didalam Negara tersebut.

2) Mengikut pandangan pakar-pakar bahasa, dengan penggunaan bahasa ibunda sahaja seseorang itu boleh menguasai bidang-bidang yang berasaskan ilmu teknikal dan ini telah dibuktikan dikebanyakan Negara yang maju itu sendiri seperti Jerman, Perancis dan sebagainya lagi.

3) Penggunaan PPSMI telah membesarkan lagi jurang diantara sekolah luar Bandar dan Bandar-bandar besar kerana pelajar-pelajar dikampung yang gagal untuk menguasai ilmu tersebut apatah lagi setelah PPSMI dijalankan.

Walaupun diakhir perbincangan meja bulat ini pihak Kementerian Pelajaran masih tidak mendapat keta putus melalui kenyataan yang diberikan oleh Timbalan Menteri Pelajaran tersebut tetapi sekurang-kurangnya pihak yang berkenaan perlu tahu betapa PPSMI ini sebenar-benarnya gagal.

Wednesday, December 17, 2008

TRAGEDI BUKIT ANTARABANGSA MEDAN PEMIMPIN UMNO / BN MEMPOPULARKAN DIRI

1) Suasana runtuhan tanah dari atas bukit

2) Keadaan sebuah rumah yang hampir ranap sepenuhnya akibat runtuhan


Tragedi tanah runtuh yang berlaku di Bukit Antarabangsa pada 6 Disember 2008 lalu telah dijadikan oleh para pemimpin UMNO / BN medan untuk mempopularkan diri kepada rakyat kononnya mereka inilah yang prihatin serta mengambil tahu masalah yang di hadapi oleh rakyat. Apabila kita melihat kehadiran mereka ini yang kadang-kala kehadiran mereka ini boleh dipertikai tentang apakah peranan mereka serta untuk apa sepatutnya hadir kesitu.

Sebagai contohnya apabila para menteri serta pemimpin-pemimpin utama dari pelbagai parti komponen BN ini yang hadir dengan pelbagai kenyataan yang dikeluarkan sehingga boleh mengelirukan orang ramai dan menjadi satu medan untuk mereka pula mengambil kesempatan untuk mempromosikan diri masing-masing. Kehadiran yang ramai baik daripada Menteri-menteri serta wakil-wakil rakyat BN, Kawasan kejadian ini juga turut dihadiri oleh para pemimpin semau peringkat seperti Pemuda, Wanita dan juga Puteri. Semuanya mempunyai matlamat yang satu.

Seperti kehadiran Ketua Menteri Melaka YAB Datuk Seri Ali Rustam yang juga calon Timbalan Presiden UMNO yang datang dari jauh semata-mata ‘kononnya’ begitu prihatin tentang apa yang menimpa penduduk di Bukit Antarabangsa ini. Apakah masalah rakyat di negeri Melaka telah selesai yang membolehkan Ketua Menteri ini hadir dari jauh semata-mata kerana bersimpati kepada penduduk disini?

Bagi saya, Selain Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri, kehadiran beberapa orang yang cukup dikenali ini seperti antara lain lagi, Tan Sri Mohamad Mohamad Taib juga calon Timbalan Presdien UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin (calon Timbalan Presiden UMNO) , Dato’ Ahmad Sabery Chik (calon MT UMNO), Dato’ Halimah Sadiq (calon MT UMNO), serta beberapa orang tokoh menteri serta yang berjawatan didalam UMNO terutamanya hanyalah sekadar mempromosikan diri masing-masing menjelang pemilihan didalam UMNO terutamanya yang melibatkan jawatan no 2 didalam parti itu sendiri.

Kehadiran Mukhriz Mahathir biar pun atas nama NGO Aman Malaysia, itu juga adalah medan masing-masing untuk mempromosikan diri untuk jawatan Ketua Pemuda UMNO pada pemilihan yang akan datang. Apakah sumbangan yang boleh dilakukan oleh Dato Seri Khir Toyo dan juga Khairi Jamaluddin ke sana? Kalau tidak medan untuk mereka mempromosikan diri untuk jawatan yang sama?

Mungkin kehadiran Khir Toyo sedikit menonjol kali ini dengan hadirnya beliau semata-mata untuk ‘menghentam’ kerajaan Selangor pimpinan Pakatan Rakyat yang kononnya tidak pandai serta reti untuk memantau segala projek-projek yang sedang dijalankan dilereng-lereng bukit di Bukit Antarabangsa itu sendiri? Mereka semua ini hadir dengan niat yang sama, iaitu ‘menolong’ orang yang didalam kesusahan. Keprihatinan mereka yang melampau ini telah dijadikan isu yang cukup hebat di berita-berita media utama negara ini. Mereka lah semuanya yang begitu mengambil berat tentang permasalahan yang dihadapi oleh rakyat di sana.

Namun Khir Toyo lupa agaknya apabila apabila 99 projek yang berada dilereng bukit adalah diluluskan oleh kerajaan lalu dan satu persoalan yang diketahui semua ialah bagaimana projek-projek ini boleh diluluskan sedangkan pada tahun 2001 sudah ada garis panduan yang diwartakan yang disebut 'Total Planning Guide Line' yang dikeluarkan oleh Jabatan Perancang Bandar dan Desa, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan. Dalam garis panduan tersebut telah menetapkan pembangunan di kategori tiga iaitu cerun diatas 25 darjah dan empat iaitu cerun diatas 35 darjah mestilah dihentikan serta merta. Garis panduan serta undang-undang ini sudah ada sejak 2001 tetapi kelulusan masih diberikan untuk semua projek-projek ini pada tahun 2004 sehingga 2007. Maknanya undang-undang tidak dihormati!

Apa pula peranan calon Ketua Wanita UMNO Dato Seri Sharizat Jalil kalau tidak mempunyai matlamat yang sama? Ini semua telah dijadikan modal oleh mereka terutamanya menjelang pemilihan UMNO nanti. Kenapa ketika rakyat yang kehilangan tempat tinggal akibat operasi meroboh rumah di Plentong dan Batu Berembang tidak dihadiri oleh mereka semua ini? Alangkah bagusnya kalau masalah rakyat yang ‘terlebih’ bawah ini di bantu dan diberikan keutamaan kerana mereka ini orang biasa yang tiada harta benda untuk memungkinkan mereka berada di tempat yang ‘high class’ seperti di Bukit Antarabangsa itu sendiri.

Saya juga berasa pelik apabila ramai para pemimpin UMNO ini begitu ‘pandai’ mengeluarkan berbagai kenyataan yang berbentuk teknikal dari sudut kejuruteraan. Bermacam kenyataan yang dikeluarkan seolah-olah perkara yang berlaku ini adalah kerana sistem perlaksanaan dan penyelenggaraan yang berlaku di lereng-lereng bukit ini tidak mematuhi piawaian yang telah di tetapkan. Ada juga membuat kenyataan yang begitu lucu bunyinya sedangkan para pengamal kejuruteraan begitu cermat sekali mengeluarkan kenyataan dari pelbagai aspek.

Saya sebagai salah seorang yang terlibat secara langsung didalam bidang kejuruteraan ini merasakan kenyataan yang dibuat oleh mereka (pemimpin UMNO / BN) ini kadang-kadangnya merasa hairan kerana mereka ini semuanya berani mengeluarkan kenyataan yang boleh menyebabkan rasa gundah dan ketakutan penduduk yang berhampiran dengan tempat kejadian tersebut.

Begitu juga bila Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Dato Seri Ong Ka Chuan yang turut memberikan kenyataan yang bersifat tidak matang apabila menafikan kejadian yang berlaku ini adalah berpunca daripada kecuaian manusia! Mungkin kenyataan beliau ini juga adalah bagi menunjukkan kepada Perdana Menteri bahawa beliau seorang yang buat kerja walaupun telah kalah didalam pemilihan Timbalan Presiden MCA baru-baru ini. Tidak semestinya yang kalah tidak boleh dikekalkan sebagai menteri lagi?

Secara peribadi, hanya kenyataan daripada Menteri Kerja Raya, Dato Ir Mohd Zin Mohamad sahaja yang saya rasa boleh dipakai serta diambil kira berdasarkan pandangan beliau sebagai seorang yang pernah terlibat sebagai pengamal kejuruteraan. Beliau mengakui bahawa segala yang berlaku di Bukit Antarabangsa ini adalah berpunca daripada kecuaian manusia. Kenyataan beliau ini telah disambut oleh semua penduduk di Bukit Antarabangsa ini sebagai kenyataan yang tidak terburu-buru apatah lagi untuk menyalahkan faktor alam semata-mata.

