Saturday, December 5, 2009

PIMPINAN PAKATAN RAKYAT LEBIH TERBUKA BERBANDING PIMPINAN UMNO / BN

Berpolitik memang tidak boleh lari dari melakukan beberapa kesilapan, kadang-kadang tindakan yang dilakukan berdasarkan emosi atau situasi ketika itu. Tiga orang ADUN dari Perak telah melakukan pengkhianatan terhadap amanah rakyat dalam pilihanraya 2008 yang lalu sehingga tumbang kerajaan PR di Perak.

Pengkhianatan ini mengundang kemarahan rakyat yang kadang-kadang tidak boleh dikawal, akibatnya mereka melakukan tindakan-tindakan yang pada pandangan politik mereka wajar dan padan dengan pengkhianatan yang dilakukan. Antara tindakan yang kononnya mencetus kemarahan UMNO dan orang Melayu ialah memijak gambar.

Pada saya memijak gambar sebagai tanda protes kemarahan rakyat di atas pengkhianatan yang dilakukan oleh mereka masih lagi kecil berbanding dengan perbuatan mereka yang mengkhianati amanah rakyat dengan melompat menyertai BN.

Sekalipun mereka secara peribadinya tidak bersetuju dengan polisi kerajaan PR atau tidak setuju dengan MB atau apa sahaja sebab yang mereka tidak bersefahaman dengan kerajaan PR, samada mereka meletakan jawatan sebagai ADUN supaya boleh diadakan semula pilihanraya kecil, atau meletakan jawatan sebagai EXCO atau bersabar sehingga pilihanraya akan datang.

Akibat pengkhianatan ini menyebabkan sebuah kerajaan yang dibentuk atas semangat demokrasi dan mendapat kepercayaan majoriti rakyat tumbang. Kerajaan tumbang disebabkan perbuatan khianat ahlinya yang lari dari perjuangan adalah satu jenayah politik yang sangat besar.
Sebab itulah dalam Islam sendiri, tentera Islam yang lari dari peperangan yang sedang dihadapi atau mengkhianati pasukannya sendiri dengan menyokong pasukan musuh akan dihukum dengan hukuman yang sangat berat sehinggalah boleh dibunuh.

Namun kesilapan kecil yang mengundang isu yang dibesar-besarkan oleh media segera disedari oleh pimpinan DAP, lantas permohonan maaf segera diajukan. Ini menunjukkan keterbukaan pimpinan DAP yang segera memohon maaf kepada rakyat yang tersinggung dengan perbuatan yang dianggap bertentangan dengan nilai budaya dan adab ketimuran. Permohonan maaf secara terbuka itu disiarkan dalam dada-dada akhbar dengan jaminan tidak akan mengulanginya lagi. Rakyat wajar memuji dengan kenyataan maaf ini.

UMNO BN sejak dahulu sehingga sekarang terlalu banyak menyinggung perasaan rakyat, bahkan satu ketika dahulu dalam isu pindaan perlembagaan, raja-raja Melayu turut disinggung oleh UMNO BN dengan begitu biadab sekali. Pernah kita mendengar pemimpin UMNO BN memohon maaf kepada raja-raja Melayu ?

Dr Mahathir termasuk beberapa pimpinan UMNO pernah menuduh Anwar Ibrahim menumbuk dan mencederakan mukanya sendiri bagi menagih simpati rakyat, ternyata apabila dijalankan siasatan oleh Suruhanjaya Diraja terbukti Ketua Polis Negaralah yang mencederakan Anwar Ibrahim sewaktu dalam tahanan, pernah rakyat Malaysia mendengar permohonan maaf dari Dr. Mahathir dan pimpinan UMNO yang lain ?

Sebaliknya Anwar Ibrahim secara terbuka memaafkan Ketua Polis Negara dan juga memaafkan Dr. Mahathir. Anwar Ibrahim juga dimalukan dengan tuduhan yang cukup mengaibkan yang akhirnya merengkok dalam penjara untuk sekian lama, apabila mahkamah memutuskan sebaliknya, juga tidak kedengaran permohonan maaf dari pemimpin UMNO BN.