Itulah hakikat apabila kehadiran mereka semua ini hanyalah sekadar medan untuk mempopularkan diri sahaja. Itulah jadinya apabila ada beberapa orang dikalangan mereka ini yang begitu ghairah mengeluarkan kenyataan-kenyataan berbentuk ‘teknikal’ secara tidak langsung telah menonjolkan mereka ini kepada umum yang kononnya mereka begitu mengambil tahu serta arif sangat-sangat tentang apa yang berlaku serta bakal berlaku! Secara tidak langsung juga mereka ini mengambil berat yang ‘teramat sangat’ kepada rakyat. Oleh yang demikian inilah pemimpin yang perlu ada dan perlu diberi jawatan ketika pemilihan UMNO Mac 2009 nanti pada pandangan ‘puak-puak’ UMNO ini. Inilah yang dikatakan pemimpin bersama rakyat setiap masa kononnya.



*Dipetik dari blog http://ingeniur.blogspot.com

Wednesday, December 3, 2008

SEKITAR KONGRES NASIONAL PKR 2008

1) Sebahagian daripada barisan perwakilan dari Negeri Pahang bergambar bersama Sdr Zakaria Abd Hamid, berbaju melayu merah (Pengerusi PKR Pahang)

2) Ketua Bahagian Rompin, Sdr Rabidin @ Wak begitu bersemangat mengangkat papan tanda 'Ketuanan Rakyat'

3) Sdr Hamzah Bawa, Timbalan Ketua PKR Bera sedang kusyuk mendengar ucapan dasar Presiden

4) Kelihatan 2 dari kanan, Sdr Amir (Naib Ketua 1 PKR Bera) sedang berbual bersama Sdr Zaidi (Setiausaha PKR Pekan) ketika sedang menikmati makan tengahari

5) Jamuan Makan Malam anjuran AMK Malaysia di ruang legar Stadium Shah Alam.

SHAH ALAM 29-30 NOVEMBER 2008: Antara suasana dan persekitaran yang dirakamkan ketika di Kongres Nasional Ke 5 Parti Keadilan Rakyat yang berlangsung di Stadium Malawati, Shah Alam, Selangor. Antara perwakilan PKR Bahagian Bera yang turut kelihatan ialah Sdr Hamzah Bawa, Sdr Amir, Sdr Muthusamy, Sdr Shakri, Sdr Rizan, Sdr Bob Manolan dan Sdr Sarawanan.

KATA-KATA EMAS DATO' SERI WAN AZIZAH WAN ISMAIL

Salam pada semua,

Antara sedutan Ucapan Dasar Presiden, Dato' Seri Wan Azizah Wan Ismail ketika di pembukaan Kongres Nasional PKR 2008 yang begitu menarik untuk di fahami oleh semua golongan rakyat Malaysia tentang aspirasi perjuangan parti ini. Sedutan yang saya petikkan ini begitu menarik perhatian dan amat mendalam maknanya serta mudah untuk difahami dan di hadzamkan. Antaranya ialah,

"KeADILan tertubuh hasil dari hasrat perjuangan dan doa rakyat yang inginkan perubahan dalam politik negara. Agenda kita adalah agenda rakyat. Gerakan kita adalah gerakan parti politik yang berlandaskan sistem demokrasi. Justeru kita tidak akan mampu mencapai kemajuan sekiranya kebebasan berfikir dan hak untuk mengemukan pandangan di nafikan..."

"Pelan ransangan RM 7 Billion yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan yang baru gagal memberi keyakinan kepada rakyat dan pelabur. Justeru tidak hairanlah berlaku pengucupan kepada kemasukan Pelaburan Langsung Asing (FDI) kedalam negara. Laporan terbaru United nations Conference on Trade and Development World Investment Reprt 2008, mendapati pengaliran keluar FDI secara besar-besaran mencecah RM 38 Billion pada tahun 2007"

"KeADILan menegaskan peralihan kuasa tersebut (dari Dato' Seri Abdullah Badawi kepada Dato' Seri Mohd Najib Abd Razak) tidak akan memberi sebarang perubahan positif kepada kerosakan sistem pentadbiran utama negara seperti Badan Kehakiman, Institusi Polis, Badan Pencegah Rasuah dan Institusi Parlimen"

"Meskipun terlalu besar halangan yang cuba dilakukan kerajaan Pusat, namun berkat iltizam yang kuat pimpinan, kita telah mampu melaksanakan sebahagian janji-janji kita kepada rakyat. Contohnya di Selangor ini, kita telah memberi bekalan air percuma kepada rakyat termasuk ahli-ahli UMNO, menitikberatkan pendidikan anak-anak Selangor, prihatin kepada golongan warga emas dan para ibu tunggal dan berbagai kemudahan lagi, semuanya tanpa mengambil kira ideologi politik sama sekali"


SUARA KERAMAT DR SYED HUSSIN ALI


Dr Syed Husin Ali, Timbalan Presiden PKR merupakan orang lama dalam politik. Kehidupan yang penuh ranjau didalam memperjuangkan hak-hak selaras dengan prinsip-prinsip demokrasi di negara ini membuatkan beliau sesungguhnya seorang yang 'hebat' di arus politik negara kita ini semenjak tahun 50an lagi. Berikut sedutan ucapan beliau ketika di perasmian Kongres Nasional Angkatan Muda Keadilan Malaysia 2008 yang berlangsung baru-baru ini.

"Saya percaya kerajaan PAKATAN tidak akan membalas dendam dengan mengarahkan mana-mana jabatan menurunkan bendera UMNO dan parti-parti sekutunya apabila mereka mengadakan perhimpunan tahunan. Saya yakin pimpinan kerajaan kita tidak berhati kecut seperti para pemimpin kerajaan tidak adil dan korup yang kita ganti"

"Untuk menaikkan suhu kepanasan suasana perkauman, mereka membangkitkan bermacam-macam isu. Di Pulau Pinang menimbulkan soal Dasar Ekonomi Baru (DEB) dan kedudukan istimewa orang Melayu, dan di Perak pula mereka membesarkan soal kedaulatan raja-raja. Di Selangor pula misalnya, beberapa orang pemimpin UMNO dan media mereka membangkitkan isu ladang Babi. Walhal merekalah, semasa berkuasa dalam kerajaan, yang mula-mula meluluskan projek itu, dengan tujuan untuk membuka ruang serta peluang perniagaan serta keuntungan bagi kroni-kroni mereka"

"Mereka (pengundi) memberikan mesej agak jelas bahawa parti yang melaksanakan dasar, menjalankan kempen dan mengambil tindakan membela hak satu kaum sahaja dan menafikan hak kaum lain semakin tidak di terima"

"Fasal 5.10 dalam Perlembagaan KeADILan menegaskan, 'Berdasarkan prinsip keadilan, memastikan kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputra Sabah dan Sarawak digunakan khusus untuk menaikkan taraf sosio-ekonomi mereka yang miskin dan terbiar, serta pembelaan yang adil bagi golongan bukan Melayu dan bukan Bumiputra yang terbiar, demi mencapai kesaksamaan untuk perpaduan nasional"

"Sudah tentu kita mahukan kemudahan sosial dan layanan lebih baik dari segi undang-undang bagi rakyat biasa. Sudah tentu kita tidak ingin melihat mereka terus hidup dalam gobok buruk yang digelar 'haram' atau diasak beramai-ramai ke flet yang sempit tanpa kemudahan yang lebih berperikemanusiaan"

Dipetik dari Blog http://ingeniur.blogspot.com

CAWANGAN BARU ORANG ASLI DI BUKIT ROK & IBAM


1) Tn Hj Abas Awang, Ketua PKR Bera menerima borang kemasukan daripada ahli baru

2) Sdr Bob Manolan selaku Ketua AMK Bera sedang menyampaikan ucapan aluan

3) Tn Hj Suhaimi sedang memberi taklimat kepada penduduk

4) Para penduduk yang hadir untuk menyertai majlis penyerahan borang PKR ini. Kelihatan juga Sdr Sarawanan Exco AMK Malaysia turut hadir untuk memberi sokongan di majlis yang bersejarah ini.

BERA 22 NOV 2008: Parti Keadilan Rakyat Bahagian Bera mengorak langkah kedepan lagi apabila semakin ramai kaum asal atau keturunan orang asli telah mula menyertai PKR secara beramai-ramai. Terbaru apabila seramai 63 orang orang asli telah menubuhkan cawangannya yang terbaru iaitu di Bukit Rok & Ibam, Bera Pahang.
Kemasukan seramai 63 orang ini adalah rentetan daripada 2 kemasukan beramai-ramai dahulu apabila kebanyakan orang asli di Pos Iskandar (178 orang) dan Tasek Bera (22 orang) menyerahkan borang ketika pimpinan PKR Bera hadir ke program mereka disana.
Perasmian cawangan terbaru PKR ini telah dilakukan oleh Sdr Ram, Timbalan Pengerusi PKR Negeri Pahang. Antara yang turut hadir ke program selama sehari ini ialah Tn Hj Abas (ketua PKR Bera), Tn Hj Suhaimi (Ketua Penerangan PKR Pahang merangkap Ketua PKR Kuala Krau), Sdr Hamzah Bawa (Timbalan Ketua PKR Bera), Sdr Amir Abd Aziz, Sdr Muthusamy dan Cikgu Malek (Naib-naib Ketua PKR Bera). Turut hadir ialah Exco AMK Malaysia Sdr Sarawanan serta kepimpinan AMK Bera.

Majlis ini yang diusahakan oleh Sdr Bob Manolan yang juga Ketua AMK Bera telah berjaya menarik minat ramai penduduk orang asli untuk bersama-sama menyokong perjuangan parti ini. Sdr Tan Bin Ching Ching dan Sdr Jemadi Bin Mohamad masing-masing telah dipilih oleh ahli-ahli disini sebagai Ketua Cawangan PKR dan Ketua AMK Cawangan.
Semoga dengan penyertaan mereka ini, hasrat untuk kita menawan Parlimen Bera pada Pilihanraya Umum yang ke 13 akan tercapai, Insya Allah.

Tuesday, December 2, 2008

SEKITAR KONGRES AMK PADA 28/11/2008 ( II )

Gambar 1) Sdr Yusairi (Setiausaha AMK Temerloh) dan Sdr Nizam (AJK AMK Temerloh)

Gambar 2) Sdr Arman (Ketua AMK Pekan) 3 dari kiri bersama perwakilan AMK Pekan

Gambar 3) YB Yusmadi (MP Balik Pulau), Sdr Yasin (Bekas Ahli Kumpulan Nasyid Brothers) dan rakannya sedang menyampaikan lagu di Kongres AMK 2008.

Gambar 4) Sdr Ghani (Ketua AMK Besut), Sdr Shamsul (Ketua AMK Malaysia) dan Sdr Rizan

Gambar 5) Para Exco dan pimpinan menyanyi beramai-ramai bersama Sdr Yasin ketika di Kongres AMK 2008.


Lagi gambar-gambar serta peristiwa ketika di Kongres Nasional AMK 2008. Perhimpunan yang menemukan rakan-rakan lama dari seluruh negara ini sedikit sebanyak telah mengingatkan kembali pelbagai nostalgia lama sejak era Reformasi 1998 dahulu...

SEKITAR KONGRES AMK PADA 28/11/2008 ( I )

Gambar 1) Suasana di pentas utama Stadium Malawati ketika YBhg Syed Hussin hadir untuk merasmikan Kongres AMK & Wanita 2008

Gambar 2) Dari kiri Sdr Hamzah Bawa (Timb Ketua PKR Bera), Sdr Jamil (Ketua AMK Temerloh), Sdr Rizan dan Sdr Nizam (AJK AMK Temerloh) ketika jamuan makan Malam AMK 2008.

Gambar 3) Perwakilan AMK Bahagian Kuantan, Pahang

Gambar 4) Bersama perwakilan AMK Kuantan, Sdr Rizan dan Sdr Aeri (Ketua AMK Bentong)

Gambar 5) Bersama dengan perwakilan AMK Bahagian Bentong dan AMK Bahagian Pekan

Suasana ketika di Kongres Nasional Angkatan Muda Keadilan (AMK) pada 28/11/2008 lalu. Kongres AMK selama sehari suntuk ini telah dihadiri hampir 1000 perwakilan AMK dari seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak. Kongres AMK ini telah diadakan di Stadium Malawati, Shah Alam, Selangor Darul Ehsan.

Monday, November 17, 2008

JANGAN JADI 2 X 5

Sejak akhir-akhir ini banyak pandangan-pandangan serta komen-komen yang kekadang cukup 'merisaukan' kita terhadap pimpinan Pakatan Rakyat terutamanya dari PKR itu sendiri. Komen-komen yang bersertakan 'bukti' samada benar atau tidak benar sedikit sebanyak telah menyebabkan ramai pembaca terutamanya pengunjung internet itu sendiri boleh mempercayainya.

Terbaru lagi komen terhadap kepimpinan YB Fairus, Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang tentang segala tindak tanduk beliau selaku orang no 2 yang berada didalam pimpinan Kerajaan Pulau Pinang cukup merisaukan kita selaku pendokong Pakatan Rakyat.

Edisi terkini didalam pelbagai blog telah menceritakan bagaimana beliau gagal menjalankan tugas sebagai YB yang dipilih oleh YAB Ketua Menteri Pulau Pinang ketika berhadapan dengan pembangkang yang di ketuai oleh UMNO di DUN Pulau Pinang secara langsung telah mencalarkan imej beliau sebagai YB yang dihormati serta secara tidak langsung terhadap PKR serta kepimpinan Pakatan Rakyat itu sendiri.

Didalam hal ini, samada benar atau pun tidak kegagalan beliau yang cuba melarikan diri daripada tugas sebagai YB terhadap kerajaan Pulau Pinang atau rakyat di Dun beliau itu perlulah di ambil serius oleh kita semua sebagai pendokong kerajaan kini.

Episod terhadap YB Fairus ini bermula apabila 'komen' yang dibuat oleg YB Dato Seri Anwar Ibrahim suatu ketika dahulu terhadap beliau secara tidak langsung menyebabkan ramai yang mempercayai terhadap komen-komen terbaru terhadapnya. Samada bukti itu jelas ada ataupun tidak bukanlah persoalan sekiranya hal ini telah di tangani sejak awal.Dalam isu terbaru yang ditonjolkan samada oleh musuh politik beliau atau pun tidak, cukup merimaskan kita sekiranya benar. Isu yang dimainkan ini sedikit sebanyak boleh mengugat kepercayaan rakyat terhadap beliau terutamanya di Pulau Pinang. Komen-komen ini walaupun nampak nakal, boleh di lihat di blog http://alahaifairustkmpenang.blogspot Antara komen-komen yang telah dibuat terhadapnya adalah seperti berikut;

"Budak Fairus Ghaib; Setelah menyedari gilirannya yang akan tiba, budak Fairus yang duduk di antara Ketua Menteri Lim Guan Eng dan TKM 2 Prof Ramasamy, mula cari helah angkat kaki keluar dewan.Guan Eng yang sedar Timbalannya ghaib, mula mengarahkan staf dewan mencari budak Fairus di luar dewan dan menjemputnya masuk.

Tapi apa yang berlaku, beberapa minit kemudian staf tersebut memaklumkan budak Fairus memberitahunya, dia ‘sakit perut’ dan meminta Exco lain tolong jawab bagi pihaknya.Jadi, bagi nak menjaga air muka kerajaan negeri, Guan Eng meminta salah seorang Exco Abdul Malik Kassim menjawab soalan tersebut.

Ini bukannya kali pertama budak Fairus itu bertindak demikian. Pada sidang Dun kali pertama dulu selepas PR memerintah, si budak Fairus membuat tindakan yang sama. Ghaib tidak menjawab soalan nombor 1.Yang menjadi mangsa-Ketua Menteri Lim Guan Eng sendiri kena jawab demi menjaga air muka kerajaan negeri PR.Dia bukan sahaja membisu seribu bahasa sepanjang perbahasan dewan lalu, malah kerap kali masuk lewat dalam dewan. Budak Fairus ni hanya membaca teks pada sesi pengulungannya di akhir persidangan dewan. Waktu-waktu lain mulutnya terkunci rapat ! "

Bukan 1 atau 2 komen-komen terhadapnya dibuat tetapi cukup banyak. Adalah menjadi harapan kita semua semua agar semua komen-komen yang berbentuk negatif ini tidak lah benar. Dan sekiranya benar-benar berlaku berdasarkan teguran yang telah dibuat oleh DSAI suatu ketika dahulu terhadap beliau. adalah amat malang kerana kita masih mempunyai sifat dan tingkah laku yang hampir atau sama dengan YB-YB dari kalangan BN....Jangan kita jadi tidak ubah seperti mereka juga...jangan jadi 2 x 5....sama saja dengan mereka...