Datuk Zahid pernah membuat tohmahan dan fitnah jahat ke atas Menteri Besar dan Kerajaan PR Perak yang kononnya akan menutup semua tadika KEMAS seluruh Perak hujung bulan Disember 2008 yang lalu, akibatnya timbul keresahan rakyat. Ternyata dakwaan Zahid adalah palsu, bohong dan berniat jahat sama sekali, tidak ada satu tadika KEMAS pun yang diarahkan tutup oleh Kerajaan PR. Zahid Hamidi juga tidak pernah memohon maaf atas keterlanjurannya membuat kenyataan jahat dan fitnah itu kepada Menteri Besar Hj Nizar.

Dr. Mahathir juga pernah membuat kenyataan yang mengguris Sekolah Agama Rakyat termasuk ibu bapa dan pelajar sekolah agama rakyat yang kononnya melatih pelajar-pelajar menjadi pengganas, pelajar pasti juga dituduh dengan tuduhan yang sama.

Kenyataan yang paling mengguris dan menyinggung emosi umat Islam ialah penghinaan terhadap sunnah dan syariat Islam. Umat Islam membantah kenyataan ini, memorundum demi memorundum dihantat ke Pejabat Perdana Menteri. Pernah rakyat Malaysia mendengar permohonan maaf Mahathir ?

Tangkapan-tangkapan ISA ke atas rakyat yang tidak pernah dibuktikan bersalah di mahkamah sehingga anak dan isteri dipisahkan untuk sekian lama, juga rakyat tidak pernah mendengar permohonan maaf dari pemimpin UMNO BN. Dan banyak lagi pembohongan dan tindakan-tindakan biadab UMNO BN terhadap rakyat, pemimpin pembangkang, terhadap Islam sendiri dan sebagainya. Pemimpin UMNO BN tetap angkuh dan sombong sehingga boleh jadi ada yang mati dalam keangkuhan dan kesombongan. Pernyataan maaf bagi mereka cukup berat untuk dilafazkan.

Gambar Lim Guan Eng dibakar, gambar Hj Nizar dipijak, gambar Tok-tok Guru kita dikencing, poster-poster kita dikoyak dan sebagainya. Pemimpin UMNO BN sehingga sekarang masih tidak mahu bertanggung jawab dan memohon maaf bagi pihak parti dan ahlinya di atas perbuatan biadab yang sedemikian.

Inilah UMNO BN, pihak lain dianggap biadab dan tidak bertamaddun tetapi kalau datang dari mereka dianggap wajar dan bersopan. Begitulah UMNO BN dulu, kini dan selamanya tetap sama buruknya.


* Di petik dari blog http://misabah.blogspot.com

Friday, December 4, 2009

JANJI KETIKA BAJET 2008 DULU "PENDIDIKAN PERCUMA UNTUK SEMUA", TAPI TAHUN 2010 KENA BAYAR....

Keputusan Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) untuk mengenakan sedikit bayaran tambahan kepada pelajar bagi sesi persekolahan tahun depan amatlah mengejutkan kita semua.

Kalau kita imbas kembali kenyataan mantan Menteri Pelajaran (pada pertengahan Disember 2008) ketika itu Dato Sri Hishamuddin Tun Hussein telah bersetuju untuk tidak mengenakan sebarang bayaran tambahan lagi untuk pelajar bagi mengurangkan beban kewangan ibubapa yang menanggung perbelanjaan sekolah anak-anak dan ianya sejajar dengan janji PM ketika itu Dato Seri Abdullah Hj. Ahmad Badawi ketika pembentangan Bajet 2008 bertajuk “Pendidikan Percuma untuk Semua”

“Kerajaan komited melaksanakan langkah progresif untuk meningkatkan akses dan mengurangkan kos pendidikan. Pada tahun lalu, saya telah mengumumkan pemansuhan yuran peperiksaan PMR, SPM dan STPM. Sebagai tambahan, saya ingin mengumumkan yuran peperiksaan bagi Sijil Tinggi Agama Malaysia akan dimansuhkan. Dengan itu, yang tinggal hanya yuran tahunan sekolah rendah dan menengah. Saya juga sukacita mengumumkan, mulai tahun 2008, yuran sekolah ini turut dimansuhkan”

Walaupun didalam kenyataan Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom (dalam gambar) dipetik berkata, bayaran ini tidaklah membebankan ibubapa dan pelajar dan jumlah bayaran ini akan diumumkan sedikit masa nanti dengan pembayarannya bolehlah dijelaskan apabila sesi persekolahan bermula awal januari 2010 nanti.