Kita tidak mahu mempunyai pemimpin yang bersikap tidak bertanggung jawab serta lari daripada tugas yang telah diamanahkan oleh parti dn rakyat. Kita mahu pemimpin kita rajin serta bertanggungjawab didalam menjalankan tugas. Kita mahu pemimpin kita di pandang serta dihormati oleh semua rakan-rakan didalam Pakatan Rakyat itu sendiri.


Dipetik dari http://ingeniur.blogspot.com

Wednesday, November 12, 2008

PEMIMPIN - OLEH RAKYAT, UNTUK RAKYAT

Sesudah subuh tadi, aku menatap kembali akhbar-akhbar perdana negara yang banyak bercerita serta di kuasai oleh cerita-cerita tentang hasrat calon ini bakal bertanding, calon ini tak layak bertanding, pelan peralihan wanita Umno, harapan calon-calon yang bakal bertanding...semuanya berkisar pemilihan parti keramat 'Melayu' (kata-kata pendukung Umno lah) yang bakal berlangsung bulan Mac 2008 nanti.

Satu episod sejarah yang amat penting dalam persejarahan Malaysia sebelum melangkah lebih jauh. Detik sejarah yang penting itu ialah saat-saat Dato' Onn Jaafar hendak meletakkan jawatan sebagai Presiden UMNO.

"Sebelum Dato' Onn meninggalkan UMNO satu perhimpunan Agung Khas telah diadakan di Hotel Majestic pada 23 dan 26 Ogos 1951. Dalam perhimpunan itu Tunku Abdul Rahman Putra telah dipilih menjadi Yang Dipertua Agung baru setelah mengalahkan lawan-lawannya dalam pertandingan 3 penjuru. Nama Tunku Abdul Rahman Putra telah dicalonkan oleh Encin Bahaman Shamsuddin. Beliau ditentang oleh Tuan Hj Ahmad Fuad, calon yang dikemukakan oleh Dato' Onn, Encik C.M.Yusuf dicalonkan oleh Raja Ayub bin Raja Bot dan Encik Tajuddin Bin Uda Isa"

* Catatan Tan Sri Dato' Abdul Samad Idris dalam bukunya 25 Tahun Merdeka

Banyak pengajaran dan kesimpulan yang boleh kita perolehi berdasarkan episod diatas. Salah satunya adalah tentang adanya pertandingan 3 penjuru merebut jawatan Yang Dipertua Agung (kini di panggil Presiden) dan telah ada kempen-kempen yang dijalankan bertujuan menaikkan calon masing-masing.

Misalnya Dato' Onn dalam ucapannya telah menyokong Haji Ahmad Fuad Hassan sebagai YDP Agung UMNO dengan alasan bahawa beliau seorang haji dan ulamak yang berkemampuan untuk memimpin. Tunku pula kerana pada pendapat ramai dicalonkan kerana pendidikan tingginya serta kewibawaannya memimpin kesatuan Melayu United Kingdom ketika menuntut dahulu serta status berdarah raja.

Persoalannya disini yang ingin diketengahkan ialah adakah calon-calon ini sendiri yang mendabik dada mengatakan dia seorang yang layak dan berkebolehan untuk memimpin? Jawapannya tidak kerana ini atas keyakinan orang ramai terhadap calon-calon tersebut.

Akhirnya Tunku dipilih sebagai YDP Agung UMNO berdasarkan status berdarah raja yang mana pada ketika itu orang melayu umumnya amat menyanjungi pada istana. Tetapi satu hal yang unik ialah sikap calon-calon yang lain yang kalah dalam pertandingan ini. Mereka tidak terus menarik diri tetapi sebaliknya terus patuh kepada keputusan mesyuarat yang berkehendakkan mereka menjadi Ahli Majlis Tertinggi UMNO.

Secara peribadi saya sengaja mengambil peristiwa ini kerana untuk membandingkan keadaan zaman sekarang dengan segala keadaan yang berlaku pada hari ini terutamanya dalam saat-saat perebutan jawatan pucuk pimpinan UMNO samada di peringkat cawangan, Bahagian dan seterusnya Majlis Tertinggi parti.

Berbagai isu sudah timbul sekarang, bermula dengan isu kuota dan kelayakan seseorang calon, lepas itu timbul isu politik wang yang telah hampir 2 dekad masih tidak padam-padam malahan semakin membara kehangatan isu rasuah wang didalam politik UMNO kini, wujudnya pula isu memilih pemimpin bukan berdasarkan keupayaan tetapi kerana faktor siapa yang lebih tinggi menawarkan imbuhan agar seseorang calon itu dipilih, sehinggalah kini isu terbaru dan cukup memalukan didalam parti yang dianggap keramat oleh pendokong parti cap keris ini ialah adegan tumbuk menumbuk serta baling membaling kerusi ketika mesyuarat agung UMNO diadakan telah mula 'dirasai' kehebatannya....

Keadaan yang sedemikian rupa tidak pernah berlaku kepada ahli UMNO pada zaman sebelum dan awal kemerdekaan negara. Jika pun ada hanya seorang dua sahaja. Sejarah Melayu juga tidak pernah mencatatkan tentang trend dan keadaan sedemikian berlaku didalam sistem politik orang melayu. Kenapa perkara ini harus berlaku kini?

Kemungkinan-kemungkinan yang ada antara lainnya ialah kerana telah terbukti kini bahawa tangga pertama untuk mencapai kejayaan dalam politik atau dalam perniagaan ialah dengan memenangi satu-satu jawatan didalam parti. Ekoran daripada inilah kalau kita melihat kini, kebanyakan yang menang adalah ahli perniagaan atau kontraktor yang semata-mata mengharapkan dengan kemenangan mereka ini menjaminkan segala macam jenis projek yang menghasilkan wang akan diperolehinya.

Kalau dahulu, UMNO kebanyakannya di pimpin oleh penghulu-penghulu, guru-guru atau kerani-kerani dan ahli-ahli agama yang mana mereka ini lebih dekat kepada rakyat dan tahu tentang permasalahan orang ramai. Berbanding kini semua itu telah menjadi sejarah. Bagi mereka kini, faktor tentang kebolehan, kelulusan, kejujuran, bertanggungjawab serta rapat dengan orang ramai tidak lagi berguna. Faktor wang yang banyak serta menjanjikan habuan yang lumayan sekiranya menang pada satu-satu jawatan itu lah kriteria yang paling diutamakan oleh perwakilan untuk memilih mereka.

Secara dasarnya, hal yang demikian telah cukup jauh menyimpang daripada amalan budaya Melayu. Hang Tuah dilantik menjadi Laksamana Melaka kerana kegagahan serta sifat kepahlawanannya, Datuk Bahamana bergelar Orang Kaya Semantan adalah disebabkan kegagahannya, Dato' Onn pula berdasarkan kepada kepandaian dan kebolehannya menyatukan orang Melayu dan begitu jugalah yang lain-lain didalam konteks keperibadian dan kehidupan orang Melayu. Kesemuanya dipilih berdasarkan kualiti, kebolehan dan daya kepimpinannya.

Sebagai akhirnya, apakah mungkin akan muncul pada masa akan datang seorang Perdana Menteri Malaysia yang menggunakan wang untuk mempengaruhi pemilihannya?


dipetik dari http://ingeniur.blogspot.com

Saturday, November 8, 2008

UMNO DAN RASUAH IBARAT LAGU DAN IRAMA

Ibarat Lagu dan Irama, begitulah juga Rasuah dan UMNO. Mesyuarat agung bahagian-bahagian parti UMNO diseluruh negara sejak 9 Oktober sehingga 9 November 2008 nanti turut tidak terkecuali dengan pelbagai isu yang diperkatakan orang daripada peringkat rakyat biasa sehingga lah ke peringkat pemimpin-pemimpin negara kita.

Hakikat ini telah diakui sejak awal lagi dan ianya mula serius sebagai satu barah dalaman kepada Umno itu sendiri sejak 2 dekad kebelakangan ini. Rasuah wang dan pelbagai lagi yang dijanjikan ketika pemilihan terutamanya lebih dikenali sebagai Politik Wang didalam parti yang dianggap 'keramat' oleh segolongan orang-orang melayu di Malaysia ini.

Kesan daripada politik atau pun dengan lebih mudah lagi bahasanya sebagai RASUAH ini juga sudah sampai ke peringkat kemuncaknya tahun ini apabila semua jawatan utama didalam Umno di peringkat tertinggi MT ini akan di pertandingkan pada perhimpunan agung UMNO Mac 2009 nanti.Berbagai pihak terutamanya didalam Umno sendiri telah ramai menimbulkan perkara tentang gejala politik wang ini.

Secara asasnya politik wang atau Rasuah ini telah mula berakar umbi apabila MT Umno memperkenalkan sistem kuota untuk setiap jawatan yang bakal di pertandingkan. Sistem ini secara tidak langsung telah menghalang daripada ahli-ahlinya secara bebas untuk bertanding walaupun secara jelas dan nyata didalam perlembagaan parti iaitu dengan setiap 2 percalonan sahaja, seseorang ahli di mana-mana peringkat pun boleh bertanding sebagai calon untuk jawatan-jawatan tertentu walaupun di peringkat jawatan Presiden parti!

Meninjau kembali sejarah sistem kuota ini diperkenalkan ialah bagi mengelak para ahli berebut-rebut untuk menjadi calon apabila berlakunya pertandingan didalam Umno yang cukup dahsyat pada tahun 1987 tatkala Tun Dr Mahathir Mohamad ketika itu sebagai Presiden parti telah ditentang serta diberi saingan yang sengit oleh Tengku Razaleigh Hamzah untuk jawatan Presiden parti. Akibat perpecahan sehingga pengharaman Umno itu sendiri pada tahun 1988 inilah maka pihak MT memutuskan agar sistem kuota perlu diperkenalkan untuk semua calon yang berhasrat untuk bertanding didalam Umno.

Namun begitu, akibat daripada syarat dan sistem kuota ini jugalah telah menyebabkan gejala rasuah didalam Umno membiak begitu cepat dan berkembang serta bercambah umpama 'cendawan tumbuh selepas hujan'. Tanpa mengambil kira pandangan serta nasihat ahli-ahli parti agar sistem kuota ini tidak perlu diadakan maka inilah akibatnya apa yang telah berlaku didalam parti melayu yang dianggap keramat ini.

Cuba bayangkan apabila di peringkat bawahan pun sistem kuota ini telah dilaksanakan telah pun dikaitkan dengan isu politik atau rasuah wang, apatah lagi sehingga di peringkat tertinggi parti? Apakah jaminan perkara seperti ini tidak akan berlaku? Keputusan pembatalan kemenangan serta hukuman pergantungan ahli terhadap bekas Naib Presiden UMNO Tan Sri Isa Samad oleh Jawatankuasa Disiplin Umno apabila beliau didapati bersalah terlibat dengan gejala politik wang atau dengan bahasa yang cukup mudah dan di fahami melakukan rasuah ketika pemilihan tahun 2004 ini telah membuktikan betapa pemimpin-pemimpin diperingkat parti lagi besar 'langkahnya' didalam polik wang ini.

Didalam Umno, apabila ahli-ahli dikaitkan dengan penglibatan mereka dengan politik wang, ianya tidak dianggap sebagai rasuah! Ini kerana didalam parti ini politik wang itu berbeza dengan rasuah wang walaupun ia turut melibatkan wang suapan!

Adalah suatu yang teramat pelik didalam keadaan Pak Lah sebagai Perdana Menteri berkata kita sebagai kerajaan yang bertanggungjawab akan membasmikan segala kegiatan rasuah dan selalu melaung-laungkan bencikan rasuah serta kita perlu bersama-sama membenteraskan rasuah secara besar-besaran di seluruh negara TETAPI pembenterasan gejala ini gagal untuk dilaksanakan didalam Umno agar ahli-ahli perlu bersama-sama membenci rasuah ini. Hakikatnya, perkara ini tidak berlaku didalam parti Umno pimpinannya sendiri!

Ibarat "Ketam mengajar anaknya berjalan lurus, tetapi ibunya sendiri pun berjalan tidak betul" itulah perumpamaan yang sesuai apabila Pak Lah bersungguh-sungguh agar kakitangan kerajaan serta rakyat jelata jangan mengamalkan budaya rasuah tetapi ahli-ahli Umno tetap mengamalkan rasuah tanpa boleh dikawal lagi.

ITULAH UMNO....IBARAT LAGU DAN IRAMA TIDAK BOLEH DIPISAHKAN, BEGITU JUGALAH RASUAH DAN UMNO BERPISAH TIADA....

Wednesday, November 5, 2008

"BERA WATER FRONT"

GAMBAR 1) Kelihatan 'Water front' di tepi laluan utama antara Bera-Temerloh yang begitu hampir dengan selekoh di Kampung Mengkarak, Bera.


GAMBAR 2) 'Water Front' yang telah siap mengadap Sungai Pahang tanpa di uruskan dengan baik.


Bera: Projek 'Bera Water Front' di Mengkarak yang pembinaannya telah dimulakan sejak akhir 2003 lalu kini telah didapati 'siap' pembinaan semenjak 5 bulan lalu. Menurut sumber, projek tersebut yang bernilai kira-kira RM 2 juta itu telah mengalami 'pasang surut' pembinaan sebanyak 2 kali dengan turut melibatkan masalah pada kontraktor yang terlibat.

Projek 'Bera Water Front' ini merupakan satu projek dibawah seliaan Majlis Daerah Bera (MDB) ini merupakan projek yang dilaksanakan untuk tujuan pengindahan di tepi sungai Pahang. Projek yang kelihatan sakit ini terpaksa mengambil masa hampir kira-kira 5 tahun untuk disiapkan sepenuhnya tetapi apa yang dikesali ialah, proses untuk menyiapkan projek ini amat menyedihkan dengan kerja-kerja yang tidak kemas, keadaan yang gelap pada waktu malam di kawasan tersebut serta juga didapati terdapat kesan rekahan pada lantai.

Disamping itu sebatang 'Bore Pile' (telah ditanam didalam sungai) yang terdapat di depan pondok jeti di Water Front ini juga menunjukkan betapa kerja-kerja penyiapan ini dilakukan secara tergesa-gesa.

Menurut penduduk berdekatan yang ditemui melahirkan rasa yang cukup kecewa dengan sikap pihak-pihak yang terlibat kerana tidak memantau projek ini secara dekat dan melahirkan kehairanan kenapa tapak disini yang dipilih untuk dijadikan Water Front di daerah Bera ini. Ini kerana menurutnya lagi, tapak yang disediakan ini tidak sesuai kerana terlalu hampir dengan jalan utama Bera-Temerloh dan berdekatan dengan selekoh yang sudah tentu membahayakan pengguna jalanraya sekiranya banyak kenderaan yang berhenti di tepi Water Front ini.

Seorang penduduk lagi berpendapat, sepatutnya projek ini boleh di buat di tepi sungai Triang yang berdekatan dengan pusat Bandar Bera serta sudah pasti amat sesuai dengan mercu tanda baru daerah Bera.

Tuesday, November 4, 2008

SEMINAR HARAPAN BARU UNTUK MALAYSIA (SEHARUM)

Gambar 1) Sdr Jefri (Ketua PKR Pekan), Sdr Hassim (S/usaha PKR Temerloh), Sdr Rizan (Bera), Tn Syed Talib (Naib Ketua I PKR Indera Mahkota) dan Sdr Zainal Afandi (Timbalan Ketua PKR Bentong)

Gambar 2) Ahli Panel YB Pn Hjh Fuziah Salleh (Ahli Parlimen Kuantan merangkap Ketua PKR Kuantan), Sdr Mustaffa Kamil Ayub (Pengarah SEHARUM/Naib Presiden PKR), Sdr Shamsul Iskandar Akin (Ketua AMK Malaysia) dan Sdr Pengerusi Majlis Tn Hj Suhaimi Said (Ketua PKR Kuala Krau).


Gambar 3) Para peserta yang hadir terdiri dari ahli PKR pelbagai kaum dari seluruh negeri Pahang.

Gambar 4) Barisan hadapan pimpinan, dari kanan Sdr Ram Ponusamy (Timbalan Pengerusi PKR Pahang merangkap Ketua PKR Bentong), Sdr Mustaffa Kamil Ayub (Naib Presiden PKR) dan Sdr Zakaria Abd Hamid (Pengerusi PKR Pahang merangkap Ketua PKR Lipis)


Gambar 5) Kelihatan Sdr Rabidin, Ketua PKR Rompin (Berkopiah putih) bersama dengan pimpinan Bahagian Rompin yang turut hadir.



Gambar 6) Kelihatan dari pandangan belakang dewan yang penuh sesak dengan kehadiran ahli-ahli yang turut serta mengikuti seminar ini.