“Bayaran ini akan digunakan untuk kemudahan dan aktiviti pelajar juga. Sebagai contoh duit bayaran ini akan digunakan sebagai insurans serta juga untuk menjayakan aktiviti kurikulum pelajar sepanjang sesi persekolahan nanti”

Saya merumuskan ianya sebagai suatu tindakan yang begitu terburu-buru untuk mengenakan bayaran tambahan kepada pelajar nanti walaupun jaminan kementerian sendiri ianya tidak begitu membebankan , seharusnya perlu mencari jalan atau alternatif yang terbaik bagi menampung kewangan seperti insurans atau perbelanjaan aktiviti dan bukannya menjadikan ibubapa sebagai ‘institusi kewangan’!

Mungkin orang akan berkata, apalah sangat kita hendak ‘berkira’ soal duit lagi pun untuk persekolahan anak-anak kita kerana ianya telah menjadi tanggung jawab ibubapa untuk menyediakan apa yang sepatutnya kepada anak-anak.

Secara peribadinya saya lebih memandang jauh kehadapan didalam soal ini. Saya lebih memikirkan diandaikan sesebuah keluarga mempunyai anak yang ramai dan bersekolah antara lima hingga enam orang serentak didalam satu-satu masa, bagaimana dan berapa banyakkah ibubapa harus menyediakan apa yang ditafsirkan oleh KPM ‘sedikit’ bayaran tambahan itu?

Kita juga persoalkan dimana pula tanggung jawab sosial kerajaan untuk penyediaan seperti insurans pelajar-pelajar serta yang paling penting ialah menampung perbelanjaan aktiviti pelajar-pelajar? 'Apalah sangat' setakat RM 10-20 Juta untuk disumbangkan bagi tujuan tadi kerana ianya adalah untuk kebaikan pelajar juga akhirnya.

Seharusnya sebagai kerajaan yang dikatakan bertimbang rasa, mengambil berat serta sentiasa peka dan peduli dengan keluhan rakyat perlu mencari kaedah lain bagi pembiayaan dua penting ini dan bukannya berterusan menjadikan ibubapa sebagai ‘tabung penyelamat Kewangan bagi KPM’ yang baru...


* Artikel ini dipetik dari blog http://ingeniur.blogspot.com

ANWAR MULAKAN TUGAS PENASIHAT EKONOMI SELANGOR

SHAH ALAM – Penasihat Ekonomi Negeri Selangor, Datuk Seri Anwar Ibrahim berharap kedudukannya itu tidak menimbulkan kebimbangan, kekeliruan dan salah faham di kalangan rakyat di negeri itu.

Anwar berkata, beliau menerima jawatan sebagai Penasihat Ekonomi setelah mengadakan rundingan serta mendapatkan restu daripada pimpinan Pakatan Rakyat (PR) yang lain, iaitu Presiden Pas, Abdul Hadi Awang, dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang.

“Saya menerima jawatan ini dengan tawaduk, tahu bahawa ada prestasi dan kejayaan yang membanggakan dan cabaran-cabaran yang juga berat yang dihadapi.

“Saya juga terima setelah berunding dan juga minta restu pimpinan PR lainnya, untuk memastikan kehadiran saya ini juga mewakili semangat pembaharuan yang mahu kita tonjolkan,” katanya selepas satu sesi taklimat mengenai Pakej Ransangan Ekonomi Negeri Selangor, di sini.:

Turut hadir Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Anwar mengangkat Sumpah Kerahsiaan di hadapan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ramli Mahmud sebelum menghadiri taklimat itu.

Abdul Khalid mengumumkan pelantikan Anwar sebagai Penasihat Ekonomi Negeri dengan bayaran RM1 sebulan pada sidang Dewan Undangan Negeri bulan lepas.

Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu diberikan sebuah pejabat di sebuah bangunan milik Kumpulan Darul Ehsan Bhd di sini.

Anwar mengakui, ini adalah pengalaman pertamanya di peringkat negeri kerana sebelum ini beliau menjadi pemimpin di peringkat persekutuan.

:“Saya akan menggunakan staf yang paling minimum. Saya pilih Mohd Rafizi Ramli seorang jurutera yang pernah bertugas sebagai pengurus kanan di Petronas,” katanya.

:Anwar turut memuji prestasi Kerajaan Negeri yang disifatkannya membanggakan, terutama apabila melihat laporan Ketua Audit Negara 2008.