BERA: Parti Keadilan Rakyat (PKR) Bahagian Bera telah menghantar seramai 5 orang pimpinan utama bahagian serta 2 orang pemimpin AMK ke Seminar Harapan Baru Untuk Malaysia (SEHARUM) yang telah berlangsung di Hotel Seri Malaysia, Temerloh pada 02/11/2008 lalu. Seminar tersebut yang berlangsung selama sehari turut di hadiri oleh semua pemimpin-pemimpin Bahagian dari seluruh negeri Pahang.

Perwakilan PKR Bera telah diketuai oleh Tn Hj Abas Awang selaku Ketua Bahagian, Sdr Hamzah Bawa (Timbalan Ketua), Sdr Muthusamy (Naib Ketua II), Sdr Abd Malik Salleh (Naib Ketua III), Sdr Riza Ali (Setiausaha Bahagian), Sdr Sarawanan (Naib Ketua AMK Bahagian) dan Sdr Norizam (Setiausaha AMK).

Seminar tersebut telah membentangkan beberapa kertas kerja yang terdiri daripada beberapa ahli panel yang ternama seperti YB Pn Hjh Fuziah Salleh (Ahli Parlimen Kuantan merangkap Timbalan Pengarah Pilihanraya PKR), Sdr Mustafa Kamil Ayub (Pengarah SEHARUM merangkap Naib Presiden PKR), Sdr Shamsul Iskandar Akin (Ketua AMK Malaysia), YBhg Dato' Fauzi Abd Rahman (Bekas Timbalan Menteri Penerangan) dan Tn Hj Abas Awang (Bekas Pengarah Pelajaran WP merangkap Ketua PKR Bahagian Bera).

Program yang telah dilaksanakan ini semenjak 4 bulan lalu diseluruh negara mendapat sambutan yang begitu hangat daripada semua pendokong PKR diseluruh negeri Pahang apabila dihadiri kira-kira 200 orang ahli.

PETIKAN "DAMAI ABADI" DATO' FAUZI ABD RAHMAN

Petikan sajak yang dibaca oleh YBhg Dato' Fauzi Abd Rahman yang juga Bekas Menteri Penerangan ketika membentangkan kertas kerja selaku Ahli Panel yang ke 3 di Seminar Harapan Baru Untuk Malaysia (SEHARUM) Peringkat Negeri Pahang di Dewan Jelawat, Hotel Seri Malaysia, Temerloh, Pahang pada 2 November 2008 yang lalu.

SAJAK "DAMAI ABADI' VERSI PAK LAH

Aku cari bukan harta bertimbun-timbun
Untuk hidup kaya raya

Aku cari bukan wang berjuta-juta
Untuk hidup bergaya

Aku cari bukan kawan-kawan
Untuk hidup sekadar berfoya-foya

Aku cari mana dia Al-Ghazali
Aku cari mana dia Al-Shafie

Aku hidup kerana Dia Rabbi
Dia lah Teman, Dia lah Wali
Kita bongkar rahsia sunnah nabi
Cari panduan

Dia mencukupi, aku hidup bererti
Menikmati damai abadi


SAJAK "DAMAI ABADI" VERSI DATO' FAUZI

Anak dan menantu ku telah cukup menghimpun
Aku kaya tidak terhingga

Dengan jawatan dan teman ku yang muda
Hidup ku di puja-puja

Selagi aku miliki kedudukan
Sentiasa didampingi pelawak berjenaka

Aku jumpa Ghazali Shafie
Terlantar di hospital, tanpa siapa peduli

Hanya lisan ku berteka teki
Agar korang tetap mempercayai
Satu lakonan ku yang bestari
Cari makan

Sekarang mencukupi, aku nak berhenti
Akan ku lihat pengganti ku mati

Sunday, November 2, 2008

SEHARUM: Seminar Harapan Baru Untuk Malaysia Peringkat Negeri Pahang

Salam pada semua pendokong Pakatan Rakyat,

Hari ini 02 November 2008, bertempat di Dewan Jelawat, Hotel Sri Malaysia Temerloh, telah diadakan Seminar Harapan Baru Untuk Malaysia (SEHARUM) yang dihadiri oleh kira-kira 250 orang para pendokong parti dari seluruh negeri Pahang.

Bahagian Bera yang di ketuai oleh Tn Hj Abas Awang yang juga merupakan pembentang kertas kerja pertama di seminar yang bermula jam 8.30 pagi tadi. Bahagian Bera juga turut diwakili oleh Sdr Hamzah Bawa (Timbalan Ketua Bahagian), Sdr Muthusamy (Naib Ketua II Bahagian), Sdr Abd Malek Salleh (Naib Ketua III Bahagian), Sdr Rizan Hj Ali (Setiausaha Bahagian), Sdr Sarawanan (Naib Ketua II AMK Bera) dan Norazmi (Setiausaha AMK Bera).

Program ini yang dihadiri oleh semua pimpinan utama PKR Pahang yang diketuai oleh Sdr Zakaria Abd Hamid (Ketua Bahagian Lipis) merangkap Pengerusi PKR Negeri dan juga turut dimeriahkan dengan kehadiran Sdr Mustaffa Kamil Ayub selaku Pengarah Program SEHARUM Pusat yang juga Naib Presiden III PKR Malaysia serta Ketua AMK Malaysia Sdr Shamsul Iskandar Mohd Akin yang juga salah seorang panel di seminar ini.

Hampir kesemua Ketua-ketua bahagian PKR di negeri Pahang turut hadir antaranya ialah Tn Hj Mohd Nor (Jerantut), Tn Hj Adnan (Cameron Highland), Sdr Jefri (Pekan), Sdr Rabidin (Rompin), Tn Hj Suhaimi (Kuala Krau), Sdr Bostamin (Maran), YB Fuziah Salleh (Kuantan), Sdr Zainal Afandi (Bentong ), Sdr Mohd Ali (Raub), Sdr Abd Rani (Pemangku Ketua Paya Besar)manakala Bahagian Temerloh di ketuai oleh Sdr Hassim Mubin (Setiausaha Bahagian), Tn Syed Talib (Naib Ketua I Bahagian Indera Mahkota).

Program ini yang mengambil masa selama sehari adalah program yang dirangka untuk memberi penerangan serta maklumat tentang peranan yang perlu kita mainkan sebagai ahli parti. Sehingga ke saat ini, Tn Hj Abas dan YB Fuziah Salleh telah selesai membentangkan kertas-kertas kerja seminar yang begitu menarik sekali dan kertas kerja ke 3 sekarang sedang dibentangkan oleh Dato Fauzi Abd Rahman (Bekas Timb Menteri Penerangan) yang banyak menerangkan tentang "Good Governance" kepada semua yang hadir.

Sekian, Laporan terkini dari Hotel Sri Malaysia

Saturday, November 1, 2008

HARGA MINYAK TURUN, HARGA BARANGAN LAIN?

Salam pada semua,

Hari ini tepat jam 12.01 pagi tadi ;01 November 2008, Kerajaan Malaysia pimpinan BN sekali lagi menurunkan harga minyak untuk pasaran negara ini untuk kali ke 4 semenjak harga minyak dinaikkan secara 'melampau' daripada RM 1.92 kepada harga RM 2.70. Kenaikan harga minyak ini yang dibuat 4 bulan lalu benar-benar telah membuatkan rakyat di negara ini sengsara dengan kos kenaikan barang pengguna dan pengangkutan yang lain turut dinaikkan sama.

Semalam ketika mesyuarat mingguan Kabinet Malaysia telah membuat keputusan agar harga minyak sekali lagi diturunkan sebanyak 15 sen. Menurut kenyataan media yang dikeluarkan, penurunan harga minyak ini adalah selaras dengan penurunan harga di peringkat dunia.Penurunan harga minyak secara berperingkat-peringkat sebenarnya tidak begitu efektif kepada rakyat.

Penurunan harga yang sedikit tetap akan membebankan pengguna kerana didalam masa yang sama harga barangan lain tetap berada ditahap ketika harga mula-mula dinaikkan. Kalau kita melihat trend pelarasan harga yang dibuat sejak diturunkan kali pertama pada Ogos lalu tidak menggambarkan kepekaan kerajaan kepada rakyat. Berikut adalah pelarasan-pelarasan harga minyak yang telah dibuat oleh kerajaan:

PELARASAN HARGA KALI PERTAMA PADA 23 OGOS 2008:
Harga yang diturunkan ini untuk 'persiapan' rakyat menghadapi bulan Ramadhan pada 01/09/2008 yang mana harga runcit petrol RON97 diturunkan 15 sen seliter daripada RM2.70 kepada RM2.55, RON92 dikurangkan 22 sen seliter daripada RM2.62 kepada RM2.40, manakala diesel lapan sen seliter daripada RM2.58 kepada RM2.50.