:“Dari segi ketelusan, saya ucap tahniah kepada Menteri Besar dan pegawai-pegawai Kerajaan Negeri yang membantu sehingga kita dapat mencatat rekod yang membanggakan daripada Ketua Audit Negara,” katanya.

:Anwar berkata, beliau tahu mengenai kedudukan beliau di Selangor dan tidak mahu wujudnya salah faham.

:“Saya tahu dalam struktur parti, saya ‘bos’ dia (Abdul Khalid). Tetapi saya tahu dalam masa yang sama di Selangor, dia adalah Menteri Besar.

:“Jadi jangan ada kebimbangan dalam perkara itu. bukan dia (Abdul Khalid), tetapi mungkin di kalangan sesetengah orang disebabkan ada kekeliruan di situ. Jadi, saya jelaskan dari awal agar tidak ada kekeliruan mengenai perkara ini,” katanya.

* Artikel ini dipetik dari Akhbar Sinar Harian di http://www.sinarharian.com.my

PEMBINAAN SJK (TAMIL) LADANG MENTERI : BILA LAGI NAK DI MULAKAN?

BANDAR BERA, KHAMIS @ 03/12/2009 :

Exco Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pusat yang juga Timbalan Ketua AMK Cabang Bera, Sdr P.Sarawanan menggesa agar Kementerian Pelajaran menyegerakan pembinaan bangunan baru Sekolah Jenis Kebangsaan(Tamil) Ladang Menteri.

Beliau menyifatkan penantian selama 30 tahun untuk anak-anak kaum India di kawasan Triang dan yang behampiran dengan menumpang di sekolah lain agak keterlaluan apatah lagi sudah terlalu lama bersabar.

Beliau juga hairan kenapa MIC Bahagian Bera selaku antara komponen utama yang kononnya mewakili kaum India didalam Barisan Nasional Parlimen Bera gagal memainkan peranannya untuk memperolehi walaupun untuk mendapatkan sekurang-kurangnya sebuah bangunan sahaja bagi kegunaan untuk anak-anak India bersekolah?

"Kami daripada PKR Cabang Bera tidak akan sesekali patah semangat untuk terus memperjuangkan agar pembinaan sekolah ini diperolehi dengan kadar segera. Kami juga ingin tegaskan bahawa kita serius didalam memperjuangkan hak kaum India di Bera ini dan tidak sama sekali bertujuan untuk memporak-perandakan perpaduan dan kekuatan kaum India di sini sebagaimana yang diperkatakan oleh pihak-pihak yang telah 'terbukti' gagal selama ini!"

Sdr P.Sarawanan juga hairan kenapa projek ini masih belum boleh dimulakan walhal projek ini telah pun mendapat kelulusan kerajaan sejak sekian lama. Apakah wujud masalah untuk melantik kontraktor atau pun kerana hal-hal tertentu?

"Jangan katakan pembinaan bangunan sekolah hendak dimulakan, papan tanda pun masih tidak kelihatan sehingga kini? Apakah serius atau tidak untuk pembinaan sekolah ini? Itu yang kita hairan sangat-sangat"

MAKKAL SAKTI, BARU 2 BULAN DAH BERPECAH

Masih ingat lagi majlis perasmian penubuhan Parti Makkal Sakti yang disempurnakan oleh Dato Seri Najib Tun Razak. Semua tahu Makkal Sakti adalah kumpulan yang wujud dari Hindraf. Tidak dinafikan pengaruh Hindraf turut menyumbang kepada kemenangan Pakatan Rakyat di kawasan yang ramai pengundi kaum India dalam pilihanraya umum lalu.

Apabila Makkal Sakti dirasmikan oleh Najib, maka ramai yang beranggapan bahawa ini merupakan peluang terbaik Umno@BN untuk kembali mendapat sokongan pengundi India setelah pergolakan dalam MIC. Kemenangan Umno di pilihanraya kecil Bagan Pinang dikatakan turut dipengaruhi sentimen pengundi India setelah wujud Makkal Sakti yang dikatakan menyokong Umno@BN.

Rupa-rupanya disangka panas sampai ke petang rupa-rupanya ribut petir disertakan hujan lebat di tengahari. Hari ini berlaku pergolakan besar dalam Makkal Sakti apabila wujud desakan supaya presiden yang ada R S Thanenthiran meletak jawatan.

Kumpulan yang dipimpin oleh Timbalan Presiden A Vathemurthy yang mendakwa menerima sokongan lebih 15 daripada 27 anggota Jawankuasa Pusat (CC) tidak mahu Thanenthiran memimpin parti ini lagi.

“Kami mahu Thanenthiran melepaskan jawatan presiden dan tidak lagi memimpin parti. Usul untuk menyingkirkan sepatutnya dibincangkan hari ini tetapi mesyuarat CC dibatalkan minit terakhir, kami tidak tahu siapa di belakangnya,” kata Vathemurthy pada sidang di sini sebentar tadi.

Mesyuarat CC yang dijadual membincangkan usul menggugurkan Thanenthiran sepatutnya bersidang malam ini.

Tetapi Setiausaha Agung R Kannan telah membatalkan notis mesyuarat tengah malam tadi.
Mengulas lanjut, Vathemurthy berkata majoriti anggota CC dan ahli akar umbi jelas sudah tiada keyakinan ke atas kepimpinan Thanenthiran.

“... dan merasakan bahawa kepimpinannya yang berterusan sebagai presiden adalah satu ancaman teruk kepada kestabilan, kemajuan dan masa depan bagi Parti Makkal Sakti Malaysia yang baru ditubuhkan dan bagi masyarakat India Malaysia secara keseluruhan,” kata beliau pada sidang media di sini.

Seramai 12 daripada anggota CC yang beliau dakwa menyokongnya hadir pada sidang media hari ini.

Nampak gayanya semua parti yang menyertai BN kini sudah kena badi dan dimakan sumpah. MCA sedang bercelaru, MIC dah lama haru biru, Gerakan dah lama dah tak sebulu kini Makkal Sakti pula masuk regu.


* Artikel ini dipetik dari blog http://www.harakahdaily.net/v2/

Thursday, December 3, 2009

PROGRAM PKR BERA BERSAMA MASYARAKAT ORANG ASAL DI POS ISKANDAR PADA 06 DISEMBER 2009 INI

BANDAR BERA : 02 DISEMBER 2009 @ RABU

Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Bera akan mengadakan satu program bersama masyarakat Kaum Asal di perkampungan orang asli di Pos Iskandar pada Ahad ini (06/12/2009) jam 03.00 petang.

Menurut Setiausaha Cabang PKR Bera Sdr Rizan (dalam gambar) memberitahu;

"program ini merupakan program kali kedua yang melibatkan perkampungan orang asli selepas program pertama di Bukit Rok pada bulan Jun dahulu yang akhirnya tertubuh satu ranting pertama PKR di sana"

Mengikut perancangan asal, hampir kesemua AJK akan mula bertolak ke Pos Iskandar pada jam 12.00 tengahari dari Pejabat PKR Bera yang mungkin mengambi masa antara 1-2 jam perjalanan kesana.

Menurut Pengarah Program ini Sdr Bob Manolan (Ketua AMK Bera merangkap Timbalan Pengerusi Hal Ehwal Orang Asal Pahang) berkata;

"program ini meliputi sesi penerangan terkini PKR, terkini berkenaan dengan daerah Bera, Cabutan bertuah serta penyampaian pakaian terpakai kepada mereka di sana"

Program ini turut akan dihadiri oleh Pengerusi Biro Hal Ehwal Orang Asal Pahang Sdr Hj Suhaimi Said di samping Hj Abas Awang yang juga Ketua Cabang PKR Bera merangkap Ketua Biro Penerangan PKR Pahang.

Di anggarkan hampir 50-70 orang penduduk disana akan mengikuti program ini kerana tahap kesedaran kaum asal terhadap 'kecurangan' Umno terutamanya didalam membela nasib kaum asal sudah semakin jaun dari matlamatnya.

Oleh itu hasrat mereka untuk menjemput PKR Bera agar menerang serta mengadakan program disana sepatutnya di pandang tinggi untuk kebaikan semua.

APABILA CHOP KETUA UMNO BAHAGIAN 'LEBIH POWER' DARIPADA PEGAWAI KERAJAAN!

Mendapat tahu betapa hebat dan ‘power’nya chop Ketua Bahagian Umno disetiap kawasan parlimen untuk kelulusan projek terutamanya kepada kontraktor kelas F adalah sesuatu yang tidak mengejutkan langsung malahan lebih daripada itu lagi seseorang ketua bahagian Umno mampu melakukannya.