PELARASAN HARGA KALI KEDUA PADA 25 SEPTEMBER 2008:
Harga ini diturunkan untuk menghadapi Hari Raya pada 01/10/2008 dimana ianya hanya membabitkan penurunan harga runcit petrol dan diesel 10 sen seliter menjadikan petrol RON97 RM2.45 seliter, RON92 (RM2.30) dan diesel (RM2.40).

PELARASAN KE TIGA PADA 14 OKTOBER 2008:
Selepas raya & juga untuk menghadapi Deepavali, kerajaan sekali lagi bertindak menurunkan harga pada kadar harga petrol RON97 dikurangkan 15 sen seliter daripada RM2.45 kepada RM2.30, petrol RON92 turun 10 sen seliter daripada RM2.30 kepada RM2.20, manakala diesel sebanyak 20 sen seliter daripada RM2.40 kepada RM2.20.

PELARASAN TERKINI PADA 01 NOVEMBER 2008:
Harga petrol RON97 dikurangkan daripada 2.30 seliter kepada 2.15 seliter, RON92 dikurangkan RM2.20 kepada RM2.05 seliter. Manakala diesel pula daripada RM2.20 seliter kepada RM2.05 seliter.

Sebagaimana yang selalu dikatakan oleh Menteri yang bertanggungjawab pada pengguna ini, kerajaan perlu berbincang dan mengkaji terlebih dahulu sebelum usaha-usaha penurunan harga itu boleh dilakukan. Ini kerana faktor penurunan harga minyak perlu di ambil kira pada semua aspek.Adalah amat menghairankan apabila kenyataan yang sebegini dijadikan sebagai satu alasan utama ketika ditanya tentang penurunan harga minyak tetapi kenapa ketika mahu menaikkan harga minyak, segala aspek terutamanya kesusahan dan penderitaan rakyat sedikit pun tidak dijadikan asas perkiraan?

Hakikat yang sebenarnya kerajaan BN ini teramat panik dan takut apabila harga minyak dipasaran dunia naik suatu ketika dulu, sedangkan laporan dunia ada menyatakan yang kenaikan harga minyak dipasaran dunia itu dulu hanyalah bersifat sementara dan sebagai kerajan yang selalu mengakui amat cekap memerintah negara sepatutnya kerajaan mengambil langkah 'bertahan' terlebih dahulu dengan harga lama (RM 1.92) dan saya amat yakin kerajaan boleh menurunkan lagi harga minyak sehingga ke paras harga RM 1.70.

Berdasarkan laporan APEC dan mengambil kira faktor simpanan semasa minyak dunia dan mengambil kira juga faktor antarabangsa di negara-negara Teluk, di Amerika Syarikat dan sebagainya, Harga minyak dinegara kita pada ketika itu ialah RM1.92 bersamaan pasaran harga minyak dunia sekitar 70-80 dolar setong, cuba tengok pula sekarang ini pasaran harga minyak dunia ialah sekitar 60-70 dolar sahaja setong, Tetapi sekarang kerajaan BN boleh menunjuk kepada semua sekarang yang harga minyak yang dinaikkan 'gila segila gilanya' dulu RM2.70 sudah boleh diturunkan balik sekarang!Tetapi kerajaan lupa untuk melihat kesan kenaikan harga barangan yang lain turut melambung kenaikan harganya!

Kini, walaupun harga minyak sudah masuk kali ke empat diturunkan namun adakah harga barangan lain turut turun? Jawapannya TIDAK malahan ada sesetengah harga barangan makin naik di luar pengetahuan kita sebagai pengguna! Walaupun merayu atau diadakan kempen penurunan harga barangan lain oleh Menteri itu sendiri, namun harganya tetap sama...tetap tidak turun lagi....

Tuesday, October 28, 2008

BERA: KEARAH PERUBAHAN!

Salam pada semua pendokong Pakatan Rakyat di Bera,

Arus perubahan yang melanda semenjak PRU 12 Mac 2008 lalu terus kian berkembang diseluruh negara sehingga sekarang. Bera sebagai satu kawasan parlimen yang di naungi oleh BN sejak PRU 11 2004 lalu turut menerima tempiasnya dengan pelbagai perubahan yang diinginkan sebagaimana yang berlaku sekarang diseluruh negara.

Walaupun Bera merupakan kawasan parlimen baru (baru 2 kali dipertandingkan didalam PRU) dan selama 2 penggal berturut dimenangi oleh calon BN (Dato'Seri Ismail Sabri Yaakob yang juga Menteri Belia & Sukan) sejak 2004, masyarakat kini telah mulai untuk menerima agenda perubahan lantaran dengan berbagai isu-isu semasa terkini seperti kenaikan minyak yang mendadak, kenaikan berbagai jenis harga barangan pengguna dan kesan kejatuhan ekonomi yang semakin menurun dan jelas.

Bera sebagai satu daerah baru yang diwujudkan selepas pemisahan dari daerah Temerloh (Sejak awal 90an) turut menerima kesan sebagaimana diatas. Kesan kenaikan harga minyak dan barang umpamanya telah menyebabkan kesusahan rakyat terus meningkat apatah lagi hampir majoriti masyarakat di Bera ini menjadikan pertanian sebagai sumber utama ekonominya. Ketiadaan petanda yang jelas dengan dasar kerajaan terhadap pelbagai isu ini telah menyebabkan rakyat mula bosan dan mencari-cari haluan baru yang boleh dijadikan sebagai tempat mengadu.

Sejak April 2008 ini, PKR Bera telah mula menerima kemasukan ahli-ahli baru yang jelas pada setiap bulan menunjukkan kenaikan yang mendadak. Amatlah menghairankan kerana Bera yang diumpamakan sebagai salah satu kubu kuat BN di Pahang telah mula ditinggalkan oleh para penyokong serta masyarakat yang tidak berpasrti untuk bersama-sama berada di dalam PKR.

Pelbagai kesan terhadap rakyat yang dilakukan oleh BN telah menyebabkan rakyat merasakan bagai tertipu dengan pelbagai janji yang dilakukan ketika PRU yang lalu. Umpama pepatah "habis madu sepah dibuang" benar-benar telah melukakan hati rakyat bawahan terutamanya.

Sokongan terhadap PKR Bera kini telah meningkat begitu cepat. Kalau dahulunya program yang dianjurkan oleh PKR dipandang sepi tetapi kini tidak lagi. Program jamuan raya terbuka anjuran PKR bera baru-baru ini telah menjadi bukti bagaimana berduyun-duyun rakyat tanpa rasa takut dan segan untuk sama-sama hadir ke jamuan tersebut.

Sehingga kini PKR Bera telah menerima pertambahan ahli sebanyak 70% semenjak April 2008 lalu. Kemasukan ahli oleh pelbagai lapisan masyarakat tanpa mengira kaum jelas menunjukkan bahawa PKR Bera kini telah mula dipandang. Perubahan pimpinan PKR Bera dengan acuan lama dan baru juga turut menjadi penyumbang kepada minat rakyat untuk bersama PKR Bera sekarang.

Adalah menjadi satu hasrat dan cita-cita untuk PKR Bera agar terus dapat diterima oleh semua rakyat dan lapisan masyarakat berbagai kaum di daerah Bera ini. Dengan kerjasama yang erat dengan rakan-rakan Pakatan Rakyat yang lain seperti PAS dan DAP di Bera ini, hasrat kita bersama untuk menawan kesemua kerusi DUN dan Parlimen Bera akan menjadi kenyataan di PRU 13 yang akan datang, Insya Allah.

HAPPY DEEPAVALI

Parti Keadilan Rakyat Bahagian Bera mengucapkan selamat menyambut Deepavali kepada Sdr M.Muthusamy (Naib Ketua Bahagian 2 Bera), Sdr P.Sarawanan (Naib Ketua AMK Bera merangkap Exco AMK pusat), para pimpinan PKR Bahagian Bera serta kepada semua ahli-ahli PKR yang beragama Hindu di Bera ini.

"SELAMAT HARI DEEPAVALI & HAPPY DEEPAVALI"

Thursday, October 16, 2008

JAMUAN RAYA PKR BAHAGIAN BERA PADA 11/10/2008

GAMBAR 1) Kain rentang jamuan raya PKR Bahagain Bera pada 11 Oktober 2008 yang dipasang disekitar Bandar Bera dan juga di tapak jamuan tersebut.