Peranan serta kuasa yang dimiliki oleh seseorang ketua bahagian Umno itu kadang kala ‘mengalahkan’ seseorang penjawat awam kanan di sesuatu daerah seperti Tuan Pegawai Daerah (DO) dan Penolong-penolong Pegawai Daerah (ADO) yang lain terutama peranannya didalam pengagihan ‘projek’ demi ‘tembolok’ kroni masing-masing!

Sebagaimana yang didedahkan di Dewan Rakyat oleh Dato’ Mahfuz Omar (PAS-Pokok Sena) dalam soalan tambahannya kepada Kementerian Kewangan berhubung projek-projek untuk kontraktor kelas A sehingga F.

"Saya dapat tahu ada perjumpaan seorang menteri kabinet yang mengarahkan supaya projek-projek tidak disalurkan kepada penyokong Pakatan Rakyat. Malah ada surat pekeliling mengarahkan kontraktor mendapatkan cop Ketua Umno Bahagian untuk mendapatkan projek."

Pendedahan beliau ini telah membangkitkan rasa tidak senang ahli-ahli parlimen BN yang lain terutamanya daripada Umno dengan beberapa ahli parlimen cuba mengganggu Mahfuz seraya menjawab dan melaungkan; "Biasalah kroni !"

Ketika menjawab soalan itu, Timbalan Menteri Kewangan Senator Datuk Awang Adek cuba memperlekehkan soalan Dato’ Mahfuz dengan mengatakan ianya tidak berlandaskan fakta dan bukti apabila menuduh dan mengatakan;

"Ini masalahnya, tidak mahu sebut siapa dan surat yang dikatakan pun tidak ada!"

Kenyataan yang memperlekehkan Dato’ Mahfuz menyebabkan Mahfuz dengan segera bingkas bangun dan berjanji akan menunjukkan surat tersebut pada sidang Parlimen esok.

"Esok saya bawa surat dan bukti ada arahan itu!"

Kata-kata oleh Mahfuz ini menyebabkan dewan rakyat semakin kecoh dengan perasaan tidak puas hati oleh sesetengah ahli parlimen daripada Umno / BN.

Sementara itu soalan oleh YB Mohd Nizar Zakaria (BN- Parit) yang meminta Menteri Kewangan menyatakan strategik garis panduan dalam pengagihan projek-projek kepada kontraktor-kontraktor kelas A,B,C,D dan E diberi peluang sebagaimana kontraktor kelas F dan apakah bentuk polisi pihak bank bagi memudahkan pinjaman kepada kontraktor.

Datuk Awang Adek memberitahu bahawa pemilihan kontraktor A, B, C dan D bagi melaksanakan projek kerajaan adalah melalui proses tender terbuka atau tender terhad bagi mendapat persaingan yang kompetetif sebagaimana kenyataannya;

"Inilah adalah sejajar dengan matamat kerajaan untuk mewujudkan persaingan yang sihat antara kontrator berdaftar," .

Sebelum itu beliau memberitahu projek berjumlah lebih RM10 juta diberikan kepada kontraktor kelas A, diikuti susunan gred manakala kelas F sekitar kurang RM20,000 sehingga RM200,000 mengikut keupayaan.

Sebenarnya kita tidak pernah mempertikai hasrat dan langkah mulia kerajaan didalam menentukan pemberian kpada perolehan sesuatu projek tersebut tetapi seharusnya biarlah telus dan terbuka agar adil kepada semua kontraktor.

Bagi kita apabila orang-orang politik seperti ini sudah mula menguasai hal ehwal pentadbiran awam dengan mengarah itu dan ini, sudah pasti ia akan mengurangkan hak serta kebebasan para penjawat awam untuk menjalankan tugas mereka.

Kita seharusnya serius dalam hal ini sebagaimana isu yang didedahkan oleh Mahfuz Omar akan ‘kehebatan’ ketua-ketua bahagian Umno dengan 'menolak' segera salah laku ini dan isu ini tidak boleh sama sekali dipandang sebagai perkara biasa kerana lambat launnya perbuatan seperti akan merosakkan sistem pentadbiran awam di Negara kita sekiranya ia tidak dibendung dengan kadar segera.


* Artikel ini dipetik dari blog http://ingeniur.blogspot.com