GAMBAR 2) Dari kiri Tn Hj Adnan (Ketua PKR Cameron Highland), AJK Pas Bera, Tn Hj Abas (Ketua PKR Bera) dan YB Leong Ngah Ngah (Adun DAP Triang)


GAMBAR 3) Kelihatan orang ramai daripada pelbagai kaumberpusu-pusu untuk mengambil juadah yang dihidangkan sempena jamuan raya PKR Bera ini.


GAMBAR 4) Tn Hj Abas, YB Leong Ngah Ngah, Sdr Sarawanan (Exco AMK Pusat) dan Sdr Hamzah Bawa (Timb Ketua PKR Bera) sedang berbual.


GAMBAR 5) Kehadiran kaum ibu serta anak-anak juga memeriahkan jamuan raya PKR ini.

Jamuan raya terbuka anjuran Parti Keadilan Rakyat (PKR) Bahagian Bera mendapat sambutan hangat oleh para penduduk di Bandar Bera. Kira-kira 500 orang mengunjungi jamuan raya ini untuk meraikan pimpinan PKR yang diketuai olah Ketua Bahagian Bera, Tn Hj Abas Awang. Turut mengiringi Tn Hj Abas ialah Sdr Hamzah Bawa (Timb ketua bhg Bera), Naib-naib ketua bahagian Sdr Amir Abd Aziz, Sdr Muthusamy serta Cikgu Malek. Hampir kesemua pimpinan utama PKR Bera turut bersama-sama meraikan kehadiran orang ramai yang berpusu-pusu memenuhi kanopi yang disediakan untuk bersama-sama meraikan pimpinan PKR Bera.

Menurut Setiausaha Bahagian Bera Sdr Riza Hj Ali juga lagi, antara yang turut memeriahkan jamuan raya ini ialah rombongan PAS kawasan Bera yang diketuai oleh YDP Pas kawasan iaitu Ustaz Sulaiman Mohamad, Ketua Pemudanya Sdr Shahrul dan jawatankuasa Pas kawasannya. PKR Bera juga turut menerima kehadiran Tn Hj Adnan Md Lazim (Ketua PKR bhg Cameron Highland), Tn Hj Suhaimi Said (Ketua PKR Bahagian Kuala Krau) serta Setiausaha AMK Pusat Sdr Zulfikar Ariffin. Kehadiran juga diserikan lagi dengan Adun Triang YB Leong Ngah Ngah bersama rombongan jawatankuasa DAP Bera.

Wednesday, October 15, 2008

TG DATO' NIK AZIZ YAKIN TERHADAP PAKATAN RAKYAT

Rabu Oktober 15, 2008

Oleh G. MANIMARAN


KOTA BAHRU: Murysidul Am Pas, Datuk Nik Aziz Nik Mat, yang mengetuai Kelantan sejak 1990, masih yakin Pakatan Rakyat akan mengambil alih kerajaan pusat sambil menekankan bahawa pihaknya akan tetap memilih Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.
Keputusan memilih Anwar jika pembangkang berkuasa di peringkat persekutuan, kata Nik Aziz, sudah lama dipersetujui oleh pembangkang.
Menteri Besar Kelantan itu berkata, pembangkang telah memutuskan demikian semasa pihaknya bersetuju untuk mewujudkan barisan alternatif sembilan tahun lalu.
“Cerita Anwar (dipilih sebagai Perdana Menteri) sudah lama… belum pada ini kita ada APU (Angkatan Perpaduan Ummah), lepas itu Barisan Alternatif, masa kita buat (bentuk) BA, kita dah buat keputusan, Perdana Menterinya Anwar… bukan cerita baru,” kata beliau ketika ditemui di kediaman beliau di sini baru-baru ini.
Barisan alternatif dibentuk oleh pembangkang ketika menghadapi pilihan raya umum 1999 dan 2004.
Selepas pilihan raya umum Mac lalu pihaknya menamakan ikatan pembangkang sebagai Pakatan Rakyat.
Nama itu diumumkan pada 1 April lalu dengan menyasarkan 16 September bagi membentuk kerajaan baru persekutuan.
Bagaimanapun pada tarikh tersebut kerajaan baru tidak dibentuk, sebaliknya Anwar selaku Ketua Umum Pakatan Rakyat meminta diadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
Malah Anwar juga meminta supaya diadakan sidang khas Parlimen untuk membincangkan sokongan anggota Dewan Rakyat pada 23 September lalu.
Kedua-dua permintaan itu telah ditolak oleh Abdulllah.
Ketika ditanya tentang peluang dan kemungkinan Pakatan Rakyat membentuk kerajaan pusat, Nik Aziz berkata: “Kami mesti ambil alih kecuali dia (kerajaan) kacau, diguna ISA, ditangkap, itu lainlah.”
Tambah beliau, jika demokrasi dilaksana dengan sepenuhnya, sudah lama Umno digantikan dengan kerajaan baru.
“Kami yakin, syaratnya demokrasi diberi peluang penuh, tiada gangguan ISA, tiada ditangkap, kecuali dia ditangkap macam komunis,” katanya.
Apabila ditanya mengenai perbezaan pandangan dan tidak puas hati dalam isu pembentukan kerajaan oleh Pakatan Rakyat dan diketuai Anwar jika menjadi, Nik Aziz berkata, masalah itu tidak wujud secara keseluruhan.
Cuma, jelas Nik Aziz, wujud sedikit perasaan ragu-ragu memandangkan Anwar dituduh kerana dituduh liwat sedangkan mahkamah sudah lepaskan beliau.
Anwar, kini Ketua Pembangkang di Parlimen, pernah berhadapan dengan kes liwat 10 tahun lalu tetapi dibebaskan dan berhadapan dengan tuduhan buat kali kedua Ogos lalu.

'PERADUAN' DALAM PEMUDA UMNO

Terkini Mukhriz kuasai 8 negeri Selepas 72 Pemuda Umno bersidang setakat ini,
ahli Parlimen Jerlun, Datuk Mukhriz Mahathir mendahului pencalonan bagi jawatan ketua Pemuda Umno Malaysia di lapan buah negeri. Pada keseluruhannya, Mukhriz memperoleh sejumlah 40 pencalonan dan melepasi jumlah - 39 pencalonan - untuk bertanding jawatana tersebut. Manakala pesaing terdekatnya, ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin mendapat 19 pencalonan dan hanya mendahului di satu negeri sahaja, iaitu Kelantan.
Malah, pencalonan bagi jawatan ketua Pemuda di Negeri Sembilan yang selama ini dianggap pro-Khairy juga berpihak kepada Mukhriz. Sehingga ini, semua tiga pencalonan dari negeri tersebut - Rasah, Jelebu dan Jempol - memihak kepada Mukhriz. Manakala di Perak - juga dianggap pro-Khairy - beliau dan Mukhriz masing-masing mendapat empat peencalonan. Negeri-negeri lain yang memihak kepada Mukhriz ialah Kedah, Terengganu, Sabah, Pahang, Pulau Pinang dan Johor. Mukhriz mendapat kesemua lima pencalonan dari Kedah manakala Khairy pula menguasai kesemua empat pencalonan di Kelantan setakat ini. Khir Toyo dahulu di S'gor Dua lagi calon jawatan Pemuda Umno ialah bekas Menteri Besar Selangor,
Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo yang setakat ini mendapat 12 pencalonan. Manakala timbalan ketua badan perhubungan Umno Perlis yang juga ketua Umno Padang Besar Datuk Zahidi Zainul Abdidin mendapat satu pencalonan dari bahagiannya. Di Perak pula, Mukhriz dan Khairy masing-masing mendapat empat pencalonan manakala Dr Mohd Khir mendapat dua pencalonan. Di Pulau Pinang, Mukhriz mendapat empat pencalonan, manakala Khairy dan Dr Mohd Khir Toyo masing-masing satu pencalonan. Di Johor pula, daripada 12 pencalonan bagi jawatan ketua Pemuda, Mukhriz mendapat lapan pencalonan, Khairy (3) dan Dr Mohd Khir (1). Manakala di Pahang, Mukhriz mendapat empat pencalonan dan Khairy mendapat dua pencalonan. Di Sabah, daripada pencalonan bagi jawatan ketua Pemuda, Mukhriz mendapat enam pencalonan, Khairy (3) dan Dr Mohd Khir (1). Sementara itu, Dr Mohd Khir mendahului pencalonan di Selangor dengan mendapat empat pencalonan, Mukhriz (3) dan Khairy (1